KOTA KINABALU: Seorang
kakitangan Pejabat Pemuda PAS Negeri Sabah terkejut apabila mendapati
pintu dan papan tanda pejabat berkenaan dibaling telur serta diconteng
dengan perkataan kesat awal pagi kelmarin.
(Pintu pejabat PAS Kota Kinabalu dibaling telur dan batu)
Kejadian itu disedari kira-kira jam 8.30 pagi ketika kakitangan tersebut ingin membuka pejabatnya.
Ketua
Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu percaya perbuatan membaling telur dan
melemparkan batu itu dilakukan sesetengah pihak yang kurang menyenangi
tindakan PAS yang agresif melawan kezaliman yang diperlakukan oleh pihak
tertentu.
“Kita sendiri berasa kurang selesa bila diperlakukan
sebegini. Perbuatan ini langsung tidak menunjukkan moral yang tinggi di
kalangan individu mahupun parti yang terkesan akibat tindakan agresif
yang dilakukan oleh PAS sejak akhir-akhir ini,” katanya dalam satu
kenyataan, kelmarin.
Bagaimanapun Lahirul berkata, beliau tidak
mengesyaki pihak yang terbabit dan tidak berhasrat untuk melaporkan
perbuatan berkenaan kepada pihak polis.
“Kali ini kita maafkan
mereka, supaya mereka benar-benar menginsafi bahawa perbuatan mereka ini
adalah yang tidak bermoral,” ujarnya.
PAS Sepanggar
(Tingkap pejabat PAS Sepanggar dipecahkan)
Sementara itu, pejabat PAS Kawasan Sepanggar turut dipecahkan cermin apabila dibaling objek keras awal pagi kelmarin.
Kejadian
yang mengejutkan kakitangan pejabat berkenaan yang sedang tidur itu
bagaimanapun tidak mendatangkan sebarang kecederaan.
Ketua Pemuda
PAS Kawasan Sepanggar, Saifuddin Ahmad berkata, ini merupakan kejadian
pertama yang berlaku setelah pejabat berkenaan beroperasi sejak dua
tahun yang lalu.
Beliau berkata, wakilnya telah membuat laporan polis di Balai Polis Alamesra berhubung perkara berkenaan.
No comments:
Post a Comment