Tuesday, November 27, 2012

Medan untuk rakyat bangkit isu besar Pahang

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang pada 9 Disember ini adalah medan penting untuk meneruskan gelombang perubahan di negeri itu.

Katanya, Pahang mempunyai banyak isu besar termasuk isu Lynas, pembinaan Empangan Klau, penggunaan sianida di Raub, pengambilan tanah di Cameron Highland, pencerobohan kawasan tadahan air di Jerantut dan Projek Petrokimia di Tanjong Agas.

"Himpunan ini sangat penting bagi menyatakan bantahan rakyat terhadap pelbagai penyelewengan yang berlaku di peringkat negeri Pahang khususnya dan di seluruh negara amnya.

"Pahang berhadapan dengan pelbagai isu besar negara mampu membuat lonjakan politik dalam PRU akan datang," katanya.

Menurutnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, pelbagai persiapan telah disusun oleh urusetia termasuklah perluasan Dataran Kompleks PAS Kerdau seluas tiga ekar yang kini sedang diratakan akan memudahkan semua peserta dan para peniaga yang dijangka memenuhi seluruh dataran.

"PAS menyeru seluruh ahli dan pendokong parti menghadiri program tersebut bagi menggambarkan sokongan dan era perubahan politik negeri Pahang," jelasnya.

Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Pahang akan menampilkan pimpinan utama semua parti Pakatn Rakyat termasuk Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Sementara itu, Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Johor pula akan berlangsung pada 1 Disember ini.

No comments: