Lebih 500 peserta dan pembentang kertas kerja dari dalam dan luar negeri akan berhimpun di Kota Bharu selama lima hari, membincangkan pelbagai aspek mengenai Islam.
Kongres berkenaan dianjurkan kerajaan Kelantan sempena Tahun Melawat Kelantan 2012 akan berlangsung 1 hingga 5 Disember 2012 turut mendapat kerjasama Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan).
Pemimpin gerakan Islam, profesor dan wakil beberapa kerajaan akan membentang kertas kerja pada kongres berkenaan.
Antaranya anggota jawatankuasa parlimen Mesir, Dr Abdel Rahman al-Bar; Naib Canselor Riphan International University Pakistan, Prof Dr Anis Ahmed; Sheikh Rashid Al Ghannushi dari Tunisia, Prof Glenn Hardaker dari England, wakil gerakan Islam Maghribi, Dr Abu Zaid Al Muqri Al Idirisi.
Selain itu Prof Dr Abdel Rahim Ali (Sudan), Dr Sofwat Jijazi (Mesir), Prof Dr Masudul Alam Choudhury (Kanada), Dr Hidayat Nur Wahit (Indonesia) dan wakil Kementerian Luar Turki.
Manakala Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga dijemput menyampaikan syarahan. Kongres yang julung kali diadakan itu akan dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 3 Disember.
Pengerusi kongres berkenaan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, penganjuran kongres berkenaan dibuat bagi mewujudkan platform peringkat global berkaitan pembangunan dan pelaksanaan sistem Islam.
Kongres berkenaan akan diadakan di Balai Islam dan sebuah hotel. Ia terbuka kepada umum dan agensi kerajaan. Peserta dikenakan bayaran pendaftaran, manakala percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi.
No comments:
Post a Comment