Saturday, December 31, 2011

Bantah 'Kempen Bebas Anwar 901' tidak berasas

KUALA LUMPUR, 31 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyelar tindakan Umno Barisan Nasional dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak membuat laporan polis bagi membantah 'Kempen Bebas Anwar 901' dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily menjelaskan penangkapan yang berlaku di Kelantan semalam ekoran mengedarkan risalah berkaitan dengan kempen tersebut juga menunjukkan kerajaan serta pihak polis tidak pernah berlaku adil serta bertindak di luar prinsip demokrasi.

"Saya melihat tidak ada satu kesalahan langsung di dalam kempen tersebut, yang mana bagi saya ia adalah satu usaha yang dilakukan oleh rakyat bagi menuntut perbicaraan yang adil kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jika Anwar telah diberikan keadilan yang sewajarnya di mahkamah maka kempen tersebut sudah tentu tidak akan berlaku, tetapi apa yang kita lihat adalah sebaliknya dan atas tidak mendapat ketidak adilan itulah rakyat bangkit melakukan kempen," jelasnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menyatakan kesabaran rakyat dalam campur tangan kerajaan dalam soal perundangan terutamanya kes Anwar sebenarnya sudah berada pada tahap yang tidak boleh dibendung lagi.

Malah beliau memberitahu, jika sesuatu perkara yang dituntut terutama prinsip perbicaraan yang adil di mahkamah tidak diatasi dengan sewajarnya, maka tindakan itulah cara terbaik yang dilakukan oleh mereka dengan hasrat kerajaan akan membuka mata bahawa kerajaan perlu akur dengan tuntutan rakyat.

"Rakyat sudah mula muak dengan permainan yang dilakukan oleh kerajaan terutama dalam isu fitnah Anwar, cara terbaik adalah melakukan kempen agar kerajaan membuka mata dan dengar hasrat mereka.

"Kerajaan harus memberi ruang kepada rakyat untuk menyatakan hasrat mereka bukannya menghalang kebebasan bersuara mereka, malah menggunakan pihak berkuasa untuk menyekat kempen tersebut juga satu yang tidak sewajarnya.

"Pihak Polis boleh memantau tetapi tidak menggunakan kekerasan dan kita juga tidak mahu perkara yang sebaliknya berlaku jika polis bertindak diluar batasan kemanusiaan," jelasnya lagi.

Ketika ditanya mengenai dakwaan mengatakan kempen tersebut sebagai menghina keputusan mahkamah, beliau mempersoalkan di mana tindakan tersebut dilihat menghina mahkamah.

"Kuasa keputusan adalah hak mahkamah, apa yang dilakukan adalah sebagai kempen bebas Anwar bukan memcaci keputusan yang dibuat oleh mahkamah.

"Kempen desakan perlu dilakukan dan ia sebagai isyarat bahawa kita mahukan pengadilan mahkamah kali ini berlaku dengan adil tanpa campur tangan pihak tertentu," katanya lagi.

Tambahnya lagi, secara simboliknya kempen itu bertujuan agar mahkamah yang akan memutuskan keputusan pada 9 Januari nanti dilakukan atas keadilan yang telus bukan dorongan mahupun desakan oleh pihak tertentu.

Sebelum itu sebanyak 77 laporan polis dibuat di seluruh negara hari ini meminta pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba melancarkan perhimpunan haram menerusi ‘Kempen Bebaskan Anwar 901’.

Laporan dibuat oleh Umno dan beberapa parti komponen Barisan Nasional dan juga Perkasa, Persatuan Jawa Kuala Langat, Persatuan Bugis, Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi Jugra dan Pertubuhan Perkumpulan Wanita Kuala Langat.

Mashitah cuba mengampu jadi calon?

KUALA LUMPUR, 31 Dis: Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS) mendakwa tulisan terbaru Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dalam akhbar Sinar Harian semalam sebagai "cuba mengampu" untuk jadi calon pilihan raya.

Sambil membidas tulisan yang bertajuk 'Langit Terbuka' itu, ketua DPPNS, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, ianya juga ibarat seperti pepatah Melayu “paku dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih”.

"Tulisan Dr. Mashitah adalah berdasarkan emosi dan sangkaan buruk terhadap PAS tanpa pemahaman sebenar konteks kenyataan dan ucapan yang dibuat.

"Tidak pernah YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengeluarkan ucapan yang mengkafirkan orang-orang Umno melainkan pemimpin-pemimpin Umnolah yang telah menjaja isu ‘takfir’ ini setiapkali musim pilihanraya," ujarnya merujuk tulisan Mashitah itu.

Hasbullah menjelaskan, ucapan Tuan Guru Presiden PAS hanyalah menjelaskan tentang batas-batas Iman dan kufur tetapi telah diselewengkan fakta oleh Umno menjadi isu kafir mengkafir.

Selain membidas presiden PAS dengan isu kafir mengkafir, Mashitah juga didakwa turut menghentam Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berhubung isu tragedi Bukit Kepong yang hangat diperkatakan sebelum ini.

"DPPNS merasakan tiada silapnya kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu mengenai tragedi Bukit Kepong malah ianya telah membuktikan berlakunya penyelewengan fakta di dalam sejarah Malaysia oleh Umno," tegasnya.

Malah, ujarnya sehingga kini kenyataan dan ucapan pemimpin PAS adalah berdasarkan fakta dan tidak dipengaruhi oleh emosi serta sangkaan jahat kepada pihak lain.

Keadaan sama katanya tidak berlaku kepada pemimpin-pemimpin Umno yang dilihat hanya melempar tuduhan dan fitnah berdasarkan emosi dan bukan fakta.

Sambil menasihatkan Mashitah agar melihat kemungkaran pemimpin Umno, Hasbullah berkata tulisan timbalan menteri itu sepatutnya ditujukan kepada pimpinan parti yang dianggotainya itu.

"Tutur kata pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang secara jelas menghina hukum hudud dan sunnah Nabi Muhammad sepatutnya diberi lebih perhatian oleh Al fadhilah Ustazah Dr. Mashitah daripada menghentam pemimpin pembangkang secara membuta tuli semata-mata kerana ingin mengampu dan membodek untuk menjadi calon pilihanraya.

"DPPNS menasihatkan Dr. Mashitah supaya jujur di dalam memberikan pandangan dan tulisan berdasarkan ilmu Islam yang sebenar dan bukan menjadi ‘syaitan bisu’ yang hanya pandai mengampu, membodek dan membiarkan pemimpin mereka melanggar hukum Allah Taala serta melakukan kerosakan di atas muka bumi ini," katanya.

Sepak Takraw Piala TMB : Machang Kandas Di Separuh Akhir




















Bangkit tuntut dakwa Jamil Khir pecah amanah

KUALA LUMPUR, 31 Dis: Umat Islam mesti bangkit beramai-ramai menuntut pendakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom kerana pecah amanah wang zakat, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Persoalan terbesar di sini ialah jenayah pecah amanah wang zakat apabila Jamil Khir dan dua orang lagi yang bersyubhat dengannya menggunakan wang itu untuk kos guaman kes qazaf (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

"Perbuatan pecah amanah wang zakat tidak boleh ditutup walaupun di bayar balik kerana pecah amanah telah pun berlaku," katanya.

Persoalan kedua, kata Mahfuz, ialah pembohongan Jamil Khir apabila tanpa sebarang rasa malu sedikit pun beliau membohongi rakyat dan mendakwa "mana mungkin saya hendak menggunakan duit zakat untuk tujuan guaman".

"Dakwaan Jamil Khir itu menghina Ketua Audit Negara yang membuat laporan bahawa wang zakat telah digunakan untuk membayar kos guaman tersebut.

"Menghina Ketua Audit Negara bermakna menghina Yang di-Pertuan Agong kerana Ketua Audit Negara dilantik oleh baginda," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Menurut Mahfuz, menteri itu melakukan dua kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

"Selain menghina Ketua Audit Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Jamil Khir sebelum itu telah melakukan jenayah pecah amanah wang zakat dan institusi zakat yang terlibat itu berada di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Sebagai anak Kedah, kata Mahfuz, beliau tidak mahu Sultan Kedah yang kini menjadi Yang di-Pertuan Agong tercalar imejnya kerana jenayah pecah amanah wang zakat yang dilakukan oleh menteri berkenaan dan penghinaan terhadap Ketua Audit Negara yang juga dilakukan oleh menteri berkenaan.

"Mereka yang terlibat melakukan pecah amanah wang zakat itu mestilah didakwa dan jawatan mereka hendaklah digantung sepanjang proses pendakwaan itu dan jika mereka didapati bersalah mereka mestilah dihukum selain dipecat dari jawatan mereka," tegas beliau.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mengesahkan pecah amanah wang zakat berjumlah RM63,650 dilakukan oleh Jamil Khir dan dua orang lagi yang bersyubhat dengannya bagi menghalang kes qazaf yang di failkan oleh Anwar.

Wang zakat itu disalahgunakan untuk pembayaran kepada firma guaman Zainul Rijal Talha dan Amir bagi mewakili Jamil Khir, pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain, sebagai responden.

Pimpinan PKR edar risalah liwat II dibebas polis

KUALA KRAI, 31 Dis: Ketua AMK negeri, Mohd Azihan Che Seman yang ditahan bersama tiga lagi di sekatan jalan raya di sini petang semalam kerana memilik risalah berkaitan kronologi perbicaraan liwat II dibebas polis sebentar tadi.
Mereka ditahan ketika dalam konvoi penerangan AMK yang bermula di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV sedang dalam perjalanan menuju ke Gua Musang.
Satu kumpulan lagi dikepalai Ketua Penerangan PKR Kelantan Roslan Puteh pula ditahan di Tanah Merah ketika sedang mengedar risalah tersebut di sebuah pasar kira-kira jam 3 petang semalam.
Mereka juga dibebaskan hari ini selepas dijamin pimpinan PKR cabang dan negeri setelah usaha membebaskan mereka dilakukan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Amran Abdul Ghani sejak petang semalam.
Setiausaha AMK Negeri, Tarmizi Mohd Yusof berkata, Mohd Azihan dan tiga lagi anggota AMK iaitu Abu Bakar, Sukari dan Awang dibebaskan selepas dijamin beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai.
Menurutnya, dua kumpulan tersebut melalui jalan berasingan menuju ke arah Gua Musang dalam gerak kempen bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perkembangan semasa yang berlaku sekarang.
“Ketika itu mereka sedang mengedar risalah berkaitan isu liwat II membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selain itu poster ceramah PKR di Machang 5 Januari ini,” katanya di sini.

Kata beliau tujuh anggota PKR yang ditahan di Tanah Merah dan empat di Kuala Krai dibawa ke ibu pejabat polis jajahan terbabit untuk disoal siasat mengikut seksyen 4 (b) Akta Mesin Cetak.

Tarmizi juga berkata, kesemua risalah yang dibawa mereka diterbitkan ibu pejabat parti itu dirampas pihak polis.

6 program alternatif sambut tahun baru 2012

KUALA LUMPUR, 31 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia dan beberapa buah NGO Islam telah menyediakan enam program alternatif bagi menyambut kedatangan tahun baru 2012 malam ini. 

Program-program tersebut terdiri daripada Konsert Hibur Didik, Ekspedisi Dakwah Gamis, Himpunan 1,000 Jiwa Satu Hati, Soal Jawab Agama Antara Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Raja Lawak, Malam Eksperesasi Ikim.FM dan Program Indahnya Islam. 

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, daripada enam program tersebut, salah satunya dianjurkan sepenuhnya oleh pihaknya, manakala yang lain dianjurkan oleh NGO-NGO Islam. 

Menurutnya, program yang dianjurkan sepenuhnya oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia dinamakan Konsert Hibur Didik yang akan diadakan di Dataran Greenwood, Gombak, Selangor, iaitu berdekatan dengan stesyen minyak Shell di Greenwood. 

Katanya, Konsert Hibur Didik akan menghidangkan pelbagai persembahan hiburan berunsur Islam kepada orang ramai termasuk nasyid daripada kumpulan-kumpulan nasyid, persembahan hiburan daripada beberapa orang rokers yang telah menjalani hidup secara islamik, pembacaan sajak dan puisi.

"Konsert Hibur Didik akan bermula sekitar jam 9.00 malam ini sehingga awal pagi esok atau 1.00 pagi malam ini, dengan dihadiri saya sendiri dan Exco-exco Dewan Pemuda PAS Malaysia," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini. 

Program-program lain yang tidak kurang menariknya yang diadakan oleh beberapa buah NGO Islam pula, menurutnya, termasuklah Ekspedisi Dakwah Gamis, anjuran Gamis, di Masjid Jamek, Kuala Lumpur bermula awal malam ini hingga 1.00 pagi. 

Katanya, program Himpunan 1,000 Jiwa Satu Hati akan berlangsung di Masjid Negara, Kuala Lumpur dengan jangka masa agak panjang bermula malam ini hingga tengah hari esok. 

"Satu lagi program yang menarik akan diadakan di Dataran Kemerdekaan di Shah Alam, Selangor, pada malam ini hingga jam 1.00 pagi yang dinamakan Soal Jawab Agama," jelasnya.

Program tersebut akan melibatkan pendakwah popular, Ustaz Azhar Idrus dari Terengganu dan Zizan Raja Lawak yang akan bersoal jawab mengenai pelbagai perkara termasuk yang melibatkan kehidupan muda-mudi.

Malam Eksperesasi Ikim.FM pula akan diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, anjuran radio Ikim, bermula malam ini hingga pagi esok, manakala Program Indahnya Islam akan diadakan di Masjid As-Syakirin KLCC.

Menurutnya, penganjuran program-program alternatif itu ternyata merupakan satu perkembangan baru di negara ini, khususnya bagi menyambut kedatangan tahun baru, memandangkan program-program seperti itu tidak pernah diadakan sebelum ini. 

"Sebaliknya yang sering kita dengar sebelum ini bagi menyambut tahun baru adalah program-program hiburan yang melalaikan yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab seperti konsert-konsert hiburan daripada artis-atis tertentu, pesta seks bebas, larian tanpa pakaian dan sebagainya," ujarnya kesal.

Penganjuran program-program alternatif itu, katanya, pasti akan memberikan jalan keluar kepada anak-anak muda untuk memilih program terbaik kepada mereka bagi menyambut tahun baru. 

Beliau berharap agar anak-anak muda dapat membuat pilihan yang bijak untuk berhibur bagi menyambut tahun baru dengan adanya program-program seperti itu yang disediakan untuk mereka. 

"Ini juga sebenarnya selaras dengan tag line Dewan Pemuda PAS Malaysia sendiri, iaitu "Berhibur Tanpa Maksiat" dan diharap ia akan dimanfaatkan dengan baik oleh seluruh anak-anak muda terutama yang tinggal di Lembah Klang," tegasnya. 

Sebelum ini Dewan Pemuda PAS Malaysia pernah dihujani dengan pelbagai pertanyaan mengenai program hiburan alternatif yang akan dianjurkan oleh pihaknya, setelah dewan tersebut sering mengadakan bantahan keras terhadap program-program maksiat yang merosakkan anak-anak muda yang diadakan oleh pihak-pihak tertentu.

"Dengan adanya Konsert Hibur Didik yang diadakan itu khususnya, bermakna Dewan Pemuda PAS Malaysia telah pun menjawabnya dengan menyediakan program yang terbaik untuk pilihan anak-anak muda pada malam ini," tegasnya. 

Beliau juga menegaskan telah mengarahkan Dewan-Dewan Pemuda PAS negeri-negeri mengadakan tindakan yang sama di negeri masing-masing pada malam ini, dengan menganjurkan program-program hiburan yang bersesuaian dengan jiwa anak-anak muda seperti yang digariskan di dalam Islam.

PIALA TOK GURU : Machang Bergelar Naib Johan 2011

















Pemuda sanjung kepercayaan Pakatan kepada PAS

KUALA LUMPUR, 31 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan penghargaan kepada DAP yang sudi menyokong Adun PAS sekiranya Pakatan Rakyat menang di Melaka pada Pilihanraya Umum ke-13.
“Bagi DPPM, ini merupakan suatu penghargaan dan semangat setiakawan yang tinggi ditunjukkan oleh Pakatan Rakyat,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.
DPPM, ujarnya menganggap kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka (Adun) Kawasan Bachang, Lim Jak Wong merupakan tanda keikhlasan dan kejujuran DAP dan Pakatan Rakyat dan memimpin perubahan di negara ini.
Ini, katanya bukan pula bermaksud DAP mengenepikan Parti Keadilan Rakyat sebagai rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat, sebaliknya ia adalah manifestasi kebersamaan ketiga-tiga parti ini dalam mendepani kebangkitan rakyat.
Katanya, pemimpin Pakatan Rakyat berjaya membuktikan mereka tidak tamakkan kuasa dan jawatan malah sanggup berkompromi bagi memastikan pemerintahan Pakatan Rakyat di Melaka menjadi realiti.
“Kenyataan DAP juga menunjukkan bahawa pemimpin Pakatan Rakyat berjiwa besar dan sanggup berlapang dada antara satu sama lain,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Bagi PAS pula, jelasnya sudah tentulah kenyataan itu tidak menjadikan PAS sebagai angkuh dan sombong sehingga tidak mahu menerima kehadiran rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat.
Tegasnya, PAS sentiasa menganggap PKR dan DAP sebagai rakan komponen yang bakal menggantikan kerajaan Umno BN dalam PRU ke 13.
Beliau menambah, DPPM melihat siapa menjadi Ketua Menteri Melaka akan datang bukan menjadi persoalan utama, yang lebih diutamakan adalah berjuang bagi memenangkan Pakatan Rakyat khususnya di negeri Melaka.
Menurutnya, isu siapa menjadi Ketua Menteri Melaka akan dibincangkan jika Pakatan Rakyat memperolehi mandat dalam PRU ke 13.
Katanya, DPPM percaya, PAS Melaka akan berusaha merealisasikan harapan rakyat dan Pakatan Rakyat Melaka dengan berjuang bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di Melaka mampu dijelmakan dalam Pru ke 13 nanti.
“Seterusnya pemimpin PAS Melaka mampu melahirkan kepemimpinan yang hebat dan mampu menggalas amanah kemenangan ini kelak.
“Apa yang penting, Pakatan Rakyat menjunjung tinggi demokrasi serta berusaha menegakkan sebuah kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun di negara ini dengan penuh keadilan, telus, berwibawa dan bersih,” ujarnya.

Najib sukar umum PRU 13 kerana isu dalaman Umno

TUMPAT, 30 Dis: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak belum berjaya menutup isu dan pendedahan yang berlaku dalam negara membabitkan kepimpinannya.
Beliau berkata, terlalu banyak isu dan pendedahan yang Najib sedang cuba untuk menutup dan menyelesaikan segala permasalahan berkaitan.
Justeru, katanya, disebabkan menghadapi isu-isu tertentu, maka sehingga kini Najib sukar untuk mengisytiharkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan beg sekolah bagi pelajar Sekolah Rendah 2012 dalam Parlimen Tumpat di Surau Tuk Ayah Kg Laut dan di Surau Hidayah Pulau Seratus, dekat sini semalam.
Sumbangan kewangan dan beg sekolah turut diberikan kepada 50 pelajar termasuk yang berjaya mendapat 5A dalam UPSR tahun 2011, anak yatim dan pelajar miskin.
Ahli Parlimen Tumpat itu berkata, pendedahan demi pendedahan dapat diikuti hari ini walaupun ian datang daripada sumber-sumber belum dipastikan.
“Tetapi daripada maklumat-maklumat itu sudah tentu daripada pihak atau pun orang-orang dalaman termasuk kes bagaimana Timbalan Menteri Kewangan menerima kemasukan wang yang banyak ke dalam akaun bank peribadinya tiap-tiap bulan.
Beliau turut mengulas pembabitan keluarga Perdana Menteri dan mantan Perdana Menteri yang lalu dalam perniagaan, yang bukan saja berlaku semasa kepimpinan Abdullah Badawi, tetapi juga Dr Mahathir.
“Begitu juga nampaknya dengan Datuk Najib di mana baru-baru ini anaknya terbabit dalam pembelian syarikat awam dan apabila dibangkitkan, isu itu ‘diredakan’.
“Jadi ini bukan saja ciri Datuk Najib tetapi ciri pemimpin-pemimpin Umno yang ada,” katanya.

Ayuh Aspirasi bergabung, jangan jadi orang suruhan

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) diajak berjuang untuk menghapuskan Akta niversiti dan Kolej Universiti (Auku).
Demikian gesaan Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor yang melihat Aspirasi akhir-akhir ini semakin lantang bersuara dengan mempamerkan diri sebagai kumpulan penyokong Umno.
Baginya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat semakin terdesak yang mana kekuatan kepada jentera Pemuda Umno sudah terhakis dengan adegan-adegan kurang matang ahli Umno.
Beliau berkata, politik ludah dan politik lucah hanya semata-mata peluru mereka, ketajaman para pemuda dalam Umno sudah tumpul, mereka tidak lagi menjadi harapan Umno.
Maka, katanya Aspirasi penjuru terakhir untuk menarik golongan anak muda.
"Saya kira Aspirasi seolah-olah 'lembu ditarik hidungnya', sangat jelik apabila mereka menganjurkan demonstrasi untuk membantah demonstrasi.
“Jika benar kalian perjuangkan keamanan dan keadilan, ayuh bersama-sama kita berjuang mansuhkan Auku, hapuskan akta-akta 'rimba', jangan jadi orang suruhan," ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau juga mencabar pengerusi Aspirasi untuk mengemukakan hujah bernas berteraskan ilmu, apakah kesalahan Adam Adli kerana mereka mengecam pula himpunan membebaskan mahasiswa UPSI itu.
Justeru, katanya jangan memberi hujah 'atas angin' kerana tiada dalam mana-mana peraturan mengatakan bahawa menurunkan bendera (gambar PM) dengan sengaja adalah bersalah.
“Jika mahu bercakap soal adab dan akhlak, saya minta anda semua turun ke medan lapangan mahasiswa dan anak muda. Di sana masih ramai dahagakan adab dan akhlak daripada anda.
“Paling penting, lihat ahli anda dahulu, apakah mereka sudah cukup beradab dan berakhlak dalam agama.
“Mahasiswa bawahan sangat perlukan tunjuk ajar untuk mendayung sampan di laut, bukan doktrin Umno anda!" katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru Aspirasi supaya berubah.
"Ayuh Aspirasi, sudah tiba anda berubah. Jika benarlah perjuangan anda adalah menuntut keadilan dan keamanan, bukan kerana Umno.
“Saya menyeru kalian semua untuk bersama-sama Gamis, PKPIM, Kami, Dema, LMP dan sebagainya dalam satu solidariti yang kukuh, bebas daripada mana-mana anasir parti. Turun bersama menyokong kebebasan Adam Adli, bukan mengampu pihak atasan," ujarnya.
Tegasnya lagi, sudah sampai masanya untuk anak muda berada dalam satu kumpulan yang kukuh, memahami tuntutan mereka terhadap negara dan menjadi golongan third force dalam menyemak dan imbang pentadbiran negara Malaysia, bukan menjadi kuda tunggangan pihak-pihak tertentu.

Thursday, December 29, 2011

Pemimpin PAS berjiwa besar, junjung ukhwah

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) mengucapkan terima kasih dan penghargaan setingginya kepada pucuk pimpinan PAS yang berjaya menyelesaikan kemelut dalaman secara penuh ukhwah dan semangat persaudaraan melalui pertemuan khusus yang diadakan semalam.

“DPP Malaysia merasa terharu kerana pimpinan PAS bingkas menyelesaikan segala konflik dan kemelut dalaman yang membelenggu PAS beberapa minggu ini dengan penuh sifat tawadduk dan merendah diri,” kata naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss.

Katanya, pertemuan dan penyelesaian penuh bermakna antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Dr Hassan Ali dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa pastinya akan menjernihkan keadaan dan memadamkan fitnah yang selama ini membakar dan meliar di dalam gerakan Islam itu.

Menurutnya, masyarakat khususnya yang beragama Islam melihat bahawa PAS mampu menjadi contoh kepada semua parti politik bagaimana pengurusan konflik boleh diselesaikan dengan baik dan mudah tanpa persengketaan yang panjang.

Katanya, meskipun terdapat perbezaan pandangan dan pendapat dalam beberapa perkara, akhirnya ia mampu diselesaikan di meja rundingan dalam pertemuan penuh mahabbah.

Tambahnya lagi, ternyata segala tohmahan liar segelintir golongan bahawa kemelut dalaman PAS tidak akan berkesudahan adalah suatu tuduhan tidak berasas.

PAS, ujarnya membuktikan masih menjunjung tinggi nilai ukhwah, perpaduan dan persaudaraan yang bertunjangkan kepada akidah perjuangan Islam.

“Nilai ini terus bertahan dan tidak akan luput sejak ia ditubuhkan dan selama mana hayat PAS di persada tanah air ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, DPP Malaysia percaya penyelesaian baik yang ditunjukkan antara pimpinan PAS membuktikan kepemimpinan PAS berjiwa besar dan sanggup berlapang dada bagi menyelesaikan permasalahan mereka secara baik.

PAS juga, katanya dilihat mampu menjadi pengganti Umno BN yang sudah semakin mereput menanti ajal.
“Insya Allah, keteladanan yang terpuji oleh kepemimpinan tertinggi PAS mampu menjadi bekal buat semua ahli dan pendokong PAS bekerja bersungguh-sungguh  bagi memastikan kemenangan dalam PRU ke-13,” katanya lagi.

Wacana Perdana

Mana suara mufti zakat biayai guaman menteri

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta para ulama dan Mufti di negara ini bersuara dengan memberikan pandangan terhadap isu penggunaan duit zakat untuk tujuan membayar kos guaman Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata pandangan segera para ulama dan Mufti penting bagi mengelakkan timbulnya pelbagai persepsi negatif dari umat Islam di negara ini terhadap institusi zakat dan pemimpin yang berkuasa menjaga institusi tersebut.

Katanya, isu sama ada duit tersebut telah dikembalikan tidak timbul kerana persoalan pokok yang perlu dijawab adalah bolehkah duit zakat digunakan untuk kepentingan peribadi pemimpin.

"Sebagai pemimpin yang berkuasa dalam urusan hal ehwal umat Islam di negara ini, sepatutnya beliau memegang amanah ini sebaiknya.

"Wang zakat perlu diuruskan dengan betul dan disalurkan ke tempat yang sewajarnya. Wang zakat tidak boleh sewenang-wenangnya dikeluarkan selain dari urusan yang selayaknya," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, tindakan Datuk Seri Jamil Khir mengeluarkan wang zakat bagi membiayai kos guaman beliau dan orang bawahannya amat dikesali seluruh umat Islam yang membayar zakat di negara ini, khususnya di Wilayah Persekutuan.

Tindakan tersebut ujarnya, boleh menimbulkan prejudis dikalangan umat Islam dengan persoalan adakah wang zakat disalurkan ke tempat yang sepatutnya ataupun ianya digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu.

"DPPWP mengharapkan agar para ulama dan Mufti di negara ini bersuara dengan menyatakan pandangan mereka.

"Sekiranya tindakan ini salah dan melanggari syariat Islam, teguran secara terbuka perlu dibuat terhadap Datuk Seri Jamil Khir dengan ingatan dan amaran keras," ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, kemungkaran yang dilakukan perlu dicegah terutama melibatkan pemimpin besar negara kerana mereka perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat.

Selain itu, Datuk Seri Jamil Khir juga jelasnya perlu memohon maaf atas tindakan beliau dan menyerahkan kepada pihak polis atau yang berkaitan untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut.

"Beliau perlu bersedia menghadapi sebarang tindakan dan hukuman jika terbukti jelas telah melakukan kesalahan," tegasnya.

Final Piala YAB Tok Guru

Tekanan kepada mahasiswa atas kehendak Umno

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim(gambar) menggesa kerajaan menghentikan semua bentuk tekanan terhadap mahasiswa.
Ini, katanya kerana jelas ia merupakan kehendak politik pimpinan Umno yang terdesak.
“Saya juga mengulangi tekad dan komitmen Pakatan Rakyat untuk memansuhkan Auku serta memberi penumpuan kepada usaha mengangkat mutu pendidikan yang berteraskan prinsip kebebasan akademik, pencerahan dan pemerkasaan intelektual.
“Saya meneliti secara serius perkembangan mutakhir gerakan kebebasan akademik yang dipimpin oleh kelompok mahasiswa yang kini berdepan dengan pelbagai tekanan politik Umno,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, tatkala kesedaran menuntut kebebasan di kalangan mahasiswa mulai berkembang dan matang, pimpinan Umno semakin gusar dan resah dalam menghadapi asakan itu serta bertindak melulu dengan menzahirkan ancaman fizikal bersifat biadab dan semberono.
Katanya, komitmen pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, kononnya mahu meminda Seksyen 15, Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) dan memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa dalam politik kepartian kini dilihat tidak lebih sekadar omong kosong.
Menurutnya, perkembangan membabitkan Adam Adli, mahasiswa dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang kini berdepan dengan tindakan di bawah Auku sememangnya menzahirkan ketakutan Umno terhadap gelombang kebangkitan mahasiswa.
Tambah beliau, tindakan sama turut dilihat dalam beberapa kes terdahulu dengan tindakan keras oleh pihak universiti termasuk risiko dibuang kampus.

“Insiden remeh di depan ibu pejabat Umno di PWTC yang dikaitkan dengan tuntutan mahasiswa tempoh hari diangkat oleh media milik Umno seolah-olah ianya jenayah besar walhal isu-isu yang berkait dengan fitnah, ugutan bunuh, jenayah dan rasuah seringkali diketepikan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Beliau berkata, tindakan menghukum dengan menggunakan peruntukan Auku terhadap mahasiswa selepas insiden tersebut jelas bertujuan untuk menakut-nakut dan sebagai langkah untuk mengendurkan semangat serta iltizam mahasiswa.

Umno belum mampu bina kekuatan di Kemahang

TANAH MERAH, 28 Dis: Biar pun Felda Kemahang 2 dan 3 merupakan kubu tradisi Umno, namun PAS mampu bertapak di situ pada pilihan raya umum lalu.
Sebahagian peneroka meninggalkan Umno kerana kecewa dengan pihak pengurusan Felda sehingga mereka membawa kes ke mahkamah.
Sebelum itu seramai 354 peneroka Felda Kemahang 3 menyaman Felda berhubung dakwaan menipu gred buah kelapa sawit.
Selepas bertahun-tahun menunggu akhirnya Mahkamah Persekutuan mengarahkan Felda membayar RM11 juta.
Usaha mengetengahkan kes tersebut turut mendapat sokongan pemimpin PAS sehingga akhirnya mereka menang saman.
Setiausaha Majlis Tindakan Dun Kemahang, Jusoh Ismail berkata, biar pun ada cakap-cakap segelintir peneroka terbabit mahu kembali semula ke pangkuan Umno kerana tidak puas hati jumlah pampasan diterima, namun belum ada yang berbuat demikian.
”Belum ada ahli atau penyokong PAS di di Kemahang 3 menyertai Umno sebagaimana didakwa media massa baru-baru ini.
“Sebaliknya apa yang berlaku tidak lebih sekadar gimik segelintir peneroka dengan meluah perasaan pada satu majlis dihadiri Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad di Felda Kemahang 3 baru-baru ini,” katanya di sini.
Menurutnya rasa tidak puas hati hanya berlaku sesama peneroka berkaitan pembahagian jumlah pampasan selepas mereka menang dalam kes saman Felda sebelum ini.
Katanya, masalah itu terbawa-bawa sehingga ada peneroka tidak puas hati dan hadir pada program penyampaian bonus yang dihadiri Isa di Kemahang 3.
Baru-baru ini Ketua PAS Cawangan Felda Kemahang 3, Mohd Ramli Deramin dilaporkan meletak jawatan kerana hilang keyakinan terhadap parti itu.
Menurutnya sebahagian daripada 304 peneroka yang menyertai PAS sebelum ini akan mengikut jejak langkahnya.
Jusoh yang juga penghulu Mukim Kemahang berkata, ada peneroka meluahkan rasa kecewa ketika Isa Samad datang, kemudian digambarkan media seolah-olah mereka mahu menyertai Umno.
“Peneroka terbabit ada menemui saya selepas majlis tersebut dan menjelaskan perkara sebenar yang tidak lebih sebagai gimik semata-mata,” katanya.