Wednesday, December 28, 2011

Pulau Pinang ada 1500 anggota PPS

KEPALA BATAS, 27 Dis: Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang bertekad menjalankan tugasan dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab bersama pasukan polis serta penduduk tempatan untuk membantu mengurangkan kadar jenayah yang semakin meningkat.
(Seorang anggota PPS menerima walkie talkie dari Ketua Menteri tanda pengiktirafan kepada tugas mereka)
Baru-baru ini keseluruhan 71 pasukan berbanding 31 pasukan tahun lalu diberikan walkie talkie dan vest PPS oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng bertempat di Dewan Endon, Pusat Budi Penyayang, Kepala Batas sempena
kunjungan beliau ke majlis penyampaian wang RM1,000 kepada waris warga emas peringkat Seberang Perai Utara.

Adanya alat komunikasi segala tugasan menjaga keselamatan lebih terjamin serta membolehkan pengawasan terhadap petugas PPS dapat diseliakan dengan lebih cepat dan cekap.

PPS mula ditubuhkan 17 September 2011 yang lalu menunjukan perkembangan yang positif apabila berjaya menambah bilangan kepada 1500 ahli yang berdaftar bagi kesemua Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di Pulau Pinang.

Anuar Rejab yang bertugas di kawasan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Dua berkata, kewujudan PPS memang di nanti-nantikan oleh mereka yang prihatin terhadap masalah gejala moral dan jenayah.

Ramai masyarakat menyifatkan, penubuhan dan keaktifan PPS kena pada tempatnya sesuai dengan mengwujudkan persekitaran kejiranan yang ceria, selamat dan bersatu padu.

"Ramai yang menanti kemunculan PPS di kampung-kampung atau di mana sahaja kerana ia mampu berkawal bersama polis dan orang kampung untuk tangani jenayah yang semakin parah, " tegasnya.

Sankaran dari Kampung Perlis, Butterworth menambah, PPS yang diamanahkan mengawal persekitaran kena memikul tanggungjawab dengan penuh minat jangan 'main-main' atau melakukan sambil lewa.

Beliau bimbang sikap lewa akan mencetuskan anggapan yang salah maklumlah ianya datang dari program Kerajaan Pakatan Rakyat .

"Keyakinan penduduk tempatan terhadap PPS amat tinggi maka mereka yang memakai baju PPS berwarna ungu mesti cergas melaksanakan tugasan bila dikehendaki, " katanya.

Sementara itu rakannya Neoh Eng Seng dari Taman Dedap, Sungai Puyu merasa sungguh seronok bila memakai vest PPS kerana bila mengenakan pakaian itu di tubuh dapat rasakan peningkatan semangat yang membuak-buak.

No comments: