TANAH MERAH, 28 Dis: Biar pun Felda Kemahang 2 dan 3 merupakan kubu tradisi Umno, namun PAS mampu bertapak di situ pada pilihan raya umum lalu.
Sebahagian peneroka meninggalkan Umno kerana kecewa dengan pihak pengurusan Felda sehingga mereka membawa kes ke mahkamah.
Sebelum itu seramai 354 peneroka Felda Kemahang 3 menyaman Felda berhubung dakwaan menipu gred buah kelapa sawit.
Selepas bertahun-tahun menunggu akhirnya Mahkamah Persekutuan mengarahkan Felda membayar RM11 juta.
Usaha mengetengahkan kes tersebut turut mendapat sokongan pemimpin PAS sehingga akhirnya mereka menang saman.
Setiausaha Majlis Tindakan Dun Kemahang, Jusoh Ismail berkata, biar pun ada cakap-cakap segelintir peneroka terbabit mahu kembali semula ke pangkuan Umno kerana tidak puas hati jumlah pampasan diterima, namun belum ada yang berbuat demikian.
”Belum ada ahli atau penyokong PAS di di Kemahang 3 menyertai Umno sebagaimana didakwa media massa baru-baru ini.
“Sebaliknya apa yang berlaku tidak lebih sekadar gimik segelintir peneroka dengan meluah perasaan pada satu majlis dihadiri Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad di Felda Kemahang 3 baru-baru ini,” katanya di sini.
Menurutnya rasa tidak puas hati hanya berlaku sesama peneroka berkaitan pembahagian jumlah pampasan selepas mereka menang dalam kes saman Felda sebelum ini.
Katanya, masalah itu terbawa-bawa sehingga ada peneroka tidak puas hati dan hadir pada program penyampaian bonus yang dihadiri Isa di Kemahang 3.
Baru-baru ini Ketua PAS Cawangan Felda Kemahang 3, Mohd Ramli Deramin dilaporkan meletak jawatan kerana hilang keyakinan terhadap parti itu.
Menurutnya sebahagian daripada 304 peneroka yang menyertai PAS sebelum ini akan mengikut jejak langkahnya.
Jusoh yang juga penghulu Mukim Kemahang berkata, ada peneroka meluahkan rasa kecewa ketika Isa Samad datang, kemudian digambarkan media seolah-olah mereka mahu menyertai Umno.
“Peneroka terbabit ada menemui saya selepas majlis tersebut dan menjelaskan perkara sebenar yang tidak lebih sebagai gimik semata-mata,” katanya.
No comments:
Post a Comment