Sunday, October 10, 2010

Himpunan Jentera Pemuda N45 Galas

GUA MUSANG, 10 Okt: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa meminta supaya pemuda PAS dan Pakatan Rakyat tidak terpengaruh dengan provokasi Umno serta menunjukkan contoh akhlak yang baik dalam pilihan raya kecil Dun Galas.

"Kita masuk pilihan raya kecil Dun Galas bukan kerana kematian Chek Hashim (semata-mata) tetapi sebagai tanggungjawab dakwah dan jihad kita," katanya ketika merasmikan pelancaran jentera pemuda PAS di Markaz PAS Kawasan Gua Musang, petang semalam.

Sambil bekerja untuk menang dalam pilihan raya tersebut, katanya pemuda PAS juga diseru supaya menunjukkan akhlak yang baik kepada masyarakat setempat termasuk ahli-ahli BN dan Umno.

Katanya, Pemuda PAS juga mesti mengambil peluang mengimarahkan surau-surau dan masjid-masjid dengan program-program ibadah.

Badrul Hisham yang mewakili Angkatan Muda Keadilan pula mengingatkan kepada Pemuda Umno supaya tidak melakukan provokasi seperti mana di dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

"Saya mengingatkan pemuda-pemuda Umno, ini bukan Bagan Pinang, ini adalah negeri Kelantan," tegasnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan.

Beliau turut menyatakan kesediaan Angkatan Muda Keadilan Rakyat bersama-sama PAS menggalas tanggungjawab di Dun Galas kali ini.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan pula menyeru setiap pemuda PAS mesti bersedia dari segi kekuatan fizikal, mental, dan spritual bagi menghadapi musuh dalam pilihan raya kali ini.

Nasrudin turut mensasarkan sekurang-kurangnya 5,000 pemuda akan turun ke Dun Galas.






Plilihan raya kecil ke 13 di Batu Sapi

KOTA KINABALU, 9 Okt: Pilihan raya kecil yang ke 13 akan diadakan di negara ini selepas 2008 apabila anggota Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

Beliau meninggal apabila motosikal Kawasaki 750 yang beliau tunggangi berlanggar dengan sebuah kereta Mercedes di jalan Sembulan-Tanjung Aru dekat Kota Kinabalu jam 11.40 pagi tadi.

Chong mula memenangi kawasan itu dalam pilihan raya umum 2004 tanpa bertanding dan menang lagi dalam pilihan raya umum 2008 selepas mengalahkan calon bebas, Chung Kwong Wing.

Chong mendapat 9,479 undi berbanding dengan Chung yang mendapat 5,771 undi.

Chong lahir di Sandakan dan merupakan seorang jurutera mekanikal. Beliau meninggalkan isteri Linda Tsen Thau Lin dan empat anak.

Kejohanan Tenpin Boling Belia & NGO Negeri Kelantan