Sunday, September 27, 2009

PEMUDA PAKATAN LANCAR JENTERA DI BAGAN PINANG

Pemuda Pakatan Rakyat (PR) memulakan paluan gendang perang pilihan raya lebih awal dari jentera Barisan Nasional (BN) dengen melancarkan jentera pemuda Pajatan Rakyat di kampung Bagan Pinang dekat sini petang semalam, 26 September.

Ketiga-tiga ketua sayap pemuda parti komponen PR hadir dalam majlis perasmian dan pelancaran jentera serta pejabat gerak-gempur bersepadu pemuda parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan at-Tantawi menyeru semua pemuda supaya turun beramai-ramai dan bekerja dengan optimis, tanpa bersikap terlalu yakin (over confident) dalam pilihan raya kecil ini selepas kemenangan demi kemenangan sebelum ini.

Manakala Ketua DAPSY, Anthony Loke Siew Fook, melahirkan keyakinan pengundi-pengundi Cina di Bagan Pinang akan memilih calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

Turut berucap adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar, yang menggesa supaya pemuda Pakatan Rakyat bergerak pantas tanpa membuang masa untuk menjalankan gerak kerja kempen bagi mengalahkan Umno dan BN di kubu mereka ini.

Ketiga-tiga mereka juga menyeru semua pemuda Pakatan agar turun beramai-ramai ke sana terutama di hari penamaan calon 3 Oktober ini bagi memberikan sokongan moral kepada calon Pakatan dari PAS itu.

Pilihanraya kecil ini akan diadakan 11 Oktober ini selepas kematian Adun BN baru-baru ini.

Pakatan telah menyerahkan kepada PAS untuk meletakkan calon bagi pihak gabungan tiga parti itu dalam pilihanraya kecil ini selepas calon PAS bertanding dalam pilihan raya lalu.

30 peratus pengundi di sini adalah India dan Cina yang dijangka akan memihak kepada Pakatan manakala 30 peratus lagi pengundi pos yang bakal dikawal BN.

Perebutan kini adalah terhadap 40 peratus pengundi Melayu yang bakal menentu Pakatan atau BN yang akan menang dalam pilihan raya kecil ini.