Thursday, July 12, 2012

Ceramah : 18hb Julai 2012

PAS kepada Ikhwan: Kemenangan beri inspirasi kepada semua

(Rombongan Presiden PAS bertemu Dr Mehdi Akif, mantan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin di rumahnya)

KAHERAH: Kemenangan pergerakan Islam Ikhwan Muslimin di Mesir memberi inspirasi bukan sahaja kepada PAS, malah seluruh parti Islam di seluruh dunia.
Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kemenangan ini juga penting kepada politik Islam memandangkan Mesir merupakan sebuah negara yang terlibat dalam percaturan kuasa-kuasa besar politik dunia.

"Kedatangan ini satu penghargaan kepada gerakan Islam di Mesir khususnya Ikhwan atas kemenangan yang dicapai.

“Kemenangan ini tidak sama dengan kemenangan gerakan Islam di tempat lain kerana faktor georafinya, politiknya, jumlah kependudukannya yang ramai dan kebergantungan kuasa barat terhadapnya,” katanya.

Perkara itu dinyatakan beliau dalam pertemuan dengan mantan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Dr Mehdi Akif di kediamannya di sini semalam.

(Dr Mehdi Akif bercakap intim dengan Ustaz Abdul Hadi dan Dr Syed Azman)

Selain menyampaikan penghargaan dari PAS, pertemuan itu juga bagi mendapat gambaran sebenar perkembangan di Mesir khususnya terhadap laporan media yang menggambarkan sedang berlaku pertembungan antara Mohamed Mursi dengan tentera.

Turut serta dalam pertemuan itu, Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi selaku Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat serta wakil rombongan Kerajaan Negeri Kelantan yang diketuai Speaker Dun Kelantan Datuk Nassruddin Daud.

Dalam pada itu, Mehdi Akif berpendapat, kemenangan gerakan Islam di Mesir termasuk Presiden Dr Mohamed Mursi merupakan perancangan dan kekuasaan Allah SWT.

Katanya, jika dilihat dari segi logik, memang sangat sukar untuk gerakan Islam Mesir termasuk Mohamed Mursi untuk menang dalam keadaan tekanan dan perancangan jahat dari pihak musuh.

“Apa yang berlaku adalah ketentuan Allah yang melangkau semua perancangan pihak-pihak yang tidak mahu gerakan Islam menang di Mesir.

“Tiga bulan sebelum pilihan raya presiden, media masa serang Ikhwan sama ada dalam mesir dan luar. Maknanya kalau melihat kepada keadaan, dari segi logiknya memang sukar untuk Ikhwan dan parti Islam menang pilihan raya,” katanya.

Mengulas laporan media tentang perkembangan semasa Mesir, Mehdi Akif berkata keadaan sebenar yang berlaku tidak seteruk  apa yang dilaporkan.

Sebaliknya, pentadbiran Mohamed Mursi sangat menghormati institusi di bawah kerajaan termasuk tentera, kehakiman dan perlembagaan negara.

Sementara itu, pertemuan hari ini adalah bersempena lawatan rasmi Presiden PAS ke sini selepas Ikhwan berjaya mencapai kemenangan dalam pilihan raya lalu.

Bertemu pelajar



Selain bertemu pimpinan Hamas dan Ihkwan, Tuan Guru Abdul Hadi malam tadi turut dijemput ke program dialog bersama mahasiswa Malaysia di sini.

(Antara pelajar Malaysia di Mesir yang mendengar ucapan pemimpin PAS)

Hampir 3,000 mahasiswa dari seluruh Mesir hadir dalam pertemuan itu yang disifatkan jarang-jarang berlaku.

Malah himpunan mereka semalam juga berjaya mengutip sumbangan lebih RM8,000 yang diserahkan kepada Presiden PAS untuk membantu dana pilihan raya.

Bajet SPR RM405 juta tidak masuk akal


KUALA LUMPUR: Pertambahan bajet sebanyak RM360 juta untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di dalam peruntukan  Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2012) disifatkan tidak masuk akal,  tegas Ahli Dewan Negara Pakatan Rakyat.

Senator Dr Syed Husin Ali berkata, kos tambahan untuk pilihan raya hampir setengah billion yang diluluskan merupakan kos yang paling tinggi setakat ini.

Katanya, bajet awal yang dikemukakan sebelum ini adalah RM45 juta kemudian ditambah sebanyak RM360 juta bagi persediaan dan pengendalian pilihan raya umum nanti.

"Jadi peruntukan ini sebanyak RM405 juta.Tidak masuk akal! Jumlah yang besar tetapi belum tentu memberi jaminan pilihan raya yang adil dan bersih," katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

Katanya, persediaan yang baik salah satu perkara utama untuk memastikan pilihan raya berjalan dengan licin dan diterima rakyat khususnya daftar pemilih.

"Banyak persoalan yang telah ditimbulkan dalam soal ini dan saya rasa kita tidak boleh mengenepikannya umpamanya sindrom menafikan.

"Kita mahu bila berlaku pilihan raya, rakyat betul-betul percaya akhirnya dunia menghormati keputusan itu, " katanya yang turut membangkitkan perkara ini dalam perbahasan Perbekalan Tambahan semalam.


Tarikh PRU


Sementara itu, Senator Muhamad Yusof Husin (gambar) menegaskan satu peraturan dibuat agar tarikh pilihan raya hendaklah diadakan setelah genap lima tahun dan tarikhnya diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum Mesyuarat Pertama Parlimen ke-13.

"Pengumuman itu agar semua rakyat Malaysia tahu bila tarikh pilihan raya umum berikutnya diadakan di samping memudahkan rakyat mengatur program mereka supaya tidak bertindih dengan tarikh berkenaan," katanya.

Beliau berpendapat mandat lengkap lima tahun parlimen adalah idea yang baik cuma tarikh PRU diadakan perlu disesuaikan juga supaya tidak jatuh pada bulan Ramadan atau musim haji.

Beliau juga mempersoalkan jika ada negeri-negeri yang mengambil sikap untuk mengadakan pilihan raya umum pada waktu berasingan, tidakkah SPR terpaksa berbelanja lebih besar?

Yusof yang juga membangkitkan perkara ini di dalam ucapan penangguhan semalam meminta kerajaan memberikan perhatian serius dalam perkara ini kerana amalan merahsiakan tarikh PRU tidak berlaku di lain-lain negara kecuali Malaysia.

Turut bersama dalam sidang media itu, Senator Khairiah Mohamed, Senator Dr Ariffin Omar, dan Senator Syed Shahir Syed Mohamud.

Sebelum ini,  Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, perbelanjaan sebanyak RM360 juta yang diperuntukkan kepada SPR adalah bagi menampung keperluan persediaan serta pengendalian Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka berlangsung tahun ini.

DAP90: Transformasi bodoh ke berlagak cerdik


KUALA LUMPUR: Program transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya sekadar berjaya mentransformasikan orang bodoh berlagak cerdik, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

Merujuk kepada tindakan dua orang yang mendakwa sebagai professor yang mengulas berita bohong Utusan Malaysia kononnya DAP akan bertanding 90 kerusi dalam pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, selain dari mentransformasi orang bodoh sehingga boleh berlagak seolah-olah cerdik, tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan dari apa yang didakwa sebagai program-program transformasi Najib.

"Kalau kita baca blog Datuk (Mohd) Ariff Sabri (Abdul Aziz) umpamanya (sakmongkol.blogspot.com), kita akan dapat membaca begitu banyak hujah yang kukuh bahawa tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan dalam apa yang didakwa sebagai program-program transformasi Najib.

"Sebab itu saya kata satu-satunya kejayaan program-program transformasi Najib itu ialah mentransformasi orang bodoh sehingga boleh berlagak seolah-olah cerdik," kata Mahfuz.

Menceritakan lebih lanjut apa yang dimaksudkannya itu, beliau memberitahu, pada malam selepas Utusan menyiarkan berita tersebut, sebuah stesen televisyen menyiarkan ulasan dan komen dua orang yang mendakwa diri mereka professor dan mewakili Majlis Professor Negara.

"Kedua-dua mereka beria-ia dan bersungguh-sungguh mengulas berita bohong itu untuk menunjukkan kepada rakyat betapa tidak ada akalnya mereka sehingga sanggup berhempas pulas memerah otak untuk memutar-mutar cerita bagi untuk memanjang-manjangkan berita politik najis itu.

"Saya yakin, orang yang ada akal tentu malu habis-habisan untuk memanjang-manjangkan berita seperti itu," kata Mahfuz.

Beliau menyifatkan dua orang yang mendakwa diri mereka sebagai professor itu lebih kurang dengan pelajar-pelajar buta huruf dalam kelas Cikgu Ros anak Pendekar Mustar dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Mahfuz juga tertanya-tanya, di manakah keimanan mereka sebagai seorang Islam apabila sanggup memanjang-manjangkan berita bohong seperti.
Bubar Majlis Profesor

Mengenai dakwaan bahawa mereka mewakili Majlis Professor Negara, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, majlis tersebut mesti dibubarkan.

"Sebelum ini ada seseorang yang juga mengaku mewakili majlis itu mendakwa bahawa negara ini tidak pernah dijajah.

"Terbaru, dua orang itu mempamerkan kebodohan mereka kepada seluruh negara mengulas berita bohong.

"Bubarkanlah sahaja Majlis Professor Negara itu kerana ia memalukan ahli-ahli akademik dan institusi pendidikan negara," tegas Mahfuz.

SAMM seru anak muda sertai Himpunan Oren


KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sangat komited untuk bersama dalam Himpunan Oren yang akan berlangsung pada 14 Julai ini sambil menyeru kepada semua anak muda untuk turun berhimpun demi menyelamatkan saki-baki khazanah negara sebelum terlambat.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, Himpunan Oren dijangka mendapat sambutan yang besar kerana rakyat terutamanya golongan muda harus bertindak melakukan sesuatu mempertahankan hak negara ini daripada dirompak oleh lanun berkolar putih.

Katanya, SAMM juga melalui Segmentasi Peneroka dan Luar Bandar telah masuk ke beberapa gugusan Felda termasuklah pertemuan di Gugusan Felda Palong baru-baru ini untuk pencerahan Himpunan Oren dan juga mobilisasi massa.

Bagi SAMM, ujarnya penyenaraian FGVH seumpama memperjudikan nasib peneroka Felda yang sudah berpuluh tahun berbakti kepada negara.

Menurutnya, menyenaraikan FGVH adalah satu perjudian yang harus dielak dan ditentang kerana tiada jaminan keuntungan yang berkekalan malah peneroka Felda terdedah kepada risiko kerugian melampau sepertimana yang pernah berlaku pada tahun 1998 yang lalu.

“Kerajaan kononnya memberi jaminan adalah penipuan semata-mata merujuk kepada banyak amanah saham yang sebelumnya dijamin kerajaan tetapi lingkup menyembah bumi dan nasib pemegang saham langsung tidak dibela,” ujarnya.

Beliau berkata, SAMM melihat tidak mustahil tanah Felda akan tergadai melalui penyenaraian FGVH dan ia akan melibatkan ratusan ribu hektar tanah rezab melayu.

SAMM juga, ujarnya turut mempersoal laporan yang menunjukkan Pengerusi Felda yang tidak mempunyai walau seinci pun tanah Felda yang dibangunkan, namun memperolehi 180 ribu unit saham sedangkan peneroka yang berpuluh tahun membanting tulang hanya dikurnia 800 unit saham sahaja.

Ini, ujarnya satu pengagihan tidak adil yang melampau dan harus ditentang habis-habisan.

“Ayuh anak muda Malaysia bersama SAMM berarak dari Masjid Wilayah di Jalan Duta ke Istana Negara untuk memberi tekanan dan signal yang jelas kepada kerajaan betapa rakyat terutamanya warga Felda menolak penyenaraian FGVH,” ujarnya.

Umno terdesak upah bloggers burukkan PAS Mohd Nor Yah


KOTA BHARU: PAS Kelantan menyifatkan Umno terlalu terdesak sehingga sanggup mengupah bloggers menyebarkan fitnah terhadap Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui gambar super impose.

Selain itu Umno juga menggunakan sepenuhnya ruang melalui akhbar harian yang dimiliki untuk memaparkan setiap berita negatif mengenai Kelantan, biar pun dalam banyak keadaan tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan (gambar) berkata, Umno kini menggunakan sepenuhnya ruang media baru bagi memburukkan PAS dan Pakatan Rakyat tanpa menghiraukan soal moral dan maruah.

“Kami amat kesal terhadap tindakan bloggers Umno yang semakin ganas sehingga cuba memaparkan gambar Menteri Besar di luar normal akar yang waras.

“Ini secara jelas menggambarkan mereka tidak menghiraukan langsung soal dosa dan pahala. Mereka mahu mempersendakan seorang ulama yang diiktiraf di peringkat dunia,” katanya di sini.

Kebelakangan ini kerap dipaparkan melalui blog yang dimiliki penyokong Umno bagi memburukkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan melakukan super impose.

Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, sebagai seorang Islam mereka seharusnya sedar fitnah tersebut akan menjadi senjata makan diri sendiri.

“Setiap wartawan perlu ingat apa pun berita atau penulisan dibuat akan dipersoalkan di akhirat nanti,” katanya.

Sementara itu beliau juga menafikan kononnya artis yang menyertai program anjuran PAS menuntut bayaran.

“PAS sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Artis yang menyertai PAS tentunya faham kedudukan tersebut. Mereka datang dengan kehendak sendiri selepas memahami perjuangan Islam ada kelebihannya,” ujar beliau.

Kalau jadi PM, janganlah jadi kontraktor pula


Isu kontrak LRT Ampang sekarang menjadi isu besar terakhir apabila Najib sekali lagi dikaitkan dengan George Kent Lion Pacific JV yang mendapatkan kontrak itu walaupun pada asalnya syarikat sahabat golf Najib ini tidak layak untuk mendapatkannya. Syarikat Balfour Beatty-Invensys Consortium yang sepatutnya mendapatkan kerja ini dengan harga RM1.1 billion telah dinafikan peluang untuk melaksanakan projek itu walaupun pada Januari lepas syarikat ini dikatakan telah memenangi tender untuk perlaksanaan projek infrastruktur raksasa ini.
Tetapi pada 1hb Jun yang lepas syarikat George Kent telah diberikan kerja untuk projek ini dan harganya telah melambung menjadi RM1.8 billion setelah Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah mengubah keputusan pihak berwajib dan memberikan kontrak itu kepada George Kent, syarikat yang katanya dipunyai oleh rakan golf Perdana Menteri.

Di manakah letaknya apa yang dikatakan oleh PM untuk mentadbir secara transperan seperti yang dikatakan beliau untuk melakukan transformasi dalam semua bidang kenegaraan?

Jika ini caranya Perdana Menteri membuat keputusan, ini adalah sangat menjijikkan dan mengaibkan nama negara di peringkat antarabangsa kerana isu ini menjadi perhatian khusus dari masyarakat antarabangsa.

Kita hairan kenapalah PM bersifat begini kerana kalau kita dengar retorik ucapan beliau, Najib sedang cuba menunjukkan kepada rakyat yang beliau adalah Perdana Menteri yang bersih dan cekap dan mempunyai nilai kepimpinan yang begitu tinggi.

Pendedahan yang dilakukan oleh Rafizi Ramli itu amat mengejutkan banyak pihak dan laporan polis telah dilakukan terhadap Najib. Tetapi nampaknya pihak polis mengambil tindakan untuk menyiasat bagaimana perkara yang ‘classified’ itu boleh terbongkar dan tidak pula berani menyiasat tindakan Najib masuk campur dalam keputusan pemberian tender itu.

Ini merupakan salah satu dari ratusan isu besar dalam pemberian konrak terhadap kroni-kroni pemimpin BN khususnya UMNO dan nampaknya penyakit rasuah dan menyalahgunakan kuasa ini memang sudah tidak boleh diperbaiki lagi kerana ia sudah menjadi budaya dalam kepimpinan negara kita.

Saya juga ingin tahu, agaknya berapa orang Perdana Menteri di dunia ini yang selain menjadi Perdana Menteri, mereka juga adalah kontraktor-kontraktor besar seperti PM Najib ini.

Bagaimana hendak memperbaiki pimpinan jika dalam isu pemberian kontrak besar ini melibatkan kehendak ahli politik dan dalam isu ini adalah pemimpin politik tertinggi negara yang juga seorang Perdana Menteri.

Bagi saya Najib sepatutnya hanya menjadi Perdana Menteri dan tidak merangkapkan diri beliau sebagai seorang kontraktor besar.  Jika PM sendiri mempunyai kepentingan peribadi dalam pemberian kerja kontrak seperti ini, bagaimanalah kerajaan hendak membina masyarakat perniagaan yang mantap untuk negara.

Najib, saya ulangi, sepatutnya hanya menjadi PM dan cuba elak dari menjadi kontraktor. Jika beliau lebih berminat menjadi kontraktor, beliau patut bersara sebagai Perdana Menteri dan tubuhkan sebuah syarikat pembinaan kelas A dan mempunyai lesen PKK yang sah.

Tidak boleh begini. Perdana Menteri buat tugas Perdana Menteri kerana terlalu banyak isu terhadap pimpinan hari ini. Jangan pula hendak menjadi kontraktor sekali.

Perasmian Projek Pembangunan Tanah Anak Muda Negeri Kelantan


Wednesday, July 11, 2012

Presiden PAS ke Mesir raikan kejayaan Ikhwan


(Ustaz Hadi dan rombongan berbincang dengan Dr Musa di pejabatnya dekat Kaherah)




KAHERAH: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta rombongan tiba di Mesir hari ini dalam rangka lawatan rasmi beliau selepas perubahan tampuk kepimpinan baru di bawah Presiden, Mohammed Mursi.

Beliau tiba di sini kira-kira jam 6 pagi waktu tempatan dan bakal melalui jadual yang sangat padat sepanjang dua hari berada di sini.

Turut mengiringi beliau adalah Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi selaku Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat.

Lawatan beliau yang pernah belajar di Mesir sehingga ke peringkat master sebelum ini antara lain bagi meninjau perkembangan yang sedang berlaku di sini.

Rombongan presiden juga dijangka bertemu pimpinan Ikhwan Muslimin Mesir yang beliau sertai serta pimpinan parti politik Freedom and Justice Party (FJP) yang menguasai kerusi parlimen Mesir selepas pilihan raya lalu.

Dalam program pertamanya hari ini, Tuan Guru Abdul Hadi turut diraikan dalam satu  pertemuan dengan Dr. Musa Abu Marzouk, Timbalan Ketua Biro Politik Hamas di pejabat pergerakan itu yang terletak di pinggir bandar Kaherah di sini.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Ketua Fraksi Parlimen Hamas di Gaza Dr. Khalil Al Heyya.

(Berbincang dengan Dr Musa, Hamas)

Selain bertukar-tukar pandangan, pertemuan hampir sejam itu antara lain turut membincangkan soal perkembangan semasa yang sedang berlaku di Timur Tengah serta perkembang di bumi Palestin.

Dalam program lain hari ini, Tuan Guru juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Mantan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Dr Mehdi Akif petang ini waktu tempatan.

Presiden juga dijadual menghadiri pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia di sini malam ini.

Bicara Ambang Ramadhan


Pengerusi Kada cuba sembunyikan isu sebenar


KOTA BHARU: Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Tan Sri Annuar Musa disifatkan cuba menyembunyi kegagalan projek menyiapkan benteng sebagai punca air tidak dapat dialirkan ke sawah.

Sebaliknya melalui kenyataan media baru-baru ini beliau menyalah pula aktiviti perlombongan pasir sebagai punca air tidak dapat dialirkan ke sawah.

Sedangkan kerja-kerja pembinaan benteng di hadapan rumah pam di Kemubu gagal disiap mengikut jadual dikenal pasti antara punca utama.

Anggota Exco kerajaan negeri, Che Abdullah Mat Nawi berkata, berdasar kepada penjelasan pegawai KADA, benteng sepatutnya siap dibina pada Jun lalu, namun terpaksa dilanjut pula kepada Oktober.

“Fungsi benteng untuk menahan air sungai supaya boleh dipamkan ke tali air KADA seterusnya dialirkan ke sawah padi di Bachok, Pasir Puteh dan Kota Bharu,” katanya ketika melawat projek berkenaan hari ini.

Lawatan itu turut dihadiri Adun Kadok, Azami Mohd Nor, anggota Parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir, Pengarah Jabatan Parit dan Saliran Negeri, Mat Rahim Ismail dan pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Sebelum ini Annuar dilaporkan mendakwa paras air Sungai Kelantan semakin rendah disebabkan aktiviti perlombongan pasir secara besar-besaran, pembalakan dan penerokaan tanah berleluasa di kawasan hulu.

Ceramah Terkini : 13hb Julai 2012


Najib takut PRU, mageran kekalkan kuasa?


KUALA LUMPUR: Adakah pilihan raya tidak akan diadakan langsung jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berjumpa tarikh dan waktu yang sesuai dan menguntungkan Barisan Nasional (BN)?

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan, adakah Najib akan mengisytiharkan pemerintahan Majlis Gerakan Negara (Mageran) di bawahnya untuk membolehkan beliau terus berkuasa jika beliau terus tidak berjumpa tarikh dan waktu yang sesuai dan menguntungkan BN untuk mengadakan pilihan raya.

"Inilah kali pertama dalam sejarah kita melihat seorang Perdana Menteri yang paling takut untuk menghadapi pilihan raya sehingga beliau kelihatan seolah-olah tidak mahu mengadakan pilihan raya sama sekali kerana tidak berani dan tidak mampu menghadapi arus kebangkitan rakyat.

"(Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) kata, Najib ialah Perdana Menteri yang dengan Mahathir dia takut, dengan Perkasa dia takut, dengan (Barrack) Obama dia takut, balik rumah takut.

"Ada lagi yang Najib takut. Takut umum tarikh pilihan raya," katanya.

Mahfuz menyifatkan perbuatan menyorok tarikh pilihan raya semata-mata kerana hendak mendapatkan tarikh yang sesuai dan menguntungkan BN adalah perbuatan menganiaya rakyat dan tidak demokratik.

"Bila tarikh pilihan raya disorok, rakyat jadi sukar hendak mengatur kehidupan. Umpamanya, mereka yang hendak ke tanah suci jadi terhalang untuk membuat keputusan kerana bimbang akan bertembung dengan tarikh pilihan raya.

"Nak buat kenduri susah, nak merancang perjalanan susah, semuanya takut bertembung dengan tarikh pilihan raya yang Perdana Menteri umum ikut suka hatinya sesuai dengan kepentingan diri dan partinya," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Tindakan itu juga sangat tidak demokratik kerana tarikh pilihan raya dipilih berdasarkan kepentingan BN dan bukan berdasarkan kepentingan rakyat, katanya.

Mahfuz berkata, pihaknya boleh bertolak ansur pada waktu bila sekalipun pilihan raya akan diadakan asalkan bukan musim perayaan dan musim haji umpamanya.

"Tidak mengapa hendak adakan pilihan raya tahun ini atau tahun depan, asalkan bukan musim haji atau musim perayaan.

"Yang penting, tetapkan tarikhnya supaya ia tidak menyusahkan rakyat," kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz akan berbincang dengan Peguam Negara berhubung cadangan bagi memastikan pilihan raya umum diadakan setelah tempoh  mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi lima tahun.

Nazri berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Peguam Negara bagi meastikan sama ada Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda atau sebaliknya.

"Saya nak minta nasihat daripada Peguam Negara kalau ada keputusan macam ini, bagaimana nak dilakukan. Sama ada kita buat pindaan Perlembagaan atau diadakan dalam peruntukan Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya.

Petani Pekan minta Najib dengar masalah mereka


PEKAN: “Tidak ada istimewanya berada di kawasan Perdana Menteri (PM) kerana nasib kami penanam padi tidak pernah dibela,” uah seorang penduduk Pahang Tua.

Md. Fadzir Bidin, 44, merupakan salah seorang daripada lebih 500 penanam padi di kampung Pahang Tua, Langgar dan Lamir di daerah ini yang pernah diisytiharkan sebagai Jelapang Padi Negeri Pahang dahulu.

Projek seluas 1,226 ekar itu mendapat kerjasama Jabatan Pertanian Pahang, Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS).

Menurut Fadzir yang juga ketua blog Melur, para petani di tiga kampung berkenaan banyak kali terpaksa menanggung kerugian akibat hasil rosak, kerana masalah mesin jentuai (jentera penuai padi), yang tidak dihantar tepat pada masanya.

Katanya, urusan jentuai di bawah kendalian Pasfa namun sering kali menimbulkan masalah mengakibatkan hasil pendapatan petani merosot sehingga 50 peratus.

“Umpamanya pada musim lalu petani di Pahang Tua sahaja telah kerugian tidak kurang daripada RM84,000. Biasanya dalam satu ekar mereka dapat dua tan kalau jadi seperti ini hasil pendapatan merosot sehingga 50 peratus.

“Masalah seperti ini bukannya baru tetapi sudah berlarutan sejak 10 tahun, kenapa jadi begini sehingga tidak membuat perkiraan awal membawa masuk mesin-mesin ini oleh Pasfa.

“Selain mesin sistem perairan juga menimbulkan banyak masalahtan juga banyak masalah, pembajakan  tanah paya pula tidak sempurna di samping kelewatan barang subsidi seperti baja dan racun,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Menurut Fadzir, selain sering membuat laporan kepada agensi berkenaan perkara tersebut juga sudah banyak kali diadukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Peramujaya namun tiada tindakan diambil. Mereka juga sudah menghantar memorandum kepada Ahli Parlimen Pekan namun masih tiada tindakan penyelesaian.

“Harapan kami kalau boleh Najib turun-turunlah dengar masalah petani di sini. Ini semua saudara mara waris dia belaka. Walaupun kami pengundi dia tapi nak mengadu secara langsung tak pernah dapat kerana banyak sangat birokrasi. Ketua kampung dan wakil rakyat juga tidak menyampaikan masalah kami dengan jujur.

“Masalah dibiar berlarutan seperti inilah yang membuatkan Najib hampir kalah dalam PRU 1999. Jadi eloklah Najib datang lunaskan slogan pemerintahannya iaitu Rakyat didahulukan, Janji ditepati dan YB turun padang,” tegasnya.

Seorang petani lagi, Wan Zulbazlan Wan Nasir, 38, berkata sudah tiga orang Menteri Pertanian yang datang ke kampung mereka iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Effandi Norwawi dan Datuk Seri Noh Omar lalu mengumumkan kawasan tersebut sebagai Jelapang Padi Negeri Pahang oleh Kementerian Pertanian dan kerajaan negeri Pahang sebagai Jelapang Padi negeri.

Katanya, kerajaan juga sudah mengumumkan suntikan sebanyak RM30 juta tetapi sehingga kini tidak nampak menguntungkan petani dan nasib mereka tidak berubah.

“Satu lot paya petani bersamaan dua ekar. Kos RM700 seekar jadi RM1,400. Harga padi RM1,150 setan. Pada masa ini petani sudah boleh mengusahakan padi dua kali setahun, jadi sepatutnya sudah boleh menjadi sumber pendapatan utama,” katanya.

Isrulnizam Yusof, 30, pula berkata mereka mengadu ialah untuk menjaga undi Najib juga sebab itu harap Najib selepas berlegar menabur janji seluruh negara, sesekali turunlah ke kampung asalnya menjenguk masalah penanam padi di sini biar jabatan kerajaan memberi perkhidmatan lebih baik.

Media baru: Najib resah dengan generasi muda


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib kena sedar bahawa generasi muda tidak boleh dibodoh dan digula-gulakan begitu sahaja, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.
“Zaman untuk membodohkan rakyat sudah berlalu. Sekarang bukan zaman Perdana Menteri tahun 70-an, tetapi zaman millenium baru yang sarat dengan maklumat sepantas kilat,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Najib meminta generasi muda perlu dilatih supaya mempunyai kemahiran berfikir secara mendalam, supaya  persepsi yang terdapat menerusi internet dan media sosial tidak mengganggu mereka di dalam membuat keputusan.

Katanya, ucapan Najib menandakan keresahan beliau kepada generasi muda yang tidak lagi bergantung kepada media yang dikongkong oleh BN yang sarat dengan provokasi dan fitnah.

Idris berkata, macam mana generasi muda hendak mendengar nasihat daripada seorang pemimpin yang tidak mempunyai daya intelektual untuk berhujah.

Ini, katanya kerana cabaran untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak disambut sedangkan ia adalah medan percambahan fikiran, merupakan pendekatan baru yang perlu diambil untuk menguji kematangan dan tahap intelektual.

“Generasi muda yang ada ialah mereka yang bermaklumat, tidak boleh dikongkong oleh mana-mana pihak. Mereka akan berfikir, kalau dah hebat sangat kenapa tidak sanggup untuk berdebat,” katanya.

Oleh itu, ujar beliau Najib jangan marah jika generasi muda tidak bersama dengan Umno, kerana mereka menilai berdasarkan ilmu dan fakta.

Soalnya, macam mana Najib hendak memaksa generasi muda menolak laporan internet dan media sosial di zaman langit terbuka.

“Menjadi tanda tanya kepada mereka apakah laporan yang dikeluarkan oleh internet itu palsu. Jika laporan itu palsu kenapa mereka tidak ambil tindakan undang-undang,” ujarnya lagi.

Idris menambah, generasi celik maklumat tidak boleh menerima ketika mereka terpaksa memerah tenaga untuk mendapat kerja, sedangkan kroni Umno mendapat peluang dengan begitu mudah.

“Apakah ini satu persepsi, fitnah atau laporan palsu yang disiarkan oleh media sosial, yang mereka tidak dapat daripada media lama?” tanya Idris.

Contohnya, kata beliau laporan melupuskan hutang Tan Sri Tajudin Ramli sebanyak RM589 juta, projek NFC kepada suami Shahrizat sebanyak RM250 juta, Raja Farhana anak Raja Nong Chik dianugerah projek membina Institut Kemahiran Belia Negara Bandar Penawar Johor sebanyak RM30.8 juta, Ikhwan anak Jamaludin Jarjis mendapat projek Pusat Kawalan Trafik Udara Subang bernilai RM128.4 juta.

Reformasi parlimen jadikan Malaysia lebih baik


PETALING JAYA: Reformasi parlimen menjadi agenda utama Pakatan Rakyat dalam menjadikan Malaysia lebih baik apabila memenangi piihan raya umum yang akan datang.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memberitahu pemisahan kuasa boleh bermula dengan reformasi parlimen yang akan memberi kuasa dan mengukuhkan institusi perundangan untuk memberi 'check and balance' terhadap kezaliman eksekutif dan ketidaksenonohan kehakiman.

"Pengasingan kuasa adalah prinsip utama yang struktur demokrasi yang berfungsi dan membolehkan keseimbangan kuasa lebih dinamik untuk menghasilkan penyelesaian yang terbaik.

"Serta menyatakan semua perkara terutamanya dalam bidang membuat dasar, pelaksanaan dasar dan kajian semula dasar," jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Tambahnya, pengasingan kuasa akan memastikan ketelusan dan akauntabiliti tadbir urus yang baik yang akan mengurangkan terhadap penyalahgunaan kuasa serta rasuah, yang akan membenarkan kepentingan semua pemegang saham diwakili secara saksama.

"Penubuhan struktur jawatankuasa dengan ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua belah jurang politik yang meliputi semua aspek utama kerajaan termasuk kewangan, pendidikan, kesihatan, pertahanan, undang-undang, perkhidmatan awam di kalangan orang lain dengan mandat untuk mengadakan pengawasan dan dimasukkan ke dalam tadbir urus utama.

"Semua perkara-perkara ini yang akan menjamin penyertaan penuh demokrasi dan akauntabiliti untuk rakyat," kata beliau.

Beliau yang memberi contoh dalam isu Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang mendapati satu contoh tadbir urus demokrasi yang lemah.

"Jika ada jawatankuasa parlimen mengenai perkhidmatan awam, maka tidak akan wujud flip-flop dasar birokrasi yang akan memberi manfaat kepada golongan elit melalui pelarasan gaji yang lebih tinggi berbanding dengan pekerja biasa.

"Ia bukan sahaja meningkatkan jurang gaji yang sudah luas sebagai salah satu yang tertinggi di dunia tetapi juga meluaskan ketidakadilan sosial majoriti untuk memberi manfaat kepada minoriti elit," jelas Nurul Izzah.

Beliau percaya dengan pembaharuan parlimen menyediakan 'check and balance' rakyat tidak akan menanggung lagi beban kewangan seperti penyelewengan di dalam NFC, PKFZ, SELEX, Scorpene, Istijuara dan banyak lagi.

Tuesday, July 10, 2012

Bicara Selebriti : 18hb Julai 2012

Himpunan Oren 2012

MOU Antara MPKB-BRI Dengan S S Microbial









Majlis menandatangani perjanjian pembangunan pusat kitar semula dan kompos antara MPKB-BRI dengan SS MICROBIAL telah disaksi oleh YAB. Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Negeri Kelantan.

Rindu Ramadhan


Ceramah Terkini 15hb Julai 2012

Fikirkan...

DAP90: Nik Aziz enggan ulas, karut semua tu


KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, enggan mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia hari ini yang mendakwa DAP bakal bertanding di 90 kawasan Parlimen pada PRU13 nanti.

Bagaimanapun, beliau hanya berkata “karut semua tu”.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung perkara itu selepas majlis perjanjian pusat kitar semula dan kompas Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam di sebuah hotel, di sini petang tadi.

Katanya, beliau tidak mahu mengulas berhubung perkara itu apa lagi ianya tidak membabitkan soal PAS.

“Saya hanya nak jawab apa yang berkaitan dengan PAS sahaja,” ujarnya.

Walaupun bila ditanya adakah ianya hanya spekulasi murahan Umno, Tuan Guru tetap tidak mahu mengulasnya.

Pada masa yang sama beliau turut menyangkal PAS telah sasar beberapa kerusi yang ingin ditandingi, sebaliknya memberitahu selepas sahaja parlimen dibubarkan, ianya akan ditentukan jumlah kerusi yang bertanding dan bukannya sekarang.

Moral: Najib umpama ‘menepuk air di dulang’


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS WP (DPPWP) melihat kenyataan Datuk Seri Najib yang mengatakan bahawa pemimpin yang ingin menjadi Perdana menteri Malaysia mesti bebas daripada belenggu masalah moral umpama menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.

“Kata-kata beliau itu sendiri sebenarnya membuktikan bahawa beliaulah orang yang paling tidak layak menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia sebenarnya,” kata Ketua DPPWP, Kamaruzaman Mohamad.

Katanya, Najib tanpa rasa malu dan bersalah menuding kesalahan kepada orang lain dan berasakan hanya beliau sahajalah yang tiada masalah moral.

Sedangkan, ujarnya seluruh Malaysia dan dunia tahu pelbagai isu moral yang sedang terpalit di badannya, ianya bukan sahaja terhadap dirinya sahaja tetapi turut melibatkan isterinya juga.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, Najib seharusnya membersihkan dahulu isu-isu dan skandal-skandal yang sedang dihadapinya.

Ujarnya, umum mengetahui bagaimana Najib terpalit dengan isu pembunuhan Altantuya dan yang terkini skandal komisyen pembelian kapal selam Scorpene yang turut melibatkan diri beliau sendiri.

“Ketidaklayakan Najib sebagai seorang Perdana Menteri turut dipersoalkan apabila isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor turut sama terpalit dalam isu pembelian cincin RM24 juta,” katanya.

Menurut Kamaruzaman, nyatalah Najib kini menjadi liabiti bukan sahaja kepada Umno BN tetapi juga kepada rakyat Malaysia.

“Ianya turut ditambah dengan penglibatan isterinya, Rosmah. Namun harus diingat, bukan sahaja Najib yang mempunyai isu dan skandal moral, malahan pemimpin Umno BN memang terkenal dengan pelbagai isu tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, Malaysia akan punah apabila ditadbir oleh ahli keluarga yang penuh dengan pelbagai skandal dan isu moral.

“Sudah sampai masanya rakyat Malaysia menolak bukan sahaja Najib, tetapi juga parti Umno BN yang kini  hari kian menjadi beban. Mengundi Umno BN bagaikan mendukung biawak yang hidup,” katanya lagi.

DAP90: Politik Najis Umno - Mahfuz


KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya DAP akan bertanding di 90 kawasan Parlimen adalah satu lagi bukti politik najis Umno, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

(Keakrapan yang cuba dileraikan Umno)

"Umno terlalu terdesak kerana takut kehilangan kuasa sehingga pendakyah utama parti itu tidak merasa bersalah sedikit pun bermain politik kotor.

"Ini satu lagi politik najis Umno," kata beliau ketika menolak pembohongan Utusan Malaysia kononnya DAP bakal menjadi parti paling dominan dalam Pakatan Rakyat (PR) selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) parti itu didakwa oleh akhbar tersebut akan bertanding di 90 kawasan Parlimen.

Ketua anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang turut serta dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan berkata, jumlah 90 kerusi tidak pernah timbul dalam mana-mana perbincangan.

Paling banyak, DAP hanya akan bertanding 60 kerusi, kata beliau.

Sementara itu, Mahfuz yang juga anggota Parlimen Pokok Sena menyifatkan pembohongan itu sebagai sebahagian dari politik perkauman Umno.

Ia akibat dari ketakutan yang amat sangat untuk menghadapi kesedaran semakin ramai rakyat yang tidak sabar-sabar untuk menolak Umno dalam pilihan raya akan datang.

"Ketika Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah berputus asa sama sekali untuk mendapatkan undi dari kaum Cina terutamanya, ia kini semakin cemas apabila melihat semakin ramai orang Melayu yang menyokong PR.

"Sudah tentu Umno mendapat laporan bahawa semakin ramai orang Melayu yang sakit hati kepadanya dan tidak sabar-sabar lagi menanti pilihan raya umum untuk mengajar parti itu," kata Mahfuz sambil memberitahu peningkatan sokongan orang-orang Melayu kepada PAS dan PKR semakin konsisten.

"Jumlah kehadiran orang-orang Melayu ke majlis-majlis dan program-program kita semakin bertambah termasuk di Johor.

"Peningkatan keahlian baru PAS contohnya begitu konsisten dan tidak pernah berkurangan," katanya.

Untuk menghadapi keadaan itu, Umno mencipta pelbagai pembohongan untuk menakut-nakutkan orang Melayu kepada PR.

"Umno yang selama ini menggadai dan mengkhianati kepentingan orang-orang Melayu cuba menggambarkan para pemimpin Melayu dalam PR juga akan menggadai kepentingan orang-orang Melayu seperti yang dilakukannya.

"Pencuri sentiasa menuduh orang lain pun akan mencuri seperti dia,

"Umno yang mengkhianati Melayu tak henti-henti cuba memfitnahkan PR juga akan mengkhianati Melayu seperti yang dilakukannya," kata Mahfuz (gambar).

Dalam perkembangan berkaitan, DAP menyangkal laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia itu.

"Karut, karut, karut!" Malaysiakini memetik Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke, yang turut terbabit dalam rundingan agihan kerusi bagi parti komponen Pakatan.

"(Bilangan kerusi yang ditandingi) DAP adalah yang paling sedikit di kalangan tiga (parti komponen Pakatan). Rundingan masih berjalan tetapi ini tidak benar sama sekali," katanya sambil menambah bahawa parti itu mendapat kerusi paling kurang di setiap negeri kecuali Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Loke, yang juga Ahli Parlimen Rasah, berkata "laporan yang berniat jahat" itu adalah satu lagi percubaan untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

DAP90: Utusan pembohong - Lim Kit Siang


KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini berkata, Utusan Malaysia hari ini sah sebagai ”surat khabar pembohong” dan bukannya akhbar apabila ia jelas tidak jujur dan membelakangkan etika kewartawanan.

Ini ekoran laporan mereka yang mendakwa bahawa DAP akan bertanding di 90 kerusi parlimen untuk mendominasi Pakatan Rakyat dan melantik Perdana Menteri pada pilihan raya umum ke 13 nanti sebagai tajuk utama muka hadapan.

Utusan yang mendakwa bahawa DAP akan bertanding 90 daripada 222 kerusi parlimen meliputi 40.5% jumlah kerusi parlimen, manakala PAS dan PKR akan bertanding masing-masing 66 buah kerusi  parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

"I merupakan sebuah kempen jahat, anti-nasional dan tidak bertanggungjawab oleh propagandis UMNO semata-mata untuk menyemarakkan lagi kecurigaan  antara kaum bahawa orang Melayu akan kehilangan kuasa politik sekiranya UMNO tewas dan barisan Nasional digantikan dengan Pakatan Rakyat pada pilihan raya ke 13 nanti," kata Kit Siang dalam kenyataannya.

Menurutnya, pada minggu lalu, beliau telah menempelak taktik menakut-nakutkan rakyat oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad  sendiri apabila beliau memberi amaran bahawa pengundi Cina merupakan penentu (kingmakers) keputusan pilihan raya umum ke 13.

Orang Melayu dakwa beliau dibahagikan kepada tiga bahagian kecil malah dakwanya lagi bahawa pengundi Cina pula akan menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya.

"Saya telah menjelaskan bahawa realiti yang sebenarnya menunjukkan bahawa pengundi Cina tidak akan menjadi penentu berdasarkan aritmetik pilihan raya,” jelasnya.

Faktanya, cuma terdapat 34 buah kerusi dari 222 kerusi parlimen yang menempatkan majoriti pengundi Cina.

Malah sekiranya Pakatan Rakyat memenangi semua kerusi pengundi Cina, ia cuma sekadar mewakili 15 peratus dari jumlah keseluruhan kerusi parlimen.

Lagipun, jelasnya, terdapat 55 kerusi parlimen lagi dimana pengundi Cina cuma membentuk 30 hingga 50 peratus pengundi.

Walaupun sekiranya PR mampu untuk memenangi 80 peratus undi masyarakat Cina, ia masih memerlukan antara 35 hingga 40 peratus sokongan dari komuniti lain untuk memenangi kerusi-kerusi tersebut.

Secara keseluruhan ia bermaksud pengundi Cina hanya membentuk lebih 30 peratus jumlah pengundi di 89 kerusi parlimen, jelas beliau.

Malah sekiranya PR memenangi keseluruhan kerusi ini (yang mana ia memerlukan sokongan majoroti dari komuniti lain), ia hanya akan membentuk 40 peratus dari jumlah keseluruhan kerusi parlimen yang sebenarnya tidak mencukupi untuk merangkumi majoriti kerusi parlimen.

"Sekarang, propagandis Umno telah melakukan kempen menakut-nakutkan rakyat untuk menyemarakkan rasa curiga dan saling tidak percaya antara kaum – yang mendakwa bahawa DAP akan bertanding 90 kerusi manakala PKR dan PAS masing-masing 66 kerusi.

"Dakwaan ini adalah dakwaan liar dan tidak berasas sama sekali," tegas beliau.

Penentuan kerusi antara parti-parti Pakatan Rakyat juga masih belum selesai sepenuhnya dan DAP pula tidak akan mempertimbangkan untuk bertanding lebih dari 60 kerusi atau kurang dari 28 peratus dari 222 kerusi parlimen.

Walaupun pembohongan yang mengatakan DAP akan bertanding di 90 kerusi parlimen telah ditempelak dan dinafikan sekeras-kerasnya, cerita palsu ini akan dicanang semula oleh propagandis dan pemutarbelit Umno mengunakan helah penipuan yang lain.

Ia bertujuan menakutkan pengundi Melayu dengan dakwaan bahawa DAP akan menjadi parti yang mendominasi berbanding PAS dan PKR, sehingga dakwaan mereka ke tahap memutuskan siapa yang akan menjadi Perdanan Menteri.

Bagi Kit Siang, rtakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama maupun daerah sedang berhadapan dengan ujian besar dalam sejarah negara yang melihat samada mereka  dapat membezakan pembohongan dan kepalsuan sebagai fakta seperti dipaparkan pada “akhbar pembohong” seperti Utusan Malaysia.

"Ia juga merupakan ujian kritikal kepada kita semua samada negara dan demokrasi di Malaysia telah matang apatah lagi ia telahpun melangkau usia lebih separuh abad," tambahnya.

Faktar sebenar mengenai perkara ini ialah adakah hanya kerana dengan perkara tersebut menentukan sokongan majoriti pengundi Melayu dan bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat, katanya.

"Tetapi apa yang membuatkan saya terfikir dari pembohongan terkini propagandis Umno ini enunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semakin terdesak  dan mereka semakin percaya bahawa Umno-BN boleh ditewaskan melalui peti undi pada pilihan raya umum ke 13 nanti," katanya lagi.

Ini juga, tambahnya, merupakan sebab Najib terus menunda tarikh pilihan raya umum ke 13.

Khairiah, senator wanita ke-7 lantikan PAS Kelantan




KUALA LUMPUR: Pegawai Undang-Undang Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB BRI), Khairiah Mohamed, 38, hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Mumtaz Mohd Nawi.

Khairiah dicadangkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan disokong Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (Dun) yang lepas.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana memberi kepercayaan penuh dan melantik saya sebagai senator.

"Amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada saya ini akan saya tunaikan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat dan negara," jelasnya kepada pemberita di lobi parlimen.

Beliau selaku Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Muslimat PAS Kelantan turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh keluarganya dan juga Dewan Muslimat PAS negeri yang sentiasa menyokong perjuangannya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Ranjang, Siti Zailah Mohd Yusoff menyatakan keyakinan bahawa Khairiah dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Khairiah atas perlantikan sebagai senator, ini merupakan senator yang ketujuh dari muslimat sepanjang PAS memerintah Kelantan.

"Saya yakin dengan pengalaman dan latar belakang beliau miliki, Khairiah dapat melaksanakan tanggungjawab dan peranan yang lebih berkesan kepada dewan dan negara," katanya.

Khairiah sebelum ini berkhidmat selama 11 tahun di MPKB BRI berasal dari Kubang Kerian, kini menetap di Kampung Sabak Pengkalan Chepa.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa dan Ijazah Sarjana Syariah di Universiti Malaya.

DAP 90: Utusan cuba takutkan pengundi Melayu


KUALA LUMPUR: Tindakan akhbar Umno, Utusan Malaysia melaporkan bahawa DAP akan bertanding di 90 kawasan Parlimen adalah satu usaha untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu.

Pendapat itu dikongsi bersama oleh Ahli Dewan Negara daripada Pakatan Rakyat ketika ditemui Harakahdaily pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Menurut Senator Datuk Dr Johari Mat (gambar) yang mewakili Kelantan, isu yang dimainkan itu merupakan isu lama dan ia adalah sebagai usaha sentimen untuk menakutkan rakyat negara ini terutamanya Melayu bahawa negara ini bakal diterajui oleh DAP.

"Ia lebih kepada politik untuk menakut-nakutkan orang Melayu supaya tidak memilih Pakatan Rakyat pada pilihan raya nanti.

"Selain itu juga ia merupakan isu lama yang sentiasa digembar-gemburkan setiap kali tibanya pilihan raya walaupun tiada asasnya tetapi mereka tetap melakukannya," jelasnya.

Senator Syed Shahir Syed Mohamud yang mewakili Pulau Pinang pula mempersoalkan dari manakah fakta itu diperolehi.

"Kita ingin tahu dari mana fakta tersebut diperolehi dan bagi saya ia adalah satu angka yang luar biasa dan mustahil.

"Kita tidak boleh main politik seperti ini dengan budaya ugut dan menakutkan pengundi dalam keadaan kita berada pada senario politik yang matang," katanya.

Menurutnya lagi, rakyat perlu lebih berwaspada dalam setiap isu yang ingin dimainkan demi perpaduan kaum negara ini.

Sebelum itu, Utusan Malaysia mendakwa DAP bakal menjadi parti paling dominan dalam pakatan pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 apabila maklumat mesyuarat pembahagian kuota kerusi pembangkang mendedahkan, parti itu dikatakan akan bertanding 90 kawasan Parlimen.

Manakala PAS dan PKR pula masing-masing akan bertanding di 66 kawasan Parlimen.

Tumpu pilihan raya, usah layan Hasan Ali


SHAH ALAM: PAS Selangor meminta ahlinya supaya menumpukan usaha menghadapi pilihan raya umum daripada melayan karenah Datuk Dr Hasan Mohamad Ali yang telah terpinggir.

Tindakan Dr. Hasan mengadakan cerita kononnya akan diadakan debat di antara beliau dengan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman pada 11 Julai akan datang jelas menunjukkan gerakan Jati semakin hilang pedoman.

Kini Hasan Ali mahu mencari populariti melalui PAS.

Setiausaha PAS Selangor, Mohamad Khairuddin Othman (gambar) berkata PAS Selangor telah bersetuju agar Pesuruhjaya Selangor serta ahlinya tidak melayan karenah Hasan Ali.

"Tumpuan kita untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa. Mengapa Dr Hasan Ali mahu berdebat dengan kita? Jati bukan parti politik. Bukankah masalah yang ada di Selangor ini adalah masalah yang ditimbulkan dan ditinggalkan oleh beliau?" soal beliau dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah Khairuddin, Hassan telah meninggalkan masalah sewaktu diamanahkan menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor dulu ketika mempunyai ruang sebesar-besarnya untuk berjuang.

Tegas Khairuddin lagi, prestasi PAS Selangor sekarang jauh lebih baik dari zaman Dr Hasan menjadi pesuruhjaya.

Sehubungan itu, PAS Selangor bersama-sama dengan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) memutuskan bersama agar tidak melayan karenah bekas exco kerajaan negeri itu kerana beliau pernah diberi peluang untuk berjuang dalam pasukan kerajaan tetapi gagal.

Ada pemimpin Umno seperti Tuan Guru Nik Aziz?


KUALA LUMPUR: “Soalnya, adakah pemimpin lain yang bersifat seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dari kalangan Umno BN?” tanya Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Riduan Mohd Nor (gambar).

Sehubungan itu, ujarnya DPPM menyelar kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menganggap rakyat Kelantan taksub kepada kepimpinan Tuan Guru sebagai Menteri Besar Kelantan sehingga menjangkakan BN sukar memerintah Kelantan selagi ada insan bernama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“DPPM menganggap kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad seakan menghina rakyat Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, rakyat Kelantan dianggap tidak rasional sehingga sanggup taksub tidak tentu pasal terhadap kepemimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga menerima bulat-bulat apa sahaja ucapan daripada beliau.

Hakikatnya, kata Riduan rakyat Kelantan tidak seperti yang ditanggapi oleh Tun Dr Mahathir, kerana rakyat Kelantan lebih matang berpolitik dan tahu perkembangan politik tanah air.

Beliau berkata Mahathir tidak faham istilah taksub dengan kasih.

Jelasnya lagi, rakyat Kelantan sebenarnya amat kasih dan sayang kepada kepemimpinan Tuan Guru yang zuhud, sederhana, amanah, lemah lembut dan warak itu.

Katanya, Tuan Guru adalah ulama yang dalam masa yang sama menjadi pemimpin umat.

“Watak dan keperibadian beliau yang tinggi bukan dibuat-buat, sebaliknya ia adalah watak beliau secara tersendiri yang bertitik tolak dari ilmu dan sifat ketaqwaan beliau.

“Tidak terdengar kisah penyalahgunaan kuasa semasa pemerintahan beliau, mementingkan kroni, mengkayakan beliau dan keluarganya, jauh sekali dari mengambil rasuah,” katanya lagi.

Menurut Riduan, rumah yang diduduki Tuan Guru adalah sama sebelum menjadi Menteri Besar sehingga kini, tiada pengawal keselamatan yang menjaga setiap saat rumah beliau itu.

Malah, ujarnya Tuan Guru juga tidak kekok makan minum dan bermesra dengan rakyat di mana sahaja, makan nasi bungkus di gerai atau di kedai biasa, berjalan tanpa pengawal pengiring, dan tidur di mana sahaja beliau ditempatkan.

Kata Riduan lagi, MB Kelantan juga sanggup menginfakkan sebahagian dari pendapatan beliau kepada rakyat dan kerajaan Kelantan.

“Beliau juga tidak menetap di kediaman rasminya dengan memilih kediaman sendirinya. Lebih dari itu, setiap pagi Jumaat beliau memimpin kuliah Ilmu di Kota Bharu sehingga menjadi ikutan ribuan pendengar untuk hadir,” katanya.

Dengan kehidupan sedemikian, kata Riduan itulah rakyat menyayangi beliau.

“DPPM meyakini, jika watak Tuan Guru sama seperti pemimpin Umno BN yang lainnya, beliau bukan setakat dicemuh, malah ditolak oleh rakyat Kelantan.

“Andai kata beliau lebih mengutamakan keluarga, sanak saudara, kehidupan beliau yang mewah serta bersifat angkuh terhadap rakyat, sudah lama Kelantan akan bertukar ganti dengan pemimpin lainnya dan PAS pula akan ditolak jauh ke tepi,” ujarnya lagi.

Sebaliknya pula, kata beliau jika ada pemimpin Umno yang bersifat sama seperti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sudah pasti rakyat akan mengasihi pemimpin tersebut dan akan dijamin untuk terus kekal memerintah negeri atau negara.