Wednesday, September 05, 2012

Pemuda buktikan Maik cuba berpolitik

KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan sekali lagi tampil membuktikan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) cuba bermain politik dalam isu khutbah Jumaat dan Aidilfitri.

Teks khutbah Jumaat dikeluarkan Maik pada 31 Ogos lalu bertajuk “Hari Kemerdekaan” didapati mengandungi beberapa saranan dan sindiran berbentuk politik sehingga menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan banyak pihak.

Antaranya berbunyi “Jagalah kemerdekaan, jagalah bangsa, selamatkanlah agama, selamatkan negara daripada sebarang anasir yang sanggup menjadi tali barut kuasa luar, kuasa asing yang memang tidak putus asa untuk memerintah negara ini.


“Kalau negara ini jatuh lagi ke tangan orang lain maka untuk mengambil semula, untuk bangun kembali, bangsa kita, umat kita, akan berhadapan dengan jalan yang amat sukar. Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan mustahil dapat merampas kembali”.

Pengarah Jabatan Kerajaan dan Swasta, Pemuda PAS Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir berkata, ungkapan yang ditulis Maik dalam khutbah tersebut secara mudah dapat ditafsir orang ramai.

Katanya, ahli-ahli jemaah tertanya-tanya kepada siapakah sindiran tersebut ditujukan.

“Apakah teks khutbah Jumaat Maik menganjurkan supaya bangsa Melayu memaksakan kehendak mereka dan tidak lagi perlu mengambil kira pendapat dan sensitiviti bangsa-bangsa lain dalam mengharmonikan kehidupan masyarat.

“Saya berharap Timbalan Yang Dipertua Maik meneliti terlebih dahulu teks khutbah Jumaat Maik sebelum mengeluarkan kenyataan bahawa ia bebas daripada sebarang unsur politik,” katanya di sini.

Sebelum ini pelbagai pihak mempertikaikan khutbah Aidifitri dikeluarkan Maik kerana secara jelas mempamerkan sikap berpihak dan bertentangan dengan aspirasi kerajaan negeri.

Ekoran itu ramai khatib menokok tambah khutbah tersebut supaya isinya lebih segar, namun Maik pula dalam satu kenyataan dilaporkan mahu mengambil tindakan terhadap imam terbabit.

Dr Rosli berkata, masyarakat yang celik politik sekarang dapat mengasosiasikan kenyataan-kenyataan tersebut dengan pihak yang ingin dikaitkan.

“Maik bukan sahaja tidak boleh berpolitik tetapi ia juga tidak boleh dilihat sebagai berpolitik.

“Persepsi masyarakat sekarang Maik telah mula berpolitik dalam teks khutbah dengan menyeru secara halus mereka supaya menolak pihak tertentu,” katanya.

Menurutnya apabila persepsi sebegini wujud maka kredibiliti Maik di mata masyarakat sudah tentu akan terjejas.

“Saya juga menyeru Mufti Kelantan selaku Pengerusi Panel Penyedia Teks-Teks Khutbah Jumaat Maik supaya dapat mengambil tindakan segera.

“Sebarang persoalan yang berbangkit sepatutnya perlu dijelaskan. Bagi sesiapa yang mahu berpolitik eloklah mereka segera meletak jawatan dan terjunlah ke dunia politik.

“Jangan pula hanya berani berselindung di sebalik institusi tertentu untuk menghentam pihak-pihak lain secara bersembunyi,” ujarnya.

Alam Ria PASTI Negeri Kelantan


Pejabat PKR diserang samseng pakai baju Umno


PETALING JAYA: Sekumpulan 30 samseng Umno mengadakan demonstrasi dan bertindak ganas dengan menyerang ibu pejabat PKR, Tropicana dekat sini tengahari tadi.

Menurut laporan awal Keadilandaily kumpulan samseng itu memakai kemeja-T Umno dan Barisan Nasional.

Mereka memegang kain rentang sambil menjerit antaranya, ‘Jalur Gemilang’ dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Portal itu yang memetik kenyataan Setiausaha Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli berkata kumpulan samseng itu juga cuba bertindak ganas ke atas mereka yang cuba mengawal keadaan.

Demonstrasi pada jam 12.30 tengahari itu tadi dileraikan sepuluh minit kemudian dengan bantuan polis seramai 20 anggota yang terpaksa membuat sekatan di hadapan pejabat.

Kejadian ini merupakan insiden terbaru samseng Umno yang dilihat semakin berani menyerang Pembangkang sejak kebelakangan ini.

Ahad lalu, Anwar turut diserang di Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong, Alor Setar, Kedah ketika sedang menyampaikan tazkirah Maghrib, selepas bas jelajah Merdeka Rakyat dibaling batu dan disimbah cat merah di Kelantan sehari sebelumnya.

Melayu tiada masa dalam Umno – Lajim Ukin

MACHANG: Belum pun membuat keputusan rasmi meninggalkan Umno tiba-tiba kerajaan Barisan Nasional (BN) menyekat peruntukan sebanyak RM3 juta kepada anggota parlimen Beufort, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin (gambar).

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mengakui banyak keistimewaan yang diperolehi ketika berada dalam Umno.

“Namun saya tetap juga membuat keputusan meletak jawatan sebagai Ketua Umno, anggota Majlis Tertinggi (MT) dan Pengerusi BN Beufort.

“Selama 18 tahun ini saya berada dalam Umno. Dua penggal menang sebagai MT, malah ketika itu berada dalam top ten.

“Saya juga pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan pemangku Ketua Menteri. Namun saya meletak semua jawatan itu kerana tidak mahu lagi bersekongkol dengan kerja-kerja kejahatan,” katanya pada ceramah sulungnya di Kelantan malam tadi.

Program tersebut diadakan di Kampung Paloh Rawa, Dun Temangan. Biar pun hujan turun dengan lebat orang ramai tetap memenuhi perkarangan bangunan Pasti.

Hadir sama Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Zulkifli Mamat dan anggota Exco, Dr Muhamad Fadzli Hassan.

Turut mengiringi Lajim ke Kelantan, bekas pemimpin PBS, Datuk Idris Ali. Hari ini difahamkan beliau menghadiri satu program di Kuala Lumpur.

Lajim berkata, beliau tidak boleh menerima gejala rasuah yang berleluasa dalam Umno dan kerajaan serta penderaan yang berlaku secara berterusan terhadap Kelantan.

Sedangkan kata beliau Kelantan merupakan negeri yang mempunyai jumlah penduduk Melayu yang paling ramai di Malaysia.

“Sebab itulah saya tidak nampak lagi Umno mampu membela nasib orang Melayu. Umno tidak boleh lagi menjamin masa depan orang Melayu.

“Macam mana mereka mahu menyelesaikan masalah rakyat, sedangkan masalah dalaman Umno sendiri begitu parah sekali.

“Saya pernah berada dalam jawatankuasa menyelesaikan isu dalaman Umno. Masalah di Negeri Sembilan, Perlis, Terengganu, Johor dan Selangor tidak selesai sampai sekarang.

“Saya tidak boleh lagi bersikap sebagai yes men, tidak boleh lagi membodek dengan mencium tangan pemimpin atasan,” katanya yang mempertahankan kerusi parlimen Beufort sejak 26 tahun lalu.

Beliau juga berkata, Sabah bukan lagi menjadi deposit tetap bagi BN untuk mempertahankan kuasa pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau menjangka 13 kerusi BN akan tergugat antaranya Beufort, Penampang, Tawau, Sepangar, Papar, Batu Sapi, Tuaran dan Sandakan. Buktinya kehadiran rakyat begitu luar biasa pada program Pakatan Rakyat sekarang.

Beliau juga meluahkan rasa hairan Sabah memiliki sumber bumi yang banyak dengan minyak dan balak, namun masih kekal sebagai negeri termiskin di Malaysia.

Sementara itu, Saifuddin mendakwa akan berlaku satu lagi kejutan besar pada 15 September ini di Sabah apabila seorang tokoh korporat terkenal akan mengisytiharkan menyertai Pakatan Rakyat.

Katanya, tokoh terbabit akan mengisytiharkan keluar Umno pada himpunan besar-besaran yang dijangka turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Lim Guan Eng

Sarawak: 'PR enda meri BN jalai muntang'


(Gambar-gambar sekitar lawatan pemimpin PAS ke Sarawak)

MIRI: Pakatan Rakyat (PR) tidak mahu memberi laluan mudah untuk Barisan Nasional (BN) memenangi mana-mana kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan memberi saingan secara terus atau satu lawan satu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli memberitahu, saingan satu lawan satu walaupun sengit namun lebih mudah untuk PR meng-uji ‘kekuatan’ dan memberi kelebihan serta peluang kepada PR.

“Kita tidak akan memberikan laluan yang mudah kepada BN dan yang penting ialah satu lawan satu dengan BN dan kemudian rakyat akan menyaksikan kelak satu perubahan yang besar dalam PRU akan datang,” ujar beliau dengan nada yakin.

Dr Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai memberitahu, jentera PR di Semenanjung Malaysia kelak akan turun ke Sarawak dan Sabah juga, bagi memberi semangat kepada calon-calon mereka di sini dan memastikan kemenangan berpihak kepada PR.

“Dengan keadaan politik di negeri Sabah yang dilanda pelbagai skandal dan keengganan presiden untuk bertanding, ia merupakan satu tamparan hebat kepada BN,” katanya sambil merujuk kepada isu pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin yang mengumumkan untuk tidak mempertahan-kan kerusinya pada PRU akan datang.

Beliau memberitahu, pembahagian kerusi dalam PR sudah mencapai persepakatan dan kini di fasa akhir dengan PAS sudah mengenal pasti beberapa kerusi berpotensi yang akan ditandinginya terutama di Sarawak.

“Kita yakin mampu me-numbangkan kerajaan BN pada PRU Ke-13 ini kelak.
“Kalau kita tebang seorang-seorang memang sukar tetapi kalau beramai-ramai kita ‘menebang’ pokok besar (BN), ia akan tumbang jua nanti,” tambahnya.

Beliau memberitahu demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Himpunan Hijau ke Putrajaya Peringkat Negeri Sarawak yang dirasmikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini, malam kelamrin.

Lebih 100 penyokong PAS dan PR hadir pada program tersebut yang bermula dengan konvoi pada sebelah petangnya diikuti dengan Rumah Terbuka Hari Raya PAS Sarawak.

Turut hadiri pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Alan Ling, Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sarawak merangkap Pengerusi PAS Miri Jofri Jaraiee dan bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Salleh Jafaruddin serta Ketua PKR Miri Dr Michael Teo.

Dalam pada itu, Dr Hatta turut menggesa agar jentera pilihan raya PAS mempersiapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan dan kepili-hanrayaan sebagai kaedah terbaik bagi menghadapi PRU13 akan datang.

“Selain itu ahli-ahli PAS Sarawak perlu terus menggunakan peluang sehingga akhir September ini untuk menambah dan mendaftarkan pengundi-pengundi baharu.

“Keluar dan dapatkan se-banyak ramai yang mungkin, jika kita membantu mendaftarkan mereka, nescaya mereka mungkin akan menyokong kita semula pada pilihan raya kelak,” tambahnya.

Tuesday, September 04, 2012

Majlis Ramah Mesra Veteran PAS Dun Kemuning









TG Nik Aziz naik keretapi galakkan pelancongan




(Gambar: Tuan Guru menaiki keretapi dari setesen KTM Wakaf Bahru ke Setesen KTM Kuala Kerai)

KUALA KRAI: Program pelancongan amat wajar diadakan di Kelantan bagi menangkis tomahan buruk pihak tertentu terhadap Kelantan sejak 22 tahun lalu.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata fitnah buruk terhadap Kelantan seperti beras tidak ada, rakyat miskin dan lain-lain perlu dijawab melalui program pelancongan untuk menjemput lebih ramai golongan itu  melihat perkara sebenar di negeri ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis penutup Pesta Makanan dan Buah-buahan Kelantan 2012 sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK@12).

Majlis berkenaan diadakan di Taman Cintawangsa, di sini Ahad lalu.

“Dengan melancong ke Kelantan mereka dapat melihat beras tak ada sungguh ke di Kelantan, mundur sungguh ke rakyatnya, benda ni (program pelancongan) wajar diadakan untuk memberi peluang pada rakyat melihat perkara sebenar,”ujarnya.

Sebelum ini, tambahnya pelancong sering dimomokkan dengan cerita Kelantan miskin, mundur dan berbagai lagi.

Bukan itu sahaja, katanya Islam menggalakkan pelancongan untuk mengenali sesama manusia di muka bumi ini.

Katanya, sebagai contoh ibadat haji dapat menghimpunkan pelbagai bangsa di muka dunia ini di satu tempat untuk mengenali antara satu sama lain setiap tahun.

“Pelancongan melalui ibadat haji di mana jemaahnya yang datang dari pelbagai negara dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama umat,”ujarnya.

Tuan Guru menaiki keretapi dari Wakaf Bharu menuju Kuala Krai kira-kira jam 8.05 pagi tadi untuk merasmikan majlis penutup pesta berkenaan.

Turut mengiringi beliau, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, dua orang lagi anggota exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood dan Che Abdullah Md Nawi.

Turut hadir pada majlis perasmian itu, anggota-anggota Parlimen Kuala Krai dan Tanah Merah, Dr Mohd Hatta Ramli, Amran Abdul Ghani serta lain-lain wakilrakyat, pimpina peringkat Parlimen, Dun dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Terdahulu Takiyuddin memberitahu pelancong antarabangsa dan domestic mengambil kesempatan menghadiri majlis itu dengan menaiki kereta api yang ditaja oleh kerajaan negeri sepanjang pesta itu diadakan.

Katanya, perjalanan  dari Wakaf Bharu ke Gua Musang bermula 7.30 pagi, dari Tumpat, 8.05 minit dari Wakaf Bharu, 10.00 pagi tiba di Kuala Krai dan 11.30 pagi di Gua Musang di taja oleh kerajaan negeri sempena program berkenaan

Kg Baru: 'Sampai bila-bila ia akan kekal di rumah kami'


(Kain rentang ini dipasang sejak sekian lama. Apabila lusuh, mereka akan gantikan dengan yang baru)

KUALA LUMPUR: Jika sesiapa pergi ke Kampung Baru, Kuala Lumpur, sudah tentu akan terlihat kain-kain rentang yang digantung di rumah-rumah penduduknya.

Bukan satu atau dua buah rumah berbuat demikian, tetapi banyak rumah yang mempunyai kain-kain rentang ini.

Bahkan, yang lebih menariknya bukan rumah-rumah kecil atau setinggan tetapi di rumah-rumah yang kelihatan moden dan besar di perkampungan Melayu tengah bandar ini.

Mereka terus berbuat demikain meskipun Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 sudah diluluskan di Dewan Negara pada Disember tahun lalu.

Yang pasti mereka tetap konsisten membantah akta tersebut.

Kain rentang ini digantung di hadapan rumah masing-masing yang dilakukan sejak cadangan pindaan akta tersebut mula diutarakan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

(Bukan satu buah rumah yang memasangnya tetapi banyak buah rumah)

Sejak dari itu, penduduk yang membantah akta yang disifatkan membelakangkan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru mula menggantung kain rentang bagi menzahirkan bantahan mereka.

Jika melalui Jalan Raja Uda, Kampung Baru, dapat dilihat kain rentang bantahan masih lagi tergantung di di rumah-rumah mereka.

Malah, kain rentang yang sudah koyak dan luntur warna tulisannya ditukar dengan kain rentang yang baru. Untuk menurunkannya, tidak sama sekali.

Seorang pewaris tanah Kampung Baru, Yusuf Sukarman, 48, berkata, kain rentang di kediamannya tidak akan sesekali diturunkan selagi akta tersebut tidak ditarik balik.

Beliau yang merupakan antara orang paling awal menggantung kain rentang di hadapan rumah nekad meneruskan tindakan tersebut sehingga kerajaan melupakan hasrat untuk merampas tanah mereka untuk pembangunan.

Katanya, dengan berbuat demikian, orang yang lalu lalang dapat membaca apa yang dibantah mereka.

"Sampai bila-bila kain rentang itu akan kekal di rumah kami. Kalau Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya umum akan datang dan hapuskan akta yang ada sekarang, semua dah selesai, barulah kita turunkan kain rentang itu. Selagi tak selesai, selagi itulah kami tak akan turunkan," kata beliau ketika ditemui Harakahdaily baru-baru ini.

Ditanya sama ada tindakan tersebut ditegur pihak yang pro akta Kampung Baru atau tidak, Yusuf berkata, memang ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kain rentang yang mengutuk akta tersebut.

"Memang ada penduduk yang pro kerajaan tegur saya dan kata, 'cantik kain rentang' tapi saya balas balik, 'memanglah cantik dan saya boleh buat lagi cantik dan besar daripada ini'.

"Bila saya cakap macam itu, mereka diamlah dan tak berani tegur lagi sebab mereka tahu saya memang penduduk jati Kampung Baru.

"Tapi kalau mereka tengok orang yang naikkan kain rentang itu jenis yang tak bercampur dengan masyarakat tapi tiba-tiba bantah akta Kampung Baru, mereka lagi beranilah suruh turunkan," katanya yang merupakan ahli jawatankuasa Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB), badan yang giat menghalang usaha kerajaan mengambil tanah penduduk.

Yusuf juga berkata, rata-rata penduduk kampung Baru tidak bersetuju dengan akta tersebut termasuk orang Umno sendiri.

"Saya banyak juga berjumpa dengan penyokong Umno dan mereka pun tak setuju cara kerajaan nak ambil tanah Kampung baru cuma mereka tak berani nak tunjuk bantahan, masih takut-takut," katanya.

Sambil menafikan beliau menolak pembangunan, Yusuf berkata, tidak ada orang yang tidak mahukan pembangunan namun pembangunan yang akan dilakukan tidak harus mengenepikan nasib kaum Melayu.

"Kami bukan tak mahukan pembangunan tapi biarlah pembangunan yang mengekalkan ciri asal Kampung Melayu, tidak menyusahkan penduduk dan dilakukan secara telus," katanya.

PAS terus berusaha bantu pelarian Syria


KUALA LUMPUR: Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi sekali lagi telah menjejakkan kaki ke bandar Idlib yang terletak di sempadan Turki-Syria bagi menghulurkan bantuan terus bagi pihak PAS kepada ribuan pelarian Syria di sana.


Ini, katanya adalah misi kedua beliau bersama-sama pasukan perubatan dari Eropah yang berjaya masuk ke bandar Idlib dengan bantuan penduduk tempatan selepas berlakunya konflik politik berdarah yang sedang melanda di negara mereka.

“Tidak dapat digambarkan betapa sedihnya melihat bagaimana bandar yang sebelum ini aman dan damai ini kini menjadi medan pertempuran berdarah yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat awam yang tidak berdosa,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, sebahagian dari rumah-rumah kediaman, pejabat-pejabat serta  bangunan kedai kini telah musnah akibat dari bedilan berterusan tentera rejim Assad dengan menggunakan kereta kebal, jet-jet pejuang dan helikopter.

(Gambar: Syed Azman bersama beberapa anak yatim pelarian Syria.)

Katanya, adalah dianggarkan lebih dari 200,000 ribu penduduk Idlib kini terpaksa menjadi pelarian apabila mereka terpaksa berhadapan dengan bedilan dan serangan setiap hari dan tidak menampakkan sebarang jalan penyelesaian.

Mereka juga, tambah beliau menghadapi masalah bekalan elektrik dan air bersih yang terputus serta kekurangan bekalan makanan harian serta bahan perubatan yang amat terhad.

Beliau menjelaskan sebahagian besar dari mereka telah menyeberangi sempadan Turki dan kini tinggal di Perkhemahan Yei Dardar dan Perkhemahan Bonyor Yolan yang dikendalikan oleh pemuda-pemuda Ikhwan Muslimin Syria.

Sementara itu, katanya sebahagian dari penduduk Idlib yang sempat ditemui, melahirkan rasa terima kasih mereka di atas usaha yang telah di ambil oleh PAS dan seluruh rakyat Malaysia bagi membantu meringankan bebanan yang dihadapi oleh mereka.

Beliau berkata, bantuan yang dihulurkan adalah amat kecil berbanding dengan konflik berdarah yang sedang berlaku ini, namun ia tetap memberi makna dan erti yang amat besar kepada penduduk Syria yang sedang menderita itu.

“Walaupun seluruh kepimpinan PAS kini amat sibuk dengan persediaan pilihanraya serta amat sibuk berdebat mengenai isu Hudud, namun penderitaan dan bebanan yang sedang dihadapi oleh ribuan pelarian Syria ini tetap tidak dilupakan oleh keseluruhan pimpinan PAS,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, usaha membantu rakyat Syria tetap diteruskan dengan apa cara sekalipun.

“Semoga sedikit bantuan yang disalurkan ini akan dapat mengubat penderitaan rakyat Syria yang terus bermandi darah ini serta memastikan kita rakyat Malaysia tidak akan lupa kepada anak-anak kecil serta ibu-ibu yang kehilangan ayah dan suami mereka,” ujar beliau.

Sumbangan kepada rakyat Syria boleh terus disalurkan kepada; Maybank atas nama Parti Islam Se-Malaysia, akaun no. 564070703248.

Monday, September 03, 2012

Pakatan mahu tukar kerajaan, bukan bendera


KUALA LUMPUR: Pakatan berhasrat mahu menukar pemimpin kerajaan yang ada bukannya menukar bendera, kata AJK PAS PUsat, Ustaz Idris Ahmad.

"Apakah begitu mudah Pakatan Rakyat hendak menukar bendera negara. Pakatan Rakyat hendak tukar kerajaan, bukan bendera," tegas beliau.

Beliau mengulas kenyataan beberapa pihak termasuk menteri Umno yang mendakwa Pakatan mahu menukar bendera Jalur Gemilang apabila menang nanti.

Bagi beliau, aksi ini dibuat selepas gagal menyekat rakyat ke perhimpunan menjelang kemerdekaan di ibu negara baru-baru ini.

Apabila gagal menyekat kebangkitan rakyat menghadiri Himpunan Janji Demokrasi 30 Ogos 2012 maka berbagai isu  dibangkitkan oleh pemimpin Umno dengan tujuan  tuntutan pilihanraya bersih dilupakan, katanya.

Mereka cuba menimbulkan isu kononnya Pakatan Rakyat hendak menukar bendera, dan lebih teruk lagi menurut Datuk Mustafa Muhammad hendak tukar Perlembagaan.

"Kenapa terlalu daif sangat hujah pemimpin Umno dalam isu bendera hendak ditukar.

"Bilakah Pakatan Rakyat pernah mengeluarkan kenyataan untuk menukar bendera dan Perlembagaan?.

"Berapa hari bulan, di mana, minit mesyuarat mana yang mengatakan Pakatan Rakyat hendak berbuat demikian?

"Janganlah membuat provokasi dan tohmohan yang bukan-bukan kepada Pakatan," kata Idris dalam kenyataannya.

Sebelumnya, kata Idris (gambar), dituduh Pakatan Rakyat hendak menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.

Bagi beliau, kalau pun hendak menang pilihanraya janganlah kenyataan yang terlalu bodoh  dikeluarkan oleh mereka yang bertaraf menteri.

"Biarlah kenyataan seperti ini dikeluarkan oleh bloger upahan Umno sahaja," katanya.

Bagi Idris, kerana terdapat beberapa bendera yang bukan bendera Malaysia terus ditohmoh kepada Pakatan Rakyat hendak tukar bendera adalah tohmahan tidak tepat.

"Apakah begitu mudah Pakatan Rakyat hendak menukar bendera negara. Pakatan Rakyat hendak tukar kerajaan, bukan bendera," tegas beliau.

Seterusnya, beliau bertanya, tindakan pemimpin Umno yang memfitnah  Pakatan hendak menukar bendera tanpa bukti rasmi, apakah pula status Umno dengan komunis.

"Bukankah Umno pernah  mengadakan hubungan dengan Parti Komunis China (PKC)  5 Oktober 2010," katanya.
Lebih bahaya lagi  menurut Tengku Adnan Tengku Mansur selaku Setiausaha Agung Umno mengatakan, Umno  akan hantar Putera Umno dan Puteri Umno untuk belajar dengan PKC.

"Adakah rakyat juga boleh tuduh Umno hendak menjadikan negara ini  komunis?" soalnya.

Majlis Hari Raya Aidilfitri DPPKM Tahun 2012


AMK nafi mahu ganti Jalur Gemilang

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menafikan pihaknya ada kaitan dengan insiden mengibar bendera 'Sang Saka Malaya' yang didakwa bagi menggantikan Jalur Gemilang ketika Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka, Khamis lalu.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, apa yang berlaku adalah manifestasi jiwa anak muda yang celik sejarah negara.

"Kami berpendapat apa yang berlaku cumalah manifestasi suara anak muda yang cerah fikiran dan tajam pengamatan sejarah negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bendera Sang Saka Malaya ini mempunyai hubungkait dengan AMK kerana bendera tersebut telah dicipta oleh Timbalan Penerangan AMK Malaysia, Najwan Halimi.

"Apa yang dilakukan oleh Najwan adalah pada tahun 2007 lagi dan ia tidak ada kaitan dengan AMK.

"Itu hanyalah pandangan peribadi beliau sebelum ini, malah sepanjang penglibatan beliau bersama AMK perkara tersebut tidak dibincangkan," sambungnya lagi.

Sehubungan itu juga katanya, AMK tidak pernah bercadang untuk menukarkan Jalur Gemilang dengan Sang Saka Malaya malah bertegas ia akan terus kekal sebagai bendera rasmi negara ini.

Menurutnya lagi, isu ini cuba diperbesarkan seolah-olah menjadi satu isu yang berpotensi mengancam keselamatan negara.

Dalam pada itu, Shamsul juga mencabar Umno sekiranya eleman merah putih pada bendera 'Sang Saka' itu satu ancaman, maka Umno harus menukar lambang 'Sang Saka Bangsa' berkuatkuasa serta-merta.

"Kita desak Umno menukarkan bendera mereka kerana jelas terbukti bahawa hanya Umno sahaja parti yang menggunakan elemen 'Sang Saka' selaku lambang rasminya sejak awal penubuhan sehingga ke hari ini," kata beliau.

Beliau juga mengharapka, tindakan pihak berkuasa yang telah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kejadian tersebut agar berlaku adil.

"Kalau pihak polis ingin menyiasat berhubung 'Sang Saka' ataupun menghina gambar pemimpin ia perlu berlaku adil.

"Mereka juga perlu menyiasat individu yang telah menghina gambar Menteri Besar Kelantan dan juga pemimpin DAP, hendak siasat biar siasat semuanya jangan berat sebelah," tegas beliau.

Kejohanan Futsal Anak Muda Machang 2012


Jemputan Merdeka: Umno usah bermuka-muka

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS) menasihatkan pemimpin Umno agar tidak bermuka-muka kononnya membela Raja-raja Melayu apabila memainkan isu jemputan sambutan Merdeka terhadap Sultan Selangor.

Timbalan Ketuanya, Mohd Sany Hamzan berkata, Rakyat sudah muak dengan sifat  bermuka-muka dan putar belit pemimpin-pemimpin Umno dalam perkara itu dan bukti penghinaan Umno terhadap raja-raja Melayu terlalu banyak.

"DPPNS turut berasa kesal dengan politik sempit yang cuba dimainkan oleh Umno yang berlagak seumpama wira untuk mempertahankan institusi diraja sedangkan pemimpin-pemimpin Umnolah yang mempunyai sejarah hitam sebagai pengkhianat dan penderhaka kepada institusi beraja di dalam negara ini dan mereka selama ini tidak pernah barang sekali berasa sesal dan memohon maaf di atas tindakan mereka.

"DPPNS meminta supaya pemimpin–pemimpin Umno Selangor tidak perlulah cuba membodek dan menggunakan nama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk menyelamatkan kuasa politik Umno Selangor yang sudah semakin tenat," katanya.

Mengulas isu jemputan sambutan ambang Merdeka terhadap Sultan Selangor, Mohd Sany berkata isu tersebut sengaja dimainkan pihak tertentu untuk cuba untuk mengeruhkan hubungan yang terjalin baik di antara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, isu tersebut belum diketahui asal-usul punca kesilapan tetapi telah digembar-gemburkan sebagai satu penghinaan kepada institusi diraja.

"DPPNS bersetuju bahawa orang yang paling layak untuk menjelaskan kekeliruan ini adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan peringkat negeri," katanya.

Akhbar Umno, Utusan Malaysia Sabtu lalu melaporkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menuduh kerajaan Selangor tidak menghormati institusi diraja dengan mengenepikan Sultan Selangor, dalam majlis Ambang Merdeka yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam itu.

Semalam Setiausaha kepada Menteri Besar, Faekah Husin memberitahu Mohamad Khusrin telah mengesahkan bahawa Sultan Selangor tidak pernah dijemput untuk malam ambang kemerdekaan kerana Baginda akan hadir pada program rasmi pada sebelah pagi 31 Ogos iaitu Majlis Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negeri.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula mempersoal, jika kerajaan Selangor dituduh menghina raja, maka Umno lebih lagi menghina raja apabila tidak menjemput Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ke Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Bajet 2013 jadi pertaruhan BN untuk PRU13

KUALA LUMPUR: PAS menjangkakan bajet 2013 yang akan dibentangkan oleh kerajaan pada September ini sarat dengan 'gula-gula' menghadapi pilihanraya umum ke-13 (PRU13) nanti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau yakin Umno BN akan menggunakan peluang semaksima mungkin untuk menarik sokongan rakyat.

"Sudah pasti bajet ini menjadi kosmetik sepenuhnya untuk mereka menghadapi PRU13 nanti.

"Saya pasti peluang ini akan digunakan semaksima mungkin untuk mereka mendapat sokongan dari seluruh rakyat dan juga liputan yang meluas," katanya.

Beliau yang juga ahli parlimen Bukit Gantang juga menjangkakan bajet kali ini lebih tertumpu kepada kakitangan awam dan orang kampung.

"Kalau hanya melalui pemberian 'one off' di luar musim bajet, impak yang mereka perolehi tidak memberangsangkan dan itu yang dialami oleh mereka sebelum ini terhadap pemberian tayar percuma serta RM500 kepada rakyat," jelasnya.

Mengulas pertaruhan BN kepada bajet itu nanti, Nizar berkata ianya mungkin menjadi kayu ukur kepada Najib untuk membubarkan parlimen selepas melihat reaksi rakyat terhadap pembentangan bajet itu.

Menteri kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu kenyataan sebelum ini berkata draf bajet 2013 akan dibentangkan kepada jemaah menteri pada mesyuarat kabinet Rabu ini.

Bajet 2013 yang turut merangkumi cadangan serta maklum balas daripada pelbagai pihak, termasuk kumpulan tumpuan, agensi kerajaan serta sektor-sektor perindustrian itu, akan dibincangkan pada mesyuarat itu nanti.

Tempangkan 3 negeri talian hayat BN

TASIK GELUGOR: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub sekali lagi memberi peringatan kepada jentera Pakatan Rakyat agar berkerja keras jika mahu menggapai impian menguasai Putrajaya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, laluan Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya akan menjadi lebih mudah jika kedudukan BN di tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Johor dapat ditempangkan..

Ini kerana ketiga-tiga negeri itu kini adalah talian hayat Umno untuk terus kekal berkuasa.

"Tempangkan dulu tiga negeri yang menjadi teras kekuatan BN iaitu Sabah, Sarawak dan Johor sebab negeri terbabit adalah nadi Umno dan BN. 

"Jika dapat dikurangkan pasti memberi peluang Pakatan Rakyat ke Putrajaya dengan mudah sekali, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program Karnival Penerangan Terkini (KarPenTer) anjuran Lajnah Penerangan PAS Negeri dengan kerjasama PAS Tasek Gelugor di Dewan JKKK Simpang Empat Permatang Buluh semalam.

Sehubungan itu katanya, selain memberi tumpuan di negeri-negeri lain, tumpuan lebih pula perlu diberikan kepada tiga negeri ini.

Sebab itu katanya, ramai kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat kini berada di Sarawak, Sabah dan Johor ekoran terdapat angin perubahan rakyat yang sangat memberangsangkan.

Menurut beliau lagi, jika ketiga-tiga negeri ini menunjukkan perubahan besar menjelang PRU13, pasti Perdana Menteri Datuk Seri Najib tidak mampu tidur lena.

"BN memang selesa di tiga negeri tersebut. Tak apa itu situasi lama berlainan dengan sambutan masyarakat hari ini di mana Umno dan BN tidak berani lagi bersiul di tengah jalan kerana khuatir mendapat malu, " katanya.

100 motor, basikal konvoi Xpresi Hijau di Miri

MIRI: Konvoi Xpresi Hijau Anak Muda ke Putrajaya anjuran DewanPemuda PAS Malaysia semalam, berjaya menjejak kaki di Bumi Kenyalang semalam.

Konvoi yang disertai lebih 100 buah motosikal dan basikal itu bermula di bandar Miri menuju ke tapak Himpunan Hijau Tanjung Lubang dengan diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan.

Menurut Nasrudin, sambutan konvoi oleh rakyat negeri itu memberikan satu harapan baru bahawa perubahan akan berlaku pada pilihanraya umum ke 13 akan datang.

“Xpresi Hijau Anak Muda Sabah dan Sarawak menunjukkan satu signal kebangkitan menggerak perubahn menjelang PRU 13,” katanya.

Berikut antara gambar-gambar menarik di konvoi tersebut.



Tuan Ibrahim beri cara selesaikan projek bahaya


(Selamatkan negara...Tuan Ibrahim memegang salah satu banner dalam tulisan Cina)

RAUB: Di Himpunan Hijau Raub, Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man memberikan cara penyelesaian kepada rakyat untuk menyelesaikan kontroversi projek-projek berbahaya yang kini melanda negara kita.

“Untuk hentikan sianida, Lynas – satu saja caranya, kita kena hentikan BN,” demikian kata beliau di himpunan petang tadi yang dihadiri hampir 10,000 rakyat.


(Tuan Ibrahim berucap di perhimpunan)

Petang tadi, Himpunan Hijau Raub terhadap penggunaan sianida di lombong emas telah menghantar satu mesej yang jelas kepada kerajaan supaya berhenti menganggap negeri kelahiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pusat kerosakan alam sekitar dan kesihatan.

Dalam suasana seperti berpesta dan bersemangat tinggi di padang kompleks sukan Raub, para hadirin yang berpakaian hijau menyatakan bantahan mereka terhadap syarikat perlombangan Raub Australia Gold Mining Sdn Bhd yang terletak di kawasan penempatan manusia menggunakan bahan kimia berbahaya sianida yang menjejaskan kesihatan manusia.

Bantahan terhadap kilang Lynas di Gebeng, Kuantan turut kelihatan.

Mangsa utama dalam kontroversi sianida di Raub ialah penduduk Kampung Baru Bukit Koman yang mengadu pelbagai masalah kesihatan akan tetapi rintihan dan bantahan mereka sejak 2007, melalui pelbagai cara termasuk mahkamah ditolak kerajaan dan juga pengendali lombong emas tersebut.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata himpunan ini bermatlamatkan agenda untuk menyelamatkan para penduduk Pahang daripada terus dianiayai akibat kecuaian kerajaan dalam meluluskan projek berbahaya tanpa memikirkan kesan kepada penduduk dan alam sekitar.

Beliau menegaskan himpunan kali ini diketuai NGO-NGO dan tidak berasaskan kaum mahupun politik.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan ahli parlimen Raub Datuk Seri Ng Yen Yen yang turut dijemput ke himpunan ini tidak menghadirkan diri.

(Kerusi untuk kedua-dua pemimpin BN)

Adnan sebelum ini menyifatkan isu penggunaan bahan kimia sianida di lombong emas di Bukit Koman, Raub, Pahang yang didakwa sebagai punca penyakit kulit kepada penduduk hanya merupakan propaganda pembangkang.

Beliau berkata perkara itu mempunyai kaitan dengan pihak tertentu yang gagal mendapatkan projek tersebut dan parti pembangkang iaitu DAP turut mengambil kesempatan terhadap isu berkenaan.


(Orang ramai yang memenuhi perhimpunan hijau di Raub)

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkifli Omar sementara itu berkata himpunan kali ini adalah untuk menunjukkan solidariti bersama penduduk Kampung Baru Bukit Koman.

Kata beliau, sepatutnya projek lombong emas tidak boleh diadakan di kawasan tempat kediaman.

“Ini kena diletakkan di kawasan industri berat. Aduan penduduk sekian lama tidak dilayan, ini adalah antara sebab perhimpunan diadakan,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Pahang, katanya, telah menjadi pusat kerosakan alam sekitar dan kesihatan dengan adanya kilang Lynas yang mengeluarkan sisa-sisa radioaktif dan Australia Gold Mining dengan penggunaan sianida.

“Ini ditambah pula dengan kematian Tasik Chini,” kata beliau, sambil menambah kesan teruk pada alam sekitar adalah faktor kebangkitan rakyat menentang kerajaan.


(Zulkifli bersama Maria Chin)

Bahan kimia sianida, kata Zulkifli sudahpun diharamkan penggunaannya di beberapa negera seperti German, Eropah, Montana, Czech Republic, Belanda dan sebagainya.

Kes bencana ekologi Baia Mare pada 2000 di Romania telah mendedahkan bagaimana sianida telah mencemari air minuman 3 juta penduduk.

Zulkifli berkata kerajaan harus berhati-hati menarik pelaburan, dan memastikan kilang-kilang berbahaya ini terletak jauh daripada kawasan kediaman dan di kawasan yang dikhaskan untuk industri berat.

“Sianida ini cepat larut. Kilang mesti menggunakan bahan kimia alternatif untuk memproses emas,” katanya.


(Antara tetamu utama yang hadir)

Selain Tuan Ibrahim dan Zulkifli, antara pemimpin Pakatan Rakyat yang turut hadir ialah Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah, ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Adun Sekinchan Ng Suee Lim, ahli parlimen Bakri Er Tech Hwa dan aktivis Bersih Maria Chin Abdullah dan Hishamuddin Rais.

Kegagalan Raub Australia Gold Mining untuk menghantar wakil seperti yang dijanjikan untuk menerima nota bantahan amat dikesali.

Akhirnya, penganjur (Jawatankuasa Bantah Sianida yang diketuai Wong Kin Hoong) menyerahkan salinan dokumen itu kepada Ketua Polis Daerah Raub Wan Mohd Samsudin Wan Osman dan mendesaknya memastikan salinan itu sampai ke meja presiden syarikat itu.

Anwar, Mahfuz diserang dalam masjid


ALOR STAR: Sekumpulan samseng yang dipercayai ahli Perkasa hari ini bertindak ganas dengan menyerang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan tazkirah Maghrib di sebuah masjid di Seberang Pumpong, Alor Star, Kedah.

Menurut laporan Keadilandaily, tindakan biadap itu tercetus apabila beberapa pemuda berhimpun dan memulakan provokasi ketika Anwar hendak menyampaikan tazkirah di dalam masjid Al Husin.

Mereka juga bertindak memadamkan lampu masjid dan alat pembesar suara berulangkali, memaksa Anwar menggunakan loud hailer untuk meneruskan kuliahnya.

Kumpulan terbabit juga mengeluarkan kata-kata kesat dan membaling kasut ke dalam masjid ketika tazkirah disampaikan. Malah, mereka turut menggunakan pembesar suara dan membunyikan siren ketika Anwar menyampaikan tazkirah.

Ketua kumpulan itu yang hanya dikenali sebagai Dato Yusof dikatakan mengugut bertindak lebih keras sekiranya Anwar tidak menghentikan kuliahnya serta-merta.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan tiada apa yang perlu ditakutkan menyebabkan jemaah masjid terus mendengar kuliah beliau.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang berada di masjid itu turut menjadi sasaran apabila kasut yang dibaling hampir-hampir mengenai beliau.

Kejadian serangan terhadap ketua pembangkang ini adalah insiden kedua selepas bas jelajah Merdeka Rakyat dibaling batu dan disimbah cat merah di Kelantan, semalam.

Budaya samseng menular menjelang PRU-13


KUALA KRAI: Rakyat Kelantan malu tindakan pihak tertentu mempamerkan aksi samseng sehingga menyebabkan bas Program Merdeka Rakyat dipecahkan cermin dan disimbah cat merah.

Kejadian itu merupakan kali kedua berlaku di Kelantan, di mana sebelum ini kereta dinaiki Datuk Seri Anwar Ibrahim ditendang di Jalan Sultan Ibrahim ketika mahu menghadiri program ceramah di Padang Perdana.

Dan awal pagi semalam pula bas rombongan Program Merdeka Rakyat yang di parkir berhampiran Pasar Besar Siti Khatijah pula menjadi mangsa pihak terbabit.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, di belakang insiden itu pastinya musuh politik kepada Pakatan Rakyat.

“Insiden itu dianggap biadap dan memalukan orang Kelantan. Ia jelas menyalahi budaya orang Kelantan yang terkenal dengan kemesraan dan menyambut tetamu dengan penuh hormat.

“Tindakan pihak terbabit jauh sekali dengan budaya Islam. Pemuda PAS amat kesal terhadap apa yang berlaku,” katanya di sini.

Beliau yang juga Adun Mengkebang berkata, sekiranya tidak berpuas hati mereka perlu berdepan dengan hujah.

Menurutnya juga mungkin ada kebenaran pengakuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tentang lebih baik menyokong parti syaitan yang dikenali berbanding malaikat yang tidak dikenali.

“Pemuda bimbang budaya samseng inilah yang akan terbawa-bawa sehingga PRU ke-13. Jika BN kalah mereka akan mempertahankan Putrajaya dengan apa cara sekali pun,” katanya.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir berharap pihak berkuasa menyiasat dengan telus isu tersebut kerana ia sudah dua kali berlaku di Kelantan membabitkan Anwar.

Di Gerik, Perak semalam kelihatan dua sepanduk yang dipasang di laluan Gerik-Jeli bagi mencemuhkan Ketua Pembangkang.

Laluan tersebut dilalui rombongan Anwar untuk ke Kedah dan Perak dalam misi jelajah Merdeka Rakyat selepas menghadiri program di Kelantan.

Himpunan Hijau

Sementara itu dalam perkembangan lain PAS Kelantan akan menganjurkan dua program serentak pada 15 September ini iaitu Himpunan Hijau Ke Putrajaya dan Jamuan Aidilfitri.

Ketua Penerangan PAS negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, program berkenaan akan diadakan di Dewan Majlis Daerah Machang (MDM) dan padang MDM.

Katanya, program Himpunan Hijau akan menampilkan pidato oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Ibrahim Tuan Man.

“Pada hari tersebut juga diadakan program Anak Muda Kelantan Ekspresi Hijau melibatkan program ceramah, motivasi anak muda dan persembahan hiburan.

“Pada sebelah pagi pula program khas muslimat akan diadakan di dewan MDM,” ujarnya.

Manakala di RANTAU PANJANG 4 September ini, bekas anggota Parlimen Batu Berendam, Datuk Tamrin Ghafar akan menyampaikan ceramah merdeka  di Pusat Tarbiah Rantau Panjang.

Selain itu turut ditampilkan bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Dr Rosli Yaakub dan bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Sabri Shafii.

Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun berkata, ceramah tersebut diadakan sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-55

Di KOTA BHARU pula diadakan solat hajat dan ceramah perdana yang akan menampilkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud.

Program tersebut akan diadakan 3 September (esok) di Padang Perdana bermula jam 8 malam.

Di MACHANG ceramah perdana sempena merdeka akan menampilkan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin dan Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof.

Program ceramah tersebut akan diadakan pada 4 September di Pasti Paloh Rawa, Dun Temangan.

Sunday, September 02, 2012

Kes fitnah: AKSB saman Azmi Ali RM1 juta

KOTA BHARU: Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Che Ali kini berdepan tuntutan saman berjumlah RM1 juta ekoran mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Kenyataan itu disiarkan The New Straits Times (NST) pada 29 Mei bertajuk “Kelantan Misused RM600m in Loans” dianggap tidak benar, memfitnah kerana menuduh plaintif menyalahguna sebahagian dana RM600 juta membiayai perjalanan di luar negara oleh pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Azmi dalam kenyataan itu mendakwa mereka yang turut serta dalam perjalanan tersebut termasuk anggota Exco dan beberapa pegawai kerajaan negeri serta wakil AKSB.

AKSB dalam tuntutannya menyebut Azmi bersama empat lagi defendan bertanggungjawab menyebabkan tersiarnya artikel tersebut, di mana secara jelas menyebut berita tidak benar dan tidak berasas dikaitkan dengan plaintif.

Turut dinamakan sebagai defendan iaitu MTRK; Pengarang Urusan Kumpulan NST, Abdul Jalil Hamid; Penyunting Kumpulan NST, Syed Nadzri Syed Harun dan New Straits Times (M) Bhd.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, kes terbabit ditetapkan untuk pengurusan kes sebelum bicara pada 19 September ini. Defendan belum lagi melantik peguam.

Hisham berkata, tulisan yang disiarkan akhbar tersebut secara jelas bermaksud bahawa plaintif terlibat dengan korupsi sehingga gagal dalam tanggungjawab menggunakan wang pinjaman tersebut.

Sebelum ini plaintif melalui peguamcara mengemukakan notis tuntutan kepada defendan-defendan menuntut supaya menarik balik artikel tersebut, memohon maaf secara terbuka kepada plaintif dan membayar gantirugi.

Namun defendan-defendan enggan berbuat demikian dan tidak mahu memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi.

Selain itu plaintif juga menuntut defendan menyiarkan permohonan maaf tersebut sebagai berita utama di muka surat hadapan dalam NST, mengiklan permohonan maaf tersebut dalam akhbar Utusan Malaysia atau Berita Harian.

AKSB juga menuntut ganti rugi teladan, ganti rugi melampau, ganti rugi punitif.

Sambutan Merdeka jadi sambutan politik Umno BN

KUALA LUMPUR: Biarpun sepatutnya sambutan Hari Merdeka diraikan seluruh rakyat sengan mengenepikan segala perbezaan, namun perhimpunan “Merdeka 55: Janji Ditepati” di Stadium Bukit Jalil kelmarin dilihat tetap dipolitikkan oleh BN.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, Datuk Seri Najib Razak gagal menonjolkan dirinya sebagai Perdana Menteri dalam perhimpunan itu sebaliknya lebih menunjukkan dirinya sebagai Presiden Umno.

Ianya merujuk kepada ucapan penutup Najib yang mendakwa "pihak pembangkang dan musuh negara sedang mencuba menyebabkan porak peranda di negara ini.”

"Saya berasa kesal dan sedih apabila Perdana Menteri mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap pihak pembangkang sebagai ucapan beliau bagi sambutan kemerdekaan.

"Semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, negeri, status atau pendirian politik patut mengenepikan semua perbezaan politik mereka, sekurang-kurangnya untuk 24 jam dan bersatu sebagai satu entiti rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun menurut Kit Siang, pertimbangan Najib salah jika beliau berfikir boleh mempengaruhi pemikiran dan semangat patriotisme rakyat dengan ucapan fitnah sedemikian.

Katanya, tokoh patriot dan nasionalis sebenar Malaysia merupakan bukan daripada puak yang menyalahgunakan kuasa dan posisi mereka dan yang memakan rasuah, tetapi oleh golongan yang rela dan bersedia berkorban untuk mempertahankan hak-hak asasi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama, dan juga sehingga dipenjarakan, hilang kebebasan asas diatas nama perjuangan untuk apa yang betul.

"Ini merupakan bukti kukuh bahawa sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 telah dirampas simbol, erti dan identiti oleh Umno BN sebagai sebahagian daripada usaha terdesak mereka.

"Jika Perdana Menteri sendiri tidak boleh menjadi contoh kepada rakyatnya, bolehkah kita menyalahkan Menteri Kabinet yang gagal berkelakuan sebegitu," soalnya.

Mengulas komik propaganda yang diedar ketika sambutan Merdeka itu, Kit Siang berkata ia adalah bukti bahawa kenyataan kononnya sambutan Hari Merdeka Ke-55 di Bukit Jalil satu sambutan kebangsaan dan bukan satu sambutan Umno BN adalah palsu semata-mata.

Pemuda PAS S'wak gesa TV3 mohon maaf

BINTULU: Dewan Pemuda PAS Sarawak menggesa pihak TV3 memohon maaf ekoran kenyataan seorang pengacaranya melabelkan Bintulu sebagai kawasan dhaif.

Ketuanya, Mohd Arifiriazul Paijo berkata, kenyataan spontan pengacara Nurul Syuhada Nurul Ain semasa lintas langsung stesen itu kelmarin "benar-benar mengguris hati rakyat Sarawak".

"Kenyataan spontan mengenai kedhaifan Bintulu ini menunjukkan ketidakpedulian pengacara TV3 tersebut, yang juga merupakan seorang wartawan. Jika kualiti kewartawanan di TV3 adalah sebegini rendah, tidak hairanlah berita-berita di TV3 setaraf berita kedai kopi, penuh fitnah dan tangkap muat.

"Tidak hairanlah, saban hari berita di TV3 dipenuhi cerita dongeng, tuduhan dan fitnah terutama kepada parti Pakatan Rakyat. Rakyat hendaklah sedar hakikat TV3 bukanlah suatu saluran televisyen yang boleh dipercayai," luahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Arifiriazul yang juga Ketua Penerangan PAS Miri, Bintulu merupakan bandar ketiga terbesar di Sarawak dan menjadi hub industri LNG di Sarawak dan merupakan antara penyumbang utama pendapatan negara.

Beliau juga berkata, isu ini juga timbul kerana kegagalan kerajaan negeri membangunkan negeri Sarawak, hingga dilabel dhaif.

Masyarakat umum katanya masih menganggap Sarawak sebagai negeri miskin dan dhaif, kecuali di kawasan bandar seperti Kuching.

"Ini merupakan satu persepsi umum yang ada benarnya. Dengan hasil minyak mencecah 100000 tong sehari, ditambah pula hasil gas dan pembalakan, negeri Sarawak merupakan negeri paling kaya hasil bumi.

"Namun hakikat yang perlu diterima oleh rakyat ialah negeri bertuah ini masih mundur dan terbelakang berbanding negeri-negeri lain," katanya.

Semalam, Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) juga dilapor mahu Nurul Syuhada meminta maaf secara terbuka atas kenyataannya itu bagi meredakan kemarahan penduduk.

Pandi berkata, Nurul Syuhada kurang arif mengenai Bintulu sehingga beranggapan Bintulu sebagai daif walhal Bintulu merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan hasil gas dan minyaknya.

"Kami menggesa pihak TV3 memohon maaf atas ucapan semberono pengacara mereka mengenai Bintulu.

"Kami menasihatkan pihak TV3 mewajibkan kerja rumah kepada semua wartawan mereka sebelum menerbitkan sesuatu berita. Biarlah intergriti wartawan lain tidak terjejas dengan kesilapan pengacara ini," kata Arifiriazul.

Bas: Nik Aziz kesal, Anwar teruskan jelajah


(Anwar dan Wan Azizah melihat bas yang disimbah cat dan dibaling batu)

KOTA BHARU: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan meneruskan program Jelajah Merdeka walaupun bas yang dinaikinya telah diserang manakala Menteri Besar Kelantan kesal ianya berlaku di negeri itu.

Ketika memberitahu Harakahdaily, beliau berkata peringkat permulaan laporan polis dibuat, kemudian program jelajah itu akan diteruskan mengikut jadual.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu meninjau bas yang dinaikinya yang telah disimbah cat dan dilontar dengan benda keras pagi tadi.

Bas berkenaan masih berada di bandar Kota Bharu, berhampiran Masjid Al-Baroah dan Pasar Siti Khadijah.

Beliau memberitahu lagi, perkara itu telah menjadi biasa baginya memandangkan pernah diserang sebelum ini dengan kereta yang dinaiki.

“Saya dah biasa kena serang sebelum ni dibaling batu.

“Saya tidak  akan patah semangat dengan kejadian ini dan program jelajah merdeka ini akan diteruskan selepas ni ke Grik, Perak pulak,”ujarnya.

Sementara itu,  Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika meninjau perkembangan bas melahirkan rasa kesal terhadap kejadian itu.

Tuan Guru pula berkata kejadian itu berlaku berpunca dari manusia yang hilang fikiran sehingga ‘memuja’ nafsu.

Menurutnya, nafsu pada manusia ini ada dua, ada buruk dan taqwa.

“Tetapi bila manusia memilih ajaran secular berbanding Islam, perkara sedemikian pasti akan berlaku.

“Bagaimanapun, pejuang ulama terutama para Nabi telah mendahului kita menerima ujian ini,”ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan perasaan ‘malu’ dan kecewa memandangkan perkara itu berlaku di Kelantan.

Tambahnya, sedangkan pertelingkahan antara PAS dan Umno telah lama reda berikutan kedua pihak tidak menghianati antara satu sama lain.

“Tiba-tiba perkara ini berlaku di Kelantan, tapi saya tahun ianya datang dari luar,”ujarnya.

Bas Jelajah Merdeka diserang di Kota Bharu


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail meminta pasukan kerja Jelajah Merdeka Rakyat tidak patah semangat dengan kejadian bas mereka diserang di Kota Bharu pagi ini.

“Ini berupa siri serangan ganas ke atas pimpinan dan prog pkr,” ujarnya melalui twitter.

Sehubungan itu, beliau meminta Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi mengadakan sidang media di ibu pejabat parti itu pagi ini.

Rafizi memaklumkan bahawa satu sidang media tergempar bagi menerangkan dan mengecam serangan ke atas bas kempen Jelajah Merdeka Rakyat akan diadakan pada jam 11 pagi ini di ibu pejabat PKR, Tropicana, Petaling Jaya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula melalui twitternya pula menyatakan ‘Jelajah Merdeka Rakyat: Bas diserang di KB jam 5pagi -cat merah dan pecah cermin. Samseng bermarajalela. Staf ke IPD buat lapuran’.