PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menafikan
pihaknya ada kaitan dengan insiden mengibar bendera 'Sang Saka Malaya'
yang didakwa bagi menggantikan Jalur Gemilang ketika Himpunan Janji
Bersih di Dataran Merdeka, Khamis lalu.
Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, apa yang berlaku adalah manifestasi jiwa anak muda yang celik sejarah negara.
"Kami
berpendapat apa yang berlaku cumalah manifestasi suara anak muda yang
cerah fikiran dan tajam pengamatan sejarah negara," katanya pada sidang
media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.
Beliau berkata
demikian sebagai mengulas dakwaan bendera Sang Saka Malaya ini mempunyai
hubungkait dengan AMK kerana bendera tersebut telah dicipta oleh
Timbalan Penerangan AMK Malaysia, Najwan Halimi.
"Apa yang dilakukan oleh Najwan adalah pada tahun 2007 lagi dan ia tidak ada kaitan dengan AMK.
"Itu
hanyalah pandangan peribadi beliau sebelum ini, malah sepanjang
penglibatan beliau bersama AMK perkara tersebut tidak dibincangkan,"
sambungnya lagi.
Sehubungan itu juga katanya, AMK tidak pernah
bercadang untuk menukarkan Jalur Gemilang dengan Sang Saka Malaya malah
bertegas ia akan terus kekal sebagai bendera rasmi negara ini.
Menurutnya lagi, isu ini cuba diperbesarkan seolah-olah menjadi satu isu yang berpotensi mengancam keselamatan negara.
Dalam
pada itu, Shamsul juga mencabar Umno sekiranya eleman merah putih pada
bendera 'Sang Saka' itu satu ancaman, maka Umno harus menukar lambang
'Sang Saka Bangsa' berkuatkuasa serta-merta.
"Kita desak Umno
menukarkan bendera mereka kerana jelas terbukti bahawa hanya Umno sahaja
parti yang menggunakan elemen 'Sang Saka' selaku lambang rasminya sejak
awal penubuhan sehingga ke hari ini," kata beliau.
Beliau juga
mengharapka, tindakan pihak berkuasa yang telah menubuhkan pasukan khas
untuk menyiasat kejadian tersebut agar berlaku adil.
"Kalau pihak polis ingin menyiasat berhubung 'Sang Saka' ataupun menghina gambar pemimpin ia perlu berlaku adil.
"Mereka
juga perlu menyiasat individu yang telah menghina gambar Menteri Besar
Kelantan dan juga pemimpin DAP, hendak siasat biar siasat semuanya
jangan berat sebelah," tegas beliau.
No comments:
Post a Comment