KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan sekali lagi tampil
membuktikan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik)
cuba bermain politik dalam isu khutbah Jumaat dan Aidilfitri.
Teks khutbah Jumaat dikeluarkan Maik pada 31 Ogos lalu bertajuk “Hari
Kemerdekaan” didapati mengandungi beberapa saranan dan sindiran
berbentuk politik sehingga menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan
banyak pihak.
Antaranya berbunyi “Jagalah kemerdekaan, jagalah bangsa,
selamatkanlah agama, selamatkan negara daripada sebarang anasir yang
sanggup menjadi tali barut kuasa luar, kuasa asing yang memang tidak
putus asa untuk memerintah negara ini.
“Kalau negara ini jatuh lagi ke tangan orang lain maka untuk
mengambil semula, untuk bangun kembali, bangsa kita, umat kita, akan
berhadapan dengan jalan yang amat sukar. Mungkin tidak keterlaluan untuk
mengatakan mustahil dapat merampas kembali”.
Pengarah
Jabatan Kerajaan dan Swasta, Pemuda PAS Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul
Kadir berkata, ungkapan yang ditulis Maik dalam khutbah tersebut secara
mudah dapat ditafsir orang ramai.
Katanya, ahli-ahli jemaah tertanya-tanya kepada siapakah sindiran tersebut ditujukan.
“Apakah teks khutbah Jumaat Maik menganjurkan supaya bangsa Melayu
memaksakan kehendak mereka dan tidak lagi perlu mengambil kira pendapat
dan sensitiviti bangsa-bangsa lain dalam mengharmonikan kehidupan
masyarat.
“Saya berharap Timbalan Yang Dipertua Maik meneliti terlebih dahulu
teks khutbah Jumaat Maik sebelum mengeluarkan kenyataan bahawa ia bebas
daripada sebarang unsur politik,” katanya di sini.
Sebelum ini pelbagai pihak mempertikaikan khutbah Aidifitri
dikeluarkan Maik kerana secara jelas mempamerkan sikap berpihak dan
bertentangan dengan aspirasi kerajaan negeri.
Ekoran itu ramai khatib menokok tambah khutbah tersebut supaya isinya
lebih segar, namun Maik pula dalam satu kenyataan dilaporkan mahu
mengambil tindakan terhadap imam terbabit.
Dr Rosli berkata, masyarakat yang celik politik sekarang dapat
mengasosiasikan kenyataan-kenyataan tersebut dengan pihak yang ingin
dikaitkan.
“Maik bukan sahaja tidak boleh berpolitik tetapi ia juga tidak boleh dilihat sebagai berpolitik.
“Persepsi masyarakat sekarang Maik telah mula berpolitik dalam teks
khutbah dengan menyeru secara halus mereka supaya menolak pihak
tertentu,” katanya.
Menurutnya apabila persepsi sebegini wujud maka kredibiliti Maik di mata masyarakat sudah tentu akan terjejas.
“Saya juga menyeru Mufti Kelantan selaku Pengerusi Panel Penyedia
Teks-Teks Khutbah Jumaat Maik supaya dapat mengambil tindakan segera.
“Sebarang persoalan yang berbangkit sepatutnya perlu dijelaskan. Bagi
sesiapa yang mahu berpolitik eloklah mereka segera meletak jawatan dan
terjunlah ke dunia politik.
“Jangan pula hanya berani berselindung di sebalik institusi tertentu
untuk menghentam pihak-pihak lain secara bersembunyi,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment