Tuesday, September 04, 2012

PAS terus berusaha bantu pelarian Syria


KUALA LUMPUR: Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi sekali lagi telah menjejakkan kaki ke bandar Idlib yang terletak di sempadan Turki-Syria bagi menghulurkan bantuan terus bagi pihak PAS kepada ribuan pelarian Syria di sana.


Ini, katanya adalah misi kedua beliau bersama-sama pasukan perubatan dari Eropah yang berjaya masuk ke bandar Idlib dengan bantuan penduduk tempatan selepas berlakunya konflik politik berdarah yang sedang melanda di negara mereka.

“Tidak dapat digambarkan betapa sedihnya melihat bagaimana bandar yang sebelum ini aman dan damai ini kini menjadi medan pertempuran berdarah yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat awam yang tidak berdosa,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, sebahagian dari rumah-rumah kediaman, pejabat-pejabat serta  bangunan kedai kini telah musnah akibat dari bedilan berterusan tentera rejim Assad dengan menggunakan kereta kebal, jet-jet pejuang dan helikopter.

(Gambar: Syed Azman bersama beberapa anak yatim pelarian Syria.)

Katanya, adalah dianggarkan lebih dari 200,000 ribu penduduk Idlib kini terpaksa menjadi pelarian apabila mereka terpaksa berhadapan dengan bedilan dan serangan setiap hari dan tidak menampakkan sebarang jalan penyelesaian.

Mereka juga, tambah beliau menghadapi masalah bekalan elektrik dan air bersih yang terputus serta kekurangan bekalan makanan harian serta bahan perubatan yang amat terhad.

Beliau menjelaskan sebahagian besar dari mereka telah menyeberangi sempadan Turki dan kini tinggal di Perkhemahan Yei Dardar dan Perkhemahan Bonyor Yolan yang dikendalikan oleh pemuda-pemuda Ikhwan Muslimin Syria.

Sementara itu, katanya sebahagian dari penduduk Idlib yang sempat ditemui, melahirkan rasa terima kasih mereka di atas usaha yang telah di ambil oleh PAS dan seluruh rakyat Malaysia bagi membantu meringankan bebanan yang dihadapi oleh mereka.

Beliau berkata, bantuan yang dihulurkan adalah amat kecil berbanding dengan konflik berdarah yang sedang berlaku ini, namun ia tetap memberi makna dan erti yang amat besar kepada penduduk Syria yang sedang menderita itu.

“Walaupun seluruh kepimpinan PAS kini amat sibuk dengan persediaan pilihanraya serta amat sibuk berdebat mengenai isu Hudud, namun penderitaan dan bebanan yang sedang dihadapi oleh ribuan pelarian Syria ini tetap tidak dilupakan oleh keseluruhan pimpinan PAS,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, usaha membantu rakyat Syria tetap diteruskan dengan apa cara sekalipun.

“Semoga sedikit bantuan yang disalurkan ini akan dapat mengubat penderitaan rakyat Syria yang terus bermandi darah ini serta memastikan kita rakyat Malaysia tidak akan lupa kepada anak-anak kecil serta ibu-ibu yang kehilangan ayah dan suami mereka,” ujar beliau.

Sumbangan kepada rakyat Syria boleh terus disalurkan kepada; Maybank atas nama Parti Islam Se-Malaysia, akaun no. 564070703248.

No comments: