KOTA BHARU: Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan
(MTRK), Azmi Che Ali kini berdepan tuntutan saman berjumlah RM1 juta
ekoran mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Air Kelantan Sdn
Bhd (AKSB).
Kenyataan itu disiarkan The New Straits Times (NST) pada 29 Mei bertajuk “Kelantan Misused RM600m in Loans”
dianggap tidak benar, memfitnah kerana menuduh plaintif menyalahguna
sebahagian dana RM600 juta membiayai perjalanan di luar negara oleh
pegawai-pegawai kerajaan negeri.
Azmi dalam kenyataan itu mendakwa mereka yang turut serta dalam
perjalanan tersebut termasuk anggota Exco dan beberapa pegawai kerajaan
negeri serta wakil AKSB.
AKSB dalam tuntutannya menyebut Azmi bersama empat lagi defendan
bertanggungjawab menyebabkan tersiarnya artikel tersebut, di mana secara
jelas menyebut berita tidak benar dan tidak berasas dikaitkan dengan
plaintif.
Turut dinamakan sebagai defendan iaitu MTRK; Pengarang Urusan
Kumpulan NST, Abdul Jalil Hamid; Penyunting Kumpulan NST, Syed Nadzri
Syed Harun dan New Straits Times (M) Bhd.
Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, kes terbabit ditetapkan untuk
pengurusan kes sebelum bicara pada 19 September ini. Defendan belum lagi
melantik peguam.
Hisham berkata, tulisan yang disiarkan akhbar tersebut secara jelas
bermaksud bahawa plaintif terlibat dengan korupsi sehingga gagal dalam
tanggungjawab menggunakan wang pinjaman tersebut.
Sebelum ini plaintif melalui peguamcara mengemukakan notis tuntutan
kepada defendan-defendan menuntut supaya menarik balik artikel tersebut,
memohon maaf secara terbuka kepada plaintif dan membayar gantirugi.
Namun defendan-defendan enggan berbuat demikian dan tidak mahu memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi.
Selain itu plaintif juga menuntut defendan menyiarkan permohonan maaf
tersebut sebagai berita utama di muka surat hadapan dalam NST,
mengiklan permohonan maaf tersebut dalam akhbar Utusan Malaysia atau
Berita Harian.
AKSB juga menuntut ganti rugi teladan, ganti rugi melampau, ganti rugi punitif.
No comments:
Post a Comment