Monday, September 03, 2012

Bajet 2013 jadi pertaruhan BN untuk PRU13

KUALA LUMPUR: PAS menjangkakan bajet 2013 yang akan dibentangkan oleh kerajaan pada September ini sarat dengan 'gula-gula' menghadapi pilihanraya umum ke-13 (PRU13) nanti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau yakin Umno BN akan menggunakan peluang semaksima mungkin untuk menarik sokongan rakyat.

"Sudah pasti bajet ini menjadi kosmetik sepenuhnya untuk mereka menghadapi PRU13 nanti.

"Saya pasti peluang ini akan digunakan semaksima mungkin untuk mereka mendapat sokongan dari seluruh rakyat dan juga liputan yang meluas," katanya.

Beliau yang juga ahli parlimen Bukit Gantang juga menjangkakan bajet kali ini lebih tertumpu kepada kakitangan awam dan orang kampung.

"Kalau hanya melalui pemberian 'one off' di luar musim bajet, impak yang mereka perolehi tidak memberangsangkan dan itu yang dialami oleh mereka sebelum ini terhadap pemberian tayar percuma serta RM500 kepada rakyat," jelasnya.

Mengulas pertaruhan BN kepada bajet itu nanti, Nizar berkata ianya mungkin menjadi kayu ukur kepada Najib untuk membubarkan parlimen selepas melihat reaksi rakyat terhadap pembentangan bajet itu.

Menteri kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu kenyataan sebelum ini berkata draf bajet 2013 akan dibentangkan kepada jemaah menteri pada mesyuarat kabinet Rabu ini.

Bajet 2013 yang turut merangkumi cadangan serta maklum balas daripada pelbagai pihak, termasuk kumpulan tumpuan, agensi kerajaan serta sektor-sektor perindustrian itu, akan dibincangkan pada mesyuarat itu nanti.

No comments: