Monday, July 02, 2012

Ribuan di Himpunan Hijau Pahang sekarang



KERDAU: Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Pahang yang sedang berlangsung di Dataran PAS di Kerdau di sini menarik kehadiran puluhan ribu rakyat negeri itu.

Sekarang ini sedang berlangsung ucapan pempimpin Pakatan Rakyat khususnya PAS termasuk Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang akan menyampaikan amanat pilihan raya sebentar nanti.

Program yang bermula petang tadi diisi dengan Xpresi Anak Muda anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat yang menampilkan pelbagai program untuk belia.

Antaranya persembahan lagu-lagu dakwah oleh artis tersohor serta ucapan pemimpin pemuda.

Berikut antara gambar-gambar suasana sepanjang program berlangsung sejak petang tadi.









Ketibaan konvoi bermotor pemuda PAS Pahang ke tapak himpunan hijau.








Muslimat bersama Ustaz Nik Zawawi Salleh, SU Majlis Syura Ulama' dan penyanyi, Aishah.










Pak Long mempersembahkan lagu ketuhanannya yang sungguh syahdu sempena Xpresi Hijau Anak Muda di Kerdau, Pahang.





Bacaan Ikrar dan Baiah pejuang dibaca oleh Ketua DPP Pahang Ustaz Shahril Azman al Hafiz.

Takut panggil PRU, kemenangan moral buat Pakatan


SHAH ALAM:
'Ketakutan' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sehingga kini masih belum berani untuk mengumumkan pembubaran parlimen adalah satu kemenangan moral kepada Pakatan Rakyat.

Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, alasan Najib kononnya untuk menunggu mandat lima tahun sebelum mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-13 menggambarkan 'ada sesuatu' yang belum meyakinkan presiden Umno itu.

"Satu daripada kemenangan moral kita ialah bila Umno tak berani nak bubar parlimen.

"Lepas sehari, sehari ditangguh. Tentu ada sesuatu. Masalah apa kita tak tahu, yang pasti dia (Najib) 'serabut perut'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Temu Mata Anak Rantau Panjang D'Perantauan yang diadakan di dewan Wisma PKPS di sini semalam.

Selepas pelbagai spekulasi timbul mengenai tarik PRU-13, dan desakan tidak henti-henti dari Pakatan Rakyat, Najib semalam tampil dengan kenyataan membayangkan pilihan raya tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Beliau memberi alasan kononnya mahu menunggu mandat lima tahun sebelum mengadakan pilihan raya umum kali ini.

Mengulas lanjut 'ketakutan' Najib itu, Tuan Guru yang juga Menteri Besar Kelantan tidak menolak kemungkinan ianya disebabkan kebangkitan rakyat yang kini semakin ramai menyokong Pakatan Rakyat.

"Semalam di Johor, tak pernah lagi sebegitu ramai.

"Ini membuktikan kesedaran dan gelombang perubahan itu wujud," katanya.

Sementara itu, hadir sama dalam program itu Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Yusof, Adun Gual Periok Ustaz Mohamad Awang, Adun Meranti Nusuruddin Daud dan Adun Bukit Tuku Abd Fatah Haron.

Lebih 200 anak Rantau Panjang turut hadir dalam majlis itu.

Kelantan akan terus terajui perubahan - Nik Aziz



SHAH ALAM:
Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru rakyat negeri itu agar kekal memberi mandat kepada PAS pada pilihan raya akan datang supaya nilai dan budaya Islam dapat terus disuburkan.

Menurutnya, sejak PAS mentadbir negeri itu pelbagai perkara baru diperkenalkan kerajaan negeri untuk memberi kebaikan rakyat yang selari dengan suruhan agama Islam itu sendiri.

Beliau memberi contoh sistem pajak gadai Islam Ar-Rahnu yang bukan sahaja bebas riba malah memberi keadilan kepada rakyat dan kini ditiru pula pihak lain.

Selain itu banyak lagi perkara lain yang Kelantan menjadi perintis perubahan termasuk peraturan papan iklan yang mensyaratkan wanita menutup aurat.

"Kelantan boleh buat macam itu kerana ada kerajaan. Kenapa ada kerajaan? Kerana ada undi.

"Bila orang undi kita parti PAS yang dasar kita Islam, maka kita boleh buat banyak lagi benda-benda baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Temu Mata Anak Rantau Panjang D'Perantauan yang diadakan di dewan Wisma PKPS di sini semalam.

Gambar: YAB Tuan Guru sejurus tiba di Dewan Orkid, WISMA PKPS, Seksyen 14 Shah Alam.

Sejak memerintah negeri pada tahun 1990, lebih 100 perubahan besar telah dilakukan kerajaan negeri khususnya program yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Sehubungan itu katanya, rakyat Kelantan perlu terus bersama kerajaan negeri bagi membolehkan banyak lagi perkara-perkara baik dicetuskan pada masa akan datang.

"Orang lain tiru benda baik yang kita buat, dapat pahala.

"Kerajaan dapat pahala, orang yang undi kerajaan yang buat baik itu pun dapat pahala," katanya.

Dalam pada itu lebih 200 anak Rantau Panjang di perantauan hadir dalam majlis pertemuan itu semalam.

Selain Tok Guru, turut hadir adalah Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Yusof, Adun Gual Periok Ustaz Mohamad Awang, Adun Meranti Nusuruddin Daud dan Adun Bukit Tuku Abd Fatah Haron.

Zailah ketika mengulas program semalam mengucapkan tahniah atas kehadiran anak-anak Rantau Panjang ke program itu.

"Saya ucap tahniah dan terima kasih kepada yang hadir. Rata-rata yang saya jmpa itu saya kenal keluarga mereka dan majoriti di sini anak Rantau Panjang.

"Ramai antara mereka ini beritahu saya dah tak sabar nak mengundi," katanya.

Terdahulu pelbagai aktiviti dijalankan pada sebelah paginya termasuk perlawanan futsal anjuran Dewan Pemuda PAS Rantau Panjang.

Pasukan 'IR Land' menjadi juara apabila menewaskan pasukan 'Tepi Sungai' 2-0.

Pasukan 'Suara Anak Muda RP' pula di tempat ketiga menewaskan pasukan 'Batu 10B' untuk tempat keempat.

Juara membawa pulang hadiah wang tunai RM700 dan piala, tempat kedua RM500, ketiga RM300 dan keempat RM100.

Turut menarik perhatian semalam pertandingan memakai serban ala ulama tersohor Kelantan, Tok Kenali.

Uniknya, pertandingan itu dimenangi seorang anak muda yang hanya berbaju t-shirt dan berseluar jeans yang mengenakan serban paling menyerupai serban Tok Kenali.

Pemenang adalah dipilih sendiri oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Anak muda T’ganu sedia bersama PAS ke Putrajaya



MARANG: Anak-anak muda Terengganu menjawab dengan jelas dan tegas, mereka telah bersedia untuk menjatuhkan kerajaan Umno dan Barisan Nasional secara demokratik pada pilihanraya umum yang ke-13 akan datang.

Mereka yang menyertai sesi ‘Xpresi Hijau Menuju Putrajaya’ berkata demikian ketika ditanya oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan.

“Justeru itu, saya nak tanya pada hari ini, tak kiralah anak muda lelaki ataupun anak muda muslimah, saya nak tanya pada hari ini…..

“Adakah anak-anak muda yang berhimpun di Xpresi Hijau anak muda Terengganu pada hari ini telah bersedia untuk memegang tanggungjawab ini?”soal Nasrudin.

Pertanyaan Nasruddin itu dijawab ‘ya’ oleh kira-kira 5,000 orang anak muda yang hadir  berhimpun di Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payong dekat sini.

Nasrudin berkata demikian ketika menyampaikan pidato khasnya pada program PAS Ganti Umno Kali Ke-4 dan Himpunan Hijau peringkat negeri Terengganu pada Sabtu 30 Jun.


Oleh itu, beliau mengingatkan supaya mereka tidak leka dan lalai serta setia dengan perjuangan dan  berpaling ke belakang apabila diserang musuh.

Katanya, walaupun terpaksa berhadapan dengan pahit getir, perubahan mesti dilakukan dan  Umno BN mesti dijatuhkan.

Beliau berkata, biar apa sahaja halangan melintang dan rintangan yang datang, anak-anak muda mesti terus berjalan menuju ke Putrajaya.

“Maka kita terus mara dan melangkah ke Putrajaya, biarkan apa sahaja halangan melintang, rintangan yang datang, itulah sunnatullah yang dijanjikan oleh Allah.

“Memang perit kita berjuang, tetapi Allah menyebut kepada kita ‘jika sekiranya kamu merasai sakit berhadapan dengan mereka, bertempurdengan mereka, bersaing dengan mereka. Kamu berasa sakit, merasa perit. Merasa pedih. Maka mereka juga sakit sebagaimana kamu rasai sakit itu’,” tegasnya.

Sehubungan itu, Nasrudin telah melancarkan logo ‘Pakat Pangkah PAS Bohh’ yang menjadi motto Pemuda PAS dalam menghadapi kempen pilihanraya umum yang akan datang.

Turut sama dalam sesi ‘Xpresi Hijau’ itu adalah Setiausaha DPPM Khairul Faizi serta ahli-ahli Jawatankuasa DPPM dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah serta ahli-ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS negeri.

Mengapa pengundi Cina bukan penentu PRU13?


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya sudah kembali ke zaman pentadbirannya apabila, dalam kata-katanya sendiri, beliau berjuang untuk kaum Melayu dalam masa umurnya muda dan beliau kurang pengalaman dalam arena politik.

Mahathir telah membuat pengakuan ini secara umum dalam satu sesi dialog bersama Majlis Eksekutif Pelajar Malaysia di United Kingdom dalam bulan September 1995, apabila menegaskan kepentingan perjuangan rakyat Malaysia dan bukan kaum Melayu, pada masa yang sama mengingatkan semua bahawa impian Bangsa Malaysia hanya boleh tercapai jika rakyat Malaysia mampu menerima satu sama lain tanpa mengira kaum atau agama.

Ini merupakan tahun keempat deklarasi Wawasan 2020 dan Bangsa Malaysia pada bulan Februari 1991.

Kini Mahathir kelihatan seperti mengingkari deklarasinya, bukan sahaja konsep Bangsa Malaysia dan Wawasan 2020, tetapi seruan untuk berjuang demi kaum Melayu daripada berjuang untuk rakyat Malaysia.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah meminta ahli Barisan Nasional supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang akan menyinggung perasaan kaum yang lain atau parti komponen yang lain dalam BN.

Akan tetapi, berapa ramaikah dalam UMNO yang akan mendengar nasihat Najib?

Yang tidak dapat disangkal adalah Mahathir adalah yang diantara golongan yang membuat kenyataan yang tidak sensitive, tidak bertanggungjawab dan berunsur provokatif – untuk menyelamatkan dan melindungi UMNO dan Barisan Nasional daripada kekalahan dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Khamis lalu, Mahathir telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah bahawa pengundi Cina akan menjadi faktor penentu dalam pilihanraya umum ke-13 oleh sebab kaum Melayu terbahagi diantara tiga parti “kecil” dan pengundi Cina akan menentukan siapa yang bakal membentuk kerajaan baru selepas pilihanraya umum ini.

Saya telah menyangkal kenyataan ini dengan mengatakan bahawa kaum Cina Malaysia bukan faktor penentu dan tidak mahu menjadi faktor penentu dalam pilihanraya umum ke 13.

Saya juga telah menekankan bahawa realiti keadaan adalah dengan melihat bilangan pengundi Cina di Malaysia, adalah mustahil untuk pengundi Cina menjadi faktor penentu dalam PRU13.

Biar kita meneliti dengan melihat kepada nombor dan bilangan, mengapa pengundi Cina tidak boleh menjadi faktor penentu dalam pilihanraya umum ke-13.

Daripada 222 kerusi Parlimen, hanya 34 yang mempunyai komposisi pengundi kaum Cina sebagai majoriti. Walaupun Pakatan Rakyat (PR) memperoleh kesemua undi Cina dalam kerusi-kerusi ini ianya hanya akan memenuhi 15% kerusi parlimen.

55 kerusi Parlimen di mana pengundi Cina membentuk 30% hingga 50% bilangan pengundi. Walaupun PR mampu memperoleh 80% undi Cina dalam kerusi-kerusi ini, ia masih memerlukan diantara 35% hingga 40% sokongan daripada komuniti yang lain untuk memenangi kerusi-kesrusi ini.

Secara keseluruhannya, ini bererti hanya ada 89 kerusi parlimen yang mempunyai pengundi Cina yang membentuk 30% jumlah keseluruhan pengundi. Andaikata PR memenangi kesemua kerusi parlimen ini, ianya hanya akan membentuk 40% jumlah kerusi parlimen, yang jelas tidak cukup untuk mencapai bilangan majoriti kerusi parlimen.

Tetapi, apa yang dilihat adalah satu situasi dimana Barisan Nasional ditolak oleh pengundi dari pelbagai kaum, termasuklah majoriti kaum Melayu serta kerusi “campuran” etnik yang dahulunya kubu kuat BN.

Sebagai contoh, dalam pilihanraya umum 2008, majoriti pengundi Melayu dan bukan Melayu telah menolak BN di kerusi majoriti Melayu seperti Pokok Sena dan Kuala Kedah di Kedah, Parit Buntar dan Bagan Serai di Perak, Shah Alam dan Kota Raja di Selangor dan Titiwangsa di Kuala Lumpur.

Majoriti pengundi Melayu dan bukan Melayu juga telah menafikan mandat BN dalam kerusi campuran seperti di Padang Serai di Kedah, Bayan Baru dan Nibong Tebal di Pulau Pinang dan Bandar Tun Razak di Wilayah Persekutuan.

Baru-baru ini, dalam pilihanraya negeri Sarawak pada tahun 2011, majoriti pengundi Cina dan pengundi bukan Cina dalam kawasan kerusi DUN Kidurong telah menolak BN yang membawa kepada kemenangan bersejarah dengan majoriti 7,000 undi bagi calon DAP Chew Chin Sing.

Dengan menggunakan taktik mengapikan-apikan isu perkauman, Mahathir kini menggunakan taktik lama untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang kian sudah serik dengan korupsi, kronisme dan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan Barisan Nasional.

Pilihanraya umum yang akan datang ini adalah satu peluang bagi semua rakyat Malaysia untuk memahat sejarah untuk bersatu padu dan untuk menghantar satu mesej yang jelas untuk menamatkan 54 tahun pemerintahan rakus BN dan memberi mandat kepada kerajaan baru Pakatan Rakyat yang akan melindungi hak, kebebasan dan kebajikan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan.

Oleh itu, faktor penentu yang benar-benar sah dalam pilihanraya umum ke-13, bukan pengundi Cina tetapi semua pengundi rakyat Malaysia tidak kira kaum Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan untuk bersatu padu untuk membawa kepada peralihan kuasa yang aman untuk kali pertama dalam sejarah 54 tahun untuk mengakhiri kezaliman korupsi, kronisme dan penyalahgunaan kuasa.

Wahid cabar Ahmad Said debat isu Terengganu


MARANG: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mencadangkan pihak akhbar Sinar Harian menganjurkan debat antara beliau dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Katanya, debat tersebut berkisar kepada isu yang berlaku di negeri ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menyatakan demikian pada Perhimpunan Hijau Ke Putrajaya peringkat negeri di sini, hari ini.

Kira-kira 10,000 orang hadir pada majlis yang dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali di samping kepimpinan PAS negeri.

Rakyat beri mandat kepada Abdullah, bukan Najib

KUALA LUMPUR: Secara tidak rasminya, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh mengatakan rakyat memberikannya mandat selama lima tahun untuk menerajui negara memandangkan beliau bukannya dipilih melalui pilihan raya lalu.

Sebaliknya, selepas BN memenangi pilihan raya umum ke-12, Mac 2008 lalu, Najib dilantik oleh Tun Abdullah Badawi untuk menerajui BN, sekaligus membentuk kerajaan.

"Kalau diikutkan, rakyat beri mandat melalui pilihan raya kepada Abdullah, bukan Najib. Dia tidak boleh berkata demikian, kononnya dia diberi mandat oleh rakyat," tegas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Najib yang berhasrat untuk menunggu tempoh lima tahun sebelum memanggil pilihan raya umum bagi membolehkan beliau meneruskan mandat yang diberikan rakyat.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, pihaknya bersetuju dengan hasrat tersebut, dan meminta Najib menyatakannya secara 'akujanji' tentang tempoh lima tahun tersebut.

"Jika benar beliau berhasrat untuk mengadakan pilihan raya umum selepas tamat tempoh penggal yang diberikan, adalah lebih baik jika ia memberi jaminan secara akujanji," tegas beliau lagi.

Tambah ahli parlimen Pokok Sena itu lagi, dengan hasrat Najib itu juga dilihat mampu menguruskan soal peruntukan negara membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara lebih berkesan.

Sebelum ini, dalam bajet tambahan yang dibentangkan di parlimen, kerajaan memperuntukkan sejumlah wang kepada badan pengendali pilihan raya itu.

"Kalau ditetapkan tarikh pilihan raya seperti tepat pada tempoh mandatnya, banyak perkara boleh dilakukan dengan lebih mudah, termasuk wang peruntukkan yang diberikan kepada pihak berkaitan," tegas Mahfuz.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali turut menyambut baik hasrat Najib itu, walaupun ia sebenarnya menunjukkan sikap serba salah beliau yang sehingga kini tidak boleh menetapkan tarikh pembubaran parlimen.

"Bagaimanapun, apapun alasan beliau, kita terima kerana ia lebih memudahkan semua pihak untuk persiapan menghadapi pilihan raya," kata beliau yang dihubungi, hari ini.

Najib, dalam kenyataannya malam tadi menegaskan kerajaan BN sekarang berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya mandat lima tahun untuk berkhidmat kepada rakyat selepas memenangi pilihan raya tahun 2008

PRU: Bagus umpan politik tapi Najib tak yakin


KUALA LUMPUR: Biarpun bersetuju dengan hasrat Perdana Menteri untuk menunggu mandat lima tahun sebelum mengadakan pilihan raya umum (PRU), PAS tetap menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mempunyai keyakinan untuk membubarkan parlimen.

Tiada 'feel good factor' bagi parti Melayu terbesar itu dikatakan antara sebab mengapa Presiden Umno itu tidak mengadakan pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata biarpun kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk rakyat yang disifatkan sebagai umpan politik, ia tidak mampu menarik sokongan rakyat terhadap BN.

"Sebelum ini, pelbagai imbuhan diberikan kerajaan terhadap rakyat. Baguslah...cuma tidak mampu menarik sokongan rakyat terhadap parti dia," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Salahuddin juga berkata dengan kebangkitan rakyat yang menunjukkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat semakin hari membuatkan Najib semakin terdesak dan bimbang untuk mengadakan pilihan raya.

Maka, tambah ahli parlimen Kubang Kerian itu, pelbagai alasan dijadikan jalan keluar seperti 'memenuhi mandat rakyat' untuk tidak memanggil pilihan raya umum ke-13.

Tarikh mengenai pilihan raya terus menjadi tanda-tanya ramai pihak apabila Najib dilihat tidak bersedia untuk membubarkan parlimen.

Malah, tindakan Najib itu juga menimbulkan keresahan di kalangan Pakatan Rakyat, khususnya PAS berhubung kemungkinan Najib memanggil pilihan raya umum pada musim haji.

Labih-lebih lagi, Najib sendiri tidak menafikan kemungkinan tersebut (pilihan raya di musim haji), malah menyatakan ia pernah dilakukan sebelum ini.

Kemuncak dari pelbagai persoalan mengenai tarikh pilihan raya ini apabila Najib dikatakan akan membubarkan parlimen, petang semalam selepas pertemuan dengan anggota tertinggi BN.

Media baru berjaya gagalkan propaganda RTM


BANDAR JENGKA: Rakyat negara ini sekarang bernasib baik dengan kemunculan media alternatif internet kerana berjaya menggagalkan propaganda Umno BN melalui televisyen seperti mahu dilakukan kepada perhimpunan Bersih 3.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, pada satu ketika propaganda peristiwa Memali yang membabitkan pembunuhan Ustaz Ibrahim Libya dan 18 yang lain telah menyebabkan PAS kalah teruk dalam pilihan raya umum (PRU).

(Gambar: Mohamad merasmikan Pejabat PAS Kuala Krau disaksikan Tuan Ibrahim.)

“Bila berlaku Bersih 3 dibuat modus operandi seperti mereka propagandakan tragedi Memali. Kita tahu masa itu Menteri Penerangan Rais Yatim, dia perguna RTM untuk beritahu Ibrahim Libya menganut ajaran sesat, kebal dan sebagainya.

“Propaganda dibuat termasuk menyiarkan drama cerita Guru Yahya yang sesat dan disamakan dengan ajaran Ibrahim Libya. Apabila Umno guna melalui RTM sangat hebat tiap-tiap malam hinggakan PRU selepas itu kita hanya menang satu kerusi parlimen di Pengkalan Chepa.

“Bersih 3 macam itulah juga Rais Yatim nak buat, ditunjukkan perusuh himpunan mengganas termasuk peserta himpunan menterbalikkan kereta polis tapi tak cerita kereta polis sebelum itu langgar empat orang. Bila anak-anak muda tengok Youtube tiada siapa lagi yang percayakan RTM,” katanya.

Tambah Mohamad, itulah nasib Rais yang masih main lagu lama pada tahun 2012 sehingga klip rakaman video polis yang dijanjikan terus tidak disiar setelah sedar peranan media baru.

Mohamad berkata demikian ketika berceramah di Rantau Perintis dekat sini, semalam. Turut berceramah Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Shahril Azman Abdul Halim.

Sebelum itu beliau merasmikan pejabat baru PAS Kawasan Kuala Krau.