Friday, November 16, 2012

Warna Warni Majlis Perasmian Muktamar Pas ke 58
















X-Presi Anak Muda.




PAS tawar 4 cara memulihkan ekonomi


(Presiden PAS menyampaikan ucapan dasar)

KOTA BHARU: Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menawarkan empat pendekatan untuk memulihkan ekonomi yang sudah dirosakkan BN.

Ia perlu dilakukan untuk mengelakkan negara dari muflis.

“Melaksanakan transformasi ekonomi ala Kerajaan BN untuk setanding dengan negara yang kaya di dunia Barat juga, bukanlah ukuran yang rakyat inginkan.

"Nilai ringgit yang ada pula makin menyusut, sehingga duit bertimbun yang dimiliki tidak memberi apa-apa makna lagi,” tegas Abdul Hadi dalam ucapan pembukaan Muktamar PAS ke 58.

Yang pertama, kata Ahli Parlimen Marang itu,  PAS akan membetulkan falsafah ekonomi sedia ada kepada yang lebih adil dan memakmurkan.

“Dalam hal ini, dasar fiskal mahupun monetari yang adil sifatnya, mesti digunakan sebaiknya untuk memacu pertumbuhan,” terang beliau.

Abdul Hadi turut menyatakan bahawa PAS berhasrat membetulkan perlaksanaan ekonomi dengan bersendikan akhlak dan perkiraan dosa-pahala, akauntabiliti yang holistik, undang-undang yang mampu mencegah, dan seterusnya mencegah pembaziran, ketirisan, penyelewangan serta rasuah.

Yang ketiga, PAS, katanya akan membuat penilaian menyeluruh terhadap hasil negara, supaya pengurusan warisan khazanah negara ini dimanafaatkan dengan lebih telus dan adil untuk semua rakyat.

“Keempat - menolak diskriminasi, di mana dasar ekonomi dan sifat kebajikannnya dilaksanakan tanpa mengira kaum, agama ataupun fahaman politik – negeri - wilayah; dengan merujuk kepada keadilan Islam yang sebenar,” kata Abdul Hadi.

Ini sekaligus, katanya akan menolak amalan kronisme dan monopoli pasaran tempatan, dengan memperkenalkan akta-akta bagi mengikat kewujudan “kartel‟ yang bertindak menekan rakyat.

Siap hadapi 'taufan wang' - Presiden PAS


(Para tetamu, perwakilan dan pemerhati Muktamar PAS ke 58 di Putik, Pengkalan Chepa, Kelantan)

KOTA BHARU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggesa ahli parti melakukan tindakan secara terancang bagi melawan serangan "taufan wang" yang bakal digunakan Umno BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Beliau berkata, PAS akan berdepan dengan ujian getir iaitu rakyat dipujuk dengan wang, projek dan sebagainya, selain daripada pelbagai cara penipuan yang menjadi senjata utama Umno BN.

"Petugas PAS perlu banyak bersabar dan kekal bersiap sedia walaupun terganggu oleh strategi BN melambat-lambatkan PRU, sebab penundaan tarikh-tarikh PRU adalah sememangnya strategi BN untuk menurunkan moral serta melemahkan kedudukan kewangan kita, selain dari mereka juga cuba memancing isu yang akan memerangkap kita.

"Sepanjang tempoh ini jugalah, kita akan berdepan dengan tiupan api perkauman dan ketegangan oleh media arus perdana yang menjadi perkakas dalam mempertahankan kerakusan kerajaan Umno BN. Teguhlah dengan jemaah, nescaya kita akan terus selamat dan mampu menghadapi dengan cabaran ini," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-58 yang bertema 'Negara Berkebajikan Teras Perpaduan' di Putik, dekat sini, hari ini.

Dewan Putik penuh sesak dengan perwakilan dan pemerhati yang datang dari seluruh negara untuk mengikut dan menyertai muktamar terakhir menjelang pilihan raya umum ke 13.

Terdahulu, Ustaz Hadi menerima tabik hormat dari pasukan Unit Amal serta dipersembahkan dengan kawad kaki dari Briged Amal.


Persiapan rapi


Ustaz Hadi turut meminta ahli membuat persediaan rapi menjaga Parlimen atau Dun masing-masing bagi menghadapi musuh yang amat licik.

Tambah beliau, petugas juga perlu bersedia menangani kedatangan orang-orang Melayu khususnya golongan muda yang sudah berubah tetapi tidak menzahirkan sokongan kerana menghormati ibu bapa mereka yang masih menyokong Umno.

"Sikap orang muda sekarang amat berbeza dengan generasi terdahulu. Fahamilah, bahawa mereka tidak suka ceramah yang mencaci-cela orang, mereka menyokong PAS tetapi tidak mahu menjadi ahli, mereka mahukan pimpinan PAS memperincikan agenda-agenda yang dijanji dan dan bukan sekadar retorik, mereka cepat cakna perkembangan semasa kerana sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain menerusi facebook, blog, sms dan lain-lain," katanya.


Kerusi





Selain itu katanya, PAS juga harus memenangi sebanyak mungkin kerusi yang diamanahkan kepada parti itu dengan keutamaan mempertahankan semua kerusi Parlimen yang telah dimenangi dalam PRU 2008 (24 kerusi).

"Kerusi parlimen yang lain akan diberikan suntikan kerja yang tersusun dengan disokong oleh pimpinan pusat yang diamanahkan tugas tumpuan ini, semua parlimen yg ditandingi PAS di Sabah dan Sarawak akan juga diberi tumpuan khusus bagi menjamin kemenangan bersama," katanya lagi.

Justeru tegasnya,  media parti seperti Harakah dan Harakahdaily bersama-sama jentera penerangan parti mesti bertindak membentuk fikrah dan menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti yang telah distrategikan.

"Tempoh yang ada ini wajar dimanafaatkan sepenuhnya untuk menyampaikan maklumat pencapaian pemerintahan kerajaan kita kepada ahli-ahli kita, yang kemudiannya akan menyampaikannya kepada rakyat yang menjadi pengundi senyap dalam pilihanraya. Konsep mendahulukan kebijaksanaan daripada kemusnahan atau kemarahan hendaklah diutamakan," katanya.

Memandangkan pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya yang melibatkan perang siber, persiapannya bukan lagi seperti pilihan raya yang pernah dilalui sebelum sebelum ini.

Sebaliknya, petugas di semua peringkat mesti melakukan reformasi cara bekerja dengan menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutamanya dalam menghadapi fenomena perang siber menerusi media baru ICT sekarang ini.

"Kerjasama penerangan dan ICT perlu diperkukuhkan segera untuk menghadapi PRU-13 ini dengan mewujudkan satu urusetia berkaitan media baru sebagaimana yang diresolusikan dalam Persidangan ICT dan Media Baru 2011 pada tahun lepas.

"Saya menyeru kepada semua pimpinan PAS terutamanya yang terlibat dengan Lajnah Penerangan dan Jabatan Pilihanraya disemua peringkat melihat potensi ICT dan Media Baru ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan kempen dan dakwah melalui laman sesawang, youtube, facebook, twitter, webtv, selain dari ceramah dan bahan-bahan media cetak," katanya.

Ambil iktibar ucapan dasar Presiden PAS - Wan Azizah

PENGKALAN CHEPA: Presiden PKR Datuk Wan Azizah Wan Ismail (gambar) mengambil iktibar dari ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang memberikan gambaran yang luas merangkumi semua aspek.

Beliau berkata, Tuan Guru Abdul Hadi banyak menyentuh isu-isu semasa yang sepatutnya ditangani oleh semua pihak khususnya membabitkan pergolakan umat Islam di luar negara.

"Misalnya isu Palestin yang semakin bergolak, Filipina dan Rohingya," katanya ketika ditemui di khemah perkarangan Putik.

Beliau turut memberi sokongan terhadap seruan Presiden PAS yang mengajak para petugas PAS serta Pakatan Rakyat agar bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya.

"Sama-sama kita akan dapat kemenangan, kita akan ubah kepincangan-kepincangan yang berlaku dalam pemerintahan hari ini," katanya.

Wan Azizah juga memuji penegasan Abdul Hadi berhubung konsep Negara Berkebajikan yang menyifatkan konsep itu merangkumi aspek perpaduan yang akan membawa negara ini ke arah yang lebih adil dan saksama.

Bahkan, jelasnya, konsep ini turut diketengahkan di peringkat Pakatan Rakyat dan sudah mempunyai mekanisma bagaimana hendak mentadbir negara dalam konsep yang dibawa oleh PAS.

Arahan Presiden kepada pimpinan dan ahli PAS

KOTA BHARU: Sempena Muktamar Tahunan PAS Kali ke-58 yang merupakan muktamar terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengeluarkan arahan khusus kepada ahli dan pimpinan parti itu.

Tujuh arahan tersebut ialah:

1. Mengarahkan semua petugas, ahli dan pimpinan PAS untuk sentiasa menggenggam matlamat perjuangan untuk Islam, memurnikan fikrah perjuangan, tidak leka, tidak melaksanakan perkara yang merugikan perjuangan, seterusnya tidak mencelarukan fikrah dengan urusan yang tidak penting.

2. Mengarahkan agar semua jentera parti : dewan - dewan, lajnah, negeri untuk menumpukan perhatian kepada kerja pilihanraya, dengan ikrar untuk mempertahankan negeri yang ditadbir menerusi muafakat Pakatan Rakyat, dan seterusnya melebarkan ke negeri lain, hinggalah ke pemerintahan Pusat.

3. Menyeru kepada semua Kerajaan negeri di bawah PAS bersama Pakatan Rakyat - menggunakan masa yang tinggal ini untuk menyelesaikan urusan rakyat, teruskan kerja kebajikan; tanpa meninggalkan gerakerja parti hingga ke peringkat bawah dalam masyarakat.

4. Mengarahkan kepada semua pihak dalam parti, supaya berada di tahap bersiap-siaga yang paling tinggi untuk menghadapi Pilihanraya umum ke-13 – di mana kita akan berdepan dengan mainan nakal serta provokasi media dan BN yang terus menerus melaga-lagakan pimpinan PAS ke tahap yang tidak dapat kita bayangkan, akan terus memporak-perandakan PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat sebagai langkah untuk melemahkan saf dan semangat kita. Jangan mundur, jangan terkeliru. Dengarlah panduan dan kenyataan rasmi yang diberikan oleh pimpinan tertinggi dari masa ke semasa. Semua pihak dalam parti perlulah mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang meremehkan kita di hadapan rakyat.

5. Mengarahkan kepada semua pihak dalam parti supaya melaksanakan tugas pilihanraya masing-masing dengan penuh hikmah, mengajak rakyat untuk berubah - bukan memusuhi rakyat, bertemu, bercakap dan menulislah dengan bahasa yang difahami oleh mereka, semuanya dengan penuh keikhlasan untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

6. Mengarahkan kepada semua saf kepimpinan dan ahli, marilah sama-sama kita mengeratkan ukhuwwah sesama kita, dan terus memperkukuhkan hubungan hablun minallah semua petugas dan ahli PAS sebagai senjata yang akan menguatkan semangat berjuang, tidak mundur, dan memohon pertolongan dari Allah SWT serta bertawakkal kepada Nya. Suasana menghadapi pilihanraya janganlah menjadi penghalang kepada memperbanyakkan amal ibadat, solat, puasa sunat, bermunajat yang akan menjadi benteng dalam perjuangan kita ini kerana kemenangan Islam adalah kurniaan Allah SWT.

7. Marilah pada hari ini, kita sama-sama memahami tema muktamar kali ini, serta menyusun gerakerja dan strateginya nanti dalam semangat tema muktamar NEGARA BERKEBAJIKAN TERAS PERPADUAN.

Putik pacu kemenangan tuju Putrajaya

KOTA BHARU: Hampir 2000 perwakilan dan pemerhati memenuhi dewan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) bagi mengikuti Muktamar Tahunan PAS Kali ke-58.

Seawal pagi lagi Putik telah dibanjiri ahli-ahli PAS yang datang dari segenap pelusuk dengan satu tekad dan semangat bersama untuk menawan Putrajaya pada PRU-13 tidak lama lagi.

Mereka mula memenuhi kawasan Putik seawal jam 7 pagi bagi  memanfaatkan Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 yang terakhir sebelum PRU yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Sebagai acara pembukaan Muktamar kali ini, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang diiringi Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, Ketua Pemuda Nasruddin Hassan dan Ketua Muslimat Siti Zailah Yusoff memeriksa perbarisan Unit Amal dan Bridged Muslimat di perkarangan Putik.

Kehadiran pimpinan utama Pas turut disambut mesra para ahli PAS termasuk para perwakilan dan pemerhati.

Seperti kebiasaan terdapat gerai- gerai jualan seperti cenderamata, gerai makanan dan pakaian turut memeriahkan muktamar kali ini.

Sebaik selesai menyampaikan ucapan dasar, Abdul Hadi berkesempatan merasmikan pameran agensi kerajaan negeri.

Sebanyak 34 'booth' agensi kerajaan mengambil bahagian dalam pameran tersebut.

Muktamar kali ini turut menyediakan jamuan rakyat kepada sesiapa sahaja yang datang ke sini.

Saya puas hati dengan Harakah - Presiden

KOTA BHARU: Disebalik kritikan yang dilemparkan kepada Harakah khususnya oleh Dewan Pemuda PAS dan Dewan Ulamak dalam muktamar kedua-dua dewan itu semalam, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini turut membuat penjelasan.

Beliau yang ditanya wartawan berhubung perkara itu berkata, PAS bersedia menerima segala teguran yang dibuat mana-mana pihak terhadap lidah rasmi parti itu.

"Kita orang Islam diajar tiada yang sempurna, yang sempurna Tuhanyang satu. Saya pun tak sempurna orang boleh kritik.

"Dalam masa yang sama kita menerima nasihat dari semua pihak," katanya.

Bagaimanapun bagi beliau, peranan Harakah membawa suara parti setakat ini boleh dibanggakan walaupun berdepan tekanan dan kekangan dari pelbagai sudut.

"Sehingga ini saya berpuas hati dengan Harakah dan Harakahdaily.

"Kita kena faham bahawa Harakah berada dalam persimpangan, untuk ahli parti dan pada masa yang sama  perlu sebarkan maklumat kepada umum. Jadi inilah yang menjadi dilema," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas usul yang dibawa Dewan Pemuda PAS Wilayah semalam yang mahu PAS membuat rombakan semula sidang editorial lidah rasmi parti itu kerana didakwa perjuangannya telah terpesong dari matlamat penubuhan asal.

Dalam usul itu juga, mereka mahu PAS menubuhkan satu jawatankuasa penapis bagi membuat saringan terhadap berita-berita yang dilaporkan.

Terdahulu sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pagi tadi, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, kesemua jentera penarangan PAS iaitu Harakah, Harakahdaily dan Lajnah Penerangan, perlu terus diperkasakan dalam usaha menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Beliau juga berbangga dengan wartawan dan petugas penerangan kerana sanggup dan setia bertugas dengan parti walaupun berpeluang mendapat lebih jika berkerja dengan organisasi lain.

Ditanya adakah PAS akan membuat pengstrukturan semula sidang editorial Harakah seperti desakan dalam usul Dewan Pemuda semalam itu, beliau berkata perkara itu akan dibincang dahulu secara dalaman.

"Itu masalah dalaman parti, jadi kita akan bincang di peringkat dalaman," katanya.

Semua nama calon PAS sudah disahkan

(Sidang media selepas majlis perasmian muktamar)

PENGKALAN CHEPA: Majlis Syura Ulama PAS sudah meluluskan semua nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, senarai nama tersebut sudah diteliti dan Majlis Syura Ulama sudah menapis nama-nama yang layak.

"Semua nama calon mesti diluluskan oleh Majlis Syura Ulama.

"Semua nama sudah diserah kepada pusat dan Majlis Syura sudah luluskan nama-nama yang layak bertanding, dan yang layak digugurkan," kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar di Muktamar Tahunan PAS, di Putik hari ini.

Beliau turut menegaskan, PAS menekankan calon boleh menang, termasuk calon muslimat.

"Semua nama diluluskan Majlis Syura Ulama tapi untuk menentukan dia bertanding, kena lihat kepada akar umbi.

"Kita bukan sahaja nak letak calon tapi mahu calon boleh menang," katanya.

Turut bersama pada sidang media ialah Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

Sementara itu, Ustaz Hadi menegaskan calon hanya akan diumumkan selepas tarikh pilihan raya diketahui.

"Kebiasaannya PAS umum calon bila tahu tarikh pilihan raya, lepas itu kita tetapkan hari, sehari atau dua hari sebelum penamaan calon.

"Jadi kita minta PM umum awal pilihan raya supaya kita boleh umum calon," katanya.

Muktamar tahunan PAS kali ke-58 ini dihadiri 1116 perwakilan daripada 183 kawasan.

Adun bebas Perak: Habis madu sepah dibuang


IPOH: Habis madu sepah dibuang. Mungkin peribahasa itu yang sesuai untuk menceritakan nasib empat Adun Bebas di Perak yang berjaya menumbangkan kerajaan negeri Pakatan sebelum ini.

Kalau sebelum ini jasa mereka sangat diperlukan, Adun yang sudah berpangkat datuk pun tidak mendapat kerusi untuk bertanding.

Ekoran itu, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak sudah menjangkakan akan berlaku pelbagai pergolakan di dalam Komponen Barisan Nasional (BN) Negeri Perak di ambang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 ini.

Terkini adalah perkembangan kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Jelapang yang disandang oleh Datuk Hee Yit Foong setelah 'melompat' parti dari DAP menjadi ADUN Bebas pada tahun 2009.

Datuk Hee yang telah menyuarakan hasratnya mempertahankan kerusi tersebut atas tiket BN atau MCA telah mendapat bantahan keras dari Datuk Seri Chua Soi Lek, Presiden MCA yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Negeri Perak.

Pengumuman yang dibuat oleh Datuk Hee itu, samada telah mendapat restu Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir atau tidak, dengan segera mendapat maklumbalas Datuk Seri Chua yang menafikan kedudukan kerusi DUN Jelapang yang sebelum ini ditandingi oleh MCA.

Namun sehingga kini Datuk Seri Zambry masih membisu seribu bahasa.

"Persoalannya apakah kedudukan Datuk Hee pada PRU 13 nanti? Apakah pendirian Datuk Seri Zambry sebagai Pengerusi BN Perak? Adakah juga Datuk Hee akan bertanding atas tiket Bebas pada PRU 13 nanti.

"Bagaimana pula tentang kerusi DUN Bebas yang lain di DUN Behrang, Changkat Jering dan Malim Nawar?" soal Ketua Penerangan PAS Perak, Ahmad Nuri Al-Amin (gambar).

Sehubungan itu, beliau mewakili PAS Perak mencabar Datuk Seri Zambry menjelaskan kedudukan ADUN-ADUN Bebas tersebut yang menjadi 'faktor utama' dan 'kuasa ketiga' terhadap rampasan kuasa Negeri Perak yang dipilih rakyat.

"Kami ingin melihat samada Datuk Seri Zambry akan menamakan mereka untuk bertanding atas tiket BN pada PRU 13 nanti atau pun bertanding atas tiket Bebas bagi membuktikan mereka masih releven buat rakyat yang telah memilih mereka.

"Kami merasakan 'ujian besar' buat Datuk Seri Zambry sama ada 'menerima' atau 'menolak' ADUN-ADUN Bebas tersebut pada PRU 13 nanti!" katanya.

Ketua Pemuda PAS hanya ada RM9,000 dalam simpanan


KUALA LUMPUR: Mengotakan janji, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan semalam mengisytiharkan hartanya kepada khalayak ramai semasa ucapan penggulungan di Muktamar Pemuda PAS semalam.

Nasrudin, 42 mengisytiharkan bahawa beliau bersama isteri mempunyai pendapatan sebanyak RM2,800 and RM4,000 sebulan.

Beliau juga memberitahu bahawa beliau mempunyai RM9,000 di dalam simpanan semasa.

Daripada RM2,800 pendapatan beliau, RM2,500 ialah gaji yang diperolehi bertugas sepenuh masa sebagai Ketua Pemuda PAS dan RM300 hasil daripada sewa rumah.

Ayah kepada enam anak turut memperincikan perbelanjaan sebulan beliau – di mana RM530 dan RM1,400 dibayar untuk pinjaman rumah dan kereta.

“Sementara tanggungan isteri terhadap rumah yang dimiliki olehnya terpaksa dibayar RM1,230 sebulan. Itulah harta yang saya isytiharkan, yang saya miliki, sebagai satu gimik pelancaran atau deklarasi pengisytiharan harta yang insya-ALLAH selepas ini akan diikuti oleh seluruh ahli jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Malaysia,” kata beliau.

Sebelum muktamar, Pemuda PAS telah membuat pengumuman bahawa semua exconya, termasuk mereka yang tidak bertanding di PRU13 akan mengisytiharkan harta.

Cadangan tersebut disokong oleh PAS Pahang dan Selangor, Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali.

Semasa perasminan Muktamar Pemuda, Timbalan Presiden Mohamad Sabu telah memberi komitmen untuk memastikan cadangan itu bertukar menjadi realiti.

Mat Sabu berkata deklarasi asset adalah wajib bagi semua calon yang bertanding di PRU13

Setiausaha Agung PAS terima Anugerah Tokoh Pemuda


KOTA BHARU: Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali diberi anugerah khas Tokoh Pemuda sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-53 kali ini.

Mustafa yang pernah menyandang jawatan Ketua Dewan Pemuda, diberi anugerah tersebut berdasarkan komitmen beliau dengan perjuangan parti sehingga kini.

Anugerah itu disampaikan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu malam tadi.

Mustafa menyandang jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1975 hingga 1987 sebelum dilantik sebagai Bendahari Agung PAS Pusat dari tahun 1987 hingga 1997.

Beliau kemudian dipilih sebagai Naib Preseiden PAS Pusat pada 1997 hingga 2005.

Beliau juga dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu pada 2005 sehingga tahun 2009 serta Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat sejak 1997 sehingga 2009. 

Kini beliau diamanahkan sebagai Setiausaha Agung PAS.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu dari tahun 1982 sehingga 1990. 

Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Dungun dan Adun Pengkalan Berangan dari tahun 1999 hingga 2004. 

Pada zaman pemerintahan kerajaan PAS di negeri Terengganu pada tahun 1999-2004 beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco) dan menjawat portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia dari tahun 1999-2004.

Sementara itu, beberapa lagi anugerah turut disampaikan sempena muktamar pemuda malam tadi.

Anugerah Pejuang Rakyat dibuat khusus bagi menghargai jasa dan pengorbanan individu yang telah memperjuangkan hak rakyat segaligus terlibat dalam mencorak politik tanah air.

Lima orang yang telah dipilih menerima anugerah ini. Antaranya Pengerusi Yayasan Amal Haji Hussin Ismail diatas jasanya mengemudi Yayasan Amal membantu misi kemanusiaan di luar negara.

Selain beliau, Puan Norlaila Othman yang merupakan isteri kepada salah seorang bekas tahanan ISA, juga diberi anugerah pejuang rakyat ekoran perjuangannya yang berterus menentang akta zalim itu.

Tiga lagi yang menerima anugerah itu ialah Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pengerusi Bersama BERSIH), Nazri Deraman (Pengerusi NGO Royalti) dan AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman (Presiden Anak).

Warna warni muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia