Friday, November 16, 2012

Setiausaha Agung PAS terima Anugerah Tokoh Pemuda


KOTA BHARU: Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali diberi anugerah khas Tokoh Pemuda sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-53 kali ini.

Mustafa yang pernah menyandang jawatan Ketua Dewan Pemuda, diberi anugerah tersebut berdasarkan komitmen beliau dengan perjuangan parti sehingga kini.

Anugerah itu disampaikan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu malam tadi.

Mustafa menyandang jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1975 hingga 1987 sebelum dilantik sebagai Bendahari Agung PAS Pusat dari tahun 1987 hingga 1997.

Beliau kemudian dipilih sebagai Naib Preseiden PAS Pusat pada 1997 hingga 2005.

Beliau juga dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu pada 2005 sehingga tahun 2009 serta Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat sejak 1997 sehingga 2009. 

Kini beliau diamanahkan sebagai Setiausaha Agung PAS.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu dari tahun 1982 sehingga 1990. 

Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Dungun dan Adun Pengkalan Berangan dari tahun 1999 hingga 2004. 

Pada zaman pemerintahan kerajaan PAS di negeri Terengganu pada tahun 1999-2004 beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco) dan menjawat portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia dari tahun 1999-2004.

Sementara itu, beberapa lagi anugerah turut disampaikan sempena muktamar pemuda malam tadi.

Anugerah Pejuang Rakyat dibuat khusus bagi menghargai jasa dan pengorbanan individu yang telah memperjuangkan hak rakyat segaligus terlibat dalam mencorak politik tanah air.

Lima orang yang telah dipilih menerima anugerah ini. Antaranya Pengerusi Yayasan Amal Haji Hussin Ismail diatas jasanya mengemudi Yayasan Amal membantu misi kemanusiaan di luar negara.

Selain beliau, Puan Norlaila Othman yang merupakan isteri kepada salah seorang bekas tahanan ISA, juga diberi anugerah pejuang rakyat ekoran perjuangannya yang berterus menentang akta zalim itu.

Tiga lagi yang menerima anugerah itu ialah Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pengerusi Bersama BERSIH), Nazri Deraman (Pengerusi NGO Royalti) dan AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman (Presiden Anak).

No comments: