Sunday, November 11, 2012

Nurul Izzah sudah jelaskan, pemimpin Umno bagaimana


KUALA LUMPUR: Tindakan yang dibuat oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertepatan dengan pepatah ‘kembali kepada kebenaran lebih baik daripada kekal di dalam kebatilan’, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Begitupun, katanya seronok apabila lihat pemimpin Umno cuba menjadi juara pembela agama atas isu ucapan Nurul Izzah di Gereja Full Gospel Tabernacle, Subang Jaya, Sabtu lalu.

Beliau berkata, Nurul Izzah sudah menjelaskan apa maksud kenyataan beliau selepas timbulnya polemik itu.

“Beliau menjelaskan ‘sekiranya seseorang itu telah memeluk Islam maka dia tertakluk dengan syariat Islam’, kenapa Umno terus bising,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Baginya, Nurul bukan manusia yang degil seperti pemimpin Umno, walaupun salah dan ditegur mereka tidak menarik balik kenyataan mereka.


“Persoalannya ucapan pimpinan Umno yang jelas merbahaya kepada akidah tidak pernah ditarik balik seperti kenyataan yang memperlekehkan hukum hudud,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Terbaru Tun Dr Mahathir mengatakan Malaikat juga buat salah. Begitu juga  kenyataan Najib yang mengatakan sindrom qiamullail sewaktu beliau sebagai Menteri Pelajaran.


Katanya, apabila Umno cuba hendak menunjuk juara pembela agama, semua makhluk yang waras akan ketawa dan senyum sinis.
Justeru, tanya beliau layakkah Umno hendak bercakap dan berlakon sebagai pembela agama.


Semua rakyat di negara ini maklum Umno hanya memperalatkan agama untuk kepentingan politik, justeru program agama hanya sekadar lepas batuk di tangga.

Oleh itu, katanya ceramah di televisyen hanya boleh bicara bab yang tidak menyentuh Islam yang syumul di mana penceramah yang lantang akan digam.

Begitu juga, ujarnya Umno mendirikan masjid, tetapi bukan untuk memakmurkan masjid menyebabkan masjid ‘mati’ sebelum ahli kariah mati kerana ahli jawatankuasa masjid dilantik bukan ahli masjid.


Baginya, Umno terpaksa menunjuk juara pembela agama untuk meraih sokongan orang Islam.

No comments: