Tuesday, December 20, 2011

Pakatan Rakyat Perak diperkukuh


(Pemimpin muda PAS dan PKR Perak bertemu secara rasmi hujung minggu lalu)
IPOH, 20 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Angkatan Muda Keadilan PKR Negeri Perak bagi mengukukuhkan hubungan antara kedua parti yang kini dalam Pakatan Rakyat di Negeri Perak.

Rombongan Pemuda PAS Perak diketuai oleh Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss bersama 10 orang Ahli Jawatankuasa Kerjanya membuat kunjungan itu hujung minggu baru-baru ini.
Angkatan Muda Perak pula diketuai oleh Ketuanya, Dr Meor Ahmad Isharra Ishak bersama Ahli Jawatankuasa Kerjanya menyambut kedatangan Pemuda PAS Perak.

Perbincangan lebih kearah untuk mengukuh peranan anak muda di dalam PR Perak bagi memastikan PR akan kembali memerintah Negeri Perak setelah dirampas dengan cara kotor awal Februari 2009 yang lalu.

Perbincangan hampir sejam tersebut banyak membincangkan persiapan jentera pilihanraya kedua-duanya.

Pemuda PAS Perak juga akan bertemu selepas ini dengan Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda Sosialis DAP Negeri Perak dalam masa terdekat untuk meneruskan agenda mengukuhkan hubungan dengan parti tersebut menjelangnya persiapan jentera Pilihan Raya Umum ke - 13 nanti.
Futsal Pemuda Perak meriah

Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melalui Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) telah menganjurkan kejohanan Futsal tahun 2011 kali ini.

Sebanyak 33 pasukan telah menyertai kejohanan kali ini yang datang daripada seluruh Negeri Perak. Pasukan yang telah menyertai kali ini dipilih oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan seluruh Perak.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Pilihanraya PAS Perak, Haji Asmuni Awi.

Manakala kehadiran daripada kepimpinan Pemuda PAS Perak terdiri daripada Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss dan Setiausahanya, Salman Saleh.

Kejohanan kali ini diserikan dengan cabutan bertuah yang menarik berikutan hadiah-hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur menarik minat hadirin untuk tunggu hingga ke saat akhir.

No comments: