Tuesday, December 20, 2011

NFC membarah: Kondo RM10 juta di Singapura pula

SHAH ALAM, 20 Dis: Umno perlu membuat keputusan segera untuk bertindak kepada pihak yang bertanggungjawab dalam skandal NFC atau terus dimalukan.

Skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) semakin membarah apabila PKR hari ini mendedahkan NFC membeli sebuah kondominium bernilai hampir RM10 juta di Singapura.
(Kondominium mewah Orchard Scotts di Singapura. Disinilah NFC membeli unitnya bernilai kira-kira RM10 juta)

Kondominium ini dibeli pada harga S$4,107,600 dan luasnya adalah 2,282 kaki persegi, iaitu salah satu unit yang terbesar di bangunan kondominium mewah di tengah-tengah kota Singapura itu.

Pendedahan kali ini dibuat oleh tiga pemimpin kanan PKR dalam sidang media mereka hari ini.

Ketiga-tiga mereka adalah Saifudin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), Zuraida Kamarudin (Ketua Wanita) dan Rafizi Ramli (Pengarah Strategik).

Sebelum ini, pelbagai pihak dalam Umno menekan agar Datuk Seri Shahrizat Jalil meletakkan jawatan. Turut memberikan tekanan adalah  bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

Ini kerana, NFC dikendalikan oleh suami dan anak-anak beliau.

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu beranggapan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika pinjaman itu diluluskan, Tan Sri Muhyidin Yassin mesti bertanggungjawab ke atas penyelewengan ini kerana projek ini terletak di bawah penyeliaan kementerian yang beliau jaga.

Pembelian harta mewah oleh keluarga menteri ini lebih memualkan bila mana ia didaftarkan terus di atas nama mereka.

"Carian rasmi menunjukkan ia didaftarkan secara bersama di atas nama Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh," kata kenyataan mereka bertiga.

Pendedahan dibuat ekoran Umno dan Shahrizat  belum memberi tanda-tanda akan ada pertanggungjawaban kepada penyelewengan dana rakyat melalui NFC seperti yang dituntut rakyat.

"KEADILAN akan terus membongkar penyalahgunaan dana awam bagi kepentingan peribadi keluarga menteri berkenaan," kata mereka.

Menurut kenyataan itu, mereka ada bukti-bukti pembelian sebuah kondominium mewah beralamat 7 Anthony Road, #14-24, Orchard Scotts, Singapore 229955 oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil pada 27 Januari 2010.

Kondominium ini dibeli pada harga S$4,107,600 dan luasnya adalah 2,282 kaki persegi, iaitu salah satu unit yang terbesar di bangunan kondominium mewah di tengah-tengah kota Singapura itu.


Pendedahan ini melengkapkan dakwaan KEADILAN sebelum ini bahawa dana dari NFC yang sepatutnya digunakan untuk membina industri daging negara telah disalurkan kepada syarikat-syarikat peribadi milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil seperti NMLC dan RFC, kata mereka.

Lebih teruk lagi, wang dari syarikat-syarikat seperti NMLC dan RFC kemudiannya disalurkan pula ke syarikat-syarikat milik keluarga  Shahrizat di Singapura iaitu Meatworks (Singapore) Pte Ltd dan Global Biofuture Pte Ltd yang menjalankan operasi perniagaan yang tidak ada kena mengena dengan tujuan bantuan dana kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC.

Meatworks (Singapore) Pte Ltd dilaporkan menjalankan perniagaan restoran mewah di Singapura, sementara Global Biofuture Pte Ltd pula menjalankan perniagaan perdagangan minyak dan ternakan.

Pada hari ini, KEADILAN boleh mendedahkan satu komunikasi (dalam bentuk email) di antara Saudara Wan Shahinur Izran dengan Saudari Donna Yong yang menguruskan perniagaan restoran di Singapura bagi pihak keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Email ini membincangkan pemindahan wang yang diperlukan untuk membiayai perniagaan restoran mewah di Singapura.

Bagi tempoh 3 bulan di antara Oktober 2010 dan Disember 2010, keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil dianggarkan memindahkan sejumlah S$530,000; bersamaan RM1.3 juta dari dana milik kerajaan untuk membiayai perniagaan peribadi di Singapura.

Jika ini berlaku sepanjang tahun 2010 dan 2011, kemungkinan jumlah wang yang telah dilarikan mencecah RM10 juta hanya untuk satu perniagaan di Singapura.

Amalan ini sudah tentu turut berleluasa dengan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh mereka di Singapura, kata mereka.

Oleh kerana syarikat-syarikat ini adalah milik penuh keluarga  Shahrizat Jalil, wang dari NFC boleh sahaja dipindahkan terus ke akaun syarikat-syarikat ini, kemudiannya dikeluarkan oleh keluarga menteri untuk membiayai pembelian peribadi seperti kondominium mewah di Orchard Scotts.

"Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh berdiam diri lagi kerana pendedahan demi pendedahan membuktikan berlaku penyelewengan berleluasa dalam penggunaan dana rakyat berjumlah RM250 juta itu.

"Kami mendesak beliau mengambil tindakan segera membekukan kesemua akaun bank dan perbelanjaan NFC serta syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, sementara siasatan yang lebih telus dan serius dijalankan secepat mungkin," kata kenyataan itu.

No comments: