Monday, December 19, 2011

Berhemah tangani krisis, elak perang di media

KUALA LUMPUR, 18 Dis: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan mahu segala perbezaan pandangan dalam PAS diurus dengan berhemah bagi mengelakkan tercetusnya pertelagahan.

Perbezaan pandangan yang timbul katanya mempunyai punca dan sebab yang tersendiri dan pemimpin tertinggi parti harus bijak menanganinya dengan mencari mekanisme terbaik selain menggunakan saluran terbuka melalui media.

"Masaalah dalaman organisasi atau jamaah kita janganlah didedah kepada media atau masyarakat umum justeru ia laksana membuka pekong di dada sendiri. 

"Berlapang dada dan ikhlas dari kesemua pihak yang ber"krisis" adalah asas penyelesaian masaalah yang dihadapi," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tenang dan tidak cepat menghukum serta berlaku adil dan saksama kepada semua pihak pula katanya antara sikap yang perlu diambil sewaktu berdepan dengan situasi sebegini.

Selain itu juga, beliau menasihatkan semua pihak merendahkan keegoan dan ketepikan kepentingan diri demi memudahkan segala krisis yang berlaku mencapai jalan penyelesaian terbaik.

Prinsip 'Amal Islami' juga harus diutamakan dengan tidak mudah tunduk pada emosi dan juga desakan pihak luar yang tidak berhak mencampurinya.

"Jaga jamaah bukan merosakkannya. Bina ukhuwwah bukan meruntuhkannya. Bimbing ahli yang bermasaalah bukan menghalaunya. 

"Sebagaimana kita gigih mengajak orang menyertai jamaah, maka kita juga mesti tekun berusaha untuk memastikan mereka tidak pula meninggalkan jamaah kita," katanya.

No comments: