Saturday, July 16, 2011

'Terima kasih PM sebab tak bunuh kami'

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Dengan nada sinis, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mahu rakyat khususnya mangsa keganasan polis semasa himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak.
Gesaan itu katanya kerana Perdana Menteri Malaysia itu mendakwa pihak polis menggunakan tindakan agak "ringan" terhadap peserta himpunan aman itu.
"Seharusnya rakyat berterima kasih dan sayang kepada Najib sebab dia tak bunuh peserta himpunan hari tu," katanya kepada Harakahdaily sambil ketawa terbahak-bahak.
Najib ketika ditemubual CNN di Britain semalam dilaporkan berkata, pihak polis menggunakan tindakan yang sewajarnya dalam usaha menyuraikan perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara Sabtu lalu.
Katanya tindakan polis agak ringan kerana tahanan dibebaskan selepas lapan jam dan mereka dilayan dengan baik.
Beliau juga mendakwa tiada penggunaan tindakan yang tidak wajar oleh polis dan penunjuk perasaan disuraikan dengan menggunakan pasukan yang minumum.
Sambil mendakwa kenyataan Najib itu sebagai kelakar, Khalid yang turut menerima 6 jahitan di kepala akibat terkena kelongsong peluru gas pemedih mata pada hari himpunan tersebut mendakwa itulah wajah sebenar autokrat pemimpin nombor satu negara ini.
"Itulah minda autokrat perdana menteri kita. Kita tidak boleh salahkan dia.
"Saya yakin dia tak rasa dia menipu, dan tak rasa bersalah pun (mengeluarkan kenyataan sedemikian), walaupun seluruh dunia sudah melihat rakaman video dan gambar keganasan polis dalam internet," katanya yang juga AJK PAS Pusat.
Pada himpunan yang dianggarkan lebih 50,000 orang pada 9 Julai lalu di ibu negara itu, sejumlah 1,667 ditahan oleh pihak polis dan kemudiannya dibebaskan selepas diambil keterangan pada hari yang sama.
Ianya termasuk jawatankuasa penganjur, pemimpin Pakatan Rakyat dan orang ramai yang menyertai himpunan itu.
Selain Khalid, turut cedera ketika mengelak terkena kelongsong peluru gas pemedih mata adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala pengawal peribadinya, Fayad Al-Bakri patah tulang pipi dan terpaksa menjalani pembedahan.
Lebih mendukacitakan, seorang peserta turut meninggal dunia selepas sesak nafas terhidu gas pemedih mata yang dilepaskan oleh pihak polis.
Polis bagaimanapun menafikan kematian itu ada kaitan dengan tindakan polis melepaskan gas pemedih mata tersebut.
Dalam beberapa aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) juga, ada peserta mendakwa polis menendang dan memukulnya sebelum ditangkap.
Suhakam yang juga menghantar pasukan pemantau pada hari himpunan tersebut juga mengakui, polis menggunakan kekerasan sewaktu menyuraikan peserta himpunan.
Beberapa bukti kekasan dan keganasan polis itu juga kini sedang tersebar dai internet khususnya di Youtube.
Dan terbaru dalam temubual bersama Malaysiakini, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri yang "memang kejam" berbanding dengan beberapa perdana menteri sebelum ini.
Beliau merujuk kepada "kebengisan" polis dalam menangani perhimpunan Sabtu lalu itu dan mendakwa pentadbiran Najib sekarang mengarah kepada menjadikan Malaysia negara kuku besi.
A Samad berkata, perkara itu boleh dilihat melalui rakaman video dan gambar di internet yang mana kerajaan "berantakan dengan orang awam".
"Youtube siarkan, kita boleh lihat semua dan (dia) tak boleh tipu. Cuma, malangnya dalam akhbar-akhbar (dan) media utama, sudah tentu kamu nampak berat sebelah," katanya yang mesra dengan panggilan Pak Samad.
"Tapi kalau (di) Youtube, tak boleh tipu. Kamu kata tidak jentik-jentik, (itu) pun nampak (di Youtube). Kamu kata tidak ada orang yang dipijak, (tetapi ada) yang ditendang berulang kali," katanya.

Dibuang universiti kerana anjur Bersih 2.0 Mesir. Kenapa hanya di Mesir?

Semalam saudara Mohd Firdaus Madzlan atau lebih mesra di kalangan mahasiswa Islam di Mesir sebagai Ust Alang. Menerima panggilan telefon daripada doktor kuliahnya, di Darul Ifta' Misriyyah. Bahawa beliau telah dibuang daripada universiti atas alasan ada masalah dengan kedutaan Malaysia di Mesir. Kemungkinan besar adalah disebabkan beliau adalah penganjur kepada Bersih 2.0 Mesir baru-baru ini.

Saudara Firdaus adalah penuntut kursus lanjutan untuk menjadi mufti di Darul Ifta' Misriyyah. Beliau yang akan menamatkan pengajiannya pada 25 Julai ini, setelah 3 tahun menghabiskan masa untuk melayakkannya menjadi seorang bakal mufti terpaksa berputih mata, atas alasan menganjurkan Bersih 2.0 dan ia tiada kena mengena dengan undang-undang atau kesalahan universiti. Hanya kerana mendapat arahan daripada kedutaan Malaysia, beliau dinafikan haknya.

Apakah ini demokrasi dan keterbukaan kerajaan Malaysia? Walhal di Mesir, atau pelajar Malaysia yang belajar di luar negara sama sekali tidak terikat dengan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU) yang membolehkannya untuk dikenakan tindakan yang terkandung didalam akta tersebut. Amat malang dan menyedihkan tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia kerana politik sempit.

Persoalannya sekarang, mengapa hanya di Mesir diambil tindakan? Bukankah Bersih 2.0 dianjurkan diseluruh dunia? Di Australia, Jepun, Taiwan, United Kingdom, US dan lain-lain lagi? Adakah hanya kerana beliau seorang mahasiswa Melayu Islam, maka tindakan tersebut dikenakan keatas beliau? Jika kerajaan Malaysia ingin mengenakan tindakan sebegitu, biarlah adil, hukum semua penganjur atau mereka yang terlibat dengan tindakan yang sama ditempat-tempat lain. Jangan hanya kerana kami anak Melayu, kamu berani mengambil tindakan, berbanding pelajar bangsa lain? Ini sikap double standart kerajaan Malaysia.

BERSIH 2.0 UK

 
BERSIH 2.0 San Franscissco
Apa yang salahnya dengan penganjuran Bersih 2.0 di Mesir atau diseluruh dunia? Walhal ia dilaksanakan untuk menyokong dan menuntut kearah sistem pilihanraya yang bebas dan lebih adil. Malah, ia dilaksanakan dengan aman dan tiada sebarang provokasi dan kekecohan. Maka, dimana atau atas alasan apa beliau dihukum? Jika dikatakan menderhaka kepada Yang Dipertuan Agong, dimana lafaz atau tindakannya yang menderhaka? Dalam titah Yang DIpertuan Agong sendiri tiada kenyataan dikeluarkan melarang perhimpunan Bersih, tetapi baginda hanya menasihatkan bahawasanya himpunan/demonstrasi jalanan lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Seluruh dunia melihat, bahawa keburukan dan kekecohan itu berlaku adalah disebabkan provokasi polis dan menggunakan kekerasan. Walaupun perdana menteri cuba menafikan dengan mengatakan polis hanya menggunakan tindakan yang paling minimum keatas demonstran dalam temubualnya dengan CNN dalam rangka lawatan ke UK semalam. Tenyata, kebenaran tidak dapat disembunyikan lagi, semua mata memandang dan mengatakan bahawa tindakan polis dan FRU adalah zalim dan melanggar hak asasi manusia. Jika tidak, masakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyelar tindakan kerajaan Malaysia dalam menyurai dan mengendalikan himpunan aman Bersih baru-baru ini.

Sepatutnya kerajaan menggunakan peluang himpunan bersih 2.0 sebagai satu peluang dan menambah kredit bagi menunjukkan kepada rakyat Malaysia dan dunia, bahawa Kerajaan Barisan Nasional yang ada sekarang adalah terbuka dan rasional dalam memberikan hak kepada semua rakyat seperti mana yang terkandung dalam perlembagaan negara, hak setiap warganegara untuk berhimpun secara aman dan bebas bergerak diseluruh negara. Tetapi, kerana ketakutan yang amat terhadap tuntutan bersih, kerajaan tidak nampak peluang dan ruang yang boleh mereka ambil daripada perhimpunan aman tersebut.

Kami berharap kerajaan Malaysia tidak sebodoh itu dan menarik balik tindakan kurang cerdiknya hanya kerana seorang rakyat menuntut hak agar diadakan pilihanraya yang bersih dan adil.

Ayuh sahabat-sahabat sama-sama kita mendoakan agar mereka yang dizalimi mendapat pembelaan dan mereka yang zalim Allah beri hidayah atau hancurkan mereka.

Rasulullah Sollallahu alaihi wasalam pernah bersabda: "Barangsiapa yang memudahkan jalan orang yang ingin menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkan jalannya untuk ke Syurga" maka dengan tindakan menyusahkan serta ingin menyekat orang ingin menuntut ilmu hanya kerana perbezaan fahaman politik, seolah-olah ia menolak tawaran syurga daripada Allah subhanahu wataala. Maka, lawan kepada syurga adalah neraka.

Sabda Rasulullah SAW: "Bantulah saudaramu yang zalim atau yang di zalimi". Para sahabat lalu bertanya: "Memang kita perlu membantu saudara kita yang dizalimi, tetapi bagaimana pula kita membantu mereka bilamana mereka melakukan kezaliman?”. Maka Rasulullah SAW menjawab : “Engkau mencegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara membantu saudaramu yang zalim.” (H.R. Al-Bukhari)

Selalu bayangkan diri anda di dalam kasut seseorang. Jika anda rasa ianya menyakitkan, fikirlah ia mungkin menyakitkan orang lain juga

Jika demonstrasi aman sebegini pun dikata tindakan yang memalukan negara, hingga dibuang universiti. Lebih baik kita buat huru hara sungguh, biar tindakan buang universiti tersebut setimpal dengan tindakan yang dilakukan. Jangan cabar anak muda untuk melakukannya. Kami mampu merusuh, menyerang kedutaan, tetapi kami tidak mahu lakukan, sebab kami tahu bukan sebegitu yang Islam ajar dan kami masih ada pertimbangan yang rasional dan menghormati adab tingkah laku sebagai seorang mahasiswa Islam. Dan yang paling penting perlu difahami adalah kami bukan menentang kerajaan, kami sekadar mahu penambah baikan dalam sistem piliharaya negara. Tanda cinta dan semangat patriotisme kami anak Malaysia.

Kuning: Najib terima tamparan di London

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima tamparan hebat dalam kunjungannya ke London, hari ini apabila turut disambut puluhan penunjuk perasaan berbaju kuning yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan asing yang menyokong perjuangan Bersih 2.0.
Mereka berkumpul di Mansion House di London sejam sebelum ketibaan Perdana Menteri yang dijadual mengadakan pertemuan dengan tokoh perniagaan Britain.
Lebih hebat lagi, semalam, Ratu Elizabeth turut memakai gaun berwarna kuning ketika menerima mengadap Najib dan Rosmah di Istana Buckingham, London.
Manakala Setiausaha Pengangkutan Negeri, Philip Hammond bertali leher kuning ketika mengiringi Najib melawat Stesyen Kereta Api London.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, tindakan puluhan penunjuk perasaan, Ratu Elizabeth dan Philip Hammond itu merupakan satu tamparan yang besar terhadap Najib akibat kegagalannya menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 yang diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu dengan baik.
Menurut beliau, dalam hal ini, Najib perlu sedar, seluruh dunia sedang memerhatikan kerajaan Malaysia sekarang kerana kegagalannya menangani perhimpunan itu dengan baik.
Katanya, sebelum ini, pemimpin-pemimpin dunia menganggap kerajaan BN adalah kerajaan yang rasional, tetapi kekerasan polis terhadap para peserta himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu telah mengubah pandangan pemimpin-pemimpin dunia terhadap pemimpin BN. 
"Kekerasan polis dalam menyuaraikan perhimpunan itu ternyata telah mendatangkan kejutan kepada pemimpin-pemimpin dunia terhadap kerajaan BN yang dianggap rasional sebelum ini, tetapi sebenarnya bertindak keras terhadap rakyat.
"Jadi tindakan penunjuk-penunjuk perasaan, Ratu Elizabeth dan Philip Hammond itu adalah satu sindiran serta teguran kepada Najib agar mengubah sikap terhadap rakyat supaya tidak bertindak keras, tetapi menangani perhimpunan aman dengan baik seperti pemimpin-pemimpin di negara-negara maju," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Untuk memulihkan kembali imej kerajaan BN di mata dunia, menurut beliau, Najib perlu memohon maaf secara terbuka kepada para peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
"Dalam masa yang sama, Najib juga perlu mengarahkan agar diadakan satu siasatan terperinci tentang keganasan polis dalam menangani perhimpunan tersebut," katanya yang juga Pengarah Pilihanraya PAS Pusat.
Namun dalam hubungan ini, beliau kesal apabila Najib tetap juga menunjukkan sikap tidak faham dengan pandangan dunia terhadap beliau dan kerajaan BN yang berada di bawah pimpinannya.
Malah dalam kenyataannya baru-baru ini, Najib tetap juga mempertahankan tindakan polis dengan menafikan tindakan kekerasan polis dalam menangani perhimpunan itu.
"Pada hal, segala keganasan polis itu telah diketahui dengan meluas di seluruh dunia. Penyokong-penyokong Bersih 2.0 juga turut mengadakan perhimpunan di seluruh dunia pada hari itu. Isu ini pula berkaitan dengan hak asasi manusia yang sememangnya menjadi perhatian dunia.
"Dengan tamparan yang diterima di London itu, Najib sendiri boleh faham bahawa apa yang diperjuangkan oleh Bersih 2.0 itu memberikan isyarat perpaduan banyak pihak dalam perjuangan isu itu dan ia adalah satu isyarat perpaduan dunia," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.
Harakahdaily hari ini atas tajuk "Gelombang kuning 'kejar' Najib di UK" turut melaporkan, biarpun dilihat seolah-olah lari dari isu Bersih 2.0 sehingga ke luar negara, kehadiran Najib Razak di United Kingdom hari ini bagaimanapun tetap 'dikejar' gelombang kuning.
Puluhan penunjuk perasaan itu memakai baju kuning, membawa poster serta sepanduk mengutuk tindakan kerajaan Malaysia menangani peserta himpunan Bersih 2.0 di ibu negara 9 Julai lalu yang berhimpun secara aman menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya.
Dalam tulisan yang terpapar pada sepanduk yang dibawa itu, mereka juga mendesak Najib supaya membebaskan segera enam tahanan Parti Sosialis (PSM) yang dinamakan sebagai "EO6" yang ditahan mengikut Ordinan Darurat.
Daripada gambar-gambar yang disebar di internet, Najib dilihat sempat menoleh ke arah kumpulan penunjuk perasaan itu yang hanya berjarak kira-kira 50 meter dari tempat turun kereta yang dinaikinya, manakala sebuah van dan dua anggota polis juga dilihat berkawal di hadapan peserta himpunan itu.
Amnesty International sebelum ini mendesak Kerajaan UK agar memberi signal protes terhadap layanan zalim Kerajaan Malaysia kepada peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Pakatan desak bebaskan segera 6 tahanan EO

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Pakatan Rakyat hari ini berpeluang melawat salah seorang tahanan di bawah Ordinan Darurat (EO), Dr Jeyakumar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, penasihat DAP, Lim Kit Siang dan naib presiden PKR, Sivarasa Rasiah bertemu dengan Jeyakumar yang juga ahli Parlimen Sungai Siput kira-kira setengah jam.
Pakatan Rakyat mendesak Jeyakumar dibebaskan segera kerana ditahan tanpa pertuduhan yang serius.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan tersebut, Salahuddin berkata, berdasarkan cerita Jeyakumar, beliau hanya dikaitkan dengan perhimpunan Bersih 2.0.
"Mengikut beliau (Jeyakumar) sebentar tadi, sepanjang beliau ditahan tidak ada langsung pertuduhan yang serius seperti dakwaan melawan Yang di-Pertuan Agong ataupun apa yang dikatakan memudaratkan keselamatan negara.
"Yang ditekankan ialah isu Bersih, menganjurkan perhimpunan Bersih dan adakah kerana itu beliau ditahan di bawah EO?
"Saya bagi pihak Pakatan Rakyat mendesak supaya kerajaan membebaskan mereka dengan segera kerana ini adalah satu perkara yang tak menepati lunas-lunas kemanusiaan dan perundangan negara," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.
Kit Siang pula menegaskan, jika kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedar bahawa imej mereka telah tercalar di mata dunia keenam-eman tahanan itu mesti dibebaskan segera.
"Kalau kerajaan cerdik dia akan bebaskan Jeyakumar dan aktivis PSM yang lain dengan segera tapi kalau enggan dia telah melakukan kesilapan dan imej negara akan tercemar di  mata antarabangsa," katanya yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur.
Sementara itu, Sivarasa menyuarakan nada yang sama, mereka dibebaskan dan menyifatkan dakwaan keenam-enam mereka ingin menentang Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak masuk akal.
"Saya yakin penahanan ini hanya kerana untuk menggagalkan Bersih.Tak munasabah langdung mereka ditahan atas dakwaan ingin melancarkan perang dan sebagainya kerana kita semua tahu bagaimana Jeyakumar, seorang doktor yang banyak berkhidmat untuk masyarakat.
"Kita harap kerajaan sedar kesilapan ini kerana dunia sedang melihat apa yang berlaku di Malaysia ini yang dianggap sebagai negara polis yang boleh tangkap sesiapa sahaja," katanya yang juga ahali Parlimen Subang.
Enam yang ditahan itu ialah ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Jeyakumar, M. Saraswathy, M. Sukuraman, A. Letchumanan, Choo Chon Kai dan R. Sarat Babu.
Mereka ditahan pada 25 Jun lalu di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang sewaktu menjalankan kempen parti itu, "Udahlah...Bersaralah" dan dituduh di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Friday, July 15, 2011

PERASMIAN CHENG HO INTERNATIONAL FOOD FESTIVAL 2011.








Azhar tuntut keadilan kematian Baharuddin

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Anak saudara Allahyarham Baharuddin Ahmad, Azhar Kassim, hari ini tampil di ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), di sini, untuk menuntut keadilan di atas kematian bapa saudaranya.
Beliau tampil bersama Jawatankuasa Bersih 2.0, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan beberapa saksi tindakan penggunaan kekerasan tidak munasabah polis lain ketika menyuraikan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.
Ketika membuat pengaduannya, Azhar berkata, kematian Allahyarham amat mengejutkan beliau dan seluruh keluarganya kerana Allahyarham tidak mengalami masalah kronik.
"Dia sihat. Dia tak menghidapi masalah jantung. Dia tak ada penyakit lelah. Dia hanya ada sedikit penyakit darah tinggi tetapi tak kronik. Kematiannya berlaku dengan tiba-tiba. Jadi kematiannya amat memeranjatkan saya dan seluruh keluarganya. 
"Allahyarham adalah bekas tentera dan kini menjadi polis simpanan. Beliau bukan orang kaya. Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak yang masih kecil dan masih bersekolah," katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon kepada pihak Suhakam untuk menuntut keadilan dari pihak kerajaan berhubung kematian bapa saudaranya itu.
Allahyarham Baharuddin Ahmad didakwa meninggal dunia disebabkan kekasaran polis dan kegagalan mereka untuk memberikan bantuan perubatan yang sepatutnya dan pada masanya kepada beliau.
Cerita mengenai punca kematian Baharudin mula merebak sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikeluarkan dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 3 pagi 10 Julai lalu selepas menjalani post mortem.
"Empat tulang dadanya didapati patah manakala tiga batang giginya juga patah," kata Azhar kepada pihak Suhakam yang diwakili oleh Naib Pengerusi Suhakam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee dan Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sa'ani Abdullah. 
Bersih 2.0 dalam kenyataannya 11 Julai lalu mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad sambil menuntut pihak berkuasa supaya tidak berdalih lagi dengan hakikat bahawa polis telah menggunakan kekerasan yang berat terhadap para peserta Bersih 2.0.
“Ini (kematian Baharuddin) hanyalah salah satu daripada pelbagai tindakan polis pada 9 Julai yang lalu yang mengakibatkan kecederaan teruk," tegas kenyataan itu.
Sementara empat peserta perhimpunan aman itu yang turut membuat pengaduannya masing-masing menceritakan pengalaman traumatik mereka apabila diperlakukan oleh pihak polis dengan tidak sepertinya.
Salah seorang daripada mereka mendakwa seorang anggota polis mengancam untuk membunuhnya ketika menangkapnya, sewaktu beliau sedang berjalan kaki di hadapan Dataran Pahlawan dengan sepupunya pada jam 4.10 petang selepas perhimpunan itu telah bersurai.
Menurutnya, kemudian dia ternampak sekumpulan FRU hendak menyerbu ke arah seorang lelaki muda yang tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi hanya sedang berdiri di atas jalan.
"Saya meminta mereka jangan memukul lelaki itu kerana dia tidak berbuat apa-apa pun. Anggota FRU menyerbu ke arah saya, manakala sepupu saya yang meminta polis jangan memukulnya, turut ditangkap," katanya.
Beliau mendakwa polis menendang dan menumbuknya semasa ditangkap dan mencederakan di bahagian atas dahinya dan di bahagian bawah tangannya.
Pengadu lain termasuk aktivis Sarawak, Hii Tiong Huat yang ditahan sehari sebelum perhimpunan aman itu turut menceritakan tindakan yang tidak sepatutnya yang dilakukan oleh pihak polis terhadap beliau, apabila beliau ditendang dan ditumbuk sesuka hati oleh pihak polis.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang turut hadir di pejabat Suhakam hari ini bagi menyerahkan memorandum bagi pihak mangsa-mangsa kekerasan polis pada perhimpunan itu, ketika membacanya pengaduannya antara lain turut menyebut kenyataan awal Bersih 2.0 berhubung kes yang membabitkan Allahyarham Baharuddin. 
Manakala antara bukti-bukti kes lain pula yang turut disebut oleh beliau termasuk kejadian cederaan lutut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada hari perhimpunan itu akibat tindakan kekerasan polis yang melanggar motosikal yang ditumpanginya.
Sejurus selepas itu, Mohamad Sabu turut hadir di pejabat Suhakam dengan berkerusi roda yang terpaksa ditolak oleh pembantunya untuk menceritakan sebahagian pengalaman buruknya pada perhimpunan itu kepada pihak Suhakam.

Isu baca hadis: Islam bukan untuk Melayu sahaja

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Al Quran dan Hadis diturunkan sebagai rahmat seluruh alam, dan bukan hanya untuk orang Islam sahaja dan Islam pula bukan hak orang Melayu sahaja. 

Itu tegasan dan penerangan yang dibuat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man(gambar) apabila beliau terbaca laporan mengenai Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman yang membidas wakil rakyat PAS dan PKR beragama Islam kerana tidak bersuara ketika  Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim memetik hadis untuk menguatkan hujahnya dalam satu pembentangan di DUN Selangor semalam.

Satim berhujah bahawa Ng tidak layak menggunakan hadis untuk hujahnya kerana beliau seorang bukan Islam dan tidak memahami hadis tersebut.

Menurut Tuan Ibrahim iaitu Ketua Penerangan PAS, isu orang bukan Islam memetik ayat al-Quran dan Hadis masih menjadi isu yang belum selesai hanya kerana sikap dan pemikiran segelintir pemimpin-pemimpin Umno yang masih terkongkong dengan persepsi bahawa ia adalah satu kesalahan untuk orang bukan Islam memetik ayat al-Quran atau hadis.

“Alasan mereka mudah dan cetek, kerana tidak faham ayat al-Quran atau hadis. Kalau orang Melayu yang petik ayat al-Quran atau hadis tidak jadi masalah, walaupun mereka juga tak faham,” tegur beliau.

Tuan Ibrahim juga menasihatkan orang Islam untuk memahami betapa ramainya orang bukan Islam di dunia ini yang memetik ayat al-Quran dan hadis dalam tulisan atau ucapan mereka di seluruh dunia.

Tapi mengapa para ulama atau Majlis Fatwa tidak mengeluarkan fatwa untuk mengharamkannya?

“Sebab isu utama ialah hukumnya haram atau dicegah hanya sekiranya mereka atau kita umat Islam memetik dengan tujuan menghina atau mempermain-mainkan al-Quran atau hadis.

"Kalau mereka memetik untuk menguatkan hujah mereka, maka ia tidak dilarang bahkan ianya telah ada nilai kepercaaan kepada kebenaran al-Quran atau hadis. Seandainya petikan tersebut tersasar dari maksud sebenar, maka mereka yang memahami nas wajiblah membetulkannya,” terang Tuan Ibrahim dalam kenyataannya hari ini.

Pada pandangan Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, menghalang orang bukan Islam daripada mendekati sumber utama Islam (al-Quran atau hadis) menyebabkan mereka semakin jauh daripada memahami asas agama Islam – dan ini akan membantutkan perkembangan agama Islam.

“Kerana itu, Umno tak perlu menunding jari kepada wakil rakyat PAS atau PKR kerana tindakan itu mengambarkan kejahilan mereka dalam memahami isu ini,” selar beliau.

Beliau turut menambah bahawa isu umat Islam berhadapan dengan golongan bukan Islam bukanlah isu yang baru kerana sudah ratusan tahun lamanya umat Islam telah berhadapan dengan golongan bukan Islam.

“Maka seandainya orang bukan Islam tidak dibenarkan memetik ayat Quran atau hadis, tak mungkin tiada sebarang fatwa melarangnya. Untuk itu kita sebagai umat Islam hendaklah memandu golongan bukan Islam memahami dan mengkaji kebenaran Islam, semoga dengan kajian tersebut mereka terbuka hati untuk menerima Islam. InsyaAllah,” nasihat beliau.

Terdahulu, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, al-Quran dan hadis merupakan sumber rujukan untuk kesejahteraan sekalian manusia.

“Sebagai orang Islam kita seharusnya menggalakkan penganut agama lain mempelajari tentang al-Quran dan hadis untuk mengenal Islam secara lebih mendalam dan bukannya mengherdik dan bertindak di luar akhlak Islam yang akhirnya menjauhkan bukan Islam dengan Islam,” kata beliau.

Bersih gelombang ketiga boleh berulang

RANTAU PANJANG, 14 Julai: Dewan Muslimat PAS Pusat turut membayangkan kemungkinan gelombang ketiga Bersih berulang sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus angkuh dan enggan berubah.
Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, berdasar kepada situasi sekarang nampaknya rakyat tidak teragak-agak meneruskan gelombang Bersih 3.0.
“Mungkin gelombang itu akan lebih hebat lagi.  Kita melihat keangkuhan SPR dan kerajaan seolah-olah mengenepikan pandangan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Masjid Al-Mujahidin dan penyampaian kelulusan hak milik tanah kepada penduduk di Kampung Kubang Kual, hari ini.
Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hadir sama Adun Gual Periuk, Mohamad Awang, wakil-wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.
Tanggal 9 Julai lalu menjadi detik bersejarah apabila puluhan ribu rakyat menghadiri perhimpunan anjuran Bersih 2.0 biar pun dihalang pasukan polis.
Malah lebih 100 pemimpin Pakatan Rakyat dan orang ramai ditangkap lebih awal hanya kerana memakai baju Bersih 2.0 dan berwarna kuning.
Siti Zailah yang juga anggota parlimen Rantau Panjang berkata, kerajaan juga seperti tidak menghiraukan titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong supaya perhimpunan rakyat berlaku secara aman.
Menurut beliau sekiranya perhimpunan rakyat itu dibiarkan berlangsung secara aman tanpa gangguan polis seperti di negara lain, sudah tentu tidak berlaku kecederaan dan kematian.
Namun malangnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disifatkan tidak mempunyai kematangan berpolitik sehingga menganggap perhimpunan anjuran Bersih sebagai musuh negara.
“Tindakan provokasi dan serangan gas pemedih mata dan tembakan air berkimia menyebabkan rakyat marah,” katanya.
Menurutnya himpunan Bersih 1.0 pada 2007 membuktikan tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa kerana provokasi polis tidak berlaku.
Oleh itu beliau mencadangkan satu suruhanjaya khas perlu diwujudkan bagi menyiasat dakwaan kekasaran pasukan polis sehingga di luar batasan kemanusiaan.
Manakala di Kota Bharu semalam, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Zulkifli Mamat berkata, imej Perdana Menteri kini semakin tercalar biar pun baru dua tahun menduduki kerusi tersebut.
Katanya, sikap berdolak dalih Najib dan Menteri Dalam Negeri menghalang perhimpunan aman Bersih 2.0 diadakan di Stadium Merdeka menyebabkan rakyat marah.
“Rakyat melihat ketidakupayaan Perdana Menteri menunaikan janjinya bagi menyediakan tempat kepada Bersih 2.0 menyebabkan orang ramai begitu kecewa.
“Sekali kata boleh dan di masa lain pula kata tidak boleh. Ini sudah tentu menimbulkan kemarahan rakyat,” katanya selepas majlis penyerahan tugas sukarelawan Festival Makanan Antarabangsa Kelantan Cheng Ho di pekarangan Bazar Tok Guru, petang semalam.
Turut hadir Presiden Pertubuhan Sukarelawan Hijau Kelantan (Green-V), Mohd Adilan Mat Jusoh dan timbalannya Norsham Sulaiman.
Zulkifli yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat berkata, sebagai pemimpin tertinggi negara Najib perlu konsisten dalam mengeluarkan kenyataan.
Beliau juga menyokong cadangan banyak pihak supaya ditubuh Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji tuntutan Bersih 2.0 dan keganasan pasukan polis terhadap orang ramai 9 Julai lalu.

Tahniah 11 doktor berani akui hospital ‘diserang’

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) merakamkan ucapan tahniah di atas keberanian dan kesanggupan kumpulan 11 orang doktor dari Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina di Jalan Pudu untuk tampil menyanggah tuduhan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengatakan hospital tersebut tidak ‘diserang’ oleh pihak polis semasa himpunan Bersih 9 Julai yang lalu.
Malahan, kata ketuanya Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, kumpulan doktor tersebut yang terdiri daripada Datuk Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Jeffrey Abu Hassan, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Ahmad Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Datin Low Low Paik See dan Dr Steve Wong sanggup mengemukakan afidavit bersumpah jika perlu untuk pertahankan kebenaran.  
DPPNS, katanya cukup berbangga di atas komitmen yang telah ditunjukkan oleh para doktor tersebut semata-mata kerana ingin menegakkan kebenaran dan mempertahankan nilai-nilai "integriti moral, maruah, dan ketelusan".
“Sudah pasti pendedahan ini memberikan tamparan hebat kepada pembohongan Menteri Kesihatan dan pihak PDRM sebelum ini yang menceritakan perkara sebaliknya,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga, ujarnya mengecam sikap tidak bertanggungjawab Menteri Kesihatan dan pihak PDRM sebelum ini yang telah membuat ‘pembohongan’dan penafian kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap isu serangan ke atas hospital terbabit sedangkan terdapat pembuktian daripada saksi-saksi yang ditangkap semasa himpunan tersebut, pelbagai rakaman video, pengamatan dan pemantauan daripada Majlis Peguam dan lain-lain pihak menceritakan kisah yang sebaliknya.
“Bagaimanakah rakaman kejadian serangan ke atas hospital tersebut telah tersebar luas di laman-laman web dan menjadi tontonan masyarakat sedunia sedangkan pada masa yang sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein mengatakan pihak polis juga ada merakamkan kejadian pada hari tersebut tetapi tiada serangan yang dimaksudkan berlaku?” soalnya.
Ini, katanya merupakan satu bala apabila pemimpin semakin berleluasa melakukan pembohongan dan penipuan semata-mata kerana ingin mempertahankan tampuk kekuasaaan.
Beliau menambah, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan keberanian kumpulan 11 orang doktor itu untuk mendedahkan kebenaran sebenar kejadian yang berlaku semasa himpunan Bersih tempoh hari tidak akan disusuli dengan tekanan dan ancaman oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap mereka.
“DPPNS mengharapkan semoga dengan pendedahan ini akan dapat menyedarkan rakyat Malaysia betapa kronik dan rosaknya akhlak pemimpin Umno BN yang sanggup mempergunakan institusi awam dan media massa untuk kepentingan mereka selain berterusan berbohong dan menipu untuk mempastikan rakyat terus diperbodohkan dan dapat dipergunakan di dalam Pilihanraya Umum yang ke 13 nanti,” katanya.
Justeru, tambahnya Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menuntut supaya Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Kesihatan dan Ketua Polis Negara meletakkan jawatan secara bermaruah di atas pertanggungjawaban insiden serangan ke atas Hospital Tung Shin dan Pusat Bersalin Cina semasa Himpunan Bersih 2.0 oleh pihak PDRM pada 9 Julai lalu.

PAS sambut baik Suhakam adakan siasatan awam

KUALA LUMPUR, 14 Julai: PAS menyambut baik dan mengalu-alukan langkah yang diambil oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk mengadakan siasatan awam terhadap dakwaan keganasan polis ketika menyuraikan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan, beliau bersetuju dengan langkah yang diambil oleh Suhakam itu dan bersedia memberikan segala kerjasama yang diperlukan.
Dalam masa yang sama, beliau berharap agar Suhakam memainkan peranan lebih berkesan termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung perkara itu.
Katanya, setelah siasatan awam diadakan, Suhakam perlu memainkan peranan di PBB bagi membawa Malaysia keluar dari keadaan primitif terutama berhubung pengendalian perhimpunan aman.
"Sebelum ini, Suhakam telah pun mengadakan beberapa siasatan awam yang melibatkan beberapa perkara lain, tetapi tetap juga tidak diendahkan oleh kerajaan.
"Sekarang diharap Suhakam akan turut memainkan peranan berkesan di PBB untuk meminta Malaysia keluar dari keadaan primitif," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sebelum itu, beliau turut hadir bersama Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bagi membuat pengaduan kepada pihak Suhakam berhubung keganasan polis dalam menyuraikan perhimpunan aman pada 9 Julai lalu. 
   
Dalam pengaduannya yang didengar oleh Naib Pengerusi Suhakam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee dan Pesuruhajaya Suhakam, Muhammad Sa'ani Abdullah itu, beliau antara lain meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan pihak polis yang melanggar motosikal yang ditumpanginya pada hari perhimpunan itu, sehingga menyebabkan beliau mengalami kecederaan lutut yang teruk.
Akibatnya, beliau terpaksa berkerusi roda dan akan menjalani pembedahan esok di sebuah hospital di Petaling Jaya bagi memulihkan kembali lututnya, tetapi terpaksa memakan masa agak lama dan mengganggu kehidupan hariannya.
Sebelum itu, Khaw Lake Tee dan Muhammad Sa'ani turut mendengar aduan dari pihak Bersih 2.0, Suaram dan beberapa orang saksi yang menjadi mangsa kekerasan pihak polis dalam menyuraikan perhimpunan itu.
Beberapa hari lalu, pihak Suhakam turut mendengar aduan dari beberapa pihak lain berhubung tindakan penggunaan kekerasan melampau pihak polis dalam menyuraikan perhimpunan itu termasuk dari Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Sekitar jam 12.15 tengah hari tadi, Khaw Lake Tee dan Muhammad Sa'ani turut menerima memorandum dari peserta perhimpunan Bersih 2.0 yang diketuai Ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Selepas itu, Khaw Lake Tee mengumumkan akan mengadakan siasatan awam terhadap dakwaan keganasan polis ketika menangani perhimpunan tersebut Sabtu lalu.
Bagaimanapun, pihak Suhakam masih belum bersedia untuk memperincikannya pada hari ini, sebaliknya sedang mengkaji bidang rujukan siasatan tersebut yang akan diumumkan kemudian.