Saturday, July 16, 2011

Pakatan desak bebaskan segera 6 tahanan EO

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Pakatan Rakyat hari ini berpeluang melawat salah seorang tahanan di bawah Ordinan Darurat (EO), Dr Jeyakumar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, penasihat DAP, Lim Kit Siang dan naib presiden PKR, Sivarasa Rasiah bertemu dengan Jeyakumar yang juga ahli Parlimen Sungai Siput kira-kira setengah jam.
Pakatan Rakyat mendesak Jeyakumar dibebaskan segera kerana ditahan tanpa pertuduhan yang serius.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan tersebut, Salahuddin berkata, berdasarkan cerita Jeyakumar, beliau hanya dikaitkan dengan perhimpunan Bersih 2.0.
"Mengikut beliau (Jeyakumar) sebentar tadi, sepanjang beliau ditahan tidak ada langsung pertuduhan yang serius seperti dakwaan melawan Yang di-Pertuan Agong ataupun apa yang dikatakan memudaratkan keselamatan negara.
"Yang ditekankan ialah isu Bersih, menganjurkan perhimpunan Bersih dan adakah kerana itu beliau ditahan di bawah EO?
"Saya bagi pihak Pakatan Rakyat mendesak supaya kerajaan membebaskan mereka dengan segera kerana ini adalah satu perkara yang tak menepati lunas-lunas kemanusiaan dan perundangan negara," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.
Kit Siang pula menegaskan, jika kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedar bahawa imej mereka telah tercalar di mata dunia keenam-eman tahanan itu mesti dibebaskan segera.
"Kalau kerajaan cerdik dia akan bebaskan Jeyakumar dan aktivis PSM yang lain dengan segera tapi kalau enggan dia telah melakukan kesilapan dan imej negara akan tercemar di  mata antarabangsa," katanya yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur.
Sementara itu, Sivarasa menyuarakan nada yang sama, mereka dibebaskan dan menyifatkan dakwaan keenam-enam mereka ingin menentang Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak masuk akal.
"Saya yakin penahanan ini hanya kerana untuk menggagalkan Bersih.Tak munasabah langdung mereka ditahan atas dakwaan ingin melancarkan perang dan sebagainya kerana kita semua tahu bagaimana Jeyakumar, seorang doktor yang banyak berkhidmat untuk masyarakat.
"Kita harap kerajaan sedar kesilapan ini kerana dunia sedang melihat apa yang berlaku di Malaysia ini yang dianggap sebagai negara polis yang boleh tangkap sesiapa sahaja," katanya yang juga ahali Parlimen Subang.
Enam yang ditahan itu ialah ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Jeyakumar, M. Saraswathy, M. Sukuraman, A. Letchumanan, Choo Chon Kai dan R. Sarat Babu.
Mereka ditahan pada 25 Jun lalu di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang sewaktu menjalankan kempen parti itu, "Udahlah...Bersaralah" dan dituduh di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.

No comments: