Thursday, December 01, 2011

Syor PSC perlu dilaksana pada PRU13

KUALA LUMPUR, 1 Dis: PAS mahu kerajaan melaksanakan segala syor yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya di Dewan Rakyat hari ini pada PRU13 nanti.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr. Mohd Hatta Ramli berkata, adalah sia-sia jika syor tersebut dibentang kepada kerajaan sekiranya ia dibakul sampahkan.

"Paling penting kita minta usul yang dibahaskan ini diguna pakai untuk pilihan raya umum ke-13.

"Kalau pilihan raya bulan depan, bulan depan lah syor ini dilaksanakan," katanya yang juga ahli parlimen Kuala Krai kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau mengulas 10 syor PSC yang dibentang di dewan rakyat hari ini.

Syor tersebut antara lain mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminda segera peraturan pilihan raya agar dakwat kekal boleh digunakan pada PRU akan datang.

Selain itu, beberapa syor turut dikemukakan untuk menambahbaik sistem pengundian awal, pengundi tidak hadir luar negara, pengundi luar kawasan, penukaran alamat pusat mengundi, pembersihan daftar pemilih, pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan, ketelusan proses mengundi, proses ulang kira kertas undi, penambahbaikan proses pencalonan dan pengukuhan SPR.

Mengulas lanjut, Mohd Hatta yang juga salah seorang anggota PSC tersebut berkata, jika ia tidak dilaksana, bermakna reformasi pilihan raya yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya satu pembohongan.

"Kalau tidak dilaksana, maka kerja PSC yang dipilih oleh parlimen ini hanya sia-sia. Rakyat akan menilai ini semua.

"Kalau diluluskan tetapi tidak ada apa-apa tindakan, maknanya ini satu pembohongan kerajaan BN kepada rakyat," katanya.

PAS lawan Umno, tak kan yang menang DAP

KUALA LUMPUR, 1 Dis: “Budak tadika pun tahu jawapannya, jika Umno lawan PAS, yang menang sudah tentu antara Umno atau PAS,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Dewan Merdeka PWTC pada 29 November lalu yang menyatakan DAP ganti PAS, bukan PAS ganti Umno.
“Sifir mana Timbalan Presiden Umno ini belajar.
“Bagaimana Najib lawan Muhyidin yang menang ialah Chua Soi Lek. Analogi yang tidak masuk akal langsung,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Katanya, kalau itulah kenyataan yang keluar daripada seorang Menteri Pelajaran, maka amat malanglah rakyat Melaysia kerana lain yang ditanya maka lain pula yang dijawab.
Tambahnya, Timbalan Presiden Umno menyebut DAP ganti PAS sebagi strategi Umno untuk menakutkan rakyat daripada memilih PAS dan meninggalkan Umno walaupun anologi beliau sebagai orang yang pening lalat.
Menurutnya, rakyat Malaysia sedar Persidangan Umno pada kali ini akan menjadi pesta memaki hamun dan memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat.
Ini, ujarnya adalah strategi Umno untuk menutup kelemahan Umno yang menjadi teras kepimpinan negara.
Katanya lagi, parahnya pentadbiran negara telah didedahkan oleh Ketua Audit Negara, sebaliknya pujian urus tadbir cemerlang diberi kepada negeri Pakatan Rakyat.
“Walaupun Tan Sri Muhyiddin cuba menakutkan rakyat terutama orang melayu daripada  menyokong PAS, kononnya DAP yang mengganti PAS tetapi rakyat semakin cerdik dan tahu siapa sebenarnya pengkhianat RM52 bilion saham bumiputera, RM32 juta wang PPRT, 1.3 juta hektar tanah rezab melayu digadai di bawah kepimpinan Umno.
“Jika inilah yang berlaku layaklah PAS ganti Umno,” ujarnya.

Wacana Pilihanraya: Husam lawan Nazri

KOTA BHARU, 1 Dis: Selepas program Debat Perdana yang disiarkan TV1 berkubur, orang ramai kini tidak lagi dapat menyaksikan wacana yang mengupas pelbagai isu politik.
Program yang disiarkan secara langsung itu hanya muncul seketika semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara. Ini sesuai dengan sikapnya lebih terbuka.
Begitu juga program Hujjah yang diterbit TV9, berjaya menarik minat orang ramai. Namun Hujjah yang dihidupkan kembali dengan versi baru sekarang kelihatan tidak bermaya.
Pentas diskusi, wacana dan debat seperti itu hanya sekali sekala diadakan di dewan tertutup dan tiada lagi siaran langsung kecuali melalui internet.
Kumpulan Karangkraf dan beberapa pihak lain termasuk kerajaan Kelantan masih mempertahankan debat terbuka mengupas isu semasa yang berlaku.
Ruang untuk rakyat mendapat maklumat secara telus melalui media elektronik kini semakin sempit di bawah kepimpinan negara sekarang.
Kalau ada wacana sekali sekala pun di TV1 dan TV9, panelis jemputan hanya dari kelompok yang sama. Tiada lagi diskusi terbuka yang lebih matang dan mendebarkan.
Maka mengambil kira kepincangan itu kerajaan Kelantan sejak tiga tahun lalu menganjur wacana perdana dengan mengupas isu kritikal membabit panelis daripada Pakatan Rakyat, Barisan Nasional dan NGO.
Dan pada 8 Disember ini sekali lagi wacana ’panas’ akan diadakan bakal mengupas isu bertajuk ”Pilihan Raya Bersih dan Adil : Realiti Atau Ilusi?”
Pengarah program Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan anggota Exco, Datuk Husam Musa dijemput sebagai ahli panel wacana berkenaan.
Manakala Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusof bertindak sebagai moderator.
Program itu dijangka bermula jam 9 malam akan diadakan di Dewan Besar, Balai Islam Lundang, merupakan siri kelapan.
Ia dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, turut mendapat kerjasama Harakah, Malaysiakini dan KTV sebagai media rasmi. Selain itu Rekabentuk Grafik dan Muslim Life.
Ahmad Baihaki berkata, wacana itu akan disiarkan secara langsung melalui mykelantan.tv.
”Sebanyak tujuh siri wacana yang diadakan sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan sehingga melimpah ke luar dewan.
”Ini menggambarkan orang ramai amat mengharap program seumpama itu bagi mendengar kupasan isu semasa yang berlaku secara matang dan sihat,” ujarnya.
Antara panelis dari Umno yang pernah diundang termasuk Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin, Pegawai JASA, Lokman Nor Adam. Ketua Pemuda Umno Rantau Panjang, Affandi Yusof dan bekas Pengerusi Yadim, Datuk Nakhaie Ahmad.

Umno ‘mendakap demokrasi’ ibarat bunyi tin kosong

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) memandang sinis ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menganggap Umno parti yang ‘mendakap demokrasi’.
“DPP Malaysia menganggap ucapan beliau umpama ibarat tin-tin kosong yang hanya kuat berdegar berbunyi apabila diketuk, tetapi kosong di dalamnya,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.
Bagi DPP Malaysia, katanya Perdana Menteri mungkin mahu rakyat serta ahli-ahli partinya menganggap Umno adalah parti yang suci bersih dan mengamalkan demokrasi tulen.
“Beliau mungkin merasakan rakyat percaya kenyataan beliau tersebut dan menelannya hidup-hidup, walhal hakikatnya, rakyat kini semakin cerdik dan tidak lagi boleh ditipu,” katanya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, mungkin dalam mentaliti ahli-ahli dan pemimpin Umno ‘mendakap demokrasi’ bererti mendera dan membuli rakyat sesuka hati terutama pembangkang.
Demokrasi bagi mereka, kata beliau adalah bertindak berat sebelah dalam pilihanraya, menggunakan seluruh jentera kerajaan sama ada media, jabatan kerajaan dan agensi di bawahnya bagi berkempen untuk mereka.
Beliau menambah, bagi Umno, memberi rasuah, mengugut, memberi habuan atau projek segera pilihanraya kepada rakyat dibenarkan untuk mereka.
Katanya lagi, menjadikan insitusi penting negara sebagai perkakas yang boleh arah sesuka hati adalah budaya mereka selama ini.
Umum, ujarnya mengetahui sejak dahulu hingga sekarang, sistem pilihanraya di Malaysia tidak pernah berlangsung dengan adil dan bebas.
Menurutnya, walaupun Jawatankuasa Khas Parlimen baru ditubuhkan, namun kedengarannya ia tidak sempat menghabiskan tugasnya kerana pilihanraya akan berlaku bila-bila masa dari sekarang.
Malah, kata beliau rakyat masih belum melupakan bagaimana RUU Perhimpunan Aman diluluskan baru beberapa hari yang lepas dengan mudah yang bererti menyekat kebebasan dan hak rakyat untuk berhimpun.
“Dengan daftar pemilih yang sangat diragui, dengan beberapa siri pengangkapan warga asing yang diberi hak kerakyatan dan mengundi, beberapa bukti daftar pemilih klon dan bertindih, penemuan pemilik kad pengenalan palsu, dengan undi pos yang jelas diselewengkan hasil dari pengakuan beberapa bekas anggota tentera, dakwat kekal yang masih tidak terlaksana, pengundi mati yang masih turun mengundi, dan banyak lagi pendedahan boleh dibuat apakah maksud demokrasi sebenar,” katanya.
Justeru, katanya DPP Malaysia mahu bertanya kepada PM, bilakah pemimpin Pakatan Rakyat diberikan akses kepada media khususnya menjelang pilihanraya kecil atau umum dengan adil sebagaimana yang dibuat oleh pemimpin Umno sekarang.
Setahu rakyat, ujarnya bukan setakat tidak berpeluang muncul berkempen di media, malah habis teruk pemimpin Pakatan Rakyat diserang pelbagai penjuru menggunakan media rasmi kerajaan.
“Pernahkah PM memikirkan untuk melaksanakan ‘kerajaan sementara’ setelah bubarnya parlimen sebagaimana yang penah dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen,” tanya beliau.
Bagi PM, tambahnya mungkin idea ini tidak ‘mendakap demokrasi’ kerana jika dilaksanakan sudah pasti akan mengancam dirinya dan Umno dalam PRU ke 13 nanti.
Justeru, katanya DPP Malaysia berpendapat, PM kena tukar istilah dari ‘mendakap demokrasi’ kepada ‘mendekam demokrasi’ kerana istilah inilah yang paling sesuai memandangkan inilah realiti yang berlaku ke atas nilai demokrasi di negara ini sejak merdeka sehingga kini.

Wednesday, November 30, 2011

Himpunan Aman: Jangan salah guna kuasa majoriti

PRU 13: Apa maksud Najib kata ‘luar biasa’

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) merasa terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya jentera Umno bersiap sedia menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 yang disifatkan sebagai ‘luar biasa’ dengan tindakan ‘luar biasa’.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, DPP Malaysia menganggap kenyataan Datuk Seri Najib sebagai bahaya kerana boleh disalah tafsir oleh pelbagai pihak, memandangkan beliau adalah Perdana Menteri dan mempunyai kuasa di negara ini.

“DPP Malaysia hairan, bagaimana ungkapan sedemikian boleh keluar dari mulut Perdana Menteri Malaysia,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, walaupun ia diucapkan terhadap jentera dalaman Umno, namun ia sudah menjadi berita yang semua rakyat membaca dengan pelbagai persepsi.

Bagi sesetengah pihak, ujarnya ucapan Najib boleh memberi makna akan berlaku sesuatu yang buruk terhadap rakyat dan negara.

Justeru, katanya DPP Malaysia mempersoalkan, apakah PM sudah meramalkan sesuatu yang luar dari kebiasaan akan berlaku dalam PRU ke 13 kali ini.

“Mungkinkah akan berlaku insiden-insiden buruk dalam PRU ke 13 nanti?” tanya beliau lagi.
Bagi DPP Malaysia, ujarnya ucapan itu tidak sepatutnya keluar dari mulut Perdana Menteri, seakan-akan mengejutkan serta memakutkan rakyat.

Sepatutnya, beliau berkata Najib menenangkan rakyat dengan jaminan PRU ke 13 adalah PRU yang terbaik, paling aman, serta berlangsung dalam suasana penuh demokrasi.

Untuk itu, tambahnya DPP Malaysia telah sedia mempersiapkan jentera pemuda PAS diseluruh peringkat juga dengan persiapan ‘luar biasa’.

“Kali ini seluruh jentera pemuda PAS diingatkan supaya bersedia menghadapi apa juga serangan yang bakal dilakukan oleh Umno BN dalam pelbagai bentuk,” ujarnya.

Menurutnya, sudah 12 kali PRU dihadapi, dan sudah acap kali juga serangan bertali arus dikenakan terhadap jentera PAS khususnya pemuda PAS di seluruh negara.

Malah, ujarnya pemuda PAS pernah dipukul seperti di Pilihan Raya Kecil Ijok, Bagan Pinang dan lain-lain lagi.

Tambahan pula, katanya PRU ke 13 nanti akan berlangsung dalam suasana sistem pilihan raya yang masih tempang dan pincang dan dalam keadaan demokrasi yang kontang dari kebenaran.

Justeru, katanya tidak hairanlah jika berlaku sekali lagi manipulasi undi, undi pos yang meningkat mendadak, pengundi hantu yang kembali turun mengundi, beli undi, rasuah pilihanraya, rakyat negara asing yang turun mengundi, fitnah melalui media, akses media yang berat sebelah dan lain-lain lagi.

“Semua insiden ini pernah berlaku sebelum ini dan tidak mustahil akan berlaku lagi nanti.
“Insya Allah, DPP Malaysia telah mempersiapkan mental kesemua petugas dengan kesemua kemungkinan sesuatu yang ‘luar biasa’ yang akan berlaku,” katanya lagi.

Beliau menambah, PRU 13 adalah masa terbaik untuk menukar kerajaan yang sudah tamat tempoh.
“Selamatkan Malaysia dari pemimpin yang korup, rasuah dan mementingkan diri sendiri,” katanya.

'Itulah tahap pemikiran sebenar Muhyiddin'

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub (gambar) menyifatkan ucapan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi yang sarat dengan mesej kebencian terhadap parti-parti dalam Pakatan Rakyat sebagai 'tidak sepatutnya diucap oleh bakal perdana menteri'.

Bercakap kepada Harakahdaily hari ini, Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, ucapan Muhyiddin itu hanya 'memalukan dirinya' dan mencerminkan itulah tahap pemikiran sebenar beliau sebagai timbalan perdana menteri.

"Pada saya, ia tidak sepatutnya berucap begitu, sebab taraf dia timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri.

"Sepatutnya sebagai bakal perdana menteri, ucapan beliau perlu penuh dengan gagasan dan wawasan membangunkan negara, bukan penuh dengan kecaman kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau mengulas ucapan Muhyiddin ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.

Dalam ucapannya, Muhyiddin tanpa segan silu membidas DAP, PKR dan PAS dengan kata-kata penuh penghinaan.

DAP dilabel parti cauvinis Cina yang jahat dan mahu menubuhkan negara republik.

PKR pula dituduh sebagai parti ultraliberal yang hanya berjuang untuk Datuk Seri Anwar manakala PAS pula bukan lagi memperjuangkan Negara Islam kerana mengangkat Negara Berkebajikan.

Mengulas lanjut Salahudin bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas ucapannya itu yang secara tidak langsung mengakui PAS berada di persada politik tanah air.

"Apapun kita ucap terima kasih kerana menyebut tentang PAS dalam ucapan beliau.

"Maknanya mereka akui PAS berada di persada politik negara," katanya.

Rumah hadiah Kelantan kepada ‘Apek’ siap

KOTA BHARU, 30 Nov: Kediaman khas untuk penjaga gawang pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat atau ‘Apek’ yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kini siap sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood (gambar), berkata majlis penyerahan akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di Kota Darulnaim, di sini sebentar tadi.

“Kebetulan semalam pegawai dari Syarikat Binaraya milik PKINK menghubungi saya memberitahu kediaman untuk Khairul Fahmi sudah siap sepenuhnya.

“Bagaimanapun kita terpaksa menentukan tarikh yang sesuai antara Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Khairul Fahmi sendiri,” ujarnya.

Fatah seterusnya memberitahu, Tuan Guru mencadangkan majlis jamuan diadakan pada hari berkenaan sebagai tanda kesyukuran.

Tahun lalu, kerajaan negeri mengisytiharkan untuk menyerahkan sebuah rumah kepada bintang bola sepak itu berikutan kecemerlangannya pada Kejohanan Piala Suzuki AFF yang menyaksikan pasukan negara muncul juara.

Kediaman berkenaan terletak di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa setelah ia mula didirikan tahun ini.
Menjawab soalan, beliau memberitahu kediaman berkenaan tiada kaitan dengan masaalah peribadi jaguh bola sepak berkenaan sebelum ini.

“Bagaimanapun kita berharap beliau lebih berhati-hati selepas ini kerana sebagai seorang bintang sahsiah diri perlu dijaga sebagaimana yang dikehendaki oleh kerajaan negeri khususnya Tuan Guru.

“Golongan ini menjadi cermin masyarakat, kerana itu mereka perlu menonjol syahsiah  yang murni.  Untuk itu kami juga mengharapkan bantuan para media supaya membantu kerajaan negeri untuk mengingatkan mereka agar lebih berhati-hati,” ujarnya

Anak muda diajak tolak Akta Perhimpunan Aman

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Mohd Firdaus Jaafar mengingatkan golongan muda agar tidak terpengaruh dengan 'jaminan keselamatan' kerajaan dalam Akta Perhimpunan Aman yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau sebaliknya menyeru golongan muda menolak akta tersebut kerana ianya jelas menghalang kebebasan bersuara anak muda yang menyokong sistem demokrasi.

Katanya, akta itu digubal hanya untuk menjaga kepentingan politik Umno BN untuk terus memerintah negara.

"Kita minta anak muda tolak undang-undang ini dengan slogan undang-undang ini dipinda untuk kesinambungan politik Barisan Nasional, bukan untuk keamanan rakyat.

" Akta ini akan menghalang perhimpunan yang dilakukan oleh belia apatah lagi apabila disebutkan remaja 15 tahun ke bawah tidak boleh menyertai himpunan. Jadi ini akan menjejaskan aktiviti anak muda," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai.

Firdaus yang juga Ketua Pemuda PAS Kedah turut berkata, Umno BN ternyata menggunakan Parlimen untuk kepentingan mereka apabila membentangkan dan meluluskan akta tersebut secara tergesa-gesa dan menolak cadangan Pakatan Rakyat agar ianya dibawa ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk diteliti.

"Undang-undang ini bukan untuk keamanan tapi untuk keselamatan pimpinan Umno BN. Umno BN guna Parlimen untuk keselesaan mereka memerintah Malaysia, bukan undang-undang untuk beri manfaat besar kepada rakyat," katanya.

Rang undang-undang tersebut diluluskan petang semalam selepas penggulungannya dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Sebelum itu ia dibahaskan oleh enam Ahli Parlimen termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), Abdul Hadi Awang (PAS-Marang), Lim Guan Eng (DAP-Bagan), Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud), Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas).

Pemuda PAS saran terbit filem positif, ilmiah

GOMBAK, 30 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa penerbit filem negara memikirkan untuk mengeluarkan filem yang berunsur positif sebelum untuk ditonton oleh masyarakat umum.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, rakyat khususnya ibu bapa dihantui perasaan bimbang apabila menonton filem yang diterbitkan hari ini langsung tidak menyerapkan unsur-unsur positif dan ilmiah.

“Saya tidak tahu bagaimana pihak penerbit boleh mengeluarkan filem-filem yang berunsurkan seks, tahyul, mat rempit, dan sebagainya  yang telah disajikan kepada masyarakat tanpa memikirkan kesan akan datang kepada golongan muda khususnya,” ujarnya pada Majlis Maal Hijrah di Masjid Kampung Nakhoda, petang semalam. Turut menjadi panel ialah artis Catriona Ross.

Katanya lagi, masyarakat yang sememangnya mudah terpengaruh dengan aksi-aksi yang dipaparkan melalui filem-filem seperti dan ingin mencuba.

Bahkan, ujarnya ada filem komedi dan berunsur khayalan yang mempermainkan kalimah syahadah yang merupakan isu sangat sensitif di sisi Islam.

“Pada hal Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) yang dikatakan mempunyai panduan penapisan filem seharusnya dapat menghalusi dan melihat implikasi hasil daripada penayangan setiap filem yang hendak diberi kelulusan tayangan.

“PAS berharap jangan hendaknya industri filem di negara ini mulai cenderung untuk menghasilkan karya secara bebas seperti pengusaha filem Barat sehingga sensitiviti agama dan nilai sakral yang ada pada masyarakat timur diketepikan hanya kerana mahu bersaing dan setaraf dengan industri perfileman Barat,” katanya.

Secara jujur, beliau kecewa dengan filem-filem yang kepada masyarakat hari ini.
Beliau juga menggesa masyarakat agar bersama dengan Kerajaan Selangor yang berusaha mengatasi masalah gejala sosial di kalangan belia seterusnya melahirkan Generasi Idaman Selangor (GeMS).

“Kami sentiasa memberi kerjasama dengan semua badan NGO, masjid dan surau dengan menganjurkan pelbagai program pendekatan rakyat terutamanya mendekati golongan beliawanis agar mereka tidak rasa disingkirkan,” ujarnya.

Tuesday, November 29, 2011

PAS tolak RUU, desak bawa ke JK Khas Parlimen

KUALA LUMPUR, 29 Nov: PAS berpendirian akan memprotes dan menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman melainkan ianya dibawa ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk diteliti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, hal itu kerana pembentangan RUU tersebut dilihat tidak lebih kepada respon negatif kerajaan terhadap kejayaan perhimpunan Bersih 2.0 Julai lalu.

"Pas protes dan menolak sepenuhnya rang undang-undang ini kecualilah ianya dibawa kepada Jawatankuasa Khas Parlimen dahulu.

"Rang undang-undang ini sebenarnya menghukum rakyat terutamanya yang berhimpun di Bersih 9 Julai lalu.

"Ini adalah reaksi negatif kerajaan bagi menghukum rakyat kerana mengadakan perhimpunan 9 julai yang lalu dan untuk memastikan rakyat tidak boleh lagi berhimpun bukan 100 ribu, bukan 500 ribu malah beberapa ratus ribu pun tidak boleh lagi berhimpun dan melakukan apa yang berlaku pada 9 julai lalu," kata beliau pada sidang media bersama Majlis Peguam di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Tumpat itu juga berkata, RUU tersebut jelas membuktikan kerajaan tidak bersedia menghadapi kemaraan rakyat yang berlansung dalam keadaan aman.

"Umno BN tidak toleran, tidak sanggup untuk menghadapi rakyat yang boleh berhimpun dan berarak secara aman seperti yang berlaku pada perhimpunan Bersih itu," katanya.

Majlis Peguam wakili rakyat


Sementara itu, Setiausaha DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, tindakan Majlis Peguam mengadakan perarakan aman membantah RUU tersebut adalah mewakili suara rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi.

"Apa yang dijalankan oleh Majlis Peguam memang menyuarakan hasrat rakyat Malaysia kerana kita tidak mahu satu akta perhimpunan haram sebaliknya hendak dibebaskan daripada pengharaman ataupun pemenjaraan hak asasi manusia selama ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah membuktikan kebenaran berhimpun secara aman yang diberikan kepada rakyat tidak mendatangkan keburukan malah dihormati rakyat.

"Kita telah buktikan di Pulau Pinang kita adakan satu sudut pidato sebanyak dua kali seminggu dan rakyat dibenarkan berhimpun secara bebas tanpa sebarang provokasi.

"Ini berjalan hampir dua tahun dan tak ada masalah dan saya rasa kerajaan Malaysia harus mempunyai keyakinan terhadap kematangan rakyat," katanya sambil berkata, DAP bersama Pakatan Rakyat menyokong penuh Majlis Peguam untuk menolak RUU tersebut.

Cintakan kebebasan


Dalam pada itu, Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee berjaya menyerahkan draf RUU yang disediakan pihaknya dan surat terbuka  kepada Timbalan Menteri di Jabata Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Leong dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, Majlis Peguam tidak anti kerajaan atau pro pembangkang sebaliknya hanya pencinta undang-undang dan kebebasan.

"Majlis Peguam  tidak anti kerajaan atau pro pembangkang tapi kami anti ketidakadilan, perlanggaran perlembagaan dan pencinta undang-undang," kata beliau yang sebelum itu berarak secara aman dari Taman Tasik Perdana bersama lebih kurang seribu peguam termasuk penyokong demokrasi menuju ke bangunan Parlimen.

Turut diserahkan ialah surat terbuka kepada Ahli Parlimen yang menyatakan beberapa peruntukann dalam RUU Perhimpunan adalah lebih ketat berbanding sebelum ini.

Ia termasuk penyenaraian tempat-tempat larangan berhimpun yang disifatkan sebagai tidak munasabah seperti sekolah, rumah ibadat dan stesen minyak.

Seloka tersurat dan tersirat

Isteri melancong ke Mekah,
Riuh rendah seluruh negara,
Haji sudah hijrah pun sudah,
... Tutup 'aurat tak mahu-mahu juga.

Cincin sebentuk nilai berjuta,
Diimport dari negara bahaya,
Apa diharap transformasi negara,
Transformasi isteri pun tidak berjaya.

Wanita möngolia dikasi letup,
Rakyat tak lupa walau dah lama,
Tembelang pecah tak boleh tutup,
Pelbagai alasan rakyat tak terima.

Anak lembu dikata kuda,
Ditambat tiang agar tak keluar,
Semangat membara anak2 muda,
Gantikan Bn dgn PR.

Wang RM 100 diberi pelajar,
Berduyun mak bapa berhimpun,
Nak dapat kena kasi ceramah mak bapa dengar,
Supaya nanti pakat undi BN.

Comey sungguh anak dara pak mat,
pandai pula buat kuih pau
Suruh rakyat berjimat cermat,
tapi depa boros melampau..

Dari machang ke banggol judah,
bawa bersama sekodi kain,
Minyak naik berkali2 dah,
alasan tetap sama LEBIH RENDAH BERBANDING NEGARA LAIN..

Beli kuda berjuta-juta,
Nak guna buat lumba,
Ingatkan boleh merasa,
Rupanya 5 jer yang boleh guna.

Dapat kontrak lembu RM 250 juta,
Beli kondo hampir 10 juta,
Pelajar seluruh negara dapat RM 530 juta,
Yang nie RM 250 Juta dia saja. UNTUNGNYA DIA.

‘Tanya Cina Kelantan, adakah saya khianati mereka’

KOTA BHARU, 28 Nov: Seramai 40 orang peserta rombongan dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kawasan Parit Buntar menegaskan mereka tetap akan menyokong perjuangan di hadapan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mereka menyatakan demikian sempena lawatan rasmi mengunjungi Tuan Guru yang juga Menteri Besar Kelantan, di kediaman rasmi, di sini petang ini.

Rombongan yang sebahagian besarnya terdiri dari kaum wanita serta bekas penyokong MCA diketuai Pengerusi DHPP kawasan tersebut, Ricky Tang.

(Gambar: Tuan Guru menerima cenderahati daripada Ricky Tang.)

Ricky dalam ucapannya memberitahu, masyarakat bukan Islam di negeri ini khususnya kaum Cina sering diberi bayangan buruk berhubung perjuangan PAS dengan tujuan menakutkan mereka.

“Bagaimanapun, semakin mereka ditakuti sokongan terhadap PAS semakin bertambah dari tahun ke tahun dan pihak lawan sudak tidak boleh berbuat apa berhubung ledakan sokongan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu menyeru golongan terbabit meninjau perkembangan kehidupan masyarakat bukan Islam khususnya kaum Cina di negeri ini sejak 21 tahun lalu melalui golongan terbabit.

“Tuan-tuan boleh bertanya masyarakat Cina Kelantan, adakah saya selaku ketua kerajaan mengkhianati mereka sama ada dari segi ekonomi, agama, kebudayaan, sosial dan sebagainya?

“Tuan-tuan tidak boleh menerima bulat-bulat maklumat yang tidak tepat dari orang tertentu tanpa merujuk sendiri dari masyarakat bukan Islam di negeri ini,” ujarnya.

Tuan Guru turut melahirkan rasa bertuah serta terima kasih kerana sudi mengunjunginya, walaupun dalam keadaan demam, namun kerana rasa gembira untuk bertemu masyarakat terbabit, beliau gagahi juga.

Ggateh Basikal Anak Muda di Kuala Krai

                              
KOTA BHARU, 28.Nov – Program Ggateh Basikal bagi kalangan remaja di negeri ini semakin mendapat sambutan dan baru-baru ini telah di adakan di peringkat jajahan Tanah Merah begitu mendapat sambutan meriah dari lebih 500 remaja dan buat kali ke duanya peringkat jajahan program Ggateh Basikal Anak Muda akan diadakan pula di Kuala Krai.

Menurut Pengarah Urusestia pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Kelantan Haji Abd.Aziz Yunus, program ini dijangka akan dirasmikan sendiri oleh Exco Belia Datuk Abdul Fattah Mahmood bertempat di Perkarangan Taman Tasik Krai pada 10.Disember.2011
“ saya amat berharap anak muda di jajahan Kuala Krai akan dapat bersama-sama menyertai program Ggateh sihat Anak Muda ini dan ia akan meliputi kayuhan sejauh 40 KM merangkumi tiga Dun iaitu Guchil, Mengkebang dan Manek Urai” ujar beliau.

Sementara itu, terdapat juga beberapa acara menarik seperti pertandingan Basikal Fixie, Cabutan Bertuah, Pertandingan Kemahiran menunggang basikal dan banyak lagi.

Abd Aziz juga berkata walaupun dengan mengadakan program kayuhan basikal ini, namun ia akan dapat merapatkan lagi hubungan sesama remaja setempat dan ia juga akan dapat mengelakkan remaja daripada membuang masa tanpa sebarang usaha yang berfaedah.

“ Kita sedar kini pelbagai gejala sosial telah melanda masyarakat terutamanya golongan remaja, namun ia seharusnya mendapat kerjasama semua pihak seperti keluarga, masyarakat dan individu itu sendiri dalam menanganinya dan langkah mengadakan program sebegini untuk remaja juga boleh mengurangkan aktiviti yang tidak berfaedah kepada mereka”katanya lagi.

Soi Lek celaru tuduh PAS tutup Genting

TEMERLOH, 28 Nov: Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) menganggap Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, mengalami kecelaruan pemikiran apabila akhir-akhir ini sering mengecam hudud sehingga apa yang diucapkan beliau jauh tersasar daripada yang diperjuangkan oleh PAS.

Ketuanya, Shahril Azman Al-Hafiz (gambar) menolak dakwaan Soi Lek bahawa pusat pelancongan Genting Highlands akan ditutup apabila PAS mengambil alih pemerintahan sebagaimana tersiar dalam akhbar The Star kelmarin.

Dalam kenyataan tersebut Soi Lek berkata, Malaysia mungkin kehilangan Genting Highlands jika Pakatan Rakyat mengambil alih Kerajaan dan melaksanakan undang-undang hudud.

Menurut Shahril Azman, PAS tidak berhasrat menutup kawasan yang menjadi tarikan popular pelancong yang sudah maju dan mendatangkan keuntungan ekonomi sebaliknya parti itu hanya mahu menghapuskan judi kerana ia dilarang oleh semua agama.

“Barangkali Soi Lek tidak faham bahawa judi boleh merosakkan institusi keluarga dan kemasyarakatan dan apabila rosak dua institusi ini ia ancaman kepada negara. Keluarga boleh berpecah belah akibat bahana judi sehingga berlaku perceraian. Dalam masyarakat pula judi boleh membawa pergaduhan, pembunuhan dan suburnya industri Ah Long.

“Apa yang untungnya rakyat dengan judi ini sebab yang untung hanya tauke judi, jadi itu bukanlah kemajuan namanya. Sebab itu negara yang maju seperti Singapura dan Indonesia tidak membenarkan kasino berlesen,” katanya dalam sidang medianya semalam.

Mengenai kenyataan Soi Lek bahawa Genting memainkan peranan penting dalam ekonomi negara kerana menerima 20 juta pelawat dan membayar cukai RM1bilion setahun, Shahril berkata jika PR memerintah semua pusat pelancongan akan diberi penambahbaikan lagi supaya dapat menambah kantung negara.

“Jadi cuba mengaitkan hukum hudud dengan tutup Genting Highlands itu tidak ada kena mengena. Kami tegaskan bahawa tidak ada agama yang membenarkan judi. Persoalannya adakah Soi Lek tidak mempunyai agama?

“Bahkan ekonomi rakyat termasuk orang Cina juga akan lebih terpelihara dan meningkat tanpa judi kerana judi adalah penipuan dan menghancurkan institusi keluarga dan masyarakat,” katanya.

Soi Lek sempena menyampaikan hadiah kepada pemenang Malaysia National Lion Dance Championship 2011 di Genting itu turut mendakwa, di Kelantan kerajaan PAS tidak membenarkan kedai loteri dan jika PR berjaya mengambil alih Kerajaan Pusat, mereka mahu untuk melaksanakan undang-undang hudud dan Genting menjadi mangsa pertama.

“Sebenarnya Soi Lek yang pernah dikaitkan dengan video porno itu menghadapi kecelaruan pemikirannya sendiri ketika cuba meraih kepentingan politik kerana tidak ada negara yang maju hanya kerana judi,” tambah Shahril.

Monday, November 28, 2011

Tiada pemimpin bukan Melayu bercita-cita jadi PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov: Tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempertahankan agenda perkauman Umno dan beliau adalah Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian merupakan bukti bahawa 1Malaysia adalah slogan kosong yang hanya bertujuan untuk mengaut undi dan akan dibuang selepas Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar) berkata, yang lebih mengejutkan, Muhyiddin tidak merasa bahawa tindakannya untuk memperjuangkan agenda perkauman Melayu adalah bercanggah atau tidak konsisten dengan agenda rakyat Malaysia bukan Melayu.

“Malah, Muhyiddin menggunakan logik yang tidak masuk akal bahawa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan saya merupakan Cina cauvinis walaupun DAP telah berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan keahlian parti kita terbuka kepada semua termasuk Melayu, India, Iban dan Kadazan.

“Muhyiddin dengan mudah juga telah lupa bahawa saya telah dipenjarakan dan kehilangan kerusi Parlimen kerana memperjuangkan nasib seorang gadis Melayu bawah umur yang menjadi mangsa rogol,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataan.

Tegasnya, DAP bukan ancaman kepada orang Melayu tetapi Umno yang menjadi ancaman bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi rakyat Malaysia dengan sikapnya yang menggunakan serta mempertahankan pelanggaran hak asasi manusia, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Menruutnya, dengan menanam rasa takut serta menggunakan ugutan, Umno mengaburkan mata rakyat daripada skandal-skandal kewangan dan rasuah yang telah mengakibatkan kehilangan beratus-ratus bilion ringgit seperti pendedahan terkini Laporan Ketua Audit Negara 2010 tentang jabatan-jabatan kerajaan yang telah terlebih belanja sebanyak RM3.7 bilion tanpa apa-apa hukuman dikenakan.

Selain itu, katatanya kontroversi di mana dana awam yang telah diberikan kepada sebuah syarikat yang berkaitan dengan seorang menteri telah digunakan bukan untuk tujuan yang sepatutnya, iaitu untuk penternakan lembu, tetapi sebaliknya telah digunakan untuk pembelian dua kondominium mewah.

“Selama ini Umno telah menggunakan taktik kejam untuk menipu dan menanam perasaan takut di kalangan orang Melayu, kononnya DAP menjadi pengancam kepada hak dan kepentingan mereka,” katanya.

Katanya lagi, ini langsung tidak berasas kerana perkhidmatan awam, polis dan tentera semuanya dikawal Melayu manakala sektor-sektor kritikal dalam ekonomi seperti insuran, perbankan, industri automobil, pelabuhan dan lebuh raya semuanya juga dikawal oleh usahawan-usahawan atau syarikat-syarikat Melayu.
Dalam politik pula, ujarnya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merupakan orang Melayu, semua menteri besar dan ketua menteri juga Melayu kecuali di Pulau Pinang.

Tambahnya, tidak pernah ada seorang pun pemimpin bukan Melayu yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri kerana rakyat Malaysia menerima realiti politik di mana Perdana Menteri Malaysia seharusnya berbangsa Melayu.

Oleh itu, ujarnya ura-ura untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan orang Melayu sahaja untuk menjadi Perdana Menteri bukan sahaja tidak diperlukan, malah bersifat perkauman kerana menganggap rakyat bukan Melayu sebagai rakyat kelas kedua.

Majlis Perasmian Berkhatan Dun Tanjung Mas












'Wasatiyyah' gagasan baru Umno lawan 1Malaysia?

KUALA LUMPUR, 27 Nov: PAS melahirkan rasa hairan dan pelik apabila Umno yang selama ini terkenal sebagai parti bersifat perkauman cuba melancarkan gagasan wasatiyyah sebagai langkah ke arah mengambil jalan pertengahan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kemunculan idea ini menandakan sesuatu yang tidak kena telah berlaku pada Umno masa kini.

“Adakah kemunculan gagasan wasatiyyah petanda Umno kini kian bergelora? Ataupun ada pemimpin yang tidak sabar menanti untuk menonjolkan kepimpinannya kepada ahli Umno sehingga melancarkan slogan baru yang lebih mudah difahami untuk memalukan slogan 1Malaysia yang sehingga kini masih belum difahami oleh rakyat.

"Apakah kerana ada pihak yang merasakan konsep 1Malaysia perdana menteri sudah hampir tenggelam sehingga mendorong mereka untuk mengemukakan idea gagasan wassatiyyah sebagai alternatif dan persediaan ke PRU13 tanpa slogan 1Malaysia? “katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian dipercayai mengulas seminar kebangsaan anjuran Umno bertajuk 'Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia' sempena Perhimpunan Agung Umno 2011 di Kuala Lumpur semalam.

Sambil menegaskan bahawa wasatiyyah adalah satu asas penting selaras dengan gagasan Islam, namun apa yang dipersoal adalah kemampuan Umno untuk mengamalkan perinsip tersebut dalam keadaan perjuangan mereka tebal dengan sifat perkauman.

“Harus tegas diingatkan bahawa gagasan wasatiyyah wajib dibina di atas asasnya yang betul, yakni dasar dan paksi yang tidak bertentangan dengan prinsip Islam.

"Akan tetapi, mana mungkin parti yang bersifat tebal perkauman dan sering flip-flop seperti Umno dapat mengambil jalan tengah dalam pendekatan politik dan urus tadbir negara," katanya.

Beliau memberikan contoh, tindakan Umno yang membiarkan beberapa badan NGO pro mereka terutamanya Perkasa, memainkan sentimen perkauman ekstrem bermotifkan politik yang jelas mencerminkan gagasan wasatiyyah yang diutarakan hanyalah slogan kosong, sebagaimana berakhirnya gagasan Islam Hadhari dan lainnya.

Menurut Tuan Ibrahim, gagasan wasatiyyah hanya akan dapat dicapai bilamana parti pemerintah melaksanakan sistem pemerintahan dengan adil dan saksama.

Selain itu, parti pemerintah mesti melaksanakan amanah yang diletakkan dengan menghayati seluruh sistem Islam kerana seluruh dasar Islam berpaksi kepada keadilan sejagat, tanpa mengira perbezaan warna kulit dan bangsa.

“Parti pemerintah juga diwajibkan melaksanakan perjanjian seperti pembayaran royalti minyak kepada Kelantan dan menghormati dan menjunjung dasar federalisme dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegas beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Walau apapun, kata Tuan Ibrahim, gagasan wasatiyyah yang disebut Umno hanya sekadar pemanis bicara bagi memberi ruang kepada segolongan intelek berbicara.

Gagasan itu ujarnya tidak lebih dari sekadar wacana dan seminar tanpa apa- apa tindakan dan pelan bertindak.

“Selagi Umno terus dan masih gagal menunaikan amanah dan gagasan sistem federalisme yang telah diterima pakai dalam sistem politik negara, lancarlah apa- apa slogan sekalipun kerana ianya tidak lebih hanya fatamorgana, kosong yang tidak mempunyai apa-apa makna kepada rakyat selain sebagai satu cubaan baru untuk memperdayakan mereka,” tambahnya.

Himpunan Pemuda PAS Perak (HEMPAP 2011)
















PRA OLIMPIK : MALAYSIA KECEWA DI TANGAN BAHRAIN


Malaysia tewas 3 – 2 kepada Bahrain walaupun selesa mendahului 2 – 0 menerusi jaringan pemain muda berbakat Nazmi Faiz Mansor dan Mahali Jasuli pada minit ke 29″ dan 68″
Bahrain yang mempunyai mental dan fizikal yang kental walaupun bermain dengan 10 orang pemain seawal minit ke 63″ tidak sesekali berputus asa dan penat lelah mereka  membuahkan hasil apabila berjaya menjaringkan 3 gol dalam masa 6 minit iaitu pada minit ke 80″, 85″ dan 86″.
Perlawanan lain menyaksikan Jepun menang tipis 2 – 1 ke atas Syria untuk memberikan 3 mata berharga buat negara matahari terbit itu.
Kedudukan dalam kumpulan bagi Kelayakan Olimpik 2012
Kelayakan Olimpik 2012

Sunday, November 27, 2011

KELAYAKAN OLIMPIK : MALAYSIA VS BAHRAIN


PENYOKONG MALAYSIA
Kelayakan Olimpik London 2012
Malaysia vs Bahrain
27 November : Ahad : 8.30 Malam
Stadium Nasional Bukit Jalil
Siaran Langsung di Astro Arena dan RTM

Pentas Anak Muda Dun Perupok







PAS ditubuh bawa aspirasi hijrah Nabi

KUALA LUMPUR, 27 Nov: Sambutan Hijratur Rasul tidak akan bermakna jika sekadar mengingati penghijrahan Nabi s.a.w. tanpa mengetahui tujuan Nabi berhijrah.
“Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk menegakkan sebuah negara Islam yang mendaulatkan hukum hakam Allah,” kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib.
Jelasnya, Islam tidak cukup hanya menjadi amalan ritual semata-mata tetapi mesti berdaulat dan diamalkan dalam masyarakat dan negara tercinta.
Justeru, jelasnya PAS yang ditubuhkan adalah untuk membawa aspirasi hijrah Nabi s.a.w.
“PAS bukan sekadar menyambut peristiwa penting ini tetapi juga memperjuangkan tujuan di sebalik hijrah tersebut.
“Perjuangan ini diwarisi dan diteruskan sebagai melaksanakan amanah yang diberikan agar Islam terus berdaulat dalam sebuah negara yang menerima hidayat,” ujarnya dalam perutusan sempena Sambutan Hijratur Rasul 1433H.
Berikut adalah perutusan penuh beliau.
Pertama-tamanya saya mengucapkan selamat menyambut tahun baru Hijriyyah 1433 kepada seluruh umat Islam khususnya para pendukung agama Allah SWT. Sambutan ini menandakan bermulanya tahun baru mengikut kalendar Islam yang dilihat semakin hari semakin dilupakan oleh umat Islam sendiri dek kerana terlalu mengagungkan kalendar barat berbanding kalendar sendiri.
Kalendar Islam diasaskan oleh Saidina Umar al-Khattab ketika menjadi Khalifah yang kedua dengan menjadikan tahun berlakunya hijrah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai tahun pertama dalam Islam. Jelasnya, sambutan tahun baru ini adalah juga secara langsung menyambut ulang tahun penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari kota Mekah ke kota Madinah.
Sambutan Hijratur Rasul tidak akan bermakna jika sekadar kita mengingati penghijrahan Nabi tanpa mengetahui tujuan Nabi berhijrah. Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk menegakkan sebuah negara Islam yang mendaulatkan hukum hakam Allah. Islam tidak cukup hanya menjadi amalan ritual semata-mata tetapi mesti berdaulat dan diamalkan dalam masyarakat dan negara tercinta.
Umat Islam hari ini hanya sekadar mengingati dan menyambut peristiwa Hijrah tetapi dalam masa yang sama negara yang mereka diami tidak mendaulatkan Islam yang menjadi sebab kepada Nabi berhijrah. Al-Quran dan As-Sunnah yang sepatutnya menjadi rujukan dan panduan kepada negara hanya tersimpan rapi dan menjadi dokumen sepi tanpa siapa yang mempeduli. Pemerintah yang mengaku dirinya Islam menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan dengan menolak untuk menjadi hamba Allah yang menguatkuasakan undang-undangnya.
PAS yang ditubuhkan adalah untuk membawa aspirasi hijrah Nabi s.a.w. PAS bukan sekadar menyambut peristiwa penting ini tetapi juga memperjuangkan tujuan di sebalik hijrah tersebut. Perjuangan ini diwarisi dan diteruskan sebagai melaksanakan amanah yang diberikan agar Islam terus berdaulat dalam sebuah negara yang menerima hidayat.
Justeru, saya menyeru agar umat Islam tidak menjadi umpama seorang bapa yang menyambut kelahiran yang baru tetapi tidak mengetahui tanggungjawab dia yang sebenar terhadap bayi yang dianugerahkan kepadanya itu. Marilah kita menyambutnya dengan penuh kegembiraan dengan memikul amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya sebagai hamba Allah.
Kita bukan sahaja dikehendaki untuk menyambut awal hijrah ini sebagai memperingati peristiwa ini sebagaimana kita memperingati tahun kelahiran kita. Tetapi menyambut peristiwa hijrah ini memberi makna bahawa kita mesti berusaha sedaya mungkin, hatta walaupun tersingkir daripada negara sendiri untuk kita berusaha supaya mendapat mencari sebuah tempat ataupun tanah subur yang boleh menyebarkan Islam melaluinya dan satu kawasan yang boleh memancar di dalamnya cahaya Islam.