Sunday, November 27, 2011

Bangkit anak muda, selamatkan negara

KUALA LUMPUR, 27 Nov: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan menggesa seluruh anak muda mengambil semangat hijrah Rasulullah SAW sebagai momentum untuk berubah ke arah masa depan negara lebih baik.

Katanya, hijrah Rasulullah itu juga adalah garis pemisah yang membebaskan ummah dari belenggu jahiliyyah ke arah pembentukan sebuah 'baldatun toyyibah wa rabbun ghafur' iaitu menjadi sebuah negara yang baik, aman, sejahtera dan membangun dan mendapat keampunan tuhan.

"Justeru memperingati ulangtahun perisiwa hijrah, selayaknya setiap individu khasnya anak muda menghayati sejarah agung ini dan bersedia untuk melakukan sebuah perubahan total ke arah pembentukan masa depan negara yang aman, sejahtera, harmoni dan mendapat lindungan rahmat serta keampunan Allah swt," katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hijratur Rasul 1433.

Menurutnya lagi, sudah ketetapan Allah bahawa perjuangan besar untuk melunaskan sebuah perubahan dan amanah gerak kerjanya, menghadapi cabaran yang mengundang implikasi besar.

Namun ujarnya, itulah harga sebuah perjuangan yang mesti dibayar oleh para pejuang di mana harta dan nyawa menjadi taruhan demi sebuah perjuangan suci.

"Bangkitlah wahai sekelian anak muda dari tidur yang panjang, kini kita berada selekoh akhir untuk membuat pecutan kemenangan ke garis penamat. 

"Sempena ulangtahun Hijrah ar-Rasul SAW kali ini, kebangkitan anak muda mewarnai gerakan perubahan adalah suatu yang sangat didambakan," tegasnya.

No comments: