Sunday, November 27, 2011

RM 10 ribu Johan Piala Tok Guru

Datuk Abd Fattah memukul gong tanda perasmian kejohanan Piala Tok Guru 2011
MACHANG, – 26.Nov – Kejohanan Bolasepak Piala Tok Guru yang bermula di tahun 1991 sentiasa diperkasakan bagi memberi penghormatan kepada Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mentadbir negeri ini lebih 20 tahun kini. Demikian dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan ,Belia, Sukan dan NGO Kelantan Datuk Abdul Fattah Mahmood.
Sambutan yang begitu hebat dari anak muda di setiap pelusuk negeri turut mendapat sokongan padu dari dua pasukan jemputan iaitu dari Dewan Himpunan Penyokong PAS Kelantan(DHPP Kel ) dan Akademi Bolasepak Darulnaim.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Pelancaran Kejohanan Bolasepak Piala Tok Guru di Dewan Majlis Daerah Machang semalam.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Exco Penerangan Ahmad Baihaki Atiqullah, Adun Pulai Chondong Zulkifli Mamat, Adun Kemuning Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman, Ketua Pemuda PAS negeri Abdul Latiff Abd.Rahman, wakil dan pemain dari setiap parlimen.
“Kejohanan ini akan dipertingkatkan lagi penyertaan dan Insyaallah pada tahun 2012 kita akan mempelawa pasukan dari negeri lain untuk sama-sama memeriahkan kejohanan ini”ujar beliau.
Piala Tok Guru diserahkan kembali kepada penganjur kejohanan dan diterima oleh Datuk Abd.Fatah
Piala Tok Guru akan dijadikan satu piala yang berprestij di Kelantan dan melalui kejohanan ini, ramai bakat-bakat baru akan muncul dan tidak mustahil ada di antara mereka ini akan mewakili negeri ini satu hari nanti.
Bermula pada tahun ini juga hadiah kepada setiap pasukan yang menang akan ditambah iaitu Johan akan membawa pulang RM10 ribu, Naib Johan RM7 ribu, Ketiga Bersama RM4 ribu dan pada pasukan yang menyertai pertandingan dan bermain dengan penuh semangat kesukanan dan bersih akan disumbangkan RM2 ribu.
Wakil Parlimen menerima jersi dari Datuk Abd. Fattah
“Saya berharap pada tahun ini semangat sukan akan meningkat lagi dan tiada berlaku kekasaran semasa bermain kerana tujuan utama kita ialah menyatupadukan masyarakat dan meningkatkan sukan bolasepak negeri ini”ujar beliau lagi.
Kejohanan yang akan bermula 2 Disember ini dijangka akan berakhir pada 30hb.Disember bertempat di Stadium Sultan Muhammad ke IV dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menyampaikan sendiri piala berprestij tersebut kepada johan pada tahun ini.

No comments: