Thursday, January 17, 2013

HKR112: Kehadiran 500,000 amaran akhir kepada BN



KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112) menegaskan kehadiran 500,000 ke himpunan Sabtu lalu merupakan amaran akhir rakyat kepada kerajaan BN.

Pengerusi HKR, Mohamad Sabu berkata, himpunan tersebut jelas menggambarkan amaran rakyat agar kerajaan menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan telus.

"Himpunan baru-baru ini merupakan amaran kepada BN agar melakukan pilihan raya dengan telus dan adil.

"Kalau berlaku penipuan, rakyat akan keluar ke jalan raya lagi untuk humban mereka," kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini. (Gambar atas)
Mohamad juga berkata, pihaknya sudah membuktikan bahawa mereka memberikan kerjasama kepada pihak polis dan bersedia untuk terus bekerjasama dengan pihak keselamatan.

"Pihak sekretariat beri kerjasama sebelum, semasa dan selepas himpunan ini pun kita akan terus bekerjasama dengan polis," katanya sambil merakamkan ucapan penghargaan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan semua pihak yang terlibat menjayakan HKR.

Menjawab tuduhan sesetengah pihak bahawa HKR bertujuan menggulingkan kerajaan, beliau berkata perkara itu akan dilakukan dalam PRU ke-13.

"Ya, memang kita mahu menggulingkan kerajaan. Kita akan gulingkan kerajaan melalui peti undi dalam PRU ke-13," katanya.

HKR berjaya membuat kutipan derma dari rakyat berjumlah RM268,802.10.

Wang itu  akan digunakan bagi menampung perbelanjaan HKR yang telah dianjurkan di seluruh negara.

"Dengan ini saya merayu orang ramai agar terus menghulurkan sumbangan kepada kami ke akaun "Tabung Impian Rakyat Malaysia" Maybank 562106235615," katanya.

Asal Bukan Dali muncul di Pengkalan Chepa

PENGKALAN CHEPA: Kalau sebelum ini kita sering melihat perkataan ABU (Asal Bukan Umno), namun sekarang muncul pula ABD (Asal Bukan Dali).

Perkataan ABD ada yang dicetak pada baju t-shirt. Selain itu ada juga sepanduk yang ditulis perkataan tersebut.

Segalanya bermula 5 Januari lalu apabila lebih 50 ahli Umno daripada 23 cawangan di bahagian Pengkalan Chepa berhimpun di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra menuntut Ketua Bahagian, Datuk Dali Hussin meletak jawatan.

Turut berhimpun anggota jawatankuasa Umno bahagian berkenaan dan ketua-ketua cawangan.

Ekoran tersebar pergolakan dalaman yang semakin parah itu, Umno Pengkalan Chepa cuba pula “menyerang” PAS dengan mendakwa ada bekas muslimat PAS menyertai Umno kerana kecewa tidak mendapat apa-apa bantuan.

Beberapa nama disiarkan media baru-baru ini kononnya menyertai Umno termasuk Che Semah Che Yah, 57 dan Aminah Mahmood, 57. Mereka dikatakan menyertai Kursus Kepemimpinan dan Pembangunan Insan Wanita Pengkalan Chepa.

Ketua Penerangan PAS Pengkalan Chepa, Mohd Azmi Nor (gambar) berkata, tidak ada penyokong PAS yang hadir pada program berkenaan.

Malah katanya, orang yang mengaku sebagai penyokong PAS seperti disiarkan media baru-baru ini didapati bukan ahli atau penyokong PAS.

“PAS cawangan di sini tidak kenal makcik terbabit yang kononnya mendakwa sebagai bekas penyokong PAS.

“Apa yang kami dapati mereka ialah penyokong Umno yang diarah untuk mengakui pernah menyokong PAS bagi mengalih tumpuan pergolakan dalaman Umno Pengkalan Chepa sekarang,” katanya di sini.

Sementara itu Setiausaha PAS Pengkalan Chepa, Hassan Mamat berkata, seorang wanita, Zainun Jaafar dari Kampung Pulau Gajah yang mendakwa tidak pernah dibantu kerajaan negeri dan PAS adalah tidak berasas sama sekali.

Katanya, bantuan kepada anak-anaknya diberi setiap tahun bagi meringankan bebanan keluarganya ekoran kematian suami yang juga bekas aktivis PAS di kampung terbabit.

Beliau berkata, keluarga terbabit juga diberi bantuan membaiki rumahnya yang agak besar masih dalam pembinaan sekarang. Malah Maik juga datang meninjau rumah tersebut baru-baru ini.

“Segala dakwaannya tidak berasas sama sekali. Ini seolah-olah dia tidak berterima kasih terhadap segala bantuan diberi kerajaan negeri selama ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau percaya ibu tunggal terbabit dipengaruhi pihak tertentu dengan membawa Ketua Wanita bahagian, Zarina Md Eusope datang ke rumahnya kelmarin.

PAS himpun semua tokoh baru dalam 'Ummah Bersama PAS'

KUALA LUMPUR: PAS akan menghimpunkan semua tokoh-tokoh yang menyertainya sejak kebelakangan ini dalam satu himpunan perdana awal Februari nanti.

Program yang akan berlangsung setengah hari itu akan diadakan pada pada 3 Febuari depan di Hotel De Palma Ampang.

Menurut Pengarah program Salahuddin Ayub, tujuan himpunan itu adalah untuk meraikan semua tokoh-tokoh yang baru menyertai PAS sama ada mereka daripada bekas tokoh politik, agamawan, ekonomi, budayawan, akademik, profesional, wanita, belia mahasiswa dan artis yang telah mengisytiharkan pendirian mereka menyokong perjuangan bersama PAS.

Malah katanya, golongan ini telah memberi sumbangan mereka ke arah memperkukuhkan perjuangan PAS bersama Pakatan Rayat yang kini begitu penting dalam memposisikan PAS dalam PRU-13 nanti.

Mereka ini, jelas Salahuddin akan memberikan ucapan mewakili entiti masing-masing dan menyatakan komitmen mereka memberi sokongan kepada PAS.

"Mereka adalah tetamu kehormat yang akan diraikan oleh Mursyidul Am PAS dan Presiden sebagai membuktikan betapa PAS menghargai sokongan mereka," katanya.

Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turut serta dalam program itu.