KOTA BHARU: Jabatan
Perdana Menteri (JPM) hari ini mengeluarkan iklan khas bagi menjelaskan
ke mana wang ehsan dibelanjakan yang berjumlah RM61.8 juta sehingga 31
Julai 2012.
Berdasar kepada iklan yang disiarkan dua akhbar harian daripada
jumlah tersebut agihan yang dibuat sebanyak RM41.4 juta. Ini bermakna
sebanyak RM20.4 juta belum lagi diagih.
Iklan khas tersebut dikeluarkan kemugkinan menjawab surat dan
memorandum dihantar anak-anak muda yang bernaung di bawah Gabungan
Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan
(Royalti – R) baru-baru ini.
Presiden R, Nazri Deraman (gambar atas) berkata,
sepatutnya pihak terbabit menjawab secara rasmi surat dihantar R
mengenai laporan kewangan yang diaudit pada 2010, 2011 dan sehingga 31
Julai 2012.
“Biar pun penjelasan diberi namun masih menimbulkan banyak keraguan
di mana kemungkinan penerima yang tidak disebut dalam iklan menjadi
sasaran untuk mendapatkan wang ehsan.
“Ini kerana banyak agihan wang ehsan dilaporkan media sebelum ini
dibuat melalui Ketua-ketua Bahagian Umno. Lagi pun Pengerusi
Jawatankuasa Wang Ehsan ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno
Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin,” katanya di sini.
Menurutnya berdasar kepada senario pengagihan wang ehsan sebelum ini ternyata Umno terbabit secara langsung.
“Jadi kami anak muda mahu tahu siapakah penerima sebenar wang ehsan tersebut dan bagaimana pemilihannya dibuat.
“Selain itu kenapa Awang Adek dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa Wang Ehsan dan bukan Pengarah JPP Kelantan,” katanya.
Nazri juga berkata, persoalan juga timbul di mana sebelum ini
Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed
mengumumkan wang ehsan diterima sebanyak RM61.8 juta.
Sedangkan katanya, Awang Adek pula umumkan melalui kenyataan media
wang ehsan diterima sebanyak RM24 juta setahun, dan ini bermakna
berjumlah RM72 juta sejak 2010.
“Jadi ke mana perginya lebih RM10 juta lagi. Kami khuatir berlaku
ketirisan atau kebocoran. Inilah rakyat Kelantan hendak tahu,” kata
Nazri.
Sehubungan itu katanya, sekiranya pihak terbabit tidak menjawab
secara telus penerimaan dan agihan wang ehsan, pihaknya akan membuat
laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
dalam masa terdekat ini.
No comments:
Post a Comment