Thursday, May 05, 2011

Tiada jaminan RON95 tidak naik harga

KUALA LUMPUR, 5 Mei: PAS tidak menolak kemungkinan harga petrol RON95 turut dinaikkan memandangkan perbezaan di antara harga RON97 dan RON95 sebanyak RM1.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenaikan harga petrol RON97 tengah malam tadi berkata.
Mengenai kenaikan RON97 itu, beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, ia sangat tidak berpatutan dan membebankan rakyat.
"Kenaikan harga petrol ini satu kenaikan yang sangat tidak berpatutan kerana perbezaan antara RON97 dan RON95 hampir satu ringgit.
"Tidak akan ada jaminan RON95 tidak akan dinaikkan. Ini satu petanda yang sangat sukar diterima oleh rakyat dan membebankan mereka," katanya.
Harga petrol RON97, yang kadarnya diapungkan sejak tahun lalu, mengalami kenaikan lagi RM20 sen menjadi RM2.90 seliter mulai tengah malam tadi.
Ini merupakan kenaikan kali kedua sepanjang April hingga Mei tahun ini.
Harga petrol RON97 juga mengalami kenaikan 20 sen seliter pada 2 April lalu dan dijual RM2.70 seliter sejak itu.
Kenaikan kali ini adalah peningkatan keempat tahun ini. Ia mengalami kenaikan 10 sen seliter berkuat kuasa 31 Januari lalu.
Harga RON97 yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik sebanyak 15 sen pada 1 Disember lalu, menjadikan RM2.30 seliter dan kemudian RM2.40 seliter mulai awal Januari lalu.
Menurut laporan media, kenaikan RON97 itu tidak akan menjejaskan harga petrol RON95 yang kekal RM1.90 seliter dan diesel RM1.80 seliter.
Dianggarkan 90 peratus daripada rakyat negara ini menggunakan petrol RON95 untuk kenderaan mereka.

Strategi Umno BN buli Cina, tipu Melayu

KUALA LUMPUR, 4 Mei: Buli Cina, tipu Melayu, itulah sahaja cara Umno BN untuk terus berkuasa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Pada masa yang sama, parti itu juga terpaksa menjangkitkan wabak takut Cina ke dalam pemikiran orang-orang Melayu sebagai salah satu strategi utamanya untuk menipu orang-orang Melayu bagi memastikan ia terus berkuasa, kata beliau.
"Setelah menggunakan bermacam-macam cara untuk memeras ugut orang-orang Cina supaya menyokongnya, termasuk ancaman tidak ada lagi menteri dari kalangan kaum Cina jika kaum itu enggan mengundi Barisan Nasional (BN), sokongan orang-orang Cina terhadap parti itu tetap semakin pupus.
"Akibatnya, Umno hanya mengharapkan undi orang-orang Melayu sahaja. Untuk menghasut orang-orang Melayu supaya menyokongnya, parti itu terpaksa menyebarkan wabak fobia Cina dan fobia DAP.
"Itu taktik Yahudi Zionis yang digunakan oleh Amerika Syarikat yang menakut-nakutkan dunia dengan fobia Islamnya.
Tidak menghairankan jika Umno khususnya (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) menggunakan taktik yang sama kerana Yahudi Zionis di dalam Apco Worldwide adalah tempat beliau dan parti yang dikepalainya memohon petunjuk," kata beliau ketika menolak hasutan perkauman Najib terhadap PAS.
Dengan memainkan sentimen perkauman, Perdana Menteri mendakwa penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) hanya menguntungkan DAP.
Dengan harapan untuk memudahkan partinya memenangi pilihan raya umum akan datang, Presiden Umno itu kelihatan berharap sangat agar PAS keluar dari PR.
"PAS, cukuplah dalam pakatan pembangkang, alihlah kepada yang lain, tak masuk BN pun tak apa, tetapi keluarlah dari pakatan pembangkang," katanya ketika berucap di Kuala Terenganu Sabtu lalu.
Mahfuz menyifatkan hasutan perkauman Najib itu sebagai keluhan orang putus asa dan terdesak.
"Najib dan Umno sudah berputus asa dengan undi orang-orang Cina dan hanya mengharapkan sokongan orang Umno.
"Untuk memastikan Umno menang di kawasan-kawasan yang ditandinginya, racun perkauman digunakan habis-habisan untuk menghasut PAS supaya bersendirian dan bila ada pertandingan tiga penjuru di antara Umno, PAS dan PR, Najib menyangka mudahlah Umno memenangi kerusi-kerusi yang ditandinginya.
"Tidak perlu aktivis politik, budak berhingus pun boleh membaca muslihat yang sangat tidak cerdik itu. Apa boleh buat, setakat itu sahaja kemampuan dan kebolehan Perdana Menteri untuk berfikir bagi memastikan partinya terus berkuasa," kata Mahfuz.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan orang-orang Melayu agar tidak membiarkan Umno yang membawa wabak perkauman terus menipu mereka kerana jika dibiarkan, negara ini boleh terjerumus ke dalam kehancuran akibat rusuhan kaum.
"Keganasan strategi buli Cina, tipu Melayu tidak boleh terus dibiarkan.
"Jika dibiarkan dan Umno terus berkuasa, rusuhan kaum mungkin tercetus dan orang-orang Melayu pula akan terus rugi dan ketinggalan kerana parti perasuah tentulah lebih mengutamakan tuan-tuannya yang terdiri dari tauke-tauke yang selama ini menjadi rakan kongsinya, bukannya orang-orang Melayu yang tidak mampu mengenyangkan perasuah," katanya.
Beliau juga mengingatkan, orang-orang Melayu juga tidak boleh membiarkan Umno terus berkuasa untuk membuli orang-orang Cina.
"Jika dibiarkan, orang-orang Melayu juga akan terpalit dengan imej jahat itu. Orang-orang Melayu tidak boleh membiarkan Umno mempalitkan mereka dengan imej pembuli yang jahat dan gila bermusuh," kata Mahfuz.
Beliau bagaimanapun tidak nampak kemungkinan Umno akan menghentikan agenda buli Cina dan tipu Melayu itu kerana hanya itulah satu-satunya cara untuk membolehkan parti itu terus berkuasa.
"Umno nampaknya begitu selesa dengan strategi buli Cina, tipu Melayu itu," kata Mahfuz.