Friday, November 25, 2011

PAS akan sertai Bersih 3.0

KUALA LUMPUR, 25 Nov: PAS akan menyertai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam perhimpunan Bersih 3.0 bagi meneruskan lapan tuntutan Bersih 2.0 yang belum dilaksanakan kerajaan.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, bagi menuju ke arah itu, PAS akan  dan memulakan siri penerangan dan menggerakkan ahli di seluruh negara.

"PAS menyokong keputusan Bersih untuk mengadakan perhimpunan Bersih 3.0 memandangkan lapan tuntutan Bersih 2.0 hampir langsung tidak diendahkan kerajaan," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Mohamad bagaimanapun berkata, selain PAS, dua lagi parti dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP membuat kenyataan umum menyokong Bersih 3.0.

"Daripada kenyataan umum, Pakatan bersetuju untuk bersama-sama Bersih 3.0," katanya yang juga Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat.

Bagaimanapun, PAS katanya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Bersih yang disertai gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dari segi tarikh dan perjalanan perhimpunan.

"Tarikh yang sesuai, tempat perhimpunan semuanya kami serah kepada NGO Bersih sepenuhnya untuk menentukannya," katanya sambil menambah, pengerusi 3.0 adalah daripada NGO sendiri.

Sementara itu, mengulas mengenai Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata PAS menolak keras RUU tersebut.

Malaysia katanya seolah-olah sedang menggantikan tempat Myanmar dari segi halangan untuk rakyat bersuara.

"Perdana Menteri berbohong untuk bawa Malaysia ke arah demokrasi.

"Myanmar yang kebebasan bersuaranya teruk mengenakan lima hari sahaja untuk mengeluarkan notis berhimpun tapi Malaysia kena bagitahu 30 hari awal.

"Rang Undang-Undang ini menghina rakyat Malaysia," katanya.

25 November 2011 ; Majlis Pelancaran Piala Tok Guru 2011


Majlis Pelancaran Piala Tok Guru 2011
Di Dewan Majlis Daerah Machang
Jam 8.30 Malam
25 November 2011

Transformasi' Najib menuju diktator

KUALA LUMPUR, 25 Nov: Akta Perhimpunan Aman yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, kelmarin, jelas bertujuan untuk menghalang himpunan diadakan oleh rakyat negara ini.

Realiti itu terserlah apabila di dalam akta tersebut dikenakan pelbagai syarat yang tidak munasabah untuk membolehkan rakyat negara ini mengadakan perhimpunan berbanding kawalan sedia ada di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967. 

Pengarah Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (Juham), Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, akta itu hanyalah mempunyai nama yang menarik, tetapi hakikatnya Kerajaan BN secara jelas mencabul hak rakyat untuk berhimpun. 

Menurut beliau, jika di bawah Akta Polis 1967, sekurang-kurangnya hanya perhimpunan di tempat awam yang dikenakan permit, tetapi di bawah akta baru ini mensyaratkan semua perhimpunan walaupun di premis persendirian atau disewa perlu diberikan notis makluman awal kepada polis 30 hari sebelum tarikh himpunan yang dicadangkan itu hendak dibuat.

Katanya, Seksyen 9(5) Akta itu pula membenarkan polis mendenda penganjur sehingga RM10,000.00 sekiranya tiada notis awal diserahkan kepada polis sebelum perhimpunan tersebut diadakan. 

"Peruntukan itu amatlah tidak munasabah kerana kebanyakan himpunan aman rakyat adalah berkaitan dengan isu-isu semasa yang berlaku dan memerlukan tindakan yang segera," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini. 

Itulah prinsip demokrasi dan hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, menurutnya, tetapi malangnya hak-hak yang masih berbaki sedikit itupun cuba dihapuskan sepenuhnya oleh kerajaan Umno (Barisan Nasional). 

"Inikah transformasi yang dibangga-banggakan oleh Perdana Menteri atau transformasi yang dibuat hanya untuk mengubah negara menjadi negara diktator dan kuku besi?" ujarnya. 

Akta baru itu juga, tegasnya, melarang individu di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun secara aman dan ini tentulah merujuk secara khusus kepada para mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi negara. 

"Sudahlah para mahasiswa dikongkong teruk oleh AUKU, sekarang akta drakonian yang baru diperkenalkan ini pula meragut terus hak-hak asasi mereka untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat secara aman. 

"Kerajaan BN benar-benar memperlekeh dan memperbodohkan terus keintelektualan para mahasiswa dan mahasiswi kita," tambah beliau. 

Manakala Seksyen 21(3) akta itu, tegasnya, membenarkan polis mendenda pihak yang ditangkap sehingga RM20,000.00, jumlah yang sangat tidak munasabah berbanding RM2000.00 sekarang, sedangkan kesalahan berhimpun bukanlah satu kesalahan jenayah yang serius. 

Katanya, banyak lagi peruntukan lain yang tidak munasabah dimasukkan di dalam akta baru itu, manakala segala kelemahan yang berlaku itu disebabkan sikap ego kerajaan yang enggan mendengar pendapat ramai supaya segala undang-undang baru yang hendak digubal yang berkaitan hak-hak asasi rakyat patut dirunding secara konsultasi bersama.

Juham mengecam Akta Perhimpunan Aman 2012 dan berpandangan akta tersebut hanya seperti menanam tebu di tepi bibir, manis di mulut tetapi hakikatnya membawa bencana dan mala petaka besar kepada hak-hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Akta ini jelas mengongkong kebebasan rakyat untuk berhimpun dengan sekatan dan syarat-syarat yang amat zalim, tidak munasabah dan tidak pernah difikirkan oleh rakyat yang waras," tegasnya. 

Juham menggesa agar kerajaan menarik balik akta itu dengan segera dan berunding dengan rakyat terlebih dahulu sebelum memperkenalkan apa-apa undang-undang yang zalim seperti itu dan menyekat kebebasan rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Banjir Dun Temangan ; DPPK Machang Bantu YB Dr Fadzli (ADUN Temangan) Agih Bantuan Banjir
























Air Kelantan: BN tahu ambil, tak pandai beri

KUALA LUMPUR, 25 Nov: “Ketika hendak ambil hasil mereka teringat Kelantan, ketika hendak memberi mereka lupa Kelantan,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.
Belia menyatakan demikian sebagai respons kepada isu air di Kelantan, seolah-olah negeri itu bukan sebuah negeri yang terdapat di Malaysia.
Pada hal, katanya Kelantan masih lagi di dalam peta Malaysia, bukan sebuah negeri yang terpisah daripada Malaysia atau sebuah republik.
Malahan, ujarnya banyak hasil yang kerajaan pungut di bumi Kelantan tetapi dibawa kepada kerajaan pusat.
Contohnya, kata beliau banyak bayaran pasport antarabangsa, setem, cukai kastam, cukai pendapatan, saman trafik yang dipungut daripada bumi Kelantan.
“Nampaknya otak pemimpin BN hanya pandai ambil tetapi tidak pandai memberi.
“Ketika hendak ambil hasil mereka teringat Kelantan, ketika hendak memberi mereka lupa Kelantan,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Malah, katanya selama 13 tahun Kelantan diketepikan dari mendapat sebarang peruntukan atau pinjaman bagi meningkat bekalan air.
Tambahnya, hanya pada pada 2011 pinjaman mudah di bawah RMK8 sebanyak RM36 juta baru diberi kepada Kelantan dengan kontraktor dan kerja-kerja pembinaan dilantik dan dilaksanakan kerajaan pusat.
“Kenapa perlu ugut rakyat, jika BN menang masalah air di Kelantan selesai? Kenapa tidak dibantu sekarang?” soalnya.
Justeru, beliau menyeru pemimpin BN menghormati keputusan rakyat Kelantan yang telah memilih PAS.
“Apakah Umno sudah kehabisan modal pilihan raya di Kelantan, hanya modal air sahaja yang ada?” tanya beliau lagi.
Pada hal, katanya di negeri yang BN perintah masalah air masih tidak selesai seperti di Sarawak dan Sabah.
Baginya, pemimpin Umno Kelantan khususnya cemburu melihat pencapaian kerajaan Kelantan sama ada dari segi pembangunan dunia dan agama.
Katanya, ketika negeri BN mengalami masalah untuk mengatasi kemiskinan Kelantan berjaya menurunkan kadar kemiskinan daripada nombor dua pada tahun 1990  kepada nombor enam.
“Percayalah jika Umno memerintah Kelantan, maka kadar kemiskinan akan naik balik ke tempat asal, seperti di Terengganu setelah turun nombor empat zaman PAS memerintah kemudian naik kembali di tempat kedua pada tahun 2004,” katanya.
Beliau menambah, walaupun dikekang dengan kewangan, Kelantan tetap menunaikan hutang lapok yang ditinggal oleh kerajaan BN sebanyak RM718 juta.
Setakat 2010, jelasnya telah melunaskan sebanyak RM220 juta, sekarang berbaki hanya RM498 juta kerana Kelantan tetap menunaikan tanggunjawab kepada rakyat dengan membuat pinjaman RM5 juta bagi membina telaga jejari sebagai alternatif membekal air bersih.
Beliau jga mempersoalkan kenapa pemimpin Umno terlalu busuk hati sehingga sanggup mendera Kelantan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi.
Demokrasi bukan revolusi
Katanya, Tuan Guru Nik Aziz menjadi Menteri Besar dilantik melalui proses demokrasi, bukan revolusi.
Nampaknya, ujar beliau pemimpin Umno hanya boleh menerima demokrasi apabila Umno sahaja yang perlu menang, lain daripada Umno maka keputusan rakyat tidak perlu dihormati.
Beliau menambah, pemimpin pusat sudah banyak mencabul demokrasi sejak PAS menang di Kelantan pada tahun 1990.
Ujar beliau, bermula dengan penubuhan Pegawai Persekutuan, penghulu persekutuan, memberi amaran kepada pegawai persekutuan jangan terlibat dengan program negeri seperti yang pernah diarahkan kepada pegawai pertanian yang bekerja di negeri Pakatan Rakyat, terakhir wang royalti tidak diberi kepada Kelantan.
“Sebenarnya ini cara politik zaman batu, yang tidak layak memerintah di zaman langit terbuka.
“PAS yakin bahawa rakat Kelantan yang berjiwa merdeka tidak rela negeri mereka diperlakukan demikian rupa oleh orang sebangsa  dan senegeri dengan mereka yang berada di peringkat pusat, insya Allah mereka akan ajar sikap pemimpin seperti begini di dalam pilihanraya akan datang,” ujarnya.

PAS cabar RUU Perhimpunan Aman di mahkamah

KUALA LUMPUR, 25 Nov: PAS akan mengambil tindakan mahkamah berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman yang dibentangkan bagi bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri di Dewan rakyat semalam.

Peguam, Mohamed Hanipa Maidin berkata, beliau akan mewakili PAS minggu hadapan untuk memohon perintah mahkamah supaya menyekat RUU ini menjadi undang-undang.

PAS akan diwakili Timbalan Presiden, Mohamed Sabu dan dua orang ahli jawatankuasa PAS Pusat iaitu Dr. Dzulkefly Ahmad dan Dr. Hatta Ramli.

"Kita tidak akan tunggu Rang Undang-undang ini diluluskan menjadi undang-undang baru kita cabar. Kita akan mengambil tindakan mahkamah untuk proses Rang Undang-undang ini menjadi undang-undang," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Hanipa yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata, tindakan mahkamah itu adalah berasas kerana kerajaan tidak mempunayi kuasa untuk menggubal RUU mengikut pandangan mereka sahaja.

"Kuasa kerajaan di bawah Perlembagaan Negara. Jadi kalau mereka melangkaui perlembagaan, kita berhak mengambil tindakan mahkamah," katanya.

Ini kerana katanya, ada perkara dalam RUU yang akan dibahaskan minggu hadapan itu melanggar perkara 10 (1) (b) iaitu hak untuk berhimpun.

"Ada beberapa peruntukan dalam rang undang-undang ini tidak boleh dilaksanakan langsung. Sebagai contoh kerajaan kata 30 hari untuk beri notis berhimpun. Maksudnya kalau kena beri notis begitu, rakyat telah dihalang (untuk berhimpun).

"Begitu juga kanak-kanak bawah 15 tahun tidak boleh menyertai himpunan, sedangkan kanak-kanak juga ialah rakyat. Contoh kalau ada sekolah dirobohkan dan kanak-kanak ini berhimpun, dalam rang undang-undang ini kata tak boleh tapi dalam perlembagaan boleh. Jadi rang undang-undang ini bercanggah dengan perlembagaan," jelas beliau.

Sementara itu, Dr. Dzulkefly berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berada dalam keadaan tertekan dan berusaha menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau sedang melakukan reformasi dalam demokrasi.

Namun katanya, segala tindakan Najib selepas pengumuman beliau pada 15 September lalu untuk memansuhkan ISA ternyata bercanggah.

"Kita melihat pemerintahan Najib yang berada dalam tekanan dan dan beliau mewujudkan tanggapan oleh rakyat bahawa beliau komited untuk memulihkan demokrasi.

"Tapi sebaliknya beliau menunjukkan tindakan yang kontra dengan apa yang dikatakan," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Perutusan Hijratur-Rasul 1433 Hijrah Yang Amat Berhormat Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Al-Mursyidul Am PAS

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم
وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
Yang bermaksud : Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
– Surah al-Nisa’ ayat 100

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan kesykuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana taufik dan inayahNya, kita masih diberikan peluang untuk terus hidup melangkah ke tahun baru 1433 Hijrah pada saat ini. Semoga dengan pertambahan umur yang dikurniakan oleh Allah SWT ini memberikan kita ruang untuk terus menambahkan ibadat dan memperkasakan perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah SWT.

Sesungguhnya, menyambut ulang tahun Hijratur-Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan. Sambutan Hijratur-Rasul ini sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah. Hakikatnya, Hijrah Rasulullah s.a.w tidak berlaku pada awal tahun dan tidak berlaku pada bulan Muharram.
Sebaliknya, Rasulullah s.a.w mula keluar dari kota Mekkah pada akhir bulan Safar, bulan yang kedua dalam kalendar Islam. Baginda keluar dari Mekkah bersama-sama dengan sahabat baginda yang paling setia Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a setelah mendapat perintah dari Allah s.w.t agar bersama-sama dengan umat Islam di kota Madinah. Rasulullah s.a.w tiba di kota Madinah dan mula menetap di sana pada hari Jumaat, 12 Rabiul Awal. Sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan calendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA.

Kenapakah Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada’? Jawabnya ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara bernegara.

Pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara. Sebagaimana umat Islam diwajibkan untuk mengerjakak solat lima kali sehari, berpuasa selama sebulan dalam satu tahun dan mengerjakan haji sekali sepanjang hidup, demikianlah juga diperintahkan agar bernegara dan melaksanakan undang-undang menurut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Kita tidak rela jika pembangunan fizikal pesat berlaku namun dalam masa yang sama kita menyaksikan runtuhnya nilai-nilai agama dan jauhnya manusia daripada Allah SWT. Alangkah ruginya hidup manusia jika hanya mendapat kemegahan, kemewahan dan kekayaan di dunia semata-mata namun di akhirat dilemparkan Allah SWT ke tempat yang buruk iaitu neraka hanya kerana enggan tunduk patuh kepada Allah SWT. Justeru, PAS mendidik rakyat agar kenal batasan iman dan kufur, batasan syurga dan neraka serta batasan pahala dan dosa, agar tidak berlaku penolakan terhadap mana-mana perintah Allah SWT. Ini kerana iman sifatnya ialah syumul. Menolak satu cabang iman bererti menolak keseluruhan iman itu sendiri.

Dari aspek yang lain, hijrah juga mengajar umat Islam agar berstrategi dalam apa jua langkah dan gerak kerja. Bagaimana kita melihat Rasulullah SAW mengatur strategi yang cukup teratur di dalam berhijrah, demikianlah juga wajib untuk kita mengatur strategi dan mempunyai perancangan yang tersusun di dalam memastikan gerak kerja yang dilakukan berkesan dan berjaya.

Strategi Rasulullah SAW dapat dilihat apabila baginda datang ke rumah Saidina Abu Bakr as-Siddiq pada waktu siang hari iaitu waktu yang tidak akan dijangka dipilih untuk keluar dari Mekah. Baginda juga mengupah Abdullah bin Uraiqit yang masih musyrik menunjukkan jalan dan ini mengajar bagaimana harusnya bekerjasama dengan non muslim dalam urusan yang boleh mendatangkan faedah kepada Islam.

Baginda juga memilih untuk berlindung di dalam Gua Thur yang bukannya terletak di pertengahan jalan menuju ke Madinah dengan tujuan untuk mengelirukan kaum musyrikin. Nyata sekali semua strategi yang diatur oleh baginda Rasulullah SAW ini berjaya mengeluarkan baginda dari kota Makkah dan menuju ke Madinah dengan selamat. Justeru, apabila kita menyambut peristiwa Hijratur Rasul pada hari ini, kita sebenarnya menyambut peristiwa fatonah atau kecerdikan baginda.

Pada zaman kita hari ini, pengurusan hidup hendaklah bersendikan fatonah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Fatonah ini pula hendaklah disertakan dengan amanah. Fatonah tanpa amanah akan melahirkan generasi yang punah iaitu generasi yang cerdik tetapi jauh dari Allah SWT. Hari ini, kita melihat setiap hari didedahkan pelbagai skandal dalam pengurusan wang samada di peringkat pemimpin maupun di peringkat pegawai.

Laporan demi laporan audit yang dibentangkan menyaksikan pelbagai ketirisan yang berlaku sehingga mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit wang rakyat. Ketirisan ini jika diselamatkan nyata sekali dapat memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat jelata. Kenapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan kita mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan rasuah dan penyelewengan? Tidak lain melainkan hanyalah kerana manusia tidak mampu dikawal oleh undang-undang manusia.

Yang mampu memagari manusia dari melakukan perbuatan khianat hanyalah taqwanya kepada Allah SWT. Inilah misi PAS di dalam gerak kerja politik. Kita berjuang melalui pilihanraya untuk mendapatkan kuasa dan untuk membangunkan roh dan jiwa rakyat agar sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT. Di Kelantan, kita menguatkuasakan larangan pembukaan premis judi, larangan penjualan arak secara terbuka, memindahkan wang kerajaan ke perbankan Islam serta memperbanyakkan skim-skim kebajikan seperti takaful kifalah, skim armalah, skim al-it’am dan sebagainya semuanya bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada rakyat dari sudut duniawi dan ukhrawi.

Hijrah juga mengajar kita menjadi optimis dalam perjuangan. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk dipakaikan dengan alat kebesaran raja Parsi sedangkan baginda sedang di dalam perjalanan menuju ke Madinah. Janji tersebut nyata sekali menjadi kenyataan selepas kewafatan baginda iaitu pada saat kejatuhan kerajaan Parsi pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab RA. Oleh yang demikian, pada saat dunia kelam pekat diselubungi gelap sekular, yakinlah, jahiliyyah pasti akan tumbang, dan Islam pasti akan tertegak juga di bumi Allah SWT ini.

Insya-allah, fajar semakin menyinsing. Malam pasti berakhir. Kebangkitan yang berlaku di seluruh dunia lambat laun akan tiba juga di negara kita yang tercinta. Semoga keamanan terus dikekalkan dan semoga Islam dapat didaulatkan. Selamat berhijrah dan selamat berubah.



Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
al-Mursyidul Am
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Bertarikh : 28 Zulhijjah 1433H bersamaan 24 November 1433H