Thursday, November 24, 2011

Kelantan harap Pusat kembalikan bantuan perkapita

KOTA BHARU, 24 Nov: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (gambar) berharap sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada sekolah agama di negeri ini berterusan pada setiap tahun.

Bahkan, katanya sumbangan yang dilakukan itu tidak hanya kerana hampir dengan pilihan raya atau mempunyai tujuan tertentu.

“Kita tidak tahu niat sebenar Kerajaan Persekutuan itu, sebab itu kita harap supaya sumbangan ini menjadi permulaan kepada sumbangan-sumbangan berterusan pada setiap tahun.

“Dan tidaklah dibuat hanya kerana nak pilihan raya atau kerana tujuan-tujuan tertentu, itu harapan kita,” katanya mengulas sumbangan RM100,000 oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sekolah Menengah Agama (SMA) Bantuan Kerajaan Negeri.

Sumbangan itu disampaikan pada majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang juga Menteri Pelajaran dengan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Jabatan Pelajaran Kelantan,  guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Lembaga Pengelola Sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) di Kelantan Trade Centre (KTC) di sini, semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri mengaku tidak dimaklumkan terlebih dahulu tentang ‘bentuk sumbangan’  itu.

“Sumbangan RM100,000 itu diberikan terus kepada sekolah. Kita sendiri tidak tahu. Tidak pasti bahawa ini bentuk apa, sama ada perkapita atau itu sumbangan ‘bantuan modal’.

“Ini kerana sebelum diberhentikan (bantuan oleh Kerajaan Persekutuan kepada sekolah agama di bawah Yik dahulu), terdapat beberapa bentuk sumbangan kepada sekolah agama di Kelantan.

“Pertama sekali, sumbangan perkapita, sumbangan lain ialah sumbangan ‘bantuan modal’,” katanya.
Pada hemat beliau, sumbangan RM100,000 itu bukan perkapita kerana ia mestilah berdasarkan jumlah ramai pelajar.

“Namun harapan kita bahawa sumbangan yang diberikan ini, tidak berlaku untuk hari ini saja, dan bukan untuk sekali ini saja, tetapi biarlah yang paling penting mengembalikan peruntukan perkapita seperti mana pernah diberikan Kerajaan Persekutuan satu masa dahulu.

“Jadi hak peruntukan perkapita itu kita meminta supaya dikembalikan. Pada hari ini, ini tidak dikembalikan apa yang kita minta, namun kita berharap kalau boleh sebagai ‘permulaan’,” ujarnya.

Perkasa Jakim

Selain itu, beliau menyarankan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diperkasakan peranannya.
Ini kerana, kata Mohd Amar, walau pun Jakim kini mempunyai tugas yang perlu dilaksanakan, namun ia terikat, tidak mempunyai kuasa penuh, bahkan tidak ada penguasaan.

Katanya, Jakim kini hanya boleh memberi pandangan dan merancang program tetapi dari segi kuasa untuk menguatkuasakan dan lain-lain berkaitan dengan agama Islam, hampir tidak ada.

“Jadi kalau Kerajaan Persekutuan serius untuk menangani gejala-gejala yang negatif kepada agama Islam dan kepada masyarakat Islam di negara ini, kita meminta supaya peranan Jakim diperkasakan dan peruntukan kepada jabatan ini dipertingkatkan lagi.

“Bahkan pegawai-pegawainya ditambah dan diupgredkan lagi kemudahan-kemudahan yang ada; barulah dirasakan ada kesannya,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan supaya Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri diusahakan untuk dipertingkatkan, dinaiktarafkan serta diperkasakan peranannya.

No comments: