Tuesday, November 22, 2011

Air Kelantan: Tuduhan rambang, berniat jahat

KUALA LUMPUR, 21 Nov: Laporan Mingguan Malaysia semalam bahawa kandungan air terawat di Kelantan sebagai yang tertinggi E.coli adalah satu tuduhan rambang yang berniat jahat.


Demikian ditegaskan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu kenyataan, hari ini.

“Saya telah ditanya pagi tadi selepas Mesyuarat Koridor Ekonomi Wilayah Timur (ECER) pagi tadi berkenaan laporan muka hadapan Mingguan Malaysia pada 20 November 2011 yang membawa tajuk ‘Air Kelantan Terkotor?’,” ujarnya di dalam kenyataan yang terkandung di Facebook beliau.

beliau pada mulanya beranggapan tidak perlu untuk memberikan respons terhadap laporan akhbar Utusan Malaysia (keluaran hari Ahad: Mingguan Malaysia) yang sudah diketahui umum sebagai akhbar yang tidak bertanggungjawab terhadap fakta dan seringkali melanggar etika kewartawanan.

“Saya kira masih ramai yang belum lupa bagaimana Utusan Malaysia pernah memainkan isu ‘Kristian Agama Rasmi Negara’ satu ketika dahulu yang terbukti kemudiannya sebagai satu pembohongan semata-mata,” kata beliau.

Namun, menurutnya dibimbangi isu yang dimainkan itu menimbulkan polemik yang berpanjangan, beliau telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri Kelantan Datuk Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman untuk memberikan kenyataan menjelaskan perkara yang sebenar.
Bagaimanapun, ujarnya sebagai respons awal sebelum kenyataan lanjut dikeluarkan, beliau ingin menarik perhatian terhadap beberapa fakta sebenar yang disorok dari pengetahuan umum oleh Utusan Malaysia.

“Pertamanya, sukalah saya merujuk kepada surat yang dihantar oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada Pengurus Besar Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) yang bertarikh 30 Oktober 2011 yang memaklumkan prestasi kurang memuaskan beberapa buah negeri seperti yang termaktub di dalam Laporan Pencapaian Pematuhan Kualiti Air Terawat Bagi Parameter QAP Seluruh Negara bagi tempoh Januari hingga Julai dan Januari hingga Ogos 2011 yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, negeri-negeri yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan itu ialah Kelantan, Pahang, Wilayah Persekutuan Labuan, Perak dan Perlis.

Berdasarkan lampiran yang diberikan, jelasnya kandungan E.coli yang terdapat di dalam air terawat yang dibekalkan oleh AKSB dinilai sebanyak 0.88%.

Ia, jelasnya lagi lebih rendah jika dibandingkan dengan negeri Pahang (1.12%),  Perak (0.90%), Perlis (1.21%) dan Wilayah Persekutuan Labuan (1.01%).

Beliau sedia maklum bahawa tahap yang dianggap tidak memuaskan ialah jika melebihi 4%, namun untuk dikatakan kandungan air terawat di Kelantan sebagai yang tertinggi E.coli ialah satu tuduhan rambang yang berniat jahat.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga ingin melahirkan rasa hairan terhadap data yang dikemukakan oleh Utusan Malaysia yang dikatakan dirujuk kepada Panduan Industri Air Malaysia 2011 sedangkan data rasmi Panduan Industri Air Malaysia 2011 masih belum dikeluarkan dan hanya akan dikeluarkan kebiasaannya pada pertengahan tahun berikutnya iaitu sekitar bulan Jun 2011.

“Dari manakah Utusan Malaysia memperolehi maklumat yang masih belum dikeluarkan ini?” soalnya yang juga Mursyidul Am PAS.

Hakikatnya, tegas beliau apa yang disebut oleh Utusan Malaysia itu hanyalah satu lagi pembohongan yang jelas untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri Kelantan.

“Jelas sekali, laporan ini tidak lain hanyalah merupakan satu usaha untuk menggunakan air Kelantan membersihkan najis lembu yang bernilai RM250 juta.

“Nasihat saya, bertaqwalah kepada Allah SWT kerana apa yang ditulis akan disoal oleh-Nya di akhirat kelak,” ujarnya.

Justeru, kata bbeliau janganlah sampai fitnah yang ditabur itu menggerakkan tangan orang-orang yang dizalimi untuk melafazkan doa ke atas penabur-penabur fitnah.
Ini kerana, katanya doa orang yang dizalimi tidak akan ditolak oleh Allah SWT.

No comments: