Wednesday, November 23, 2011

Kadar Kerosakan Gigi Kanak-Kanak : Utusan Malaysia Manipulasi Fakta

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) kesal dengan laporan Utusan Malaysia pada hari ini (23 November 2011) yang masih terus menerus menyerang kerajaan negeri Kelantan berhubung isu air. Hari ini di muka hadapan akhbar tersebut, dilaporkan bahawa kadar kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak di Kelantan adalah yang tertinggi di Malaysia dan ia dikatakan berpunca dari air yang tercemar dan mengandungi florida yang tidak mencukupi.

2. DPPNK menyifatkan bahawa serangan ini merupakan satu serangan yang terancang di dalam usaha untuk menjatuhkan imej kerajaan negeri Kelantan. Isu air yang mula dilaporkan semenjak hari Ahad, 20 November 2011 telah diletakkan di muka hadapan selama empat hari berturut-turut dan mungkin dikira sebagai isu yang mampu menggugat penguasaan PAS di Kelantan di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

3. Sukalah DPPNK merujuk kepada laporan Utusan Malaysia sendiri di dalam sisipan Kesihatan pada 16 Januari 2011. Laporan tersebut membawa kenyataan Pakar Pergigian dan Ortodontik Kanak-kanak Prof. Dr. Nik Noriah Nik Hussien yang menyatakan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan kerosakan gigi kanak-kanak di Malaysia sememangnya tinggi dengan hanya 25.5 peratus sahaja kanak-kanak yang bebas dari masalah gigi berbanding dengan kadar 50 peratus yang ditetapkan oleh WHO. (Rujuk : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?dt=0116&pg=kn_01.htm&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&y=2011)

4. Persoalannya, adakah logik kadar rendah bebas masalah gigi di Malaysia itu disumbangkan oleh Kelantan sahaja? Jika di Kelantan ia berpunca dari kadar florida yang rendah lalu dikaitkan dengan kelemahan kerajaan negeri membekalkan air yang bersih, bagaimana pula dengan kadar kerosakan gigi kanak-kanak di seluruh Malaysia yang disifatkan rendah oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)?

5. DPPNK mencabar Utusan Malaysia agar menyiarkan kenyataan mana-mana doktor gigi yang bertauliah atau mana-mana kajian ilmiah yang berautoriti untuk mengesahkan bahawa kekurangan fluorida di dalam bekalan air menjadi punca utama kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak khususnya di Kelantan.  Bahkan menjadi satu fakta yang diketahui umum bahawa punca utama kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak bukanlah kerana kekurangan fluorida di dalam bekalan air tetapi kerana makanan yang manis yang mengandungi gula yang tidak dibersihkan.

6. Adalah di luar logik akal jika masalah kekurangan fluorida yang serius di dalam kandungan air terawat di Kelantan tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang membuat pemantauan dari masa ke semasa.

7. DPPNK berpandangan, tindakan Utusan Malaysia yang memanipulasi fakta untuk menjatuhkan imej kerajaan negeri Kelantan ini tidak lain hanyalah untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan yang berlaku di kalangan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Benarlah kata-kata Menteri Besar Kelantan, air Kelantan ingin digunakan untuk membersihkan najis lembu bernilai RM250 juta.

Sekian.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 23 November 2011

Rujukan :
1. http://www.infosihat.gov.my/penyakit/GIGI/Ketidakselesaan.pdf
2. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?dt=0116&pg=kn_01.htm&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&y=2011

No comments: