Monday, November 21, 2011

Kenapa menyusahkan guru, ibu bapa hanya RM100?

KUALA LUMPUR, 21 Nov: “Kalau pun hendak pancing undi janganlah menyusahkan  ibu bapa dan guru ketika memberi wang RM100 kepada setiap pelajar,” ujar Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, pada mulanya  janji Datuk Seri Najib Tun Razak wang itu akan disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) tetapi apa yang terjadi pihak sekolah terpaksa diiringi  oleh polis ketika mengambil wang di bank.

Justeru, beliau mempersoalkan apa jaminan keselamatan, terhadap wang yang hendak diagihkan kepada pelajar-pelajar.

“Jika terjadi suatu yang tidak diingini siapa yang akan menggantikan wang tersebut?” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, pihak sekolah pening kepala memikirkan masalah keselamatan wang yang berada kepada guru-guru sebelum diagihkan kepada pelajar-pelajar.

Katanya lagi, ibu bapa juga turut susah, kerana umpan politik BN.

Beliau menambah, ada  ibu bapa terpaksa pergi ambil di tempat yang jauh daripada sekolah anak mereka belajar kerana di sana ada majlis yang dihadiri oleh wakil rakyat BN.

Ujarnya, sebelum ibu bapa diberi wang, mereka akan dengar kuliah yang bertema "bersyukurlah kepada kerajaan BN".

“Bukankah kerja ini menyusahkan ibu bapa?” soalnya lagi.

Apa yang paling malang, katanya ada ibu bapa yang marah kepada pihak sekolah, kenapa mereka perlu ke tempat lain untuk mengambil wang, sedangkan sebahagian yang lain hanya ambil di sekolah.

“Semua ini gara-gara pilihanraya sudah dekat, maka BN akan buat apa sahaja walaupun pada mulanya untuk masuk ke dalam akaun BSN sahaja, kemudian menukar strategi supaya ibu bapa pula datang ambil.

“Buatlah apa sahaja, insya Allah ini adalah khidmat terakhir untuk rakyat sebelum PRU 13,” ujarnya.

No comments: