KUALA LUMPUR, 24 Nov: Dewan Pemuda PAS (DPP) Malaysia membantah sekeras-kerasnya Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman yang dibentangkan di Parlimen.
“Bagi DPP Malaysia, RUU Perhimpunan Aman 2012 lebih kejam daripada undang-undang sedia ada seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia yang memberikan hak untuk rakyat berhimpun,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.
Menurutnya, DPP Malaysia melihat kerajaan Malaysia di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi cuba menipu rakyat dengan slogannya ‘transformasi’ dengan pendekatan berlembut dengan rakyat.
Katanya, setelah ISA dikatakan sudah terhapus, tetapi dengan penangkapan terbaru 13 orang di bawah ISA di Sabah membuktikan bahawa Najib tidak pernah mengotakan janjinya.
Beliau menambah, Akta Perhimpunan Aman pula dikatakan sebagai menghormati hak rakyat untuk berhimpun, hakikatnya ia adalah suatu halangan untuk rakyat berbuat demikian.
Jelasnya, Akta Perhimpunan Aman amat menekan kerana lebih banyak memberikan kuasa kepada pihak polis, sama ada untuk menggagalkan perhimpunan atau menangkap, mendakwa serta mendenda mereka dengan suatu nilai yang diluar kemampuan.
Dalam hal ini, ujarnya DPP Malaysia melihat PDRM digunakan sebagai perkakas untuk menyekat kemaraan rakyat dengan mencipta pelbagai peraturan ketat.
“Sudah tentu, akta ini sebagai usaha menakutkan rakyat agar jangan turun berhimpun kerana risiko tangkapan dan denda dengan nilai yang tinggi, seolah-olah Perdana Menteri merasa terlalu takut dengan kebangkitan rakyat yang menjadi igauan buruk kepadanya dan merasa terancam dengan kedudukannya sekarang,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Justeru, tegasnya DPP Malaysia mengingatkan Perdana Menteri bahawa rakyat Malaysia bukan bodoh, umpama lembu yang boleh dicucuk hidung.
Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak boleh diikat dengan pelbagai imbuhan dan pemberian one off sehingga mengabui mata mereka.
“Rakyat Malaysia semakin matang dan celik maklumat. Mereka tahu segala butiran dan agenda tersembunyi di sebalik akta ini.
“Mereka tahu akta ini adalah satu lagi siri penipuan Najib yang semakin terbongkar,” ujarnya lagi.
Justeru, katanya DPP Malaysia juga berpesan kepada Perdana Menteri agar berlaku jujur terhadap rakyat.
Tambahnya, Perdana Menteri perlu ambil iktibar dari kejatuhan rejim di Timur Tengah yang berlaku zalim terhadap rakyat.
“Walaupun pelbagai tekanan, sekatan serta ugutan digunakan, jika rakyat bangkit, maka tiada kuasa yang dapat menghalangnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment