Thursday, September 27, 2012

Rapid Pengerang: Banyak misteri akan terbongkar


KUALA LUMPUR: Banyak misteri yang akan terbongkar berikutan bantahan dan cabaran debat mengenai Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Apabila ada bekas menteri yang mencari nafas baru dalam politik Umno mencabar untuk berdebat berikutan bantahan penduduk Pengerang terhadap Rapid, banyak lagi kecurigaan yang didedahkan kepada kita sejak Petronas dikuasai (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak)," katanya.

Menurut Salahuddin, Seksyen 3(2) Akta Pembangunan Petroleum 1974 meletakkan Petronas di bawah penguasaan dan arahan Perdana Menteri.

Katanya, antara perkara awal yang didedahkan kepadanya ialah mengenai begitu banyak projek Petronas, termasuk Rapid, yang dimanfaatkan oleh Dialog Group Berhad.

Mengenai Rapid, Salahuddin berkata, beliau difahamkan bahawa projek itu adalah projek Petronas yang pertama yang mengambil alih kawasan penempatan rakyat.

"Saya difahamkan oleh para pegawai Petronas bahawa sejak ditubuhkan pada tahun 1974, syarikat minyak nasional itu tidak pernah mengambil alih kawasan penempatan rakyat dan apa yang berlaku di Pengerang hanya berlaku di zaman Najib menguasai Petronas.

"Contohnya, tapak kawasan Loji Penapis Minyak Terengganu di Kerteh asalnya ialah kawasan kebun kelapa dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau penempatan rakyat," kata beliau.

Malah, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, pegawai-pegawai Petronas yang memberi maklumat juga memberitahu, telah menjadi piawaian dunia bahawa projek minyak dan gas tidak dibuat di kawasan penempatan rakyat seperti yang dilakukan di Pengerang.

"Para pegawai Petronas yang berkenaan juga banyak mengadu mengenai Presiden dan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Petronas (Tan Sri) Shamsul Azhar (Abbas) dan mereka memberitahu bahawa banyak perkara yang tidak berlaku sebelum ini berlaku di zaman Shamsul Azhar termasuk pengambilalihan kawasan penempatan rakyat untuk projek Petronas.

"Ia satu perubahan dasar Petronas yang luar biasa," katanya.

Bagi Salahuddin, apabila ia melibatkan perubahan dasar Petronas, kesalahan besar bukan lagi sekadar melibatkan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang beliau sifatkan bersekongkol meluluskan pengambil alihan kawasan penempatan penduduk berkenaan untuk projek itu, tetapi dalang utamanya ialah Najib.

"Najiblah orang yang paling bertanggungjawab ke atas segala masalah dan keperitan yang dihadapi oleh penduduk Pengerang yang dimangsakan pengambil alihan itu," katanya.

Salahuddin juga kesal dengan sikap Ghani yang hanya mengikut sahaja telunjuk Najib dan menjadi antara sekongkol utama dalam projek yang dibantah oleh penduduk Pengerang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Pengerang, Kasran Abdullah sebelum ini menyatakan, kajian yang dijalankan November tahun lalu di tujuh kampung terbabit, menunjukkan 96 peratus penduduk membantah projek Rapid.

Salahuddin juga menuntut penjelasan Najib mengapa Dialog kini mendapat begitu banyak projek Petronas.

"Para pegawai Petronas berkenaan memberitahu, trend monopoli sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini dan hanya berlaku ketika Najib berkuasa ke atas Petronas.

"Menurut mereka, banyak penganugerahan projek Petronas yang menimbulkan kesangsian dan pertikaian dan yang paling mereka persoalkan ialah projek-projek Petronas kepada Dialog," kata beliau.

Para pegawai petronas itu juga, kata Salahuddin, mempersoalkan bagaimana Dialog mendapat manfaat di medan minyak Balai Bentara dan dijangka akan mendapat manfaat pula di medan minyak D35 di Balai Cluster.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana kenyataan khusus mengenai perkara itu akan dibuat.

Belanjawan Pakatan utamakan semua rakyat


Belanjawan PR: Penetapan gaji minimum tepat


KUALA LUMPUR: Senator Syed Shahir Syed Mohamud (gambar) berpendapat Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang telah dibentangkan semalam dapat menyelesaikan masalah kemiskinan tegar dalam negara ini.

Beliau yang ditemui Harakahdaily memberitahu peningkatan bantuan kepada isi rumah dalam kumpulan kemiskinan tegar iaitu RM550 adalah satu cadangan yang sangat baik dalam menyeleseikan masalah tersebut.

"Kita melihat melalui cadangan peningkatan bantuan isu rumah yang diberikan itu dapat mengatasi miskin tegar negara.

"Kebanyakan mereka terdiri dari golongan pekerja, golongan berpendapatan rendah dan kemiskinan sekarang tidak boleh dianggap kemiskinan luar bandar sahaja sebenarnya di dalam bandar pun berlaku kemiskinan," kata bekas Presiden MTUC itu.

Beliau juga turut memberitahu penetapan gaji minimum pada tahap RM1,100 adalah bertepatan memandangkan kerajaan sebelum ini hanya mencadangkan RM900 sahaja.

Dalam pada masa yang sama, beliau mengharapkan dasar-dasar yang dibuat oleh Pakatan Rakyat ini dapat menyelesaikan masalah terutama kumpulan sasar yang terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah.

Belanjawan Pakatan Rakyat akan membelanjakan RM2 bilion bagi pelaksanaan gaji minimum pada paras RM1,100 sebulan yang melibatkan sektor awam dan swasta dengan penyelarasan gaji dijangkakan dalam 2 hingga 8 peratus.

Sementara itu, Pakatan Rakyat turut meningkatkan pembayaran kebajikan daripada RM300 pada masa sekarang kepada RM550 sebulan dan ini dapat membebaskan 84,000 keluarga dari paras kemiskinan sekarang iaitu bawah RM500 sebulan.

Pemuda PAS kongsi kemelut penjaga gol T’ganu

KUALA TERENGGANU: Kemelut yang melanda penjaga gol pasukan Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli turut dikongsi bersama Dewan Pemuda PAS negeri sebagai tanda sokongan moral kepada pemain tersebut.
Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah melahirkan rasa dukacita dengan kemelut tersebut serta memberi suntikan semangat agar Sharbinee meneruskan karier dalam bidang bola sepak.

Katanya, sebagai pemain yang profesional Sharbinee perlu kuat semangat dan jadikan kemelut tersebut sebagai ujian bagi kemantapan diri.

“Kami, Pemuda PAS Terengganu datang untuk lawatan ziarah kepada Saudara Sharbinee yang sebelum ini pelbagai kemelut melanda penjaga gol (Terengganu) ini.
“Kita harap, dia kuat semangat sebagai pemain profesional, kemelut itu sebagai ujian dan jika ada rezeki Allah swt akan beri yang lebih baik, Insya Allah,” ujarnya ketika menziarahi Sharbinee di rumah ibunya di Kampung Pulau Duyung, semalam.

Hadir sama mengikut rombongan tersebut Timbalan Ketua Pemudanya, Ustaz Ridhuan Hasyim, Setiasaha Pemuda PAS Terengganu, Mohamad Zaidan Abdullah dan Pengarah MTD Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang.

Sharbinee berkata tuduhan menjual perlawanan oleh pihak terbabit terhadapnya adalah tidak benar serta berunsur fitnah.

“Saya sendiri yang pergi jumpa pihak SPRM minta siasat kes (jual perlawanan) ini setelah ada orang tuduh saya buat begitu…tapi saya tidak pernah buat seperti yang dituduh.

“Ini macam fitnahlah kepada saya dan saya tidak pernah buat perkara (jual perlawanan) itu. Saya telah bersihkan nama dan SPRM telah sahkan,” ujarnya.

Menurutnya, pelbagai pihak memberi tawaran untuk menyertai pasukan lain seperti Pahang, Selangor, Perak dan lain-lain lagi.

Namun, kata beliau masih berfikir panjang dan sebaiknya masih mahu bersama pasukan Terengganu demi masa depan bidang tersebut.

Pada 18 September lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli tidak bersalah atas tuduhan jual perlawanan dan kes ditutup.

(Gambar: Mohd Nor Hamzah menyampaikan hamper kepada Mohd Sharbinee.)

Anti-monopoli: Negeri dapat manfaat besar

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan teras bina daya saing dalam belanjawan 2013 Pakatan Rakyat, dapat memulihkan pertumbuhan ekonomi negara termasuk di peringkat negeri.
Teras itu yang mewujudkan pengubalan undang-undang anti-monopoli dan Suruhanjaya Anti Monopoli demi menggalakkan pertumbuhan syarikat bersaiz sederhana mampu membuka lembaran baru pertumbuhan ekonomi di negara ini.

Menurutnya juga, penubuhan syarikat-syarikat minyak PetroSabah, PetroSarawak, PetroTerengganu dalam menyertai pembangunan lapangan kecil (marginal field) yang kini diboloti oleh syarikat kroni dapat meningkatkan lagi hasil sesebuah negeri.

Jelas Salahuddin, melalui unjuran, sekiranya Pakatan Rakyat dapat mengambil alih pemerintahan di Putrajaya, sebanyak RM20 bilion pendapatan diperolehi dari hasil royalti bagi empat buah negeri.

Secara puratanya setiap negeri memperolehi RM5 bilion untuk setiap tahun.

"Mungkin tidak rasmi bagi pihak Negeri Kelantan saya rasakan dengan unjuran tersebut kita dapat banyak manfaat dan di antaranya adalah pembinaan lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dapat dipercepatkan.

"Namun dengan dasar yang ditengahkan dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang mana kita akan melantik beberapa anak syarikat kerajaan negeri untuk menceburi industri minyak dan gas dalam pembangunan lapangan kecil adalah satu yang terbaik," kata beliau ketika perbentangan belanjawan di Parlimen semalam.

Tambah beliau lagi, kalau monopoli ini dapat dipecahkan di antara syarikat-syarikat gergasi dengan syarikat anak-anak kerajaan negeri dalam industri tersebut, beliau pasti pembangunan peringkat negeri dapat dipercepatkan perlaksanaannya.

"Kita akan galakkan peringkat negeri menubuhkan syarikat berkaitan bagi menceburikan diri dalam bidang industri gas dan minyak.
"Skim khusus agar Petronas menaungi syarikat-syarikat ini supaya dapat bersaing di peringkat antarabangsa salam tempoh 10 tahun," sambung beliau lagi.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga turut menyatakan terdapat banyak kawasan yang mempunyai lapangan kecil (marginal field) di antaranya di Negeri Johor dan beliau akan mengemukakan bukti menerusi peta pada perbahasan beliau minggu hadapan di Parlimen.

Royalti: TG Nik Aziz hargai usaha anak muda


KOTA BHARU: Biar pun masih berehat di wad Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, namun  Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersemangat menyokong anak-anak muda menuntut hak ke atas royalti minyak.

Petang tadi beliau memakai t-shirt R sebagai menyokong dan menghargai kegigihan anak-anak muda berjuang menuntut royalti.

Baju tersebut dibawa aktivis Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R) diketuai Naib Presiden, Dr Syed Khalid Abdullah ketika menziarahi Menteri Besar.

Kelihatan sama di wad, anaknya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat.

Dr Syed Khalid berkata, sokongan padu Tuan Guru Nik Abdul Aziz menaikkan semangat anak-anak muda berjuang menuntut royalti minyak.

“Biar pun beliau sedang keuzuran dan sedang berehat di wad, namun masih bersemangat memberi nasihat kepada kami untuk terus memperjuangkan hak rakyat Kelantan yang dinafikan sejak sekian lama.

“Malah kesediaan Menteri Besar untuk hadir pada Ceramah Mega R Tuntut Royalti Putrajaya yang akan di Shah Alam malam 2 Oktober ini amat kami hargai,” katanya di sini.

Program tersebut akan menampilkan pemimpin utama Pakatan Rakyat termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Selain itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan bekas Bendahari Umno Sabah, Tan Sri Ibrahim Menudin.

Wakil-wakil dari Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sabah dijemput menghadiri program berkenaan. Rombongan R dari Kelantan akan bertolak pagi 2 Oktober.

Dr Syed Khalid berkata, Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga meminta rakyat Kelantan hadir beramai-ramai pada program berkenaan sebagai memberi sokongan kepada perjuangan menuntut royalti.

“Kata Tok Guru kalau mereka tidak ada peluang hadir hendaklah doakan semoga perjuangan menuntut royalti menjadi kenyataan.

“Selain itu beliau juga menyarankan orang ramai mengibar bendera R atau tampal sticker pada kenderaan masing-masing,” katanya.

Kajian rakyat yakini PR selari dengan realiti

KUALA LUMPUR: Kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya  Universiti Malaya (UMCEDEL) menunjukkan keyakinan kepada Pakatan Rakyat meningkat selari dengan realiti yang berlaku di luar sana.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, melihat suasana di peringkat rakyat ternyata wujud gelombang perubahan yang sangat besar khususnya kepada Pakatan Rakyat.

Cuma, katanya, rakyat sedang tertunggu-tunggu bila parlimen akan dibubarkan memandangkan 'mood' perubahan rakyat telahpun berlaku.

"Perubahan rakyat dari semasa ke semasa telah berlaku, malangnya mereka tidak boleh menterjemahkan perubahan itu sebab parlimen belum dibubarkan," katanya kepada Harakahdaily.

Tuan Ibrahim percaya, antara faktor besar yang mendorong kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rayat termasuklah perasaan membuak-buak untuk membuat perubahan selepas memberi peluang 55 tahun kepada BN mentadbir negara.

Di tambah  pula, katanya kejayaan yang ditunjukkan oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah turut mempengaruhi negeri- negeri lain untuk turut sama membuat perubahan.

Penyelewengan yang sangat ketara berlaku misalnya dalam kes NFC, katanya cukup memberi kredit kepada Pakatan Rakyat apabila rakyat cukup terkesan kerana ia membabitkan dana rakyat.

"Berbanding isu Anwar naik jet mewah, rakyat tidak terkesan sebab jet itu adalah hak peribadi bukannya duit rakyat. Ini bukan isu teras. NFC duit rakyat. Ini mempengaruhi persepsi pengundi," katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menasihati kerajaan PAS Kelantan agar memberi perhatian terhadap kajian tersebut yang melaporkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan itu agak menurun.

"Bagi kita kajian ilmiah ini perlu diambil penting untuk buat agenda bertindak seterusnya, dan Pakatan Rakyat pula jangan ambil selesa dengan kajian ini dan perkemaskan strategi untuk capai matlamat kita," katanya.

Kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya menunjukkan sokongan ke atas Pakatan Rakyat meningkat sekarang berbanding dengan kajian yang dibuat pada awal tahun ini.

Kajian terbaru yang bertajuk Pola Pengundian Menjelang Pilihanraya Umum ke-13 dibuat pada 1 -16 September 2012  di seluruh Semenanjung Malaysia.

Parti mana akan menang dalam PRU-13, kajian Mac - April menunjukkan keyakian kepada BN akan menang adalah 49% sedangkan kajian terbaru menunjukkan ianya menurun kepada 44% sahaja.

Wednesday, September 26, 2012

Presiden PAS terima kunjungan wakil pusat kajian Turki

 
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima kunjungan Setiausaha Agung Pusat Kajian Sosial dan Ekonomi (ESAM), Prof Dr Arif Ersoy dari Turki.

Pertemuan singkat itu berlangsung di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut petang semalam.

Dalam pertemuan itu, Tuan Guru Abdul Hadi berkongsi perkembangan politik semasa di negara ini.

Ianya termasuk kejayaan PAS selaku parti Islam memerintah di tiga negeri selepas Pilihan Raya Umum 2008 iaitu Kelantan, Kedah dan sementara di Perak sebelum dirampas semula oleh BN pada 2009.

Selain itu, dua lagi negeri iaitu Selangor dan Pulau Pinang juga dimenangi rakan PAS dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP.

Sementara itu, Dr Arif Ersoy yang dalam lawatan singkat beliau ke Malaysia melahirkan rasa bangga dengan pencapaian PAS sebagai sebuah parti Islam serta melahirkan keyakinan PAS dan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat dapat memerintah Malaysia pada pilihanraya yang akan datang.

Dr Arif Ersoy juga melahirkan kegembiraan beliau apabila berpeluang bertemu dengan Abdul Hadi walaupun dalam pertemuan singkat.

Dr Arif Ersoy juga turut menyatakan minat untuk mengunjungi negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat terutamanya PAS pada kunjungan beliau akan datang.

Bagi Bob, hanya PAS harapan rakyat

(Bob Lokman bercakap dengan penduduk Jelawat baru-baru ini)

KOTA BHARU: Rakyat di negara ini memilih perjuangan PAS memandangkan hanya parti itu harapan untuk rakyat di negara ini berlindung.

Artis terkenal, Bob Lokman berkata sama ada golongan artis, para cendikiawan termasuk dirinya memilih parti itu kerana hanya PAS sebuah parti yang berlandaskan Islam.

“Malah ianya (PAS) kemuncak pada perjuangan Islam di negara kita. Hanya parti ini yang boleh diharapkan untuk kita berlindung serta membawa kita ke jalan yang benar,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Jalinan Aidilfitri anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, di Dataran Ilmu, Cabang Empat Gunong, di sini, baru-baru ini.

Turut berucap pada majlis itu, Adun Jelawat Abdul Aziz Kader.

Bob Lokman adalah antara artis yang awal menyertai PAS. Ketika itu, para artis menganggap PAS akan menyekat segala kegiatan artis.

Namun Bob Lokman buktikan, terdapat tempat yang baik di dalam PAS iaitu melalui pendekatan yang dibenarkan Islam.

Selepas itu, berbondong-bondong golongan itu menyertai PAS.

Menurut Bob lagi, setiap hari ada bisikan menyusuk ke telinganya supaya kembali pada zaman kegemilangannya sebagai seorang artis sama ada sebagai penulis lirik atau seumpamanya.

Menurutnya, namun seboleh mungkin beliau menolak kerana tidak mahu lagi terpalit dengan dunia berkenaan.

“Siapa tidak mahu sebuah lirik lagu sampai berbelas ribu, ada peminat, tetapi demi Islam saya akan tetap bersama PAS," tegas beliau di majlis itu

Wakil Aceh harap PAS jadi parti disegani serantau

KOTA BHARU: PAS diharap menjadi sebuah parti Islam yang disegani di rantau ini kerana parti itu yang memperjuangkan Islam sebagai sumber kekuatan umat Islam di negara lain.

Ahli Dewan Perwakilan Aceh, Ramli Sulaiman berkata semoga PAS yang telah lama mentadbir Kelantan terus maju kerana parti itu menjadi contoh umat Islam di negara lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili anggota rombongan Dewan Perwakilan Aceh, di Bilik Gerakan, di Kota Darulnaim, di sini semalam.

Seramai 14 orang anggota rombongan tersebut melakukan lawatan muhibah ke Kelantan selama empat hari.

Dalam tempoh itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah yang mewakili Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Amar ketika berucap pada majlis itu memberitahu Aceh dan Kelantan merupakan dua buah negeri yang mendapat jolokan Serambi Makkah di Malaysia dan Indonesia.

“Kita ni serumpun walaupun di negara lain, mempunyai persamaan dalam banyak perkara, budaya, makanan, percakapan,” ujarnya.




Selamat Menunaikan Ibadah Haji 1433H


Rapid Pengerang: Salahudin cabar Abdul Ghani debat


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub hari ini mencabar Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berdebat dengan beliau berhubung isu pengambilan tanah rakyat untuk projek Rapid di Pengerang, Johor.

Menurutnya, Abdul Ghani perlu  menjelaskan tindakan kerajaan negeri mengambil tanah rakyat melibatkan 10 buah kampung tradisi bagi pembangunan projek rapid itu.

"Ini satu peluang terbaik untuk kita mendengar penjelasan kerajaan negeri kenapa mereka mengambil tanah melibatkan 10 buah kampung sedangkan terdapat tanah kosong yang boleh menampung projek tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Terdahulu Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pada satu sidang media diparlimen telah mencabar Salahuddin berdebat berhubung isu tersebut.

Mengulas perkara itu, Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Azalina perlu berdebat dengan Pengerusi NGO Pengerang Perihatin, Anis Afida Mohd Azli.

"Kalau Azalina hendak berdebat biar dia berdebat dengan Anis Afida, baru setanding perempuan dengan perempuan.

"Saya lebih berminat untuk berdebat dengan Abdul Ghani kerana beliau mempunyai jawapan berhubung kenapa tanah 10 buah kampung itu diambil dan saya harap Abdul Ghani sudi menyahut cabaran saya ini," sambung beliau lagi.

Sebelum itu, Badan Bertindak Pengambilan Tanah Pengerang (Mantap) mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Johor yang tidak menggunakan tanah miliknya sendiri bagi tujuan pembangunan loji bersepadu penapisan, minyak dan petrokimia (Rapid).

Salahuddin yang juga merupakan Pengerusi Mantap, turut mempersoalkan tanah milik kerajaan negeri yang terletak hanya 10 kilometer dari tanah penduduk itu lebih luas dan tiada sebarang pembangunan dilakukan.

PAS gesa wujud peraturan hubungan antarabangsa

KUALA LUMPUR: PAS menggesa kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif dengan membuat peraturan berkaitan hubungan antarabangsa agar ia dijalinkan dengan lebih baik.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menegaskan Malaysia melalui OIC perlu menangani isu tersebut melalui tindakan diplomatik agar penghinaan terhadap agama lain tidak berulang.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW ekoran penerbitan filem Innocent of Islam di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata pihaknya kecewa dengan respons yang diberikan wakil kedutaan Amerika Syarikat yang dilihat seolah-olah cuba melindungi rakyatnya dengan mengatakan tiada undang-undang yang boleh bertindak ke atas pembuat filem tersebut.

"Keadaan itu menunjukkan Amerika Syarikat tidak menghormati agama lain dan menunjukkan kelemahan negara tersebut berhubung sensitiviti agama-agama lain," tegas beliau.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata di sebalik kebangkitan umat Islam menentang penghinaan tersebut, terdapat adab-adab yang digariskan Islam apabila berhadapan perkara sedemikian.

Katanya, penentangan dan bantahan itu perlu menumpukan kepada pesalah yang menerbitkan filem tersebut, dan tidak membabitkan orang yang tidak bersalah.

"Selain itu, bantahan yang dilakukan juga perlu selaras dengan apa yang dilakukan, jangan sampai melanggar perjanjian Islam dengan bukan Islam yang menghormati semua pihak, termasuk wakil-wakil kerajaan agar tidak diganggu biarpun dengan negara yang bermusuh dengan kita," tegas beliau lagi merujuk kejadian duta Amerika Syarikat yang dibunuh di Pakistan.

Sebelum itu, usul berkaitan penghinaan Islam melalui filem Innocent of Islam itu dikemukakan ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Xpresi Cinta Nabi S.A.W & Kuliah Haraki


Rapid Pengerang: Apa rahsia disebalik ambil tanah rakyat


Rapid Pengerang: Mantap persoal ambil tanah penduduk

KUALA LUMPUR: Badan Bertindak Pengambilan Tanah Pengerang (Mantap) mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Johor yang tidak menggunakan tanah miliknya sendiri bagi tujuan pembangunan loji bersepadu penapisan, minyak dan petrokimia (Rapid).

Pengerusi Mantap, Salahuddin Ayub berkata tanah milik kerajaan negeri yang terletak hanya 10 kilometer dari tanah penduduk itu lebih luas dan tiada sebarang pembangunan dilakukan.

"Mengapa kerajaan negeri tidak menggunakan tanah tersebut untuk projek Rapid ini, sebaliknya mengambil tanah penduduk yang mengakibatkan mereka kehilangan segala-galanya," soal beliau pada sidang media, di lobi parlimen, hari ini.

Tegas beliau, Mantap tidak menolak sebarang pembangunan yang diinginkan kerajaan, namun harus melihat kepentingan dan hak penduduk yang terlibat dengan pembangunan itu.

Katanya, tiada sebarang faedah dinikmati penduduk dengan pembangunan tersebut apabila mereka terpaksa meninggalkan kampung yang telah diterokai lebih 100 tahun.

Ahli parlimen Kubang Kerian itu juga berkata, beliau melalui Mampat yang dipengerusikannya itu akan berjuang bagi memastikan penduduk yang terlibat mendapat jaminan yang lebih baik dari kerajaan negeri.

Sementara itu, Penggerak Institut Peduli Rakyat, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin, berkata setiap pembangunan yang dilakukan sepatutnya meningkatkan kehidupan masyarakat.

Jika masyarakat tidak didahulukan, tegas beliau pembangunan yang dijalankan itu tidak memberi faedah kepada rakyat.

"Alasan pembangunan untuk memberi faedah kepada penduduk. Dalam hal ini, mana faedah yang mereka dapat sebab mereka sudah tidak menetap di situ?" soal beliau.

Projek Rapid Petronas tersebut membabitkan tanah seluas 22 500 ekar yang melibatkan 10 buah kampung dengan penduduk seramai 28 050 orang.

Ekoran terdapat tentangan berkaitan projek tersebut, PAS Pusat bertindak menggerakkan satu task-force yang dinamakan Mantap sejak dua minggu lalu bagi memperjuangkan isu tersebut.

Pada sidang media itu juga, Salahuddin menerima memorandum  daripada sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuang isu Rapid, Pengerang Prihatin, oleh pengerusinya, Anis Afida Mohd Azli.

Memorandum yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengkaji dan menangguhkan projek tersebut bagi meneliti kembali kepentingan penduduk terbabit.

KARNIVAL BERTANI SATU IBADAH DI KUALA KRAI - 25.SEPT.2012















Pemuda PAS kecam wujud krisis air yang tidak ada

(Antara pelakun iklan krisis air dengan baldi dan bekas air masing-masing)

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam tindakan tidak beretika sebuah syarikat penerbitan iklan yang cuba menerbitkan iklan mengenai krisis air di negeri Selangor.

Syarikat tersebut telah mengadakan sesi pengambaran iklan tersebut di salah sebuah pangsapuri di Petaling Jaya.
Pergambaran berskala besar dengan melibatkan beratus pelakun tambahan yang diberikan upah RM50 setiap orang itu dibantah penduduk tempatan yang menganggap ia menganggu mereka.
Mereka melakunkan seolah-olah kekecohan sedang berlaku ekoran ketiadaan air. Ia selaras dengan kempen BN yang cuba mengujudkan suasana seolah-olah Selangor sedang diancam krisis air.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan dalam kenyataanya berkata, pihaknya juga mengutuk sekeras-keraskan tindakan syarikat penerbitan iklan tersebut kerana cuba bersekongkol dengan ‘musuh-musuh’ kerajaan negeri Selangor untuk mensabotaj dan memburukkan imej kerajaan negeri Selangor dengan isu air ini.

Mereka turut berasa kecewa kerana masih ada lagi pihak-pihak yang masih tidak boleh menerima penjelasan dan tawaran penyelesaian isu air ini daripada pihak kerajaan negeri Selangor sebaliknya masih lagi berterusan menaburkan fitnah hanya kerana dendam politik yang tidak berkesudahan.

Oleh itu, katanya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meminta kerajaan negeri Selangor supaya dapat mengambil tindakan sewajarnya termasuk tindakan undang-undang sekiranya perlu terhadap syarikat penerbitan iklan tersebut supaya tidak meneruskan hasrat mereka untuk menerbitkan filem iklan tersebut yang sudah pasti dipenuhi dengan pembohongan dan fitnah terhadap kerajaan negeri Selangor.

Filem masalah air: Tak boleh dedah klien

(Pergambaran filem iklan 40 saat dengan skala pergambaran besar)

PETALING JAYA: Syarikat produksi filem catuan air Selangor berhadapan tindakan saman oleh pelanggan mereka sekirannya mereka mendedahkan pihak yang membiayai projek perfileman tersebut.

Syarikat produksi tersebut semalam menjalankan penggambaran filem yang kononnya memaparkan kelemahan Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani isu air di negeri terbabit.

Menurut jurucakap produksi terlibat, Chong Wai Leng kepada media di set penggambaran filem berdurasi 40 saat itu, larangan tersebut terdapat dalam kontrak yang dipersetujui oleh pihak syarikat dan pelanggan yang mahu menerbitkan filem tersebut.

“Kami dah tandatangan kontrak yang melarang kami berikan maklumat (nama pelanggan), jika kami langgar kontrak tersebut kami akan disaman.

“Kami menjalankan kerja kami secara profesional, saya harap anda memahami situasi kami,” kata Wai Leng.

Beliau mula menyedari kehadiran wakil media di lokasi penggambaran tersebut apabila penggambaran yang dijalankan secara rahsia itu mula didatangi beberapa wartawan dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian tengahari semalam.

(Antara babak yang dilakunkan...lihat siapakah pelakunnya)

Selain itu, beliau turut meminta wakil media yang berada di situ agar meninggalkan lokasi penggambaran filem itu.

TV Selangor yang berada di lokasi penggambaran sejak awal pagi semalam mendapati set penggambaran berbajet tinggi itu dilengkapi sekurang-kurangnya tiga buah jentera kren, sebuah lori tangki air, sebuah ‘caravan’, sebuah tandas bergerak tiga pintu, sebuah generator besar dan beberapa kenderaan lain berupa lori dan van.

Beberapa khemah besar turut dibina bagi keselesaan para pelakon dan krew penggambaran makan dan berehat.

Penggambaran yang dijalankan di Pangsapuri Happy Mansion itu melibatkan kira-kira 300 pelakon dengan bayaran didakwa RM50 setiap seorang.- Selangorku.

Kantoi..pergambaran iklan air timbulkan kemarahan


(Para pelakun yang terlibat dalam pergambaran filem iklan masalah air)

PETALING JAYA: Kantoi....itulah yang boleh dikatakan kepada apa yang dikatakan perancangan BN untuk memalukan kerajaan negeri Selangor melalui filem 'krisis air' yang sedang dalam pergambaran.

Pelbagai pihak yang melihat berita dan video bagaimana penduduk sebuah pangsapuri dikecohkan sejak beberapa hari lalu dengan pergambaran mereka.

Lebih 50 pelakun digunakan untuk menggambarkan suasana kecoh kerana ketiadaan air di kawasan itu.

Ia selaras dengan drama yang cuba dipentaskan oleh BN untuk menggambarkan inilah yang bakal berlaku jika Pakatan Rakyat terus memerintah Selangor.

Padahal, secara realitinya, tidak ada sebarang masalah yang berlaku di negeri Selangor sekarang bahkan semua rakyat Selangor mendapat air percuma untuk 20 meter padu pertama.

"Puak-puak BN ni dia masih kebelakang 10 tahun....sekarang bukan cam zaman dulu lagi dah zaman IT oi! Apa ko rancang sebelum ko siar kat tv lagi dah kantoi seluruh Malaysia dah tau ha ha ha," tulis seorang pembaca, Abdul Rupar Abdul Wahab, terhadap terhadap video yang disiarkan oleh Malaysiakini.

Pembaca juga kesal dengan pelakun yang terlibat dalam pembikinan filem yang tidak betul ini.

"Jangan kerana RM50 kita jual maruah kita pada pihak yang tak bertanggungjawap....," tulis Michael Wong.

Selain pembaca, penduduk pangsapuri berkenaan adalah pihak yang paling kesal dengan apa yang berlaku.

(Notis tulisan tangan yang ditampal untuk memohon maaf akibat gangguan pergambaran)

Melalui pergambaran filem yang dikatakan dalam bentuk iklan ini, kedamaian penduduk pangsapuri ini terganggu sejak 5 pagi lagi apabila krew-krew pergambaran mula membuat bising di kawasan mereka.

"Sejak 5 pagi, mereka sudah ganggu tidur penduduk di sini,"kata seorang penduduk pangsapuri itu.

Penduduk di sini juga terpaksa meletakkan kenderaan mereka di luar kawasan itu kerana tempat letak kereta mereka digunakan untuk pergambaran berskala besar ini.

Hanya sekeping nota diletakkan untuk memohon maaf kepada penduduk tentang pergambaran ini.

Royalti: Kelantan ada hak batal perjanjian - peguam

KOTA BHARU: Seorang peguam, Muhammad Faizal Che Yusof berhujah kerajaan Kelantan berhak membatalkan dan menamat perjanjian dengan Petronas kerana ada perlanggaran undang-undang kontrak.

Beliau berkata, secara jelas berlaku rescind the contract apabila Petronas gagal membayar royalti sebagaimana dipersetujui dalam perjanjian yang ditandatangani 9 Mei 1975.

Katanya, Petronas telah memecah janji atau repudiate the contract.

“Justeru itu pihak-pihak iaitu Petronas dan Kelantan dalam hal ini tiada lagi sebarang tanggungjawab sebagaimana ditetapkan dalam perjanjian 1975.

“Dengan erti kata lain, Petronas tiada lagi hak untuk memasuki kawasan perairan dan daratan Kelantan untuk meneroka sumber minyak,” katanya di sini.

Pada 2, 3 dan 4 Oktober ini akan berlangsung perbicaraan kes saman kerajaan Kelantan terhadap Petronas di Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Sempena perbicaraan tersebut Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R) akan mengadakan konvoi beramai-ramai ke Putrajaya.

Muhamad Faizal seorang peguam hak asasi berkata, kerajaan Kelantan boleh memohon pengisytiharan mahkamah terhadap ketidakesahan perjanjian tersebut.

Ini kerana kata beliau undang-undang paling asas dalam sesuatu kontrak menyatakan bila mana salah satu pihak gagal memenuhi tanggungjawab dalam perjanjian, ia dikatakan telah pecah kontrak atau repudiate.

“Tindakan ini membangkitkan hak kepada pihak yang satu lagi untuk rescind the contract iaitu mengambil tindakan untuk membatalkan terus perjanjian yang dipersetujui,” katanya.

Menurutnya kerajaan Kelantan berhak untuk memutuskan dengan apa jua cara bagi meneroka dan mencari gali minyak di kawasan daratan dan perairan Kelantan dengan cara sendiri.

Tarikh PRU13: Buat terus jangan sekadar cakap

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kecewa dengan sikap kerajaan yang masih meletakkan 'penetapan tarikh pilihan raya' hanya sebagai cadangan.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya DPPM, Mohd Sany Hamzan berkata, kenyataan terbaru Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam juga masih bersifat awang-awangan sedangkan kerajaan BN mempunyai kuasa memutuskan perkara itu.

Beliau mengulas kenyataan Mohamed Nazri semalam supaya pilihan raya umum diadakan hanya selepas tempoh mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi lima tahun.

Bagaimanapun kenyataan itu menurut Nazri hanya bersifat cadangan dan belum tentu akan dilaksanakan.

"Suatu fenomena yang cukup mengejutkan dan mengaibkan. Dengan kuasa yang ada di tangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional sekarang ini, maka kenapa masih bertangguh lagi untuk melaksanakannya," kata Mohd Sany.

Menurutnya, isu penetapan tarikh pilihan raya sehingga kini menjadi ‘talian hayat’ untuk Umno dan Barisan Nasional melaksanakan eksperimen sokongan rakyat kepada mereka.

Lebih-lebih lagi katanya, kenyataan tidak bertanggungjawab Perdana Menteri baru-baru ini yang cukup seronok melihat orang ramai berspekulasi tentang tarikh pilihanraya adalah cukup biadap dan amat memalukan.

Baginya, Umno dan Barisan Nasional telah berjaya melahirkan insan-insan pemimpin yang berjiwa pengecut dan penakut, yang hanya mengangguk bersetuju dengan arahan ‘bos’ mereka walaupun perkara yang dipersetujui itu berlawanan dengan hasrat dan keperluan rakyat.

"Sebenarnya (mereka) tidak ubah seperti ular yang bercabang lidahnya.

"Pepatah orang dahulu kata “ di mana ada kemahuan di situ ada jalannya”, perlu dijadikan misi utama pemimpin Umno dan Barisan Nasional untuk merealisasikan hasrat melakukan perubahan dan pembaharuan di dalam sistem pilihanraya di negara ini," katanya.

Tuesday, September 25, 2012

PRK: Calon pro-mahasiswa diugut bunuh


KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) mendakwa enam calon yang menyertai pilihan raya kampus (PRK) telah menerima ugutan bunuh dan culik.
 Calon daripada pro-mahasiswa itu dipercayai diugut oleh pihak yang tidak dikenali dengan menghubungi keluarga calon terbabit di kampung.

Jurucakap Pro-M UKM, Ahmad Afif Zulkifli, mendakwa ugutan tersebut diadukan calon-calon terbabit kepada beliau sejak pagi tadi.

Beliau percaya ugutan tersebut dilakukan bagi menimbulkan rasa takut calon yang kemudiannya akan bertindak menarik diri dari bertanding dalam PRK.

Afif juga berkata, dua laporan polis sudah dibuat berhubung ugutan tersebut, satu di Kedah dan satu lagi di Pulau Pinang.

"Kami melihat ia satu perkara serius yang perlu mendapat perhatian pihak bertanggungjawab. Kita bimbang dengan keselamatan calon-calon ini," tegas beliau pada sidang media di lobi parlimen, petang tadi.

Selain ugutan tersebut, Afif turut berkata beberapa kain rentang yang mewakili calon-calon daripada Chinese Community  Council (CCC) dan GMUKM disabotaj dengan menggunakan cat merah.

Dakwanya lagi, jika dilihat modus operandi tersebut, ia mirip modus operandi yang dilakukan Umno dalam siri simbahan cat ke atas bas merdeka rakyat.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit dengan sabotaj tersebut.

Daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, tujuh kerusi telah dimenangi calon pro-mahasiswa tanpa bertanding, yang memerlukan hanya lapan kerusi untuk dimenangi pro-mahasiswa bagi memperolehi majoriti bagi menguasai PRK yang akan bermula esok.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria, berkata ugutan bunuh dan culik yang berlaku ini adalah satu kejadian pertama kali dalam sejarah PRK.

"Ugutan ini satu perkara biasa bagi calon pro-mahasiswa ini.  Namun, tidak pernah ada dalam sejarah ugutan bunuh dan culik. Ini kali pertama dan kita harap pihak polis segera melakukan siasatan," tegas beliau pada sidang media yang sama.

Turut serta pada sidang media itu ialah Presiden Ikatan Study Islam UKM, Mohd Azan Safar dan beberapa aktivis pelajar yang lain.

Royalti: MP PAS bawa usul ke parlimen lagi


Aishah akan teliti jika ditawarkan bertanding

BUKIT MERTAJAM: Selebriti tanahair, Wan Aisyah Wan Ariffin atau Aishah berkata beliau akan meneliti, mengkaji serta solat istiqarah terlebih dahulu sekira kepimpinan PAS menawarkan secara rasmi untuk dirinya bertanding atas tiket PAS pada pilihanraya umum akan datang.

Menurutnya, setakat ini memang ada suara menggajak untuk dirinya bertanding tetapi terpaksa menolak dengan alasan belum bersedia kerana banyak lagi perkara yang perlu dipelajari daripada kepimpinan PAS terutamanya dari kepimpinan Dewan Muslimat tentang dunia politik.

"Saya tidak melakukan tindakan terburu-buru untuk memberikan jawapan selagi ilmu belum penuh dalam bidang politik.

"Masih banyak saya kena belajar sebab berpolitik bukan mudah sepertimana yang disangkakan.

"Justeru itu, jika ada tawaran secara rasmi pun saya tetap akan mengkaji, meneliti dan solat istiqarah kerana bimbang tanggungjawabnya amat berat, " terangnya ketika menjawab persoalan peserta dan peminatnya dalam program Hi-Tea bersama Aisyah di Padang Awam, Taman Alma Jaya, Bukit Mertajam semalam.

Aishah, bekas pelajar Sains Politik dari Universiti Auckland, New Zealand disebut-sebut akan bertanding atas tiket PAS di sebuah kawasan Parlimen di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada sebarang kata putus dari pihaknya atau PAS walaupun beliau mempunyai peluang besar di sana.

Menurut Aishah, tekadnya hanya satu  ketika mengisi borang keahlian PAS, iaitu untuk menjadi jentera PAS untuk memastikan PAS melangkah ke Putrajaya.

Sebagai golongan artis jelasnya, kemasukan ke dalam PAS sekadar menjadi daya tarikan
supaya masyarakat yang selama ini merupakan peminatnya turut serta ke program yang PAS anjurkan.

"Bila mereka (peminat) datang bertemu di majlis anjuran PAS sekaligus memberi 'point' pada PAS itu sendiri.

"Tambahan lagi bila saya ceritakan pengalaman pahit yang pernah dilalui setelah aduan kepada Menteri yang terlibat dengan Hal Ehwal Wanita tidak diendahkan pasti ada yang simpati dan mengangap Barisan Nasional  (BN) bukan tempatnya bergantung harap sebab orang yang ada nama pun tidak diberikan perhatian apatah lagi masyarakat biasa," ceritanya pada ratusan hadirin.


(Antara peminat dan orang ramai yang datang berdialog dengan Aishah)

Aisyah yang terkenal dengan lagu 'Janji Manismu' di era 90 an menambah, kebangkitan masyarakat tanpa kira Melayu, Cina dan India membuktikan Pakatan Rakyat sudah bersedia mengambil alih pemerintahan dari pemerintahan yang zalim dan tidak mengambil peduli kesengsaraan rakyat bawahan.

Peluang itu harus diambil kerana lagi lama BN memerintah, sambungnya, rakyat bertambah miskin, harga barangan melambung berkali ganda dan hak rakyat dianak tirikan.

Turut sama hadir ke program anjuran Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Bukit Mertajam dengan kerjasama PAS Cawangan Taman Alma Jaya itu ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri, Ustazah Rahmah Mat Isa, Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir, Datin Siti Fatimah Osman, Ketua Dewan Pemuda PAS Bukit Mertajam, Norazman Ishak, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Bukit Mertajam, Puan Noriah, Timbalan YDP PAS Bukit Mertajam , Mohd Bakar Awang dan Ketua PAS  Cawangan PAS Alma Jaya, Rosli Hasan.

Rashid Ghannushi: Memberi imej baru kepada Tunisia


(Rachid Ghannouchi ketika diwawancara oleh Al Jazeera)

TUNIS: Tunisia adalah tempat di mana segalanya bermula. Tindakan seorang lelaki terdesak mencetuskan revolusi dan menjadi inspirasi kepada gelombang perubahan di seluruh dunia Arab.

Tetapi dua tahun selepas Mohamed Bouazizi membakar dirinya, ke manakah hala tuju Tunisia sekarang?

Sudah pastinya demokrasi adalah lebih baik: buat pertama kalinya dalam lebih daripada empat dekad rakyat membuang undi dalam proses yang bebas dan adil yang melantik presiden dan ahli himpunan yang baru.

Tetapi rundingan untuk menulis perlembagaan baru yang akan mengabadikan nilai baru Tunisia bergerak seolah-olah  sangat perlahan.

Antara isunya adalah soalan tentang peranan agama, pembahagian kuasa dan status wanita - dan di tengah-tengah perbahasan tersebut adalah seorang lelaki.

Kepada ramai orang, Rashid Ghannushi adalah figur yang tidak menentu.

Beliau adalah  lawan diktator lama - dipenjarakan, diseksa dan dibuang kerana pandangan-pandangan beliau - falsafah dan pemikiran Islam yang progresif.

Sesetengah yang lain pula takut kepada partinya, Ennahda atau Parti Pembaharuan, adalah pelopor untuk Islamisasi yang menjalar di Tunisia, dan Ghannushi sendiri bekerja untuk khilafah Islam yang baru.

Sedang rusuhan merebak ke seluruh dunia Arab sebagai tindak balas kepada treler filem hina Nabi, Ghannushi berkongsi pandangan beliau mengenai reaksi ganas umat Islam, "Ia adalah berita yang amat menyedihkan bagi saya kerana perkara ini hanya membantu pihak anti-Islam.

"Sesiapa yang merancang jenayah ini dengan niat atau tanpa niat, mereka telah memusnahkan dialog antara Islam dan Barat, mereka membantu Islamofobia di dunia.

"Keganasan bukan penyelesaian, ia adalah sebahagian daripada masalah," Ghannushi memberitahu Talk to al-Jazeera.

"Kami mempunyai banyak masalah dalam kalangan orang Islam dan sesetengah negara Barat, tetapi keganasan bukan penyelesaiannya.


"Ia boleh meningkatkan masalah dan kesukaran dan ia mendesak ke arah peperangan antara bangsa dan agama. Ia bukan [sebahagian] politik Islam."

Beliau juga bercakap mengenai demokrasi, Islam dan masa depan Tunisia.

Anwar setuju terima bantuan jet peribadi


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu isu penggunaan jet peribadi ketika beliau ke Sabah dan Sarawak tidak pernah disembunyikan.

Malah beliau turut meminta Ahli Parlimen Batu, Tian Chua untuk mengambil gambar dan menyebarkannya melalui laman twitter agar semua rakyat tahu apa yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

"Penggunaan jet peribadi ini adalah bagi perjalanan saya dari Kuala Lumpur, Labuan, Kota Kinabalu dan Kuching seterusnya balik semula ke Kuala Lumpur.

"Saya melihat mereka memperbesarkan isu ini yang lebih kepada kepentingan peribadi mahupun wujud unsur rasuah, malah kita lebih telus memberitahu kepada semua dan perkara ini boleh disemak," jelasnya pada sidang media di lobi parlimen.

Anwar turut memberitahu, beliau telah menjelaskan perkara tersebut melalui laman twitternya sebelum ini.

"Mereka yang ingin mengetahui siapa pemilik jet tersebut boleh menghubungi Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia kerana semua maklumat pemilik ada dalam simpanan DCA," sambungnya lagi.

Anwar yang sebelum itu memberitahu, beliau dihubungi rakannya bahawa ada seorang individu yang sanggup memberi kebenaran beliau menggunakan jet peribadi tersebut.

"Jet peribadi ini diuruskan oleh rakan saya dan siapa pemiliknya mereka yang ingin mengetahui oleh hubungi DCA.

"Ia macam saya bila kereta rosak, maka kawan akan memberi pinjam kereta mereka begitulah urusan penggunaan jet tersebut," sambung beliau lagi.

Anwar yang secara berselorok menyatakan beliau hari ini juga terpaksa meminjam baju kot dari rakannya kerana tidak membawa bajunya sendiri serta menyifatkan itu perkara biasa apabila ada rakan ingin membantu.

"Saya tahu banyak isu akan ditimbulkan dan sebelum saya bersetuju untuk menerima bantuan jet peribadi itu, saya telah pastikan bahawa pemilik tersebut tidak mempunyai apa-apa kepentingan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

"Umno dan MCA cuba memperbesarkan isu ini adalah bertujuan untuk menakutkan ahli-ahli perniagaan agar tidak lagi membantui Pakatan.

"Tetapi mereka terus merahsiakan isu-isu rasuah, penyelewengan serta penggunaan dana awam untuk kepentingan mereka sendiri," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau juga turut memberitahu jika ada ruang dari ahli-ahli perniagaan yang ingin meminjam jet peribadi mereka beliau mengalu-alukannya terutamanya apabila hampir pilihanraya nanti.

"Kita perlukan helikopter di Sabah dan Sarawak termasuk jet peribadi untuk urusan kita (Pakatan) jika terlalu terdesak untuk ke mana-mana," tambah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi.

Monday, September 24, 2012

Pakatan persoal laporan audit diberi selepas bajet

KUALA LUMPUR: Pemimpin Pakatan Rakyat hari ini mempersoal tindakan kerajaan yang hanya akan menyerahkan laporan audit 2012 selepas pembentangan bajet 2013.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika diminta mengulas perkara itu turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan tersebut kerana kali kedua berulang selepas perkara sama berlaku tahun lalu.

Ahli parlimen Pokok Sena itu juga berkata, laporan audit 2012 itu amat perlu diberi lebih awal kerana perbahasan bajet 2013 akan lebih berkesan jika dirujuk bersekali dengan laporan audit tahun sebelumnya.

"Jadi atas sebab itulah laporan audit perlu diberi awal agar keberkesanan perbahasan itu menjadi lebih baik dan bukannya perbahasan tanpa asas yang kukuh.

"Ini memperlihatkan satu kelemahan kerajaan yang sangat ketara apabila laporan audit tidak dapat diserahkan kepada Ahli Parlimen pada masa hari yang sama bajet dibentangkan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz pagi tadi bahawa laporan audit hanya akan diserahkan seminggu selepas perbentangan bajet 2012 bagi memberi ruang untuk Ahli Parlimen membahaskan bajet tersebut.

Mengulas lanjut Mahfuz tidak menolak kemungkinan keengganan kerajaan memberikan laporan audit lebih awal itu kerana tidak mahu memperlihatkan perkara-perkara negetif terhadap kerajaan.

"Kerana mereka mahu menonjolkan pada bajet kali ini dengan tawaran gula-gula pilihanraya, maka mereka tidak mahu diganggukan oleh laporan audit yang bersifat negetif.

"Malah alasan Nazri untuk kita tidak mengganggu perbahasan bajet kali ini langsung tidak berasas, perbahasan paling berkesan adalah ia mesti disekalikan laporan Ketua Audit Negara dan bajet 2013," sambung beliau lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang. Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di parlimen hari ini turut membidas tindakan kerajaan itu.

"Bagaimana kita ingin berbahas bajet 2013 sedangkan kita tidak mengetahui perkembangan belanjawan pada tahun 2012. Laporan ini merupakan penilaian prestasi perlaksanan kerajaan oleh Ketua Audit Negara.

"Nampaknya Umno Barisan Nasional mahupun kerajaan cuba mengelak daripada ahli-ahli parlimen melihat (laporan) ini sehingga menangguhkannya selepas bajet dibentangkan," katanya.

Beliau turut memberi jaminan sekiranya Pakatan Rakyat memerintah, laporan tersebut akan diberi lebih awal sebelum bajet dibentangkan bagi memastikan keberkesanan perbahasan bajet tersebut.

Parlimen: Lajim tidak kekok sebagai ahli Bebas


KUALA LUMPUR: Menghadiri persidangan parlimen bagi sesi ini sebagai ahli Bebas, tidak memberikan sebarang rasa kekok kepada bekas ahli kabinet BN, Datuk Seri Lajim Ukin.

Beliau masih meneruskan tugasnya sebagai wakil rakyat biarpun kini sudah tidak berada dalam barisan kerajaan.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kekecewaan apabila terdapat ahli bebas yang tidak berdisiplin ketika mengikuti persidangan.

"Saya kecewa apabila ada ahli parlimen Bebas yang tidak berdisiplin apabila mengganggu ucapan ahli parlimen lain.  Sewajarnya, sebagai ahli parlimen bebas, perlu dengar penghujahan dari pihak kerajaan ataupun pembangkang.

"Kena ada disiplinlah, kalau kerajaan cakap yang baik, kita sokong.  Begitu juga kalau pembangkang hujah yang baik, kita juga sokong," kata beliau merujuk sikap ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kajian Tempatan itu berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily di pekarangan parlimen, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana ahli dewan mengamalkan disiplin ketika bersidang bagi memastikan isu-isu penting negara dapat dibincangkan dengan lebih baik.

Royalti: Najib diminta nyata pendirian dalam Bajet


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta menyatakan pendiriannya berkaitan pembayaran royalti minyak kepada Kelantan pada sesi pembentangan Bajet 2013 pada 28 Sept ini.
 Sekiranya Najib tidak berbuat demikian, Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R) akan mengadakan konvoi beramai-ramai ke Putrajaya.

Konvoi yang dinamakan Konvoi R Tuntut Royalti ke Putrajaya itu akan diadakan pada 2, 3 dan 4 Oktober ini sempena berlangsungnya perbicaraan kes saman kerajaan negeri Kelantan terhadap Petronas, di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.
Presiden R, Nazri Deraman, berkata konvoi berkenaan bertujuan mengajak rakyat Kelantan, Sabah dan Sarawak, Terengganu untuk sama-sama bangkit menuntut bayaran royalti daripada kerajaan.

"Konvoi itu akan bermula dari Kota Bharu ke Shah Alam, dan kemudiannya konvoi ke Putrajaya bagi menuntut pembayaran royalti kepada Kelantan yang tertunggak sejak 2004 yang dianggarkan RM 7 bilion," tegas beliau pada sidang media, di lobi parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, pihak R juga akan menyerahkan memorandum dan referendum yang mengumpulkan 150 000 tanda tangan rakyat Kelantan dalam usaha menuntut royalti minyak Kelantan.

Sebelum itu, R menyerahkan memorandum tuntutan mereka kepada ahli parlimen Pakatan Rakyat Kelantan, yang diwakili ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub; Dr. Hatta Ramli (Kuala Krai), Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Machang).

Sementara itu, dalam respons terhadap tuntutan R, Dr. Hatta berkata tindakan kerajaan tidak membayar royalti kepada Kelantan itu satu perkara yang tidak boleh dipertahankan.

"Apa yang dituntut mereka adalah perkara yang 'valid' dan berhemah. Tiada sebarang pelanggaran uneang-undang berkaitan tuntutan mereka," tegas beliau.

Hina Nabi: PAS kemuka usul di parlimen

KUALA LUMPUR: PAS telah mengemukakan usul bagi menangguhkan sidang meyuarat Dewan Rakyat bagi memberi laluan untuk membincangkan isu filem kontroversi, “Innocence of Muslims” yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Usul tersebut dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia Jumaat lalu, di bawah Peraturan Mesyuarat 18.

“Bahawa mesyuarat ini hendaklah ditangguhkan bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan dan membincangkan terhadap filem kontroversi “Innocence of Muslims” berdurasi 13 minit, yang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW," usul itu dipetik.

Salahudin yang juga Naib Presiden PAS berkata, sudah lebih dua minggu isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW melalui filem itu membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, yang bukan sahaja dibantah oleh orang Islam tetapi ianya turut dibantah oleh orang bukan Islam.

Menurutnya, filem tersebut telah menyinggung perasaan dan sensitiviti agama Islam kerana menyentuh batang tubuh Nabi Muhammad SAW.

"Satu tindakan peringkat antarabangsa perlu dilakukan dengan mengambil tindakan terhadap penerbit dan pengarah filem tersebut di mana Negara yang terlibat adalah Amerika Syarikat dan kerana sehingga kini satu desakan tidak dilakukan bagi menyatakan bantahan rasmi Negara-negara Islam dan terutamanya Malaysia.

"Oleh yang demikian, saya meletakkan kesungguhan Malaysia melalui Parlimennya untuk menyuarakan bantahan rasmi seterusnya memberikan notis batahan kepada Amerika Syarikat," katanya lagi.

Jumaat lalu, lebih 5,000 umat islam mengadakan himpunan di hadapan bangunan Kedutaan Amerika di ibu negara bagi menyatakan bantahan terhadap filem itu.

Himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia itu antara lain mendesak Amerika memohon maaf atas kebiadaban penerbit filem warganya itu dan menghentikan filem tersebut sekaligus mengambil tindakan tegas terhadap penerbitnya.

Rehlah Ke Pergau Pemuda PAS Dun Kemuning