Wednesday, September 26, 2012

Rapid Pengerang: Salahudin cabar Abdul Ghani debat


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub hari ini mencabar Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berdebat dengan beliau berhubung isu pengambilan tanah rakyat untuk projek Rapid di Pengerang, Johor.

Menurutnya, Abdul Ghani perlu  menjelaskan tindakan kerajaan negeri mengambil tanah rakyat melibatkan 10 buah kampung tradisi bagi pembangunan projek rapid itu.

"Ini satu peluang terbaik untuk kita mendengar penjelasan kerajaan negeri kenapa mereka mengambil tanah melibatkan 10 buah kampung sedangkan terdapat tanah kosong yang boleh menampung projek tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Terdahulu Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pada satu sidang media diparlimen telah mencabar Salahuddin berdebat berhubung isu tersebut.

Mengulas perkara itu, Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Azalina perlu berdebat dengan Pengerusi NGO Pengerang Perihatin, Anis Afida Mohd Azli.

"Kalau Azalina hendak berdebat biar dia berdebat dengan Anis Afida, baru setanding perempuan dengan perempuan.

"Saya lebih berminat untuk berdebat dengan Abdul Ghani kerana beliau mempunyai jawapan berhubung kenapa tanah 10 buah kampung itu diambil dan saya harap Abdul Ghani sudi menyahut cabaran saya ini," sambung beliau lagi.

Sebelum itu, Badan Bertindak Pengambilan Tanah Pengerang (Mantap) mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Johor yang tidak menggunakan tanah miliknya sendiri bagi tujuan pembangunan loji bersepadu penapisan, minyak dan petrokimia (Rapid).

Salahuddin yang juga merupakan Pengerusi Mantap, turut mempersoalkan tanah milik kerajaan negeri yang terletak hanya 10 kilometer dari tanah penduduk itu lebih luas dan tiada sebarang pembangunan dilakukan.

No comments: