BUKIT MERTAJAM:
Selebriti tanahair, Wan Aisyah Wan Ariffin atau Aishah berkata beliau
akan meneliti, mengkaji serta solat istiqarah terlebih dahulu sekira
kepimpinan PAS menawarkan secara rasmi untuk dirinya bertanding atas
tiket PAS pada pilihanraya umum akan datang.
Menurutnya, setakat
ini memang ada suara menggajak untuk dirinya bertanding tetapi terpaksa
menolak dengan alasan belum bersedia kerana banyak lagi perkara yang
perlu dipelajari daripada kepimpinan PAS terutamanya dari kepimpinan
Dewan Muslimat tentang dunia politik.
"Saya tidak melakukan tindakan terburu-buru untuk memberikan jawapan selagi ilmu belum penuh dalam bidang politik.
"Masih banyak saya kena belajar sebab berpolitik bukan mudah sepertimana yang disangkakan.
"Justeru itu, jika ada tawaran secara rasmi pun saya tetap akan
mengkaji, meneliti dan solat istiqarah kerana bimbang tanggungjawabnya
amat berat, " terangnya ketika menjawab persoalan peserta dan peminatnya
dalam program Hi-Tea bersama Aisyah di Padang Awam, Taman Alma Jaya,
Bukit Mertajam semalam.
Aishah, bekas pelajar Sains Politik dari
Universiti Auckland, New Zealand disebut-sebut akan bertanding atas
tiket PAS di sebuah kawasan Parlimen di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun,
sehingga kini tidak ada sebarang kata putus dari pihaknya atau PAS
walaupun beliau mempunyai peluang besar di sana.
Menurut Aishah,
tekadnya hanya satu ketika mengisi borang keahlian PAS, iaitu untuk
menjadi jentera PAS untuk memastikan PAS melangkah ke Putrajaya.
Sebagai golongan artis jelasnya, kemasukan ke dalam PAS sekadar menjadi daya tarikan
supaya masyarakat yang selama ini merupakan peminatnya turut serta ke program yang PAS anjurkan.
"Bila mereka (peminat) datang bertemu di majlis anjuran PAS sekaligus memberi 'point' pada PAS itu sendiri.
"Tambahan
lagi bila saya ceritakan pengalaman pahit yang pernah dilalui setelah
aduan kepada Menteri yang terlibat dengan Hal Ehwal Wanita tidak
diendahkan pasti ada yang simpati dan mengangap Barisan Nasional (BN)
bukan tempatnya bergantung harap sebab orang yang ada nama pun tidak
diberikan perhatian apatah lagi masyarakat biasa," ceritanya pada
ratusan hadirin.
(Antara peminat dan orang ramai yang datang berdialog dengan Aishah)
Aisyah yang terkenal dengan lagu 'Janji Manismu' di era 90 an
menambah, kebangkitan masyarakat tanpa kira Melayu, Cina dan India
membuktikan Pakatan Rakyat sudah bersedia mengambil alih pemerintahan
dari pemerintahan yang zalim dan tidak mengambil peduli kesengsaraan
rakyat bawahan.
Peluang itu harus diambil kerana lagi lama BN
memerintah, sambungnya, rakyat bertambah miskin, harga barangan
melambung berkali ganda dan hak rakyat dianak tirikan.
Turut sama
hadir ke program anjuran Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Bukit
Mertajam dengan kerjasama PAS Cawangan Taman Alma Jaya itu ialah Ketua
Dewan Muslimat PAS Negeri, Ustazah Rahmah Mat Isa, Isteri Ahli Dewan
Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir, Datin Siti Fatimah Osman, Ketua
Dewan Pemuda PAS Bukit Mertajam, Norazman Ishak, Timbalan Ketua Dewan
Muslimat PAS Bukit Mertajam, Puan Noriah, Timbalan YDP PAS Bukit
Mertajam , Mohd Bakar Awang dan Ketua PAS Cawangan PAS Alma Jaya, Rosli
Hasan.
No comments:
Post a Comment