KUALA LUMPUR: Dua perkara perlu diajar pada Amerika
Syarikat – pertama belajar menghormati agama lain dengan menjaga
sensitiviti penganut agama tersebut, kedua, belajar memahami budaya dan
asas protokol dalam negara ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk
Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian ekoran tindakan tidak bertamadun
Kedutaan Amerika yang mengutuskan Ketua Pengawal Keselamatan untuk
menerima memorandum bantahan berhubung filem Innocence of Muslims
semalam.
“Tindakan mengutus ketua pengawal keselamatan Pejabat
Kedutaan untuk menerima memorandum ribuan rakyat negara ini adalah sikap
kurang ajar dan biadab. PAS melahirkan kekesalan di atas kebiadaban ini
yang gagal memahami budaya dan adab setempat,” tegas Tuan Ibrahim.
Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata oleh kerana sebab-sebab di atas, Amerika wajar belajar dan membuang ego yang ada.
Semalam
Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan turut melahirkan rasal kesal terhadap
apa yang disifatkannya layanan buruk oleh Kedutaan Amerika kerana tidak
menghantar wakil kedutaan untuk menerima memorandum yang diserahkan
oleh wakil dari PAS, PKR dan wakil badan bukan kerajaan.
"Kita
berharap memorandum itu akan sampai kepada wakil kedutaan," kata
Nasrudin ditemui pemberita selepas penyerahan memorandum kira-kira jam
2.45 petang.
Katanya, kerajaan AS yang mengamalkan demokrasi sepatutnya mendengar luahan dan perasaan rakyat Malaysia hari ini.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata himpunan semalam sangat berjaya sehingga kedutaan terpaksa ditutup sebagaimana dimaklumkan.
“Isu ini telah menyatukan seluruh dunia Islam tanpa mengira mazhab, fahaman politik dan sempadan geografi.
PAS
menggesa umat Islam mendalami sirah Rasulullah mengenali Baginda dan
berjuang mempertahankan ajaran Islam yang dibawa Baginda,” katanya.
“Bukanlah kecintaan itu dengan kamu hanya melaungkan cinta, namun kamu melakukan perkara yang dibenci Baginda," tambahnya.
No comments:
Post a Comment