Monday, September 24, 2012

Pakatan persoal laporan audit diberi selepas bajet

KUALA LUMPUR: Pemimpin Pakatan Rakyat hari ini mempersoal tindakan kerajaan yang hanya akan menyerahkan laporan audit 2012 selepas pembentangan bajet 2013.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika diminta mengulas perkara itu turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan tersebut kerana kali kedua berulang selepas perkara sama berlaku tahun lalu.

Ahli parlimen Pokok Sena itu juga berkata, laporan audit 2012 itu amat perlu diberi lebih awal kerana perbahasan bajet 2013 akan lebih berkesan jika dirujuk bersekali dengan laporan audit tahun sebelumnya.

"Jadi atas sebab itulah laporan audit perlu diberi awal agar keberkesanan perbahasan itu menjadi lebih baik dan bukannya perbahasan tanpa asas yang kukuh.

"Ini memperlihatkan satu kelemahan kerajaan yang sangat ketara apabila laporan audit tidak dapat diserahkan kepada Ahli Parlimen pada masa hari yang sama bajet dibentangkan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz pagi tadi bahawa laporan audit hanya akan diserahkan seminggu selepas perbentangan bajet 2012 bagi memberi ruang untuk Ahli Parlimen membahaskan bajet tersebut.

Mengulas lanjut Mahfuz tidak menolak kemungkinan keengganan kerajaan memberikan laporan audit lebih awal itu kerana tidak mahu memperlihatkan perkara-perkara negetif terhadap kerajaan.

"Kerana mereka mahu menonjolkan pada bajet kali ini dengan tawaran gula-gula pilihanraya, maka mereka tidak mahu diganggukan oleh laporan audit yang bersifat negetif.

"Malah alasan Nazri untuk kita tidak mengganggu perbahasan bajet kali ini langsung tidak berasas, perbahasan paling berkesan adalah ia mesti disekalikan laporan Ketua Audit Negara dan bajet 2013," sambung beliau lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang. Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di parlimen hari ini turut membidas tindakan kerajaan itu.

"Bagaimana kita ingin berbahas bajet 2013 sedangkan kita tidak mengetahui perkembangan belanjawan pada tahun 2012. Laporan ini merupakan penilaian prestasi perlaksanan kerajaan oleh Ketua Audit Negara.

"Nampaknya Umno Barisan Nasional mahupun kerajaan cuba mengelak daripada ahli-ahli parlimen melihat (laporan) ini sehingga menangguhkannya selepas bajet dibentangkan," katanya.

Beliau turut memberi jaminan sekiranya Pakatan Rakyat memerintah, laporan tersebut akan diberi lebih awal sebelum bajet dibentangkan bagi memastikan keberkesanan perbahasan bajet tersebut.

No comments: