Monday, September 24, 2012

Calon: PAS Pusat yakin budi bicara negeri


POKOK SENA: PAS Pusat menyerahkan kepada budi bicara PAS negeri-negeri untuk menapis senarai calon layak bertanding untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) berkata setelah senarai yang dihantar  mendapat persetujuan Pusat, negeri akan menilai semula calon berkenaan sebelum memuktamadkan keputusan.

"Calon import atau tempatan, tunggu sahaja nama calon itu diumumkan kelak,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas Majlis Konvokesyen ke-11 Kolej Islam Darul Ulum (Kidu), di sini baru-baru ini.

Turut hadir sama di sidang media itu ialah Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Speaker DUN Datuk Dr Isa dan Bekas Menteri Pelancongan Tan Sri Kadir Syeikh Fadhil.

Ustaz Hadi berkata, senarai akhir menjelang PRU-13 kelak akan diputuskan atas pertimbangan PAS negeri.

"Sebelum ini PAS Kedah sudah hantar beberapa nama untuk satu-satu kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Majlis Syura sudah luluskan.

"Ada tiga empat nama bagi setiap Dun, kita serah pada budi bicara PAS Kedah, mereka hantar ke pusat dan pusat buat pertimbangan... seterusnya senarai itu kembali ke negeri dan terserah pada kebijaksanaan negeri masing-masing," katanya.

Sebelum ini, Ustaz Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata, keutamaan tetap diberikan kepada calon tempatan, memandangkan parti itu mempunyai ramai calon berpotensi.

Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan mengetengahkan calon luar Kedah dan mendapat persetujuan pusat, kerana keutamaan ialah untuk mendapat kemenangan bagi PAS dalam PRU-13 itu.

No comments: