Wednesday, September 26, 2012

PAS gesa wujud peraturan hubungan antarabangsa

KUALA LUMPUR: PAS menggesa kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif dengan membuat peraturan berkaitan hubungan antarabangsa agar ia dijalinkan dengan lebih baik.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menegaskan Malaysia melalui OIC perlu menangani isu tersebut melalui tindakan diplomatik agar penghinaan terhadap agama lain tidak berulang.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW ekoran penerbitan filem Innocent of Islam di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata pihaknya kecewa dengan respons yang diberikan wakil kedutaan Amerika Syarikat yang dilihat seolah-olah cuba melindungi rakyatnya dengan mengatakan tiada undang-undang yang boleh bertindak ke atas pembuat filem tersebut.

"Keadaan itu menunjukkan Amerika Syarikat tidak menghormati agama lain dan menunjukkan kelemahan negara tersebut berhubung sensitiviti agama-agama lain," tegas beliau.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata di sebalik kebangkitan umat Islam menentang penghinaan tersebut, terdapat adab-adab yang digariskan Islam apabila berhadapan perkara sedemikian.

Katanya, penentangan dan bantahan itu perlu menumpukan kepada pesalah yang menerbitkan filem tersebut, dan tidak membabitkan orang yang tidak bersalah.

"Selain itu, bantahan yang dilakukan juga perlu selaras dengan apa yang dilakukan, jangan sampai melanggar perjanjian Islam dengan bukan Islam yang menghormati semua pihak, termasuk wakil-wakil kerajaan agar tidak diganggu biarpun dengan negara yang bermusuh dengan kita," tegas beliau lagi merujuk kejadian duta Amerika Syarikat yang dibunuh di Pakistan.

Sebelum itu, usul berkaitan penghinaan Islam melalui filem Innocent of Islam itu dikemukakan ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

No comments: