Thursday, September 27, 2012

Royalti: TG Nik Aziz hargai usaha anak muda


KOTA BHARU: Biar pun masih berehat di wad Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, namun  Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersemangat menyokong anak-anak muda menuntut hak ke atas royalti minyak.

Petang tadi beliau memakai t-shirt R sebagai menyokong dan menghargai kegigihan anak-anak muda berjuang menuntut royalti.

Baju tersebut dibawa aktivis Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R) diketuai Naib Presiden, Dr Syed Khalid Abdullah ketika menziarahi Menteri Besar.

Kelihatan sama di wad, anaknya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat.

Dr Syed Khalid berkata, sokongan padu Tuan Guru Nik Abdul Aziz menaikkan semangat anak-anak muda berjuang menuntut royalti minyak.

“Biar pun beliau sedang keuzuran dan sedang berehat di wad, namun masih bersemangat memberi nasihat kepada kami untuk terus memperjuangkan hak rakyat Kelantan yang dinafikan sejak sekian lama.

“Malah kesediaan Menteri Besar untuk hadir pada Ceramah Mega R Tuntut Royalti Putrajaya yang akan di Shah Alam malam 2 Oktober ini amat kami hargai,” katanya di sini.

Program tersebut akan menampilkan pemimpin utama Pakatan Rakyat termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Selain itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan bekas Bendahari Umno Sabah, Tan Sri Ibrahim Menudin.

Wakil-wakil dari Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sabah dijemput menghadiri program berkenaan. Rombongan R dari Kelantan akan bertolak pagi 2 Oktober.

Dr Syed Khalid berkata, Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga meminta rakyat Kelantan hadir beramai-ramai pada program berkenaan sebagai memberi sokongan kepada perjuangan menuntut royalti.

“Kata Tok Guru kalau mereka tidak ada peluang hadir hendaklah doakan semoga perjuangan menuntut royalti menjadi kenyataan.

“Selain itu beliau juga menyarankan orang ramai mengibar bendera R atau tampal sticker pada kenderaan masing-masing,” katanya.

No comments: