Monday, September 24, 2012

Hina Nabi: PAS kemuka usul di parlimen

KUALA LUMPUR: PAS telah mengemukakan usul bagi menangguhkan sidang meyuarat Dewan Rakyat bagi memberi laluan untuk membincangkan isu filem kontroversi, “Innocence of Muslims” yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Usul tersebut dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia Jumaat lalu, di bawah Peraturan Mesyuarat 18.

“Bahawa mesyuarat ini hendaklah ditangguhkan bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan dan membincangkan terhadap filem kontroversi “Innocence of Muslims” berdurasi 13 minit, yang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW," usul itu dipetik.

Salahudin yang juga Naib Presiden PAS berkata, sudah lebih dua minggu isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW melalui filem itu membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, yang bukan sahaja dibantah oleh orang Islam tetapi ianya turut dibantah oleh orang bukan Islam.

Menurutnya, filem tersebut telah menyinggung perasaan dan sensitiviti agama Islam kerana menyentuh batang tubuh Nabi Muhammad SAW.

"Satu tindakan peringkat antarabangsa perlu dilakukan dengan mengambil tindakan terhadap penerbit dan pengarah filem tersebut di mana Negara yang terlibat adalah Amerika Syarikat dan kerana sehingga kini satu desakan tidak dilakukan bagi menyatakan bantahan rasmi Negara-negara Islam dan terutamanya Malaysia.

"Oleh yang demikian, saya meletakkan kesungguhan Malaysia melalui Parlimennya untuk menyuarakan bantahan rasmi seterusnya memberikan notis batahan kepada Amerika Syarikat," katanya lagi.

Jumaat lalu, lebih 5,000 umat islam mengadakan himpunan di hadapan bangunan Kedutaan Amerika di ibu negara bagi menyatakan bantahan terhadap filem itu.

Himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia itu antara lain mendesak Amerika memohon maaf atas kebiadaban penerbit filem warganya itu dan menghentikan filem tersebut sekaligus mengambil tindakan tegas terhadap penerbitnya.

No comments: