Monday, June 13, 2011

Undi Pakatan jika mahu nikmati negara berkebajikan

KUALA LUMPUR, 12 Jun: Rakyat digesa memilih Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 jika mahu merasai nikmat negara berkebajikan yang mahu diperkenal PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat bakal menikmati kehidupan lebih baik dibawah konsep negara berkebajikan Pakatan Rakyat berbanding di bawah BN sekarang ini.
Tambahnya, ianya boleh dilihat di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang dan juga sebahagiannya telah ditawarkan dalam Buku Jingga.
"Kalau nak tahu apa itu negara kebajikan, rakyat pilih kita pada pilihan raya akan datang.
"Beri kita lima tahun, kita akan tunjuk apa kita akan lakukan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat kali pertama untuk sesi 2011-2013 di Pejabat Agung PAS hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata hasrat PAS mahu melaksanakan negara berkebajikan itu 'meniru' apa yang telah dibuat BN sejak lama.
Terbaru, seorang lagi bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan PAS menggugurkan perjuangan negara Islam dan diganti negara kebajikan, sekadar umpan untuk meraih undi bukan Islam.
Menjawab tomahan itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, "itu kenyataan orang yang tidak membaca apa dia politik Islam".
Katanya, negara berkebajikan PAS jauh berbeza dengan Umno di mana PAS meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber rujukan yang tidak dibuat oleh Umno BN.
"Sebahagiannya kita berjaya buat di negeri yang kita perintah di Kelantan, Kedah, pernah di Perak dan Terengganu termasuk di Selangor dan Pulau Pinang.
"Konsep berkebajikan bukan sahaja kebajikan kepada rakyat, tetapi juga tidak mengerjakan perkara yang haram antaranya meninggalkan rasuah bukan sahaja kerana SPRM tetapi kerana perintah Allah," katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan pemimpin Umno BN itu sedang 'kepanasan' dengan apa yang mahu diperkenal PAS itu.
Apatah lagi, katanya ekonomi negara berkebajikan yang mahu dilaksanakan PAS akan menambah pendapatan negara tanpa membebankan rakyat dengan kenaikan harga barang dan menaikkan cukai kepada rakyat kebanyakan seperti dibuat BN.
"Terengganu kita (PAS) pernah hapuskan tol (jambatan). Jelas itu satu kebajikan yang kita buat kerana melihat yang lalu itu peniaga-peniaga kecil, orang kampung.
"Walaupun kita rugi berjuta, namun kita tampung dengan menaikkan cukai kepada mereka yang kaya seperti industri dan pembalakan," ujarnya.

No comments: