Wednesday, June 15, 2011

Perkasakan permainan kutu di kampung, pejabat

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Aktiviti pengumpulan wang kutu yang dilakukan di kampung-kampung dan di pejabat-pejabat perlu diperkasakan bagi menjadikannya sebagai sesuatu yang cukup berfaedah kepada orang ramai.
Sehubungan itu, kerajaan BN diminta mengambil langkah perlu bagi memperluaskannya dengan memperkenalkan makanisme tertentu, sejajar dengan peranan penting aktiviti itu selama ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) berkata, permainan kutu yang dilakukan di kampung-kampung dan di pejabat-pejabat memainkan penting bagi orang ramai dari pelbagai peringkat, sehingga ia menjadi satu permainan yang sudah tidak asing lagi kepada orang ramai.
Menurut beliau, antara keistimewaan permainan kutu termasuklah membolehkan seseorang ke Mekah untuk mengerjakan haji.
Katanya, selain itu, permainan kutu juga turut memudahkan seseorang melangsungkan perkahwinan dan memulakan perniagaan.
"Oleh itu, kerajaan perlu memperkasakan aktiviti ini bagi membolehkan industri kutu dijadikan satu kaedah yang menguntungkan kepada orang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan pembentangan Rang Undang-Undang (Larangan) Kumpulan Wang Kutu (Pindaan) 2011 Bacaan Kali Yang Kedua pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Bagi pindaan rang undang-undang itu, mereka yang bersalah akan dikenakan hukuman denda RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun, berbanding undang-undang tahun 1971 yang mengenakan denda RM5,000 atau 3 tahun penjara.
Menurut Salahuddin, bagi memperkasakannya, beliau menyarankan pihak kerajaan memperkenalkan makanisme terbaik bagi membolehkan aktiviti tersebut menjadi suatu aktiviti yang lebih menarik dan lebih berfaedah kepada orang ramai.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS turut berharap agar aktiviti pengumpulan wang kutu dikecualikan dengan sebarang tindakan undang-undang, memandangkan ia jelas berbeza dengan pengumpulan wang kutu haram yang dilakukan secara besar-besaran dan secara komersial oleh pihak-pihak tertentu.
Malah lebih jauh dari itu, beliau berharap agar aktiviti tersebut digalakkan oleh kerajaan, dengan diperluaskan lagi menerusi makanisme terbaik.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan diingatkan agar tidak mengharamkan aktiviti pengumpulan wang kutu yang dimainkan di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung.
Sebaliknya aktiviti pengumpulan wang kutu di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung perlu digalakkan kerana ia tidak berasaskan keuntungan, malah mengukuhkan ekonomi keluarga.
Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata, perkara itu amat berbeza dengan penganjuran pengumpulan wang kutu yang dimainkan (dilakukan) secara besar-besaran dan komersial oleh pihak tertentu walaupun atas alasan sumbangan ikhlas.
Menurut beliau, oleh itu, sebarang pindaan undang-undang yang hendak digubal oleh kerajaan perlu memperjelaskan perkara itu bagi membolehkan aktiviti pengumpulan wang kutu yang dimainkan di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung dikecualikan dari sebarang tindakan undang-undang.
Katanya, sekiranya undang-undang yang digubal itu turut mengenakan tindakan terhadap aktiviti pengumpulan wang kutu yang dimainkan di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung, ia pasti menimbulkan pelbagai kesulitan kepada orang ramai.
"Pada hal pengumpulan wang kutu di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung itu apalah salahnya. Jadi yang itu tak patutlah diharamkan," katanya ketika membahaskan pembentangan rang undang-undang berkenaan.
Menurut Nasir, pindaan rang undang-undang tersebut, jika tidak mengecualikan pengumpulan wang kutu yang dimainkan di pejabat-pejabat atau di kampung-kampung, pasti akan menjadikan undang-undang tersebut amat zalim dan tidak praktikal.
Bagi mengelakkan kejadian itu, beliau menyarankan agar pindaan rang undang-undang tersebut hanya difokuskan kepada aktiviti pengumpulan wang kutu yang dilakukan secara komersial oleh pihak tertentu.
"Pengumpulan wang kutu secara besar-besaran itu sememangnya dilakukan secara komersial, mahukan keuntungan, penuh dengan kekeliruan, berunsur penipuan dan berunsur riba.
"Ia ternyata tidak jelas penganjurnya, sering berlaku penipuan kepada orang ramai, kadar pulangan yang tidak pasti. Yang itulah yang perlu diharamkan," tegasnya.
Selain itu, beliau turut kesal apabila aktiviti pengumpulan wang kutu turut diselewengkan oleh pihak tertentu, atas alasan pinjaman Tekun, yang turut membabitkan pemimpin Umno.
Terdahulu dari itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail turut mengingatkan pihak kerajaan agar mengecualikan para pemain pengumpulan wang kutu kecil-kecilan di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung dengan pindaan rang undang-undang tersebut.
"Malah mereka sebenarnya yang kebanyakannya kaum wanita di kampung-kampung turut memainkan peranan penting bagi pertumbuhan ekonomi negara sehingga berjaya mengumpul RM2 bilion," katanya.
Manakala Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga AJK Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad ketika bangun membahaskan pembentangan rang undang-undang itu meminta pihak kerajaan memperjelaskan yang mana aktiviti pengumpulan wang itu yang tidak dimasukkan dalam perniagaan dan yang dimasukkan dalam perniagaan.
Ini kerana dalam Akta Pengesahan Wang Kutu 1974 tidak memperjelaskan perkara ini, malah mengatakan walau apa-apa pun undang-undang yang berlawanan sah di sisi undang-undang dan dikuatkuasakan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menggulung perbahasan itu menegaskan, kesemua pandangan tersebut akan diambil kira oleh kerajaan.
Dengan itu, pindaan rang undang-undang itu pasti akan mengecualikan para pemain pengumpulan wang kutu kecil-kecilan yang tidak berasaskan keuntungan di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung.

No comments: