Thursday, December 20, 2012

Sambutan Ambang 13 (SAM'13) SEMUA DIJEMPUT HADIR


Himpunan 1 Juta Rakyat, 12 Jan di Stadium Merdeka


KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) secara rasmi mengumumkan, Himpunan 1 juta rakyat pada 12 Januari tahun hadapan akan diadakan di Stadium Merdeka.

Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR), Mohamad Sabu berkata, ia sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu rakyat berhimpun di stadium jika ingin menyatakan sebarang tuntutan terhadap kerajaan.

Saranan tersebut dibuat Najib sebelum Gabungan Menuntut Pilihan Raya  Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan perhimpunan pada 28 April lalu.

"Kita mohon (adakan perhimpunan) dibuat di  Stadium Merdeka kerana itulah cadangan Perdana Menteri  yang kita sayangi," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), dekat sini hari ini.

Timbalan Presiden PAS itu juga berkata, permohonan menggunakan stadium dibuat atas nama Sasterawan Negara.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama Sasterawan Negara yang dimaksudkan.

"Permohonan stadium atas nama Sasterawan Negara yang terkenal," katanya.
Ujar Mohamad juga, perhimpunan dengan empat warna tema iaitu kuning, hijau, oren dan merah akan bermula jam dua petang dan dijangka akan berakhir jam lima petang tanpa sebarang kekecohan.

"Saya yakin melalui himpunan-himpunan sebelum ini, akan berlaku kerjasama yang baik di semua jabatan termasuk pihak polis untuk menjaga keamanan.

"Kita akan berhimpun tanpa menyerahkan apa-apa memorandum kerana memorandum lapan tuntutan Bersih sudah diserahkan dalam perhimpunan sebelum ini," katanya.

Warna kuning mewakili Bersih, Merah untuk R yang menuntut royalti Petroleum Kelantan, Hijau mewakili Anti Lynas manakala oren mewakili Anak Persatuan Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Antara NGO lain yang akan turut serta dalam perhimpunan ialah  Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM),  Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Sekretariat Prihatin OKU, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Jeritan Rakyat Tertindas (Jerit) dan beberapa NGO lain.

Dalam sidang media sama, wakil-wakil NGO turut menyatakan komitmen menggerakkan seramai mungkin anggota ke himpunan tersebut.

"Mana-mana individu yang tak sertai mana-mana NGO pun mesti hadir bagi menyatakan kemarahan secara aman," kata Ahli Jawatankuasa Bersih, Hishamuddin Rais.

Penangguhan AES, GST, cukai tel pra-bayar hanya sementara?


KUALA LUMPUR: Jangan seronok dengan penangguhan sistem AES (Automated Enforcement System), GST (cukai barangan dan servis), tarif elekrik, cukai telefon pra-bayar dan sebagainya kerana ini semuanya bersifat sementara saja sehingga BN berkuasa lagi.

“Kesemua ‘hadiah penangguhan’ ini hanya menanti keputusan pilihanraya umum sahaja sebelum ditarik balik.

"Kalau keputusan menyebelahi BN, maka semua yang ditangguhkan ini akan dikuatkuasa semua, dan rakyat akan terus terbeban dengan pelbagai peraturan yang menyusah dan tidak masuk akal,” Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) memberikan peringatan kepada rakyat dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim turut berkata bahawa disebabkan PRU13 dianggap sebagai pilihanraya umum yang paling penting dalam sejarah negara, maka banyak projek mega untuk kroni terpaksa ditangguh dahulu kerana BN khuatir ia akan menjadi peluru bagi PR.

“Rakyat mempunyai kuasa memilih, samada ingin peraturan yang membebankan mereka diterus atau dibatalkan sahaja. Mengekalkan BN bermakna penangguhan sementara akan dikuatkuasa semula, atau menumbangkan BN, maka peraturan itu akan terus dibatalkan,” tegas beliau.

Mengulas mengenai penangguhan sistem AES, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata kemelut itu bukti jelas kepada rakyat untuk melihat caca-merba yang sedang melanda Malaysia.

“Walaupun Menteri Pengangkutan serta anggota kabinet telah berulang kali menyatakan AES tetap akan dilaksanakan, namun terkini ia ditangguhkan oleh Jabatan Peguam Negara.

"Yang aneh menteri putus untuk laksana, manakala peguam negara boleh batal arahan menteri. Inilah caca-merba yang sedang melanda Malaysia,” kata beliau.

Beliau turut menyindir bahawa situasi ini menimbulkan kekeliruan terhadap “siapa buat polisi dan siapa pelaksana polisi” dan untuk menyelesaikan situasi ini adalah “lebih baik salah seorang letak jawatan.”

“Kalau kira patut peguam negara kerana melanggar arahan menteri, tetapi kalau difikir semula arahan peguam negara dijadikan keputusan, bukan arahan menteri, maka eloklah menteri tu letak jawatan,” kata beliau.

Sebelum ini, atas bantahan rakyat dan desakan PRU13, kerajaan BN telah mengambil keputusan untuk menangguhkan perlaksanaan GST, cukai telefon pra-bayar dan kenaikan tarif elektrik sehingga selesainya PRU13.

Dua hari yang lalu, Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan supaya semua prosiding kes saman di mahkamah melalui AES digantung serta merta kerana timbul pelbagai masalah yang lain, meskipun saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) serta Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) terus komited dalam usaha mendesak kerajaan menghapuskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Wednesday, December 19, 2012

Jangan bermain politik dalam jubah mufti


KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru para mufti agar menjaga nama baik mereka dan tidak bermain politik partisan untuk kepentingan pihak tertentu.

Ingatan itu berhubung kenyataan beberapa orang mufti yang mendesak agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menarik balik apa yang didakwa sebagai 'Amanat Haji Hadi'.

"Boleh berbincang dengan cara yang elok dan tak perlu bermain politik partisan di dalam jubah mufti.

"Jangan jual harga mufti dengan murah," tulisnya dalam Facebook petang tadi.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu lagi, beliau secara peribadi sangat mengenali Tuan Guru Abdul Hadi dan meyakini bahawa ilmu yang dimiliki oleh Presiden PAS itu tidak lebih rendah daripada ilmu yang dimiliki oleh para mufti.

"Bahkan beliau merupakan lulusan Madinah yang cemerlang.

"Jadi saya menyeru kepada para mufti, jangan beranggapan Presiden PAS sebagai orang yang tidak tahu hukum hakam," katanya.

Sebelum ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dilaporkan menggesa Tuan Guru Abdul Hadi menarik balik amanat mendakwa Umno kafir, yang pernah dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.

Harussani berkata, tidak mudah untuk meletakkan orang itu kafir dan, perkara itu sudah pun dijelaskan yang mana ia bukan masalah parti, sementara Wan Zahidi pula berkata, amanat tersebut tidak berbahaya kepada Umno sebaliknya kepada diri Hadi sendiri.

Amanat Tuan Guru Abdul Hadi merujuk kepada satu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh beliau di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

Kelantan jayakan hasrat Jelapang Makanan Negara

KOTA BHARU: Kelantan akan menghidupkan tanah terbiar dengan lebih agresif dalam menjayakan hasrat sebagai Jelapang Makanan Negara menjelang tahun 2015.

Dianggarkan sebanyak 100 hektar tanah terbiar lagi bakal diterokai tahun 2013, berbanding 57 hektar tahun ini dengan pelbagai program pertanian.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata usaha Kelantan untuk menjadikan negeri pertanian tidak pernah silap sejak menerajui kepimpinan negeri tahun 1990 sehingga muncul sebagai pengeluar produk pertanian yang terpenting di negara ini.

Katanya, peningkatan itu hingga berjaya mencapai 19.4 peratus bagi sektor pertanian yang merupakan sebahagian penyumbang besar KDNK tahun 2012.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Bertani Satu Ibadat, anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik).

Menurutnya, walaupun telah banyak kawasan tanah terbiar telah diterokai, namun usaha itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Islam menitik beratkan pertanian, kerana itu Kelantan memperkenalkan tema pertanian Bertani Satu Ibadat kerana aspek itu merupakan sebahagian dari ibadat,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun dengan peruntukkan yang kecil hanya RM2.2 juta peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk program pertanian, namun hasil yang diperolehi begitu membanggakan.

“Sema aspek sama ada pertanian, penternakan khususnya lembu pawah begitu berjaya,” ujarnya.

Turut berucap pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Seramai empat orang petani dan pengusaha berjaya menerima cenderahati berupa benih durian dan baja dari Timbalan Menteri Besar pada majlis yang diadakan di Balai Islam, Lundang pagi tadi.

Perpindahan kuasa selepas PRU13 paling aman


KUALA LUMPUR: PAS penuh keyakinan, perpindahan kuasa yang akan berlaku dalam pilihan raya ke 13 nanti bakal berjalan dengan penuh keamanan.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa membayangkan, pihak istana akan memanggil pimpinan Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan seawal jam 10 malam hari pilihan raya nanti.

"Ketika itu, Datuk Seri Najib dan Tun Dr Mahathir sibuk untuk meninggalkan negara kerana bimbang dengan kesalahan masa lalu mereka.

"Manakala rakyat keseluruhannya menyambut perubahan kerajaan dengan gembira," kata Husam dalam satu majlis bersama jentera pilihan raya PAS di Kota Bharu baru-baru ini.

Senario ini disebut sekali lagi oleh Husam yang juga Pengarah 'Roadmap  to Putrajaya' PAS ini kepada Harakahdaily.

Oleh kerana semua rakyat menyambut baik perpindahan kuasa ini, beliau yakin semua pihak yang mendokong negara termasuk angkatan tentera dan polis tidak akan bertembung dengan kehendak rakyat.

"Apabila rakyat membuat keputusan yang jelas memberikan mandat kepada Pakatan, saya yakin semua aparatus negara akan bersama rakyat kerana terlalu tinggi risiko yang diambil kalau mereka tidak bersama rakyat," kata Husam penuh keyakinan.

80 kerusi

Maklumat terbaru yang beliau terima menunjukkan BN bakal mendapat hanya sekitar 80 dari 222 kerusi Parlimen sahaja dalam pilihan raya ke 13 nanti.

Beliau juga diberitahu, para pengundi Melayu juga sudah berubah termasuk di kawasan Felda seiring dengan  kajian yang dibuat oleh sebuah badan di Selangor.

"Apabila ini berlaku, masalah yang bakal dihadapi oleh PAS dan parti-parti dalam Pakatan adalah menghadapi permohonan berbondong-bondong para wakil rakyat BN untuk menyertainya.

"Kita tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk menapis mereka sedangkan kita perlu membuat keputusan segera," kata Husam yang merupakan antara pakar strategi PAS itu.

Sebelum ini, Husam yang mula-mula mencadangkan agar negeri-negeri Pakatan membuat pilihan raya berasingan dari kerajaan pusat jika tarikh yang dipilih BN tidak sesuai dengan Pakatan.

Akibatnya, Selangor bertegas tidak mahu mengadakan pilihan raya awal dan menghalang Najib dari menetapkan tarikh pilihan raya bersendirian.

Oleh itu, bagi Husam, apa yang berlaku sekarang mencapai sasaran kenyataan beliau hari itu iaitu BN perlu berunding dengan Pakatan dalam menetapkan tarikh pilihan raya atau menolaknya sehingga ke hujung waktu.

Tuesday, December 18, 2012

Putrajaya: Adil boleh, kalau kecoh tak boleh


KANGAR: “Boleh ke kita ambil Putrajaya,” tanya Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Perlis di sini, malam tadi.

“Boleh!” jawab para hadirin.

Lantas, Mohamad berkata: “Kalau pilihan raya adil, boleh, kalau kecoh, tak boleh”.

Dengan sebab, katanya diadakan himpunan aman Bersih 1, 2 dan 3 untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

Dalam nada berseloroh, beliau berkata Bersih 4 tidak diadakan kerana telah ‘dicuri’ oleh Umno yang mengadakan ‘tarian punggung’ di hadapan rumah Datuk S Ambiga.

Beliau menegaskan walaupun pilihan raya lalu berlangsung dalam keadaan yang tidak bersih, namun parti pembangkang dapat memenangi lima buah negeri.

Dengan sebab itu, katanya, terdapat pemimpin Umno BN yang mempersoalkan Pakatan Rakyat yang mendakwa perjalanan pilihan raya tidak bersih sedangkan mencapai kejayaan di negeri-negeri berkenaan.

“Mereka kata, pasal apa kamu (Pakatan Rakyat) menang lima negeri, kata (pilihan raya) tak adil.

“Kalau pilihan raya bersih, lama dah kita perintah. Kalau adil, dah lama kamu jadi pembangkang,” ujarnya pada majlis yang diadakan di Kompleks PAS Perlis, Kampung Pondok. Turut berucap ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Sehubungan itu, beliau yakin akan berlaku perubahan dalam pilihan raya umum nanti ekoran sambutan puluhan ribu yang menyertai siri jelajah Himpunan Kebangkitan Rakyat di seluruh negara.

Beliau selanjutnya mengulangi jemputan kepada semua rakyat Malaysia ke Himpunan 1 Juta Rakyat yang akan diadakan di ibu negara pada 12 Januari hadapan.

17 bayi ditahnikkan sempena aqiqah perdana


KOTA BHARU: Seramai 17 orang bayi telah ‘ditahnikkan’ oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena majlis aqiqah perdana hari ini.
(Tengku Amalin [kanan] menyampaikan hadiah kepada peserta)

Majlis yang dirasmikan oleh Tengku Amalin A’Shah Putri itu diadakan di Balai Islam Lundang, di sini tengahari tadi.

Turut hadir pada majlis itu isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu berkata memandangkan kerajaan Kelantan mementingkan golongan remaja, peruntukkan telah ditambah untuk mereka dalam Belanjawan tahun ini sebanyak RM5 juta berbanding RM3.5 juta sebelumnya.

Katanya, anak adalah pelapis keluarga, masyarakat dan negara sebagai pemimpin masa hadapan.

“Kerana itu kerajaan negeri mengutamakan mereka dengan memberikan peruntukkan khas untuk aktiviti bermanfaat selagi tidak bercanggah dengan syarak,”ujarnya.

Hasil pentadbiran kerajaan negeri sejak 22 tahun lalu golongan remaja sekarang tidak tahu tempat-tempat maksiat.


(Tuan Guru Nik Aziz mentahnik salah seorang bayi yang sertai aqiqah perdana)

“Jika tanya mereka mana tempat berjudi, mana tempat hiburan yang melalaikan, mereka tidak akan tahu berbanding sebelum 22 tahun lalu yang sememangnya diketahui oleh remaja ketika itu,”ujarnya.

Rahim ketika berucap pada majlis yang sama berharap semoga anak-anak yang ditahnikkan termasuk bersama Tuan Guru akan menjadi anak yang soleh serta menjadi pewaris para anbia.

Sempena majlis itu juga, Tengku Amalin menyampaikan cenderahati kepada bayi yang bertuah.

‘R’ minta siasat dakwaan kehilangan RM12.3 juta

KOTA BHARU: Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti) menuntut kerajaan negeri supaya mendesak Jabatan Audit negeri dan Ketua Audit Negara segera melakukan siasatan ke atas kehilangan wang yang didakwa berjumlah RM12.3 juta.

Surat kepada pihak Kerajaan Negeri berkatian kes itu telah pun dihantar pada 12 Disember 2012 yang lalu.

Presiden Royalti (‘R’), Nazri Deraman dalam satu kenyataan media mendakwa dalam perkembangan terbaru membabitkan ‘Wang Ehsan’ oleh pihak Kerajaan Malaysia terdapat perbezaan angka perbelanjaan yang serius berbanding angka dikeluarkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Perbezaan ketara juga adalah pada jumlah dikeluarkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein.

Nazri mendakwa, Menteri Kewangan Malaysia mengeluarkan kenyataan perbelanjaan sebanyak RM49.1 juta sedangkan Mustapa serta Jabatan Perdana Menteri ialah sebanyak RM61.4 juta.

Menteri Kewangan Malaysia Datuk Seri Najib ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen pada 23 November 2012 yang lalu mendakwa Kelantan sehingga 30 September 2012 sudah menerima (wang ehsan) sebanyak RM49,186,529.

“Justeru penyelewengan telah berlaku, lesap sebanyak RM12.3 juta,” dakwa Nazri.

Nazri mendakwa, menurut iklan dikeluarkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Teknologi Maklumat Malaysia pada 2010, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mendakwa Kelantan layak mendapat  Wang Ehsan sebanyak RM20 juta setahun, manakala Timbalan Menteri Kewangan Malaysia Datuk Dr Awang Adek (pada kenyataan medianya 29 Julai 2012) mendakwa Kelantan menerima wang ehsan sebanyak RM24 juta setahun, dan tiga tahun menjadi RM72 juta.

Sementara Mustapa pada kenyataan media 5 Ogos 2012 mendakwa Kerajaan Pusat sudah menyalurkan ‘Wang Ehsan' sebanyak RM61.4 juta (RM20.467 setahun) sejak 3 tahun lalu.

“Dalam perkembangan terbaru ini, ‘R’ mendesak supaya Laporan Kewangan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)  Negeri Kelantan khususnya membabitkan pengurusan perbelanjaan ‘Wang Ehsan’ mestilah diaudit segera.

“Ini penting bagi mempastikan ketelusan perbelanjaan wang rakyat khususnya apabila berlaku ketirisan didakwa berjumlah RM12.3 juta wang rakyat,” ujarnya.

Nazri mendakwa, ‘R’ menyedari bahawa penyelewengan, ketirisan dan ketidaktelusan didakwa berlaku dalam ‘skandal wang ehsan’ itu lantaran pengurusannya membelakangi saluran perundangan.

Lim Kit Siang 'minta maaf' kepada Najib


KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang (gambar) 'memohon maaf' kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin Umno yang lain kerana beliau menang dalam pemilihan DAP baru-baru ini.

"Saya memohon maaf kepada Najib dan pemimpin Umno/BN kerana terpilih semula ke dalam CEC sebagaimana Kongres DAP sebelum ini, kali ini dengan undi paling tinggi," kata Kit Siang dalam kenyataan.

Menurut Kit Siang, Najib dan pemimpin Umno yang lain pergi ke seluruh negara memberitahu bahawa DAP sebuah parti yang tidak demokratik, "mendakwa saya pemimpin DAP walaupun saya tidak terpilih sebagai pemimpin DAP."

"Walaupun hanya memegang jawatan sebagai ahli parlimen dan bukannya pemimpin yang dipilih, Lim Kit Siang terbukti seorang individu yang berkuasa dalam parti pembangkang," kata Najib semasa Perhimpunan Agung Umno 2012 (PAU 12) baru-baru ini.

"Sekarang apakah kebenarannya, adakah Najib tersalah nasihat atau sengaja menipu terhadap saya," kata Lim Kit Siang.

Ketua ulama Syria kunjungan Presiden PAS

(Sheikh Sabuni kunjungi Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi di Pejabat Agung hari ini)

KUALA LUMPUR: Ketua Kesatuan Ulama Syria Sheikh Dr Ali As Sobuni mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS tengah hari tadi.

Sheikh As Sobuni, 88, sudah 35 tahun hidup dalam buangan di luar negara akibat hukuman rejim Hafiz Asaad ke atas beliau.

Pengarang kepada puluhan kitab tafsir dan hadis ini menjadi rujukan kepada ilmuan-ilmuan Islam seluruh dunia sejak puluhan tahun yang lalu.

Dalam pertemuan tersebut, Sheikh As Sobuni turut berkongsi pandangan terhadap konflik di Syria yang telah pun membunuh ribuan rakyat negara itu.

Mereka bersama-sama bersetuju Presiden Basyar Asaad mesti berundur dan bertanggungjawab terhadap apa yang melanda Syria hari ini.

Dalam masa yang sama mereka sependapat bahawa perlu kebijaksanaan dalam isu Syria khususnya dalam mendepani campur tangan kuasa-kuasa luar yang berkepentingan.

Sheikh As Sobuni juga menyampaikan penghargaan dan terima kasih rakyat Syria kepada PAS yang mengambil berat dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa kekejaman.

Sehingga hari ini PAS sudah menghantar lebih dari lima kali bantuan dan rombongan kemanusiaan ke Syria, bagi membantu rakyat negara itu yang ditindas ekoran konflik ini.

Sheikh As Sobuni sedang dalam rangka lawatan ke Malaysia dan Indonesia.

Turut serta dalam pertemuan itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, dan penolongnya Dr Syed Azman Syed Nawawi serta Setiausaha Akhbar Presiden PAS Mohd Nasaie Ismail.

Monday, December 17, 2012

Pakat Mari Belako

Siapa nak buat huru-hara bila kalah PRU13?


PARIT: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengulangi pertanyaan siapakah yang mahu membuat huru-hara apabila tewas dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.
Sehubungan itu, beliau menolak tuduhan pemimpin Umno BN kononnya akan berlaku peristiwa 13 Mei sekiranya parti itu kalah pada PRU13.

“Siapa nak buat huru-hara?

“Mereka nak buat huru-hara, peristiwa 13 Mei bila Umno kalah teruk (PRU13),” ujarnya ketika berucap di hadapan kira-kira 20,000 hadirin pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Perak di padang SEDC, Bandar Seri Iskandar, malam tadi.

Ekoran itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, PAS bukan sahaja menjalin hubungan dengan parti politik bahkan badan bukan kerajaan untuk mencapai kejayaan pada PRU13 nanti.

Walaupun padang basah ekoran hujan yang turun sekitar jam 9.30 malam, namun para hadirin terus bertambah mengikuti ucapan pemimpin Pakatan Rakyat sehingga akhir majlis.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengingatkan rakyat supaya beristiqamah untuk melakukan perubahan pada PRU13.

Katanya, Pakatan Rakyat berusaha untuk menerajui Putrajaya bukan kerana kepentingan individu sebaliknya untuk menjaga kebajikan rakyat seperti pelajar, petani dan pemandu teksi.

20,000 hadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat Perak

Sebahagian hadirin yang membanjiri padang SEDC Bandar Seri Iskandar mengikuti ucapan pemimpin Pakatan Rakyat.

PARIT: Sambutan rakyat terhadap Himpunan Kebangkitan Rakyat terus mendapat sambutan apabila hampir 20,000 orang memenuhi Padang SEDC Seri Iskandar, malam ini, kata pengarah program, Dr Kharuddin Abdul Malek.

Walaupun hujan renyai-renyai turun sekitar jam 9.30 malam sekitar 20 minit, namun orang ramai masih berkumpul di kawasan padang untuk mendengar pidato daripada pemimpin Pakatan Rakyat.

Orang ramai semakin bertambah apabila hujan mulai reda dan mereka duduk di hadapan pentas untuk mengikuti persembahan daripada NGO dan ceramah para pemimpin Pakatan Rakyat

Antara yang berucap ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan anggota Jawatankuasa Eksekutif DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyampaikan pidato.

Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir pada Himpunan Kebangkitan Rakyat Perak.

Umno pindah semula pengundi Tganu ke Selangor


DUNGUN: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar) mendakwa Umno BN sedang berusaha membawa pengundi Terengganu ke Selangor bagi membantu parti itu menawan semula Selangor dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Bercakap di Himpunan PAS Ganti Umno (PGU 6.0) di Dataran PGU Paka, dekat sini malam tadi, Husam berkata pengundi tersebut merupakan pengundi Selangor yang dibawa ke Terengganu pada tahun 2004.

Beliau berkata, kerana yakin Umno mampu menang besar di Selangor dalam PRU ke-11, sebahagian besar pengundi di negeri itu dipindahkan ke Terengganu.

Akibatnya dalam pilihan raya umum ke-12, Umno BN Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat kerana kehilangan pengundi yang dipindahkan ke Terengganu dalam PRU sebelumnya.

"Pada tahun 2004 Terengganu berjaya ditawan semula oleh BN bukan atas kehendak rakyat Terengganu. Majoriti rakyat Terengganu memilih PAS ketika itu.

"Bagaimana kerajaan PAS boleh tumbang adalah melalui penipuan pilihan raya yang dibuat oleh Umno.

"Pada tahun 2008 Allah telah membalikkan semula dengan memberikan pengajaran bahawa Selangor yang mereka jangka kuat telah berjaya ditumbangkan kerana sebahagian pengundi Selangor terpaksa mengundi di Terengganu.

"Hari ini mereka nak bawa balik semula pengundi selangor yang mendaftar di Terengganu untuk bantu tawan semula Selangor.

"Hari ini kalau Terengganu tak menang lagi faham-fahamlah," katanya di hadapan kira-kira 50,000 hadirin.

Beliau juga berkata, melihat kepada kehadiran rakyat ke PGU, beliau yakin PAS mampu menawan semuala Terengganu jika tiada penipuan dalam pilihan raya.

"Berdasarkan kehadiran malam ini saya yakin Terengganu tidak akan tertinggal dalam peta perubahan politik negara.

"Terengganu kena ingat kalau mereka kekal bersama BN, negeri-negeri lain telah berubah ditakdirkan InsyaAllah kerajaan Malaysia berubah alangkah malunya Terengganu kerana tidak mengikut arus perubahan politik negara.

"Dengan kehadiran seperti ini saya yakin Terengganu juga dalam arus perdana iaitu berubah dan mencuba kerajaan yang lebih layak," katanya.

Tambah beliau, rakyat berkuasa menukar semula kerajaan Pakatan Rakyat kepada Umno BN jika Pakatan gagal memerintah dengan lebih baik daripada Umno BN.

"Presiden pun dah kata kalau kerajaan Pakatan tidak lebih baik dari BN mereka (rakyat)  boleh tumbangkan semula Pakatan dalam pilihan raya umum  2016," katanya.

Sunday, December 16, 2012

PAS, PKR, DAP berbeza dengan Umno, MCA, MIC


DUNGUN: Kerjasama PAS dengan orang bukan Islam adalah kerjasama yang dibenarkan dalam Islam selagi tidak melanggar dasar prinsip Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, kerjasama PAS dengan PKR dan DAP tidak boleh disamakan dengan kerjasama Umno dengan MCA dan MIC.

Bercakap di Himpunan PAS Ganti Umno (PGU 6.0) di Dataran PGU Paka, dekat sini malam tadi, Ustaz Hadi berkata, PAS tetap dengan prinsip mereka yang mengangkat martabat Islam walaupun bekerjasama dengan orang bukan Islam dalam politik.

Beliau membacakan ayat lapan Surah Al-Mumtahanah yang bermaksudi: "Allah tak melarang kamu mengadakan hubungan dengan orang kafir yang tidak memerangi kamu dan tidak menghalau kamu dari tanah air".

"Dia (Umno)  kata dulu PAS kata tak boleh kerjasama dengan orang kafir pada tahun 60-an dulu (tapi) sekarang kita pula kerjasama dengan kafir.

"Kerjasama Umno, MCA  dan MIC haram kerana kerjasama yang menggadai dasar, prinsip, akhlak dan keperibadian orang Islam.

"Kerjasama PAS, kita dengan sifat kita, kekuatan kita. Macam ikan dalam laut tetap segar walaupun air masin.

"Kerjasama Umno dengan orang bukan Islam, (mereka)  jadi hanyut,  arak dan judi kalau ada lesen halal. Kalau tak ada lesen haram. PAS tegas, yang haram tetap haram," katanya di hadapan kira-kira 50,000 hadirin.

Beliau juga berkata, PAS tegas dengan prinsipnya dan bebas memecat ahli yang melakukan kesalahan.

Ini katanya berbeza dengan Umno kerana Umno memisahkan agama dan politik.

"Dulu selepas PAS bekerjasama dengan Perikatan, ada wakil rakyat PAS menari. Maka PAS pecat dia.

"Dalam PAS kalau kita ada wakil rakyat Islam yang minuim arak, berjudi, menari, kalau dapat laporan kita pecat dia.

"Dalam undang-undang Umno tak boleh pecat  kerana agama suku politik suku," katanya.

Turut berucap malam tadi ialah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Program kacau bubur asyura perdana hijratul rasul 1434H & meraikan kejuaraan 3 piala treble Red Warriors









Lebih 15,000 sertai HKR Pulau Pinang

Para hadirin berdiri mengikuti ucapan pemimpin Pakatan Rakyat kerana padang becak.

NIBONG TEBAL: Sekalipun padang becak kerana hujan petang tadi, namun tidak menghalang lebih 15,000 orang menghadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Pulau Pinang di Padang Awam Jawi, malam ini.

Hujan yang turun renyai-renyai kira-kira jam 5.40 petang, yang kemudiannya lebat selama 15 minit pada jam 6.00 petang menyebabkan padang menjadi becak dan sebahagiannya ditakungi air.

Begitupun, selepas solat Isyak, orang ramai yang terdiri daripada pelbagai kaum mula berpusu-pusu ke padang tersebut untuk mengikuti pidato yang disampaikan pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Aksi menarik Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu.

Lim Guan Eng menyampajkan ucapan.

Ito turut memeriahkan himpunan.

Auto show menarik perhatian hadirin.

PRU13: PAS Pulau Pinang yakin tambah kerusi


NIBONG TEBAL: PAS Pulau Pinang terus mengulangi tekad untuk menambah bilangan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri pada Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

Pesuruhjayanya, Datuk Saleh Man berkata, buat masa ini PAS hanya mempunyai satu kerusi sahaja iaitu Permatang Pasir.

Beliau yang juga Adun kawasan berkenaan melahirkan keyakinan PAS mampu menambah kerusi berdasarkan sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, dengan semangat dan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat negeri ini, bukan sahaja PAS dapat menambah kerusi bahkan kerajaan negeri dapat dipertahankan.

“Kita lihat semangat rakyat dalam program seperti ini, tak dapat tidak kita dapat sokongan rakyat dan keyakinan rakyat untuk kita tumbangkan BN dalam pilihan raya umum nanti,” ujarnya ketika berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Pulau Pinang di Padang Awam Jawi, malam ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam negeri berharap rakyat terus berdoa supaya Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang terus mendapat mandat dalam pilihan raya umum nanti untuk memajukan negeri ini.

Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang berucap selepas itu menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak mengamalkan dasar ‘I help you, you help me’.

Katanya, kerajaan yang bertindak sedemikian ialah kerajaan samseng.

Beliau berkata, kerajaan negeri terus melaksanakan dasar untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat sama ada mereka menyokong atau sebaliknya.

Justeru, jelasnya dasar kerajaan Pakatan Rakyat berbeza dengan BN dalam melaksanakan tanggungjawab yang murni untuk kesejahteraan rakyat.

Saya hadir kerana didakwa sakit berat -TG Nik Aziz


DUNGUN: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dia gagahkan dirinya datang ke himpunan PAS Ganti Umno (PGU) di sini kerana didakwa 'sakit berat' oleh Umno.

"Saya hadir di PGU Terengganu sebab ada orang telefon setiausaha saya kata Umno kata Nik Aziz sakit berat.

"Saya kata, 'Ini kena pergi ini'. Alhamdulilah saya dapat hadir," kata Tuan Guru Nik Aziz ketika berucap merasmikan perhimpunan ini pagi tadi.

PGU ke 6 berjalan di Kuala Paka mulai pagi tadi hingga malam ini.

Semalam Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) peringkat negeri Terengganu berjalan di tempat yang sama.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan  Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu antara tertamu utama yang berucap dalam himpunan malam tadi.

Malam ini, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Abdul Hadi Awang dan bekas timbalan menteri, Datuk Yahya Lampong antara tetamu utama yang akan berucap.

Datuk Mokhtar Hamid sertai PAS, anggap Umno tergelincir

Datuk Mokhtar mengisi borang permohonan keahlian PAS di atas pentas PGU.

DUNGUN: Tokoh korporat, Datuk Mokhtar Abd Hamid yang baru menyertai PAS petang tadi mendakwa Umno tergelincir dari perjuangan asal mereka iaitu membela Melayu.

Bercakap di Himpunan PAS Ganti Umno (PGU 6.0) di Dataran PGU Paka, dekat sini malam ini,  Mokhtar, 68 berkata, pemimpin Umno kini hanyalah perompak duit rakyat.

"Suatu masa dulu Umno perjuangkan bangsa dan agama tapi kini mereka (ibarat) kereta api tergelincir dari landasan.

"Mereka sesat lagi menyesatkan. Menangis di Perhimpunan Agung Umno kononnya Melayu berpecah belah,  tak bersatu padu tapi sebenarnya merekalah puncanya," katanya yang merupakan anak kelahiran Paka.

Beliau berkata, sudah tiba masanya beliau berjuang bersama PAS dan Pakatan Rakyat demi kepentingan agama dan negara.

"Inilah masanya sebab saya mungkin tak ada masa panjang untuk berjuang bersama PAS.

"Kita mesti hentikan kejahatan kerajaan sekarang. Pakatan Rakyat bersungguh-sungguh berjuang tapi kalau rakyat tak menyokong mereka tak boleh buat apa juga.

"Marilah sama-sama kita mengundi PAS dan Pakatan Rakyat," katanya disambut laungan takbir kira-kira 50,000 hadirin.

Mokhtar menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada  Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang petang tadi.

DAP ajak PR buat perubahan 3 serangkai


BAYAN BARU: Pakatan Rakyat mesti menghadapi tiga cabaran utama sekiranya mahukan  mandat yang jitu daripada rakyat serta sanggup menjadi Kerajaan yang lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) selepas pilihanraya umum nanti sesuai dengan tema 'Perubahan Ditanganmu'.

Demikian kata Setiausaha Agung, Lim Guan Eng ketika berucap dalam Ucapan Dasar Kongres Ke 16 DAP Kebangsaan di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), Bayan Baru pagi tadi.

Menurutnya, pertama mesti memastikan Pakatan Rakyat kukuh walaupun banyak dugaan ditempuhi

Keduanya ialah pastikan kemenangan Pilihanraya Umum akan datang dan ketiga ialah untuk melahirkan sebuah negara Malaysia yang baru Pakatan Rakyat mesti mengubah langskap politik menjadi parti yang besih daripada rasuah.

Jika gagal jelasnya, bermakna Malaysia berada di tahap lama malahan boleh buruk lagi ekoran mempunyai kepimpinan yang rekodnya tidak cemerlang.

"Kita ada tiga serangkai cabaran yang perlu dibuat bersama dalam gabungan Pakatan Rakyat. Ketiga-tiganya penting untuk memastikan Barisan Nasional (BN) tumbang dan hilang kuasa, " tegasnya.

DAP jelas Lim, tetap berkongsi tanggungjawab dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se Malaysia (PAS) bagi merealisasikan impian mendaki Putra Jaya sepertimana yang tertakluk dalam Common Policy Framewok dan Buku Jingga.

DAP juga percaya semua kepimpinan semua parti dalam Pakatan Rakyat mempunyai semangat yang cukup tinggi  untuk memberikan tumpuan memenangi warga pertengahan Malaysia.

Islam

Menyentuh mengenai Islam katanya, DAP tidak menyebelahi MCA yang menyerang Islam sebaliknya mempertahankanya apabila cubaan mengaitkan dengan rasuah dan kemiskinan.

Bahkan, DAP juga mempertahankan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat terhadap pembohongan dari MCA kononya beliau merelakan lelaki Islam untuk merogol wanita bukan Islam.

"DAP mempertahankan Islam apabila MCA menyerang Islam dengan cuba mengaitkan dengan rasuah dn kemiskinan, mempertahankan Menteri Besar Kelantan dan memperbetulkan tuduhan MCA yang memperkecilkan calon wanita PAS semasa pilihanraya kecil Dun Tenang, Johor kerana enggan berjabat tangan dengan lelaki, " ujar beliau lagi.

Beliau yakin tiga serangkai itu dapat menangkis anggapan sinis golongan yang tidak senang dengan tindakan Pakatan Rakyat menentang BN secara agresif untuk menerangkan  kepada keseluruhan rakyat yang selama ini tidak senang dengan keangkuhan kepimpinan UMNO dan BN.

Rakyat juga dinasihatkan jangan terpengaruh dengan dakyat politik kotor BN yang melampau.
MCA yang tidak bermoral berganding dengan Gerakan yang tidak mempunyai keberanian ataupun pendirian manakala MIC sendiri tidak mempunyai arah tuju dan hanya memimpin dari belakang.

Ujar Lim, jalan menuju ke Putra Jaya akan menjadi mudah dengan formula baru berdasarkan kepercayaan sesama sendiri selari dengan apa yang ada dalam Buku Jingga.

"Rakyat dinasihatkan jangan sekali- kali terpengaruh dengan  ancaman dan dakyah politik yang kotor. Sebaliknya cekalkan prinsip dengan semangat baru, " katanya.

Walaupun ramai lagi masyarakat Islam dan bukan Islam mempersoalkan samada Pakatan Rakyat mampu menjalinkan permulaan ini ianya tidak menjadi masalah sebab yang penting sekarang ialah gerak kerja mesti kuat dan sehala.

Justeru itu, BN cuba menimbulkan ketakutan untuk  memastikan kekuasaan mereka terus kekal kerana kekalahan dalam pilihanraya umum nanti membuatkan mereka tidak senang duduk kerana ada antaranya akan dipenjarakan.

Waris perjuang lawan kepincangan Ketengah


DUNGUN: Badan Bertindak Pewaris Bumi Malaysia (Waris) memberi jaminan akan terus membantu rakyat keluar dari belenggu kemiskinan akibat kepincangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Presidennya, Roslan Ismail (gambar) berkata banyak kepincangan yang harus diperbetul sejak  kewujudan Ketengah 20 tahun lalu.

"Waris ditubuhkan untuk bela nasib rakyat khususya di kawasan luar bandar.

"Ketengah gagal menyelesaikan masalah kemiskinan penduduk dan gagal menyediakan peluang pekerjaaan seperti yang dijanjikan," kata beliau sewaktu berucap di Himpunan Kebangkitan Rakyat di Dataran PGU Paka, dekat sini malam tadi.

Justeru beliau berjanji akan meneruskan perjuangan Waris walaupun selepas Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putrajaya.

"Perjuangan Waris bukan setakat ini namun akan diteruskan sehingga Pakatan Rakyat berada di Putrajaya.

"Kita sedih kerana masih terdapat penduduk Ketengah dan Kesedar tak mampu nak bayar rumah RM50 sebulan.

"Apa gunanya rancangan kemajuan yang ditubuhkan kerajaan jika akhirnya menyusahkan rakyat," katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan melakukan pembaziran apabila menubuhkan kolej di Ketengah sedangkan pelajarnya tidak sampai 20 orang.

"Ketengah tubuhkan kolej pada 2002 tapi 2012 kita dapati bangunan berdiri tapi pelajar hanya 18 orang, pensyarah 16 orang.

"Apa sebenarnya matlamat penubuhan kolej ini sedangkan rakyat ketengah terus berada dalam paras kemiskinan," katanya di hadapan kira-kira 50,000 hadirin.

Najib rampas hak royalti Terengganu - Saifudin


DUNGUN: Datuk Seri Najib Razak disifatkan sanggup untuk merampas hak royalti rakyat Terengganu untuk diserahkan kepada Pahang bagi mempastikan kemenangannya di Pekan.

(Saifudin berucap di HKR Terengganu)

Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution berkata, langkah ini amat jelas satu tindakan Najib untuk mempertahankan kerusinya itu.

Ini kerana, kajian yang dibuat oleh syarikat carigali minyak Lundin Oil dari Perancis mengesahkan telaga minyak itu terletak di luar pantai Terengganu bukannya Pahang.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Himpunan Kebangkitan Rakyat Terengganu di hadapan kira-kira 50,000 orang yang menyertai himpunan di Kuala Paka itu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengesahkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu telaga minyak yang baru ditemui itu terletak dalam kawasan Terengganu.

Syarikat cari gali minyak di kawasan berkenaan iaitu Lundin Oil mengesahkan tentang penemuan itu dan menyatakan ia berada di kawasan negeri ini.

Najib dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, "Medan minyak ini terletak kira-kira 160 km di luar persisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan dengan negeri Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

"Penemuan ini telah membuktikan kewujudan minyak dan gas di kawasan selatan Malay Basin ke arah Penyu Basin.

"Oleh itu, medan minyak tersebut adalah terletak di kawasan pelantar benua di dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan.

"Berasaskan pertimbangan yang adil dan saksama, dan mengambil kira negeri-negeri yang telah dibayar wang ehsan sebelum ini, serta komitmen kerajaan untuk terus memastikan pembangunan serta manfaat dapat dirasai oleh negeri-negeri.

"Dalam hal ini, bergantung kepada anggaran pengeluaran, negeri Pahang dijangka akan menerima wang ehsan sekitar 100 juta setahun apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.”

Sultan Pahang pula meminta rakyat ikut sahaja kerana ia telah dinyatakan oleh Perdana Menteri.


Paling banyak hutang




(Orang ramai yang memenuhi HKR Terengganu)

Dalam ucapannya itu juga, Saifudin berkata, Najib adalah Perdana Menteri yang paling banyak berhutang.

Najib juga, katanya, cuba bermacam cara untuk memecahkan Pakatan tetapi kebangkitan rakyat akan memberi jawapan yang jelas pada PRU 13.

Bagi beliau, masa sudah sampai untuk BN menjadi pembangkang di parlimen pula.

Bagi Saifuddin, ucapan para pemimpin Umno dalam Perhimpunan Agung Umno 2012 (PAU 12)   telah menyebut lebih 398 kali nama Anwar Ibrahim.

"Ini membuktikan ketakutan Umno terhadap Anwar," katanya.

Umno kini, kata Saifudin, mengunakan sentimen Melayu dan perkauman untuk menyelamatkan mereka.

"Rakyat kini tertekan dengan gaya pimpinan Umno yang makin menyeksakan rakyat. Rakyat akan ubah kerajaan pada pru 13," katanya disambut teriakan takbir dari para hadhirin yang memenuhi kawasan himpunan itu.