Thursday, December 20, 2012

Penangguhan AES, GST, cukai tel pra-bayar hanya sementara?


KUALA LUMPUR: Jangan seronok dengan penangguhan sistem AES (Automated Enforcement System), GST (cukai barangan dan servis), tarif elekrik, cukai telefon pra-bayar dan sebagainya kerana ini semuanya bersifat sementara saja sehingga BN berkuasa lagi.

“Kesemua ‘hadiah penangguhan’ ini hanya menanti keputusan pilihanraya umum sahaja sebelum ditarik balik.

"Kalau keputusan menyebelahi BN, maka semua yang ditangguhkan ini akan dikuatkuasa semua, dan rakyat akan terus terbeban dengan pelbagai peraturan yang menyusah dan tidak masuk akal,” Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) memberikan peringatan kepada rakyat dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim turut berkata bahawa disebabkan PRU13 dianggap sebagai pilihanraya umum yang paling penting dalam sejarah negara, maka banyak projek mega untuk kroni terpaksa ditangguh dahulu kerana BN khuatir ia akan menjadi peluru bagi PR.

“Rakyat mempunyai kuasa memilih, samada ingin peraturan yang membebankan mereka diterus atau dibatalkan sahaja. Mengekalkan BN bermakna penangguhan sementara akan dikuatkuasa semula, atau menumbangkan BN, maka peraturan itu akan terus dibatalkan,” tegas beliau.

Mengulas mengenai penangguhan sistem AES, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata kemelut itu bukti jelas kepada rakyat untuk melihat caca-merba yang sedang melanda Malaysia.

“Walaupun Menteri Pengangkutan serta anggota kabinet telah berulang kali menyatakan AES tetap akan dilaksanakan, namun terkini ia ditangguhkan oleh Jabatan Peguam Negara.

"Yang aneh menteri putus untuk laksana, manakala peguam negara boleh batal arahan menteri. Inilah caca-merba yang sedang melanda Malaysia,” kata beliau.

Beliau turut menyindir bahawa situasi ini menimbulkan kekeliruan terhadap “siapa buat polisi dan siapa pelaksana polisi” dan untuk menyelesaikan situasi ini adalah “lebih baik salah seorang letak jawatan.”

“Kalau kira patut peguam negara kerana melanggar arahan menteri, tetapi kalau difikir semula arahan peguam negara dijadikan keputusan, bukan arahan menteri, maka eloklah menteri tu letak jawatan,” kata beliau.

Sebelum ini, atas bantahan rakyat dan desakan PRU13, kerajaan BN telah mengambil keputusan untuk menangguhkan perlaksanaan GST, cukai telefon pra-bayar dan kenaikan tarif elektrik sehingga selesainya PRU13.

Dua hari yang lalu, Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan supaya semua prosiding kes saman di mahkamah melalui AES digantung serta merta kerana timbul pelbagai masalah yang lain, meskipun saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) serta Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) terus komited dalam usaha mendesak kerajaan menghapuskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

No comments: