Wednesday, December 19, 2012

Jangan bermain politik dalam jubah mufti


KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru para mufti agar menjaga nama baik mereka dan tidak bermain politik partisan untuk kepentingan pihak tertentu.

Ingatan itu berhubung kenyataan beberapa orang mufti yang mendesak agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menarik balik apa yang didakwa sebagai 'Amanat Haji Hadi'.

"Boleh berbincang dengan cara yang elok dan tak perlu bermain politik partisan di dalam jubah mufti.

"Jangan jual harga mufti dengan murah," tulisnya dalam Facebook petang tadi.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu lagi, beliau secara peribadi sangat mengenali Tuan Guru Abdul Hadi dan meyakini bahawa ilmu yang dimiliki oleh Presiden PAS itu tidak lebih rendah daripada ilmu yang dimiliki oleh para mufti.

"Bahkan beliau merupakan lulusan Madinah yang cemerlang.

"Jadi saya menyeru kepada para mufti, jangan beranggapan Presiden PAS sebagai orang yang tidak tahu hukum hakam," katanya.

Sebelum ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dilaporkan menggesa Tuan Guru Abdul Hadi menarik balik amanat mendakwa Umno kafir, yang pernah dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.

Harussani berkata, tidak mudah untuk meletakkan orang itu kafir dan, perkara itu sudah pun dijelaskan yang mana ia bukan masalah parti, sementara Wan Zahidi pula berkata, amanat tersebut tidak berbahaya kepada Umno sebaliknya kepada diri Hadi sendiri.

Amanat Tuan Guru Abdul Hadi merujuk kepada satu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh beliau di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

No comments: